Tuesday, October 28, 2008

MAT WAKAF BERADA DI PULAU PINANG - MENGIKUTI SEMINAR FIQH DAN PEMIKIRAN ISLAM LESTARI

Mat Wakaf (MW) akan berada di USM, Pulau Pinang selama 2 hari mulai esok 29 Oktober. Bukan sahaja makan angin di Pulau Mutiara tersebut, tetapi MW juga nak teropong bagaimana pentadbiran kerajaan baru Pulau Pinang di samping mengikuti Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan JAKIM. Sejak pengumuman Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng (LGE) hendak menjadikan pemerintahan Syaidina Umar Abdul Aziz sebagai contoh di Pulau Pinang, MW teruja untuk melihat samada itu akan dilaksanakan atau sekadar retorik Ketua Menteri untuk menarik undi umat Islam atau mengekalkan kuasa lebih lama di Pulau Pinang. Sejak sebulan lepas pula MW dengar pulak bahawa Lim Guan Eng asyik sebut perkataan popular di kalangan pentadbir awam iaitu"amar maaruf nahi munkar". MW rasa LGE tentu faham apa yang disebutkan itu, masakan hanya hendak sebut sahaja. Tambahan pula MW ke Pulau Pinang kerana ingin tahu perkembangan terkini tentang wakaf di sana. Apatah lagi rakan baik MW iaitu Encik Mohamad Salleh Abdullah akan membentangkan satu kertas kerja. Selain dari paper kawan MW itu, ada 1 paper lain mengenai wakaf. Tajuk kawan MW itu berbunyi "Kelestarian Wakaf". Lagi satu tajuknya ialah "Pembangunan Fiqf Wakaf Lestari". Kedua-dua ada kaitan dengan pembangunan lestari. Entah MW pun tak berapa faham apa lestari itu. Sebab tu lah MW nak pergi dengar. Dengar kata sebanyak 39 kertas kerja akan dibentangkan, manakala bakinya 10 lagi akan dimasukkan di dalam prosiding. Selepas dah letih berseminar, bolehlah MW berehat di hotel tepi pantai Batu Feringgi.
[MAT WAKAF : Pengurusan wakaf ; dengar macam lestari, bila dah tengok rasa macam nak lari]

Tuesday, October 21, 2008

Corat-Coret Sekitar Konvensyen Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf Terengganu -MAIDAM-UKM

Tidak sah kalau tidak menulis sebarang berita dan cerita tentang konvensyen yang dihadiri ini kerana terdapat banyak sangat cerita menarik, cerita-cerita tak menarik dan pengajaran yang boleh dicontohi.
Cerita-Cerita Menarik :
Cerita-Cerita Tak Menarik :
Pengajaran Yang Boleh Dicontohi :

DYMM Sultan Mizan Bebaskan Majlis Agama Islam Terengganu daripada Kemelut Politik ?

Itulah berita yang didengar semasa MAT WAKAF berada di Kuala Terengganu mencari berita untuk siaran blog ini. Itulah topik hangat perbincangan para peserta sepanjang Konvensyen Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan UKM berlangsung. Ceritanya YAB Dato' Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu tidak dilantik sebagai Yang Dipertua MAIDAM. Dengar ceritanya DYMM Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu tidak mahu lagi orang politik mengetuai Majlis Agama Islam (MAIDAM). Menurut kata orang Terengganu lagi, DYMM Sultan Mizan mahu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) ditadbir oleh orang bukan politik, yang mana terdiri daripada pentadbir dan agamawan. Rasionalnya Baginda tidak mahu MAIN menjadi mangsa kemelut apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan politik (Amboi, sejak Siri Syarahan ISDEV 7, syok pulak guna perkataan kemelut). Sudah tentunya Baginda mempunyai pengalaman apabila kerajaan UMNO Terengganu pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar tewas kepada PAS dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 lalu. Kini keadaan yang sama dihadapi di Pulau Pinang, di mana kemelut perlantikan YDP MAINPP belum selesai. Jika mengikut amalan biasa, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Ahmad Said (seperti mana amalan Menteri Besar menjadi YDP MAIDAM), sudah pasti akan dilantik menjadi YDP MAIDAM. Tetapi upset berlaku apabila DYMM Sultan Mizan melantik Dato Senara Muda, Dato' Mazlan @ Nanri bin Hashim sebagai YDP MAIDAM. Sebagai bekas pentadbir awam di Terengganu, YDP MAIDAM yang baru tentu lebih berpengamalan dan arif dalam hal ehwal pentadbiran awam, maka sudah tentu akan dapat mengangkat imej MAIDAM. Tetapi menurut MAT WAKAF keputusan DYMM Sultan Mizan ini mempunyai kadar kebijakan dan kecerdikan minda yang tinggi. Ini kerana baru MAT WAKAF teringat cerita bagaimana DYMM Sultan Mizan membuat keputusan sampai 3 kali untuk mengekalkan jawatan YDP MAINPP kepada Y.B Shabudin Yahaya ketika desakan kerajaan Pakatan Rakyat mahukan jawatan itu memuncak. Walaupun peralihan kuasa MAINPP dijangka berlaku pada awal Syawal, tetapi sehingga sekarang masih tiada hitam putihnya dan YB Shabudin masih kekal sebagai YDP MAINPP. MAT WAKAF berpandangan DYMM Sultan Mizan tentunya berfikiran jauh kerana baginda tidak mahu kedudukan institusi agama itu dan jajahan takluknya (masjid, sekolah agama, surau, qaryah, urusan nikah-kahwin-cerai-rujuk dan macam2 lagi) bergolak jika peralihan kuasa berlaku dengan cepat tanpa persiapan yang sempurna. Baginda mahu pihak yang hendak melepaskan jawatan bersedia. Begitu jugak baginda mahu pihak yang hendak menerima jawatan dan amanah betul-betul bersedia dan bertanggungjawab, bukan sekadar hendak jawatan sahaja.
[MAT WAKAF : 1) Bertuah Malaysia dapat Yang Dipertuan Agong yang bijak]
2).Bebaskan Pulau Pinang jugak]

Apa Sudah Jadi. Terkena Batang Hidung Sendiri ?

Baru beberapa hari selepas komen diberikan tentang kekuatan Unit Dana Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), timbul tawaran dikemukakan kepada penulis untuk mengetuai unit Dana Wakaf tersebut. Tawaran itu dikemukakan oleh Encik Fakhruddin Abd Rahman, Setiausaha MAINPP sekarang sebaik sahaja apabila berjumpa penulis selepas selesai program Siri Syarahan ISDEV 7 - YB Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin di USM. Apa yang hendak dikatakan lagi. Walaupun SU MAINPP tidak membaca artikel yang ditulis di dalam blog tersebut, nampaknya beliau seakan dapat menghidu kedudukan unit Dana Wakaf tersebut yang under-strength. Dalam pertemuan untuk memaklumkan hasrat tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan. Antaranya menaikkan taraf dan status Dana Wakaf daripada unit kepada Bahagian, pertambahan kakitangan dan kempen pemasaran yang boleh dilaksanakan. Juga dibincangkan tentang cadangan mengadakan Muzakarah Dana Wakaf dan Konvensyen Wakaf Tunai di Pulau Pinang, anjuran bersama dengan universiti tempatan, kemungkinan tahun depan 2009. Walau bagaimanapun aspek gaji tidak dibincangkan. Tetapi daripada perbincangan, tawaran nampaknya menyerupai kedudukan seperti perjawatan Pegawai Khas kepada YB YDP MAINPP, iaitu ditempatkan di MAINPP, bukan dipinjamkan. Nah jika hari itu berdegang-degang mengkritik MAINPP, sekarang peluang telah diberikan, jadi apa yang perlu dilakukan. Penulis nampaknya terkedu apabila ditawarkan ke posisi tersebut. Pertama, kerana tidak menyangka akan ditawarkan kerana SU MAINPP tahu penulis sedang menunggu tawaran Yayasan Wakaf Malaysia (Untuk jawatan Pengurus Wakaf Tunai, YWM, penulis menuntut gaji berjumlah RM12,000, tetapi CEO YWM hanya berani menawarkan sebanyak RM8,500 sahaja. Seterusnya pertimbangan akan dikemukakan kepada Pengerusi YWM yang juga Menteri Di JPM. Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi samada permohonan gaji RM12,000 tersebut boleh diluluskan. Jika diluluskan penulis akan terbang ke YWM). Kedua, kerana penulis tidak berapa minat lagi bekerja di MAINPP. Sejak isu syarikat Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB) dibubarkan berlaku dan perlantikan penulis selaku Pengurus Besarnya dipertikaikan dan ditolak (dimalukan dalam bahasa penulis), penulis sebenarnya sudah cukup tawar hati untuk berkhidmat di sana. Hati pedih dan pedih hati mengenangkan kisah itu. Kesannya masih ada. Lukanya masih belum sembuh. Masih ada nanah kekuningan. Malah isu pengkorporatan wakaf itu, penulis sudah lupakan. Sudah penulis buang jauh-jauh dari ingatan. Penulis anggap harapan memperbaiki pengurusan wakaf melalui penubuhan syarikat korporat sudah lama mati. Sudah jadi mayat. Jadi abu kerana mayatnya dibakar. PWPPSB mati tanpa kubur dan batu nesan. Semasa penulis melarikan diri dan menyembunyikan diri di luar negara (selepas dimalukan), air mata penulis menitis tak henti-henti. Penulis menangis sepuas-puasnya mengenangkan hajat pengkorporatan wakaf yang tak sampai. Apabila pulang ke Malaysia, saat itu penulis tidak lagi meletakkan sebarang harapan kepada PWPPSB. Sudah kosong harapan. Sekarang kisah lama itu diungkitkan, diingatkan kembali, dengan tawaran yang dikemukakan. Kali ini tawaran datang daripada seorang kawan yang telah lama penulis kenal. Malah ketika penulis dimalukan, beliau turut juga kecewa dan sedih. Jadi bagaimana keputusan hendak dibuat?. Apa tindakan sekarang ? Jika dulu penulis memberi komen tentang kelembapan aktiviti Dana Wakaf Pulau Pinang (DWPP). Sekarang penulis sendiri diminta untuk mengaktifkannya semula. Jika dulu penulis mengatakan wakaf "mati" di bulan Ramadan, sekarang tugas penulis juga untuk menghidupkan wakaf di bulan Ramadan akan datang (tahun depan-2009). Apa sudah jadi? Sekarang sudah terkena batang hidung sendiri? Dulu kuat sangat bercakap, sekarang kena buat. Kalau tidak terima, nanti penulis dikatakan sebagai "sembang deras saja". Kalau hendak terima tawaran tersebut, hati dah tak berapa minat dan tawar. Aduh. Dilema. Dilema. Pening kepala.
[Dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]
[MAT WAKAF : Masa untuk menjadi "TRANSFORMER" dah sampai].

Thursday, October 16, 2008

Sumbangan Wakaf Dalam Pembangunan Ummah

Sumbangan Dalam Bidang Keagamaan (Peribadatan)
Sumbangan wakaf dalam bidang keagamaan (peribadatan) selalunya berada di tempat teratas (Kahf, 2007). Menurutnya kebanyakan pendapatan wakaf digunakan untuk tujuan memakmurkan masjid seperti membayar gaji imam, elaun guru dan pendakwah, untuk tujuan pencucian dan pembersihan masjid, membeli permaidani, perbelanjaan air dan lampu (elektrik). Oleh kerana sumber pendapatan wakaf adalah bebas dan “self generating”, pada masa yang sama guru-guru dan pemimpin agama dapat memainkan peranan penting yang lain dalam masyarakat. Akibatnya semasa Penjajahan Perancis di Algeria, pihak Perancis mengambilalih pengurusan harta wakaf di Algeria pada tahun 1831 sebagai satu strategi membendung penentangan rakyat terhadap mereka (Kahf, 2007).
Sumbangan Dalam Bidang Pembangunan Sosio-ekonomi
Kepentingan dan kehebatan institusi wakaf dalam pembangunan sosio-ekonomi ini telah disebut dengan jelas oleh Sabra (2000), Cizakca (2000), Nik Mustapha (1999), Mahmud Saedon (2000) dan Ghazali Md Sais (1996). Sabra dan Cizakca misalnya telah menjelaskan peranan penting institusi wakaf dalam membasmi kemiskinan. Nik Mustapha (1999) mengatakan bahawa walaupun amalan wakaf tidak diwajibkan, sumbangannya dapat membiayai projek-projek sosio-ekonomi yang besar seperti membiayai Universiti Al-Azhar (Mesir), pembinaan Masjid Nabawi di Madinah (Arab Saudi) dan Oxford University di England. Mahmud Saedon (2000) pula memberikan contoh institusi pendidikan di Malaysia dan Singapura yang dibiayai oleh wang wakaf termasuklah Kolej Islam, Sekolah Al-Junid, Sekolah Al-Saggof dan Madrasah Al-Mashyur di Pulau Pinang. Ghazali Md Sais (1996) pula menekankan pentingnya peranan institusi wakaf sehingga beberapa buah Negara Timur Tengah telah menjadikan institusi wakaf sebagai badan atau kementerian yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan umat Islam.
Sumbangan Perkhidmatan Sosial, Kebajikan dan Kesihatan
Kehebatan bidang wakaf juga terserlah dalam beberapa bidang lain yang juga mendapat pembiayaan daripada dana wakaf. Contohnya sebahagian besar daripada usaha-usaha kebajikan dan perkhidmatan sosial dalam dunia Islam pada zaman pertengahan disumbangkan melalui institusi wakaf (Stillman, 1975, 2000, Cizakca 1995, Power, 1984). Antaranya adalah Kompleks Suleymaniye, masjid, makam, madrasah, sekolah perubatan, hospital, kolam mandi (hammam), tempat penyediaan dan penyajian makanan, rumah-rumah tumpangan dan pusat-pusat perniagaan (Kafadar, 1991), dispensari bergerak, pusat rawatan kecemasan, perpustakaan, universiti (Nagamia, 1986) dan program pembasmian kemiskinan [Yedyyildiz, 1996 (b)]. Imaret atau Pusat Penyediaan Makanan (Public Kitchen) juga merupakan entiti institusi wakaf yang sangat terkenal yang berperanan menyediakan makanan kepada orang-orang miskin dan orang lain yang memerlukannya seperti pelawat dan pengembara (Singer, 2004).
Sumbangan Dalam Bidang Pendidikan
Sumbangan wakaf yang terbesar selain bidang keagamaan ialah bidang pendidikan. Malah menurut Kahf (2007), sumbangan wakaf dalam bidang pendidikan merupakan yang kedua terbesar selepas bidang keagamaan. Bagi penulis lain, institusi wakaf telah turut memainkan peranan yang besar dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan secara percuma kepada masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan keturunan (Makdisi,1981). Buktinya cukup jelas. Di Jerusalem sahaja, terdapat lebih daripada 70 buah sekolah yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf dalam abad yang kedua belas.[Angka ini agak berbeza mengikut Kamil Jamil Al-Asali. Mengikutnya pada zaman awal abad ke dua puluh, terdapat sebanyak 64 buah sekolah yang mana semuanya wakaf dan dibiayai oleh harta-harta wakaf yang terdapat di Palestine, Turkey dan Syria. Daripada jumlah ini 40 buah sekolah diwakafkan oleh pemerintah Ayubites dan Mamalik (Kamil Jamil Al-Asali, 1983)]. Sementara itu, sebanyak 142 buah universiti di Turki, 87 buah sekolah dan universiti di Cyprus dan masing-masing 800 dan 786 buah universiti di Cecennestan dan Azerbaijan telah dibangunkan dan dibiayai oleh sumber wakaf. Universiti Al-Azhar di Mesir yang dibina pada tahun 975 M merupakan sebuah universiti yang tertua di dunia yang juga dibiayai sepenuhnya daripada sumber wakaf yang menyedia dan memberi pendidikan secara percuma daripada pendidikan rendah sehingga pendidikan universiti (Hashim, 1990). Pada tahun 1986, sejumlah £147,324,300 telah diperuntukkan oleh Universiti Al-Azhar untuk membiayai aktiviti-aktiviti pembangunan dan pendidikan termasuk perbelanjaan mengurus 55 buah fakulti yang sedia ada dengan 6,154 orang kakitangan tenaga pengajar (849 profesor, 819 profesor madya, 1,517 pensyarah, 1456 pembantu pensyarah dan 1,510 orang “readers”)[Razali, 2005]. Al-Azhar bukan sahaja terkenal dengan sumbangannya kepada pembangunan pendidikan Islam tetapi juga kepada aktiviti-aktiviti dakwah di seluruh dunia (Al-Habshi, 1991; Kahf, 2003).
Sumbangan Wakaf Kepada Dunia Barat
Model wakaf juga telah mempengaruhi masyarakat Barat sehingga model ini menjadi asas penting pembangunan masyarakat menerusi penubuhan institusi-institusi pendidikan, perkhidmatan sosial dan kebajikan (Gaudiosi, 1988). Misalnya pada tahun 1264, Walter de Merton telah menubuhkan Kolej Merton di University Oxford menggunakan konsep wakaf. Kajian yang dibuat oleh The Sutton Trust mendapati 10 buah univerisiti terkemuka di Amerika Syarikat dan United Kingdom masing-masing mengumpul sejumlah RM176.32 bilion dan RM29.25 bilion dalam bentuk endowment. Kajian oleh National Association of College and University Business Officers pula mendapati sejumlah RM737.2 bilion endowment terkumpul di 120 buah universiti di Amerika Syarikat. Universiti Harvard di Amerika Syarikat sahaja mengumpul sejumlah RM68.4 bilion dalam bentuk endowment yang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti pendidikan dan penyelidikan, penyelenggaraan perpustakaan dan pengendalian tabung biasiswa (Razali, 2005).
Penubuhan tabung-tabung amanah dan yayasan kebajikan atau foundation berdasarkan konsep wakaf ditubuhkan dan berkembang. Antara lain, ia bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan kegiatan seni, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, korporat, pendidikan, persekitaran, kewartawanan, penyelidikan perubatan dan agama. The Alfread P. Sloan Foundation yang ditubuhkan pada tahun 1934 mempunyai aset RM5.2 billion bermatlamat untuk membantu dan menyokong pembangunan sains dan teknologi, peningkatan prestasi ekonomi dan kehidupan, pendidikan dan program-progran sivik. Pendekatan baru terhadap pemilikan sumber alam dengan menggunakan pendekatan public trust telah mula dijadikan amalan khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. The Trust for Public Land (TPL) dan The National Park Trust (NPT) yang ditubuhkan pada tahun 1972 dan 1982 di Amerika Syarikat misalnya berperanan membantu masyarakat mewujudkan greenprint for growth dengan melindungi dan mempromosikan kepentingan tanah awam. Refkin (1996) dalam bukunya The End of Work pula menyarankan kepentingan sektor ini untuk digunakan sebagai alternatif mengurangkan bebanan kerajaan ke arah pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh (Razali, 2005).
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]

Tuesday, October 14, 2008

10 Persepsi Negatif Masyarakat Umum Tentang Wakaf

Umum memang telah mengetahui tentang persepsi yang tidak baik mengenai wakaf. Seakan-seakan ada satu pandangan umum tentang wakaf di Malaysia. Pergilah ke mana negeripun sifatnya seakan-akan sama sahaja. Pengurusan wakaf dilihat serupa dan sinonim. Berikut adalah beberapa persepsi negatif terhadap wakaf :
1]. Pengurusan wakaf lemah dan Majlis Agama Islam Negeri dijadikan puncanya.
2].Wakaf dilihat gagal digembelingkan bagi membolehkan sumbangan diberikan dalam pembangunan umat Islam.
3].Wakaf gagal berperanan untuk membantu umat Islam secara keseluruhannya.
4].Ibadat wakaf sukar berkembang dan tidak berada dalam arus perdana hati umat Islam kerana ia hanya ibadat sunat.
5]. Institusi wakaf dijadikan faktor penyebab kenapa orang Islam gagal maju di sesetengah negeri.
6]. Harta wakaf dijadikan benteng penampan bagi memenuhi agenda peribadi sesetengah individu, personaliti, pemimpin dan organisasi.
7]. Wakaf menjadi liabiliti kepada masyarakat, bukan merupakan aset kepada masyarakat.
8]. Masalah wakaf sangat kusut sehingga dimuktamadkan tiada jalan penyelesaiannya.
9]. Segala macam masalah yang rumit dan kusut dikaitkan dengan wakaf.
10]. Dengan segala macam masalah yang ada maka wujud persepsi bahawa wakaf tidak perlu wujud. jadi tidak perlulah melakukan wakaf..
Dengan segala macam persepsi yang ditimbulkan, lantas apakah yang perlu dilakukan?
Ianya harus bermula dengan adanya peralihan minda (paradigm shift) di kalangan pengurusan tertinggi wakaf. Mereka perlu disedarkan tentang perlunya pengurusan wakaf diubah kepada keadaan yang lebih baik. Akhirnya mereka mestilah diyakini dan disedarkan bahawa masalah wakaf ini boleh diubati. Apakah ubat kepada penyakit wakaf ini? Terdapat banyak ubat di pasaran. Para doktor akan mengatakan ubatnya mujarab. Begitu juga para bomoh, juga mengatakan jampi serapah mereka berkesan dan mujarab. Adalah diyakini bahawa ubat untuk merawat penyakit wakaf ialah kaedah pengurusan. Bagaimana wakaf itu diuruskan? Siapakah orang itu? Bentuk pengurusan apakah yang dipakai? Dan pengurusan yang dimaksudkan ialah pengurusan yang hanya menjual satu produk sahaja, bukan banyak produk. Pengurusan yang baik ialah pengurusan yang kekal fokus terhadap perkhidmatan yang diberikannya. Pengurusan ini tidak dapat dipisahkan daripada istilah muttawali, satu nama yang hanya dikaitkan dengan pengurusan wakaf sahaja. Struktur Majlis Agama Islam sekarang tidak nampak dengan jelas siapakan muttawali wakaf tersebut yang sebenar kerana tidak fokus dan khusus. Yang pastinya tidak dapat dipastikan siapakah manager sebenar. Secara lebih terus terang, bentuk pengurusan secara korporatlah merupakan bentuk pengurusan wakaf yang releven sekarang. Dengan cara ini barulah persepsi masyarakat umum tentang wakaf akan berubah. Jika tidak wakaf akan kekal pada tahap lama, dengan persepsi sama. Maka siapakah yang hendak bertanggungjawab nanti ?
[ Mat Wakaf : hanya fikirkan persepsi yang baik-baik sahaja ]

Sunday, October 12, 2008

Majlis Agama Islam Negeri Perlu Mantapkan Bahagian Wakaf Tunai

Apabila ditanya apakah kekuatan (strength) Bahagian Skim Dana Wakaf Pulau Pinang (SDWPP) di bawah MAINPP, maka jawapan yang diterima cukup menyedihkan. 1 orang sahaja. Itulah kekuatan yang ada. Bahagian SDWPP dijalankan oleh seorang kakitangan sahaja, iaitu Pengurus Dana Wakaf. Itulah yang berlaku dalam tahun 2007 dan ke belakang. Ketika ini DWPP sudah mendapat seorang kakitangan tambahan. Kakitangan skim N17. Macam pegawai keranilah. Pada masa ini kakitangan inilah yang menjalankan aktiviti, membuat kaunter dan taklimat, menguruskan resit dan lain-lain aktiviti yang berkaitan. Ini tidak termasuk lagi kerja-kerja penyediaan laporan dan analisis. Boleh dapat dibayangkan apabila bekerja secara berseorangan dan tidak dipantau. Kerja pemasaran Dana Wakaf pulak bukanlah senang. Akhirnya banyak masa dihabiskan di pejabat sahaja tanpa apa-apa aktiviti berfaedah. Ini tentu memberi kesan kepada kutipan sumbangan Dana Wakaf. Difahamkan dalam tahun 2005, jumlah kutipan mencapai RM600k setahun, merosot kepada hanya RM17k setahun (2006). Dalam tahun 2007 jumlah itu menjunam turun kepada hanya RM7k sahaja setahun. Angka ini merupakan prestasi terburuk kutipan Dana Wakaf. Kenapa terjadi demikian? Apakah perkara ini tiada penyelesaiannya ?.
Dua tahun lepas (2006), terdapat cadangan supaya kakitangan Dana Wakaf ditambah. Caranya mudah. Lakukan pengambilan kakitangan secara kontrak tanpa melibatkan permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sebagai badan berkanun MAINPP boleh melakukannya kerana JPApun sudah membenarkannya jika MAINPP mempunyai kewangan yang cukup. Mengenai isu kewangan, telah ada cadangan penyelesaian yang boleh dilakukan. Pembayaran gaji boleh dilakukan dengan mengambil sebahagian (paling tinggi 30%) daripada hasil kutipan Dana Wakaf, asalkan perkara tersebut dimaklumkan kepada penyumbang. Isu syarak ini telahpun dibincangkan dengan Mufti Pulau Pinang. Beliau mengatakan boleh mengambil sebahagian kutipan untuk kos pengurusan termasuklah membayar gaji kakitangan Dana Wakaf. Namun begitu katanya sebahagian wang sumbangan ini tidak boleh diambil daripada Dana Wakaf yang sedang berjalan sekarang kerana portion tersebut belum dinyatakan boleh diambil kepada penyumbang sekarang. Apa yang boleh dilakukan ialah memaklumkan kepada penyumbang pada masa hadapan tentang cadangan untuk mengambil sebahagian kutipan DW untuk tujuan kos pengurusan. Malah difahamkan bahawa kertas kerja untuk kelulusan Jawatankuasa Fatwa sudah disediakan untuk kelulusan sebagaimana diarahkan oleh Mufti Pulau Pinang. Adalah dicadangkan jumlah kakitangan yang boleh diambil adalah seramai 6 orang mengikut daerah pejabat agama. Kakitangan pemasaran ini akan menjalankan tugasnya mengikut daerah masing-masing. Walau bagaimanapun idea-idea tersebut tinggal idea sahaja. Tiada siapa yang berautoriti di MAINPP yang mahu mengambil dan melaksanakannya. Ketua Bahagian Wakaf ketika itu pula ada idea lain yang katanya lebih baik. Katanya MAINPP tidak mempunyai masalah untuk mengambil kakitangan kontrak. Perbincangan akan dilakukan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Dari segi lain, pengurusan tertinggi MAINPP masih belum dapat menerima cadangan untuk perubahan. Cadangan untuk melaksanakannya melalui penubuhan anak syarikat juga tersekat. Kini selepas 2 tahun Bahagian Dana Wakaf hanya mempunyai 2 orang kakitangan sahaja. Cadangan alternatif yang dikemukakan juga tinggal cadangan sahaja. Difahamkan terdapat berita bahawa ada kertas cadangan menambahkan kakitangan dikemukakan tetapi tidak mendapat kelulusan. Tidak diketahui pula apakah sebabnya. Ahli majlis mungkin tidak nampak perkara ini sehingga mereka mungkin merasakan isu ini tidak penting. Akibatnya Skim Dana Wakaflah yang rugi. Produk berpotensi tetapi terperuk di pejabat, tidak dipasarkan. Dan rugilah orang-orang yang seharusnya mendapat pahala wakaf.
[Mat Wakaf : ingin jadi kaki wakaf dalam bidang wakaf kaki ]

PEMBANGUNAN HARTA WAKAF DI PULAU PINANG

Abstrak

Kedatangan pedagang-pedagang Islam yang terdiri pelbagai puak dan bangsa berbeza daripada merata pelusuk dunia ke Pulau Pinang telah mewujudkan satu bentuk budaya Islam yang sangat hebat dan sukar ditandingi sehingga sekarang. Akibat keluruhan hati dan kekuatan aqidah golongan ini, telah wujud banyak enklaf-enklaf wakaf yang bertaburan di sekitar bandaraya Georgetown. Enklaf-enklaf ini berpusat di satu-satu petempatan di mana akhirnya institusi masjid menjadi pusat kegiatan utama. Hasilnya lahirlah sekumpulan manusia yang berperanan menguruskan masjid-masjid dan tanah-tanah yang diwakafkan ini. Masjid Pakistan, Masjid Benggali, Masjid Kapitan Keling, Masjid Melayu, Masjid Acheh dan Masjid Aga Khan (fahaman Syiah) merupakan nama-nama masjid yang terkenal di Pulau Pinang yang dapat dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan ini. Kertas kerja ini bertujuan untuk melihat bagaimana Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memainkan peranannya untuk membangunkan kawasan-kawasan ini. Kertas ini juga bertujuan untuk menganalisis strategi dan bentuk pembangunan keseluruhan tanah-tanah wakaf yang berpotensi di Pulau Pinang yang telah dilaksanakan. Hasil analisis mendapati bahawa pembangunan tanah wakaf adalah sangat mencabar dan amat memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak sebelum kejayaannya dapat dicapai.
[Sedutan sebahagian kertas kerja yang akan dibentangkan di Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf anjuran bersama Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman pada 18 & 19 Oktober 2008.]
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]

Thursday, October 9, 2008

Potensi Wakaf Tunai di Malaysia

[Saya tergerak untuk menulis artikel ini selepas pembentangan cadangan penyelidikan PhD Pak Suhrawardi atas tajuk Wakaf Tunai di Gerakan Muhamadiyah Indonesia pada 11 Jun 2008 yang lalu. Namun kerana ketidakdatangan idea maka hasrat itu dipendamkan begitu sahaja. Mungkin hari ini saya ada idea untuk menulisnya. Berkat hari Jumaat, selepas jamuan raya Jabatan Kutipan dan Pemasaran PUZ. Juga ketika kawan-kawan di ISDEV sedang bertungkus lumus memerah otak bermesyuarat untuk memastikan program Siri Syarahan ISDEV 7 : Politik Melayu-Islam : Kemelut dan Penyelesaian berjalan dengan jayanya] .
Seperti mana analisis dalam artikel saya, Kelestarian Fiqh dalam Pengurusan Wakaf di Pulau Pinang, bentuk maukuf wakaf hanya terhad kepada 3 bentuk sahaja iaitu tanah, wang dan gabungan tanah-wang. AH KANTOI LAGI. TAKDAK IDEA PULAK.
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]
[MAT WAKAF : Nak amalkan wakaf 10 sen sehari. Setahun Rm36.50. Jadilah ada jugak]

Monday, October 6, 2008

KELESTARIAN FIQH DALAM PENGURUSAN WAQAF DI PULAU PINANG

Kepelbagaian ilmu fiqh mengenai waqaf amat terserlah jika diteliti pelbagai pandangan ulamak mengenai mawquf waqaf. Misalnya para ulama Mazhab Shafie dan Hambali meletakkan syarat bahawa mawquf waqaf hendaklah bersifat kekal. Sifat kekal ini amat penting untuk memastikan manfaat dan pahala yang bakal diperolehi berkekalan selama mana harta dan manfaat waqaf itu wujud. Sifat kekal ini juga penting untuk membezakan amalan waqaf dengan amalan sedekah yang lain [Abu Zahrah, 1971:68 dipetik daripada Baharuddin Sayin, et.al (2006:12)]. Harta yang disedekahkan akan habis selepas digunakan. Contohnya memberi sedekah makanan kepada orang miskin, maka makanan tersebut akan habis selepas digunakan. Sebaliknya amalan waqaf hendaklah bersifat kekal, selagi harta waqaf berkenaan masih wujud. Penerima waqaf pula hanya boleh menikmati manfaat harta tersebut tanpa menjejaskan ainnya (fizikal harta tersebut).
Ulama Maliki dan Hanafi pula berpendapat harta waqaf tidak semestinya terdiri daripada harta kekal. Apa yang ditekankan oleh mereka ialah manfaat yang diperolehi. Ini bermakna mana-mana juga harta yang mendatangkan manfaat boleh diwaqafkan walaupun harta tersebut bersifat tidak kekal. Contohnya wang, pakaian dan peralatan perang. Namun mereka mencadangkan agar harta waqaf yang tidak kekal ditukarkan kepada harta kekal agar manfaat yang bakal diperolehi oleh pewaqaf akan berpanjangan (Baharuddin Sayin, et.al, 2006:13).
Berdasarkan kepada keterangan di atas, adalah jelas bahawa para ulama tidak sependapat mengenai mawquf waqaf, samada ia perlu bersifat kekal atau sebaliknya. Adakah kerana adanya perselisihan pendapat di kalangan ulama menyebabkan ibadat wakaf menjadi terbatas dan sukar berkembang? Atau adakah perselisihan pendapat di kalangan ulama ini memberi ruang yang cukup baik untuk meluaskan lagi jenis-jenis mawquf waqaf ? Adakah waqaf boleh mengambil bentuk-bentuk mawquf yang baru ?
PERUBAHAN MAWQUF WAQAF MASA KINI DAN AKAN DATANG
Walaupun perubahan bentuk mawkuf waqaf berlaku dengan kadar yang agak lambat, tetapi adalah dijangkakan bahawa perubahan akan terus berlaku dari semasa ke semasa. Di Johor, misalnya perubahan bentuk mawquf waqaf telah berlaku. Terbaru, bentuk mawquf waqaf yang paling kontemporari setakat ini ialah waqaf korporat yang dipopularkan oleh Johor Corporation (JCorp). Pada 3 Ogos 2006 JCorp telah mencipta sejarah, apabila mengambil langkah pertama yang berani ke arah menjadikannya sebuah Institusi Amanah Korporat sepenuhnya melalui pendekatan Islam iaitu waqaf. Langkah pertama dibuat dengan mewaqafkan sejumlah RM200 juta (atas dasar nilai aset bersih) salam JCorp dalam anak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Ia terdiri daripada 12.35 juta saham (atau bersamaan 4.68% saham) Kulim Berhad, 18.60 juta saham (bersamaan 9.25% saham) KPJ Healthcare Berhad dan 4.32 juta saham (3.57%) dalam Johor Land Berhad. Waqaf Korporat yang diperkenalkan oleh JCorp ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan oleh sebuah institusi bisnes korporat di dunia (Johor Corporation, 2008)
Daripada pemerhatian didapati akan berlakunya waqaf bentuk baru. Satu bentuk yang sudah dilaksanakan ialah waqaf buku. Waqaf buku ialah aktiviti mewaqafkan buku milik sendiri kepada pihak-pihak berkepentingan seperti perpustakaan atau tempat bacaan awam. Misalnya, di Pulau Pinang telah berlaku satu aktiviti mewaqafkan buku seperti mana yang dilakukan oleh keluarga Allahyarham Tun Dato Sri Hamdan Sheikh Tahir. Buku-buku milik beliau telah diwaqafkan oleh keluarga beliau kepada Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM). Sebenarnya mawquf waqaf dalam bentuk buku mempunyai potensi besar untuk dipopularkan. Ini kerana waqaf dalam bentuk buku adalah mudah dan murah. Boleh dikatakan hampir setiap individu di Malaysia memiliki buku. Paling kurangpun buku-buku teks sekolah yang dibeli. Jika dikumpulkan buku-buku yang tidak dipakai daripada majoriti orang Islam di Malaysia, sejak kecil hingga dewasa sehingga sekarang, maka jumlah buku yang dijangka dapat dikumpulkan adalah sangat tinggi dan banyak jumlahnya.
Satu bentuk lain mawquf yang dijadikan waqaf ialah pokok kelapa. Walaupun belum ada waqaf jenis ini dilakukan, tetapi waqaf bentuk ini telah popular di beberapa kampong di Medan, Indonesia. Wakaf Pokok Kelapa ialah merupakan aktiviti mewaqafkan buah pokok kelapa milik penduduk kampong yang miskin untuk digunakan sebagai pendapatan bagi membantu penduduk kampong lain yang juga orang miskin di dalam kampong tersebut dalam tempoh masa tertentu. Walaupun waqaf bentuk ini masih belum ada di Pulau Pinang, mahupun Malaysia, tetapi konsep waqaf sebegini boleh menjadi sangat berjaya di Malaysia jika diperkenalkan kerana sifat pokok kelapa yang mudah ditanam dan buahnya yang mudah diperolehi serta memerlukan modal yang sangat rendah.
[Sedutan sebahagian kertas kerja yang akan dibentangkan di Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran USM dan JAKIM pada 29 & 30 Oktober 2008]
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]

Sunday, October 5, 2008

Kembali Sibuk Selepas Hari Raya

Sebagai pelajar PhD dan Penyelidik Bersekutu ISDEV, saya kembali sibuk selepas hari raya ini. Antara aktiviti selepas hari raya adalah seperti berikut :
1). Perbincangan dengan penyelia mengenai penyelidikan PhD pada 7 Oktober 2008, jam 10.00 pagi.
2). Pembentangan kertas kerja, bersama Encik Fakhruddin Abdul Rahman, Setiausaha MAINPP di Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf di Kuala Terengganu pada 18 dan 19 Oktober 2008 anjuran UKM dan MAIDAM. Tajuk kertas kerja yang akan dibentangkan ialah "Pembangunan Harta Wakaf di Pulau Pinang".
3). Pembentangan kertas kerja di Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran PP Ilmu Kemanusiaan, USM dan JAKIM pada 29 & 30 Oktober 2008 bertempat di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM. Tajuk kertas kerja yang akan dibentangkan ialah "Kelestarian Fiqh Dalam Pengurusan Wakaf di Pulau Pinang".
4). Menulis kertas kerja bertajuk "Status Majlis Agama Islam Negeri Sebagai Pemegang Amanah Tunggal Waqaf : Satu Penilaian Semula". Kertas kerja ini akan dibentangkan di National Management Conference 2008 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 13 & 14 Disember 2008. Seminar ini anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Darul Iman Terengganu. Tarikh tutup kertas kerja ialah pada 15 November 2008.
5). Mula menulis Bab 4 (Kajian kes) mengenai profil kajian kes iaitu kedudukan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam sistem penyampaian manfaat wakaf.
[Maklumat Dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah].

Selamat Kembali Berblog, Selepas Hari Raya Aidil Fitri

Selepas menyambut Hari Raya Aidil Fitri, MAT WAKAF kembali berblog semula. Selepas bercuti panjang ada banyak cerita-cerita yang menarik untuk disajikan kepada peminat-peminat blog ini. Kepada peminat yang telah mula bertugas, selamat kembali bertugas. Kepada peminat yang masih bercuti, raya kan sebulan. Tapi ingat, jangan lupakan kursus sebulan di Universiti Ramadan untuk diamalkan dalam 11 bulan yang lain.
[MAT WAKAF: Semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku yang banyak]