Sunday, September 21, 2008

Transformasi Pengurusan Waqaf

Sudah sampai masanya pengurusan waqaf perlu melalui proses transformasi supaya menjadikannya lebih cekap dan berkesan. Itulah pandangan awal jika ditanya apakah yang perlu dilakukan untuk menjadikan pengurusan waqaf releven dengan tuntutan ummah semasa. Melihat kepada keadaan sekarang, waqaf mempunyai banyak masalah terkumpul (backlog problems). Masalah waqaf bermula daripada tiada inventori harta waqaf, pentadbiran waqaf di bawah muttawali bukan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tanah ditadbir oleh orang bukan Islam, tanah waqaf dijual, terbiar dan semak kepada harta waqaf secara lisan, waqaf tidak didaftarkan dan tiada dokumen waqaf sehingga kepada isu-isu untuk membangunkan harta waqaf. Itu belum lagi isu harta-harta waqaf tidak dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain seperti cukai tanah tertunggak, tanah waqaf dirampas oleh kerajaan, cukai pintu tinggi, pendapatan waqaf tidak dapat menampung perbelanjaannya, waqaf tidak "self generating", pengambilan tanah waqaf yang tidak diganti balik (istibdal) dan manfaat waqaf tidak sampai kepada penerimanya. Boleh dikatakan isu waqaf sangat banyak, sangat kronik dan memerlukan perhatian sepenuh masa dan fokus. Dari segi undang-undang, tugas untuk menguruskan waqaf berada di tangan MAIN yang dilantik sebagai pemegang amanah tunggal. Jika itu kenapa isu waqaf masih berbangkit. Rata-rata sebabnya kerana MAIN sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mengekang perkembangan dan pembangunan waqaf itu sendiri. Umum tahu bahawa MAIN tidak mempunyai kakitangan waqaf yang mencukupi sedangkan masalah waqaf banyak. Dengan demikian tumpuan dan fokus untuk menyelesaikan masalah waqaf tidak diberatkan tambahan pula wujudnya tuntutan kerja semasa. Jika begitu apa hendak jadi kepada waqaf. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh sahaja. Sesuatu mesti dilakukan. Kaedah yang boleh dilaksanakan adalah melalui transformasi pengurusan waqaf. Transformasi bermakna anjakan pengurusan wakaf kepada suatu kaedah pengurusan baru yang dapat membantu meningkatkan imejnya. Bermaksud bahawa kaedah baru perlu dicari untuk memperbaiki keadaan. Antara kaedah yang boleh dicadangkan ialah menambahkan kakitangan di bahagian waqaf, outsourcing dan strategi pengkorporatan. Caranya nampak mudah untuk dicadangkan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Penambahan kakitangan boleh dilakukan jika MAIN mempunyai sumber kewangan. Apakah semua MAIN mempunyai kewangan sebegitu? Pasti tidak. Jika tidak sudah lama MAIN mengambil kakitangan tambahan baru. penambahan kakitangan melibatkan banyak prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)dan proses birokrasi. Jadi ia lambat untuk menjadi kenyataan. Jika lambat apakah waqaf boleh menunggu lebih lama lagi untuk mendapat pembelaan. Sesetengah aktiviti waqaf boleh dioutsourcingkan. Bermakna sesetengah aktiviti waqaf boleh diswastakan atau ditenderkan kepada pihak lain yang mempunyai kepakaran. Antara aktiviti yang boleh ditenderkan seperti pembersihan kubur atau masjid, pembaikan kecil dan penyelenggaraan. Kutipan sewa waqaf boleh juga diswastakan tetapi ia boleh membawa kesan lain terutama dari segi kemampuan dan perundangan. Walau bagaimanapun sesetengah MAIN tidak berminat menswastakan kutipan sewa kerana ini akan mendedahkan banyak rahsia MAIN. Penswastaan juga boleh berjaya jika MAIN mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi. Jika tidak penswastaan tidak boleh dilaksanakan. Bagaimana pula dengan pengkorporatan waqaf ? Ini adalah isu baru dan sangat menarik jika dapat menjadi kenyataan. Kepada kebanyakan MAIN, cadangan ini merupakan satu isu yang sangat baru dan masih belum dapat diterima oleh pengurusan tertinggi MAIN. Walaupun buktinya ada dengan kejayaan pengkorporatan zakat, tetapi sebahagian negeri sahaja mengkorporatkan zakat, manakala sesetengah negeri lain masih sukar menerimanya. Sebab kepada alasan ini sukar difahami. Bagi sesetengah MAIN pengkorporatan waqaf dirasakan belum diperlukan. Ini kerana mengkorporatkan waqaf bermakna menyerahkan pengurusan waqaf kepada pihak lain. Walau pun demikian masalah ini ada jalan keluarnya dengan penubuhan anak syarikat di bawah MAIN di mana MAIN memegang 100% saham syarikat. Kaedah lain ialah MAIN boleh menubuhkan yayasan waqaf negeri. Faedah menubuhkan yayasan sangat banyak. Antaranya organisasi ini akan berorientasikan kebajikan. Ini melayakkan organisasi ini mendapat pengecualian daripada pembayaran cukai dan zakat perniagaan seperti mana yang dikenakan terhadap syarikat korporat pengurusan zakat sekarang. Nah jalannnya telah ada. Pilihlah yang mana satu pilihan yang berkenan di hati. Samada menambahkan kakitangan, atau menswastakan sebahagian aktiviti waqaf atau pengkorporatan waqaf (jika berani). Yang paling penting ialah waqaf perlulah melalui proses transformasi agar sumbangan waqaf kepada ummah akan menjadi lebih signifikan. Untuk berubah, waqaf perlukan "transformer".
[MAT WAKAF: Hendak tonton filem "Transformer"].

No comments: