Thursday, September 25, 2008

4 Pra-Syarat Kejayaan Yayasan Waqaf Malaysia

Setelah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berjaya ditubuhkan apakah langkah seterusnya ? Langkah seterusnya ialah bergerak untuk mencapai objektif penubuhan seperti mana yang telah ditetapkan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya. 2 objektif utama penubuhan YWM ialah untuk menyemarakkan kembali ibadat berwakaf dan membangunkan secara bersama harta-harta wakaf yang banyak dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri. Jadi apakah rahsia untuk memastikan kejayaan YWM dalam membangun dan mengangkat martabat wakaf. Pada pandangan saya sekurang-kurangnya ada 4 pra-syarat yang perlu ada pada YWM sebelum kejayaan dapat dicapai, iaitu kakitangan yang berilmu, pasukan pemasaran yang terbaik, pengurusan tertinggi yang bersemangat dan berwawasan dan sistem sokongan yang mantap. Elok kita teliti tiap-tiap satu faktor tersebut. Oleh kerana YWM membawa bersama nama "wakaf" dalam namanya, maka ilmu yang patut diketahui oleh semua kakitangannya ialah ilmu wakaf sendiri. Nah untuk memantapkan kakitangan dengan memiliki ilmu adalah tidak sukar. Perkara itu boleh dicapai dengan mengadakan kelas intensif dan kelas mingguan. Pakar-pakar atau guru-guru yang mempunyai pengetahuan dalam bidang wakaf agak ramai dan boleh diundang bergantung kepada kedalaman ilmu pengetahuan tersebut. Kedudukan pejabat YWM yang berpangkalan di Putrajaya juga menyenangkan tugasan ini kerana terdapat ramai pakar wakaf berada di sana yang boleh dijemput. Di kalangan pensyarah, antara yang boleh diundang seperti Prof. Madya Dr. Siti Mashitooh Mahamod daripada Universiti Malaya dan Dr. Ahmad Yaacob daripada UITM (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka ini bolehlah dikatakan pakar dalam bidang wakaf dan dapat membantu menghasilkan produk-produk baru wakaf. Selain ilmu wakaf, bidang-bidang ilmu Islam yang lain juga perlu diajarkan untuk melahirkan kakitangan yang baik, cekap dan beradab, sesuai dengan imej wakaf yang dipromosi oleh YWM. Jika tidak YWM akan hanya mempunyai kakitangan yang hanya berjaya mencapai sasaran objektif, tetapi tidak islamik.
Faktor kedua yang perlu ada untuk menjamin kejayaan YWM ialah pasukan pemasaran (marketing team) yang terbaik. Sudah tentu kejayaan YWM amat bergantung kepada pasukan pemasaran yang terbaik. Ini diperlukan terutamanya untuk mempromosikan produk Wakaf Tunai dan lain-lain produk wakaf yang baru. 2 ciri utama yang perlu ada di kalangan kakitangan bahagian ini ialah pengalaman pemasaran dan pengalaman memasarkan apa-apa produk bercirikan Islam. Agak sukar dibayangkan jika bahagian ini mempunyai kakitangan yang tiada pengalaman pemasaran. Bagaimana agaknya dia hendak bekerja, dalam keadaan "target oriented" jika tidak biasa dengan keadaan itu. Mengikut pengalaman bekerja di bahagian pemasaran sangat tension dan pressure. Setiap hari, minggu dan bulan mengejar sasaran sahaja. Apabila sasaran ini dicapai barulah kita boleh bercakap tentang sasaran tahunan. Usah mimpi tentang sasaran tahunan jika sasaran harian, mingguan dan bulanan tidak dicapai. Bak kata, aktiviti yang dijalankan mesti mencapai sasaran. Sasaran. Sasaran dan sasaran (Dalam Inggeris, target, target, target). Tiap-tiap hari target, boleh jadi gila kalau kakitangan itu tidak biasa dan bersedia. Jadi bagaimana hendak mencari pasukan pemasaran sebegini ? Kakitangan sebegini ada dalam pasaran. Contohnya, di institusi yang mempromosikan produk-produk bercirikan Islam seperti takaful, zakat dan perbankan Islam. Dengan sedikit pujukan dan suntikan motivasi semangat Islam, kakitangan sebegini boleh ditarik menyertai YWM. Namun perlu diingat perkara ini. Good players do come with cost. Tapi jangan bimbang tidak semuanya mahal-mahal. Ada yang berminat untuk berkhidmat kerana Allah SWT. Yalah kan wakaf bekal untuk dibawa ke akhirat. Bagi yang meminta gaji yang mahal-mahal tentulah mereka mempunyai alasan sendiri setelah memikirkan faktor kerana Allah. Mereka mungkin memerlukan sedikit kepuasan diri sendiri sebelum menggalas tugas pemasaran yang sangat mencabar. Tambahan pula wakaf sekarang menjadi momokan dalam masyarakat orang Islam. Bagaimana marketing team ini hendak mengubah mindset masyarakat tentang wakaf, dan pada masa yang sama mempengaruhi mereka untuk membuat Wakaf Tunai ? Apakah caranya? Tentulah ini satu tugasan yang sangat sukar.
Pengurusan tertinggi merupakan faktor ketiga yang sangat penting dalam kejayaan YWM. Dalam konteks artikel ini pengurusan tertinggi yang dimaksudkan ialah Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM dan CEO. Bersambung nanti ..... selepas hari raya kot.
[MAT WAKAF : Fuh... seronoknya menulis artikel ini. Jangan marah no. Minta ampun Tuan... ]

No comments: