Satu ketika dahulu ketika sampai bulan Ramadan, saya selalu tersenyum lebar. Apa tidaknya. Ketika menjawat jawatan Ketua Bahagian Operasi Kutipan Zakat (tahun 1995 hingga 2003), kedatangan bulan Ramadan setiap tahun cukup dinantikan. Sebabnya mudah sahaja. Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam giat membuat ibadat. Tidak perlu kempen banyak-banyak berbanding bulan lain. Beribadat dalam bulan Ramadan pahalanya lebih. Menurut hadis, pahala ibadat wajib (hanya 2 ibadat wajib sahaja dalam bulan puasa iaitu solat wajib dan bayar zakat. Haji tidak dibuat dalam bulan puasa) yang dibuat dalam bulan ini pahalanya 70 kali ganda. Wow hebatnya. Ibadat sunat pula ganjaran yang diberikan pahalanya seperti pahala ibadat wajib. Ibadat sunat yang boleh dilakukan dalam bulan puasa ini amat banyak. Semua solat sunat boleh dilakukan dalam bulan ini. Antara lain ibadat yang boleh dilakukan dalam Ramadan ialah Wakaf Tunai (di Pulau Pinang ia dikenali sebagai Dana Wakaf), sedekah, sumbangan atau derma serta mengadakan jamuan berbuka puasa. Jadi semasa bulan puasa ini jugalah aktiviti kempen atau dakwah zakat berada pada tahap kemuncaknya. Sampai tak cukup kakitanganlah katakan. Kadang-kadang kerana tak cukup kakitangan banyak kaunter luar terpaksa ditolak. Dalam bulan Ramadan kutipan zakat meningkat 3 kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Pada masa yang sama jugalah kutipan untuk Wakaf Tunai juga meningkat berkali ganda. Ketika itu Pusat Urus Zakat dibenarkan memungut Dana Wakaf . Mengutip Dana Wakaf dalam bulan puasa tak perlu banyak kerja. Tak perlu kempen-kempen. Kebanyakan bayaran Dana Wakaf datang dalam keadaan yang sangat mudah. Pantang sebut sahaja, pantang hulur pamphlet sahaja, orang terus akan memberi sumbangan di samping membayar zakat. Memang seronok masa tu. Nampak sangat perbezaan umat Islam di bulan puasa. Tahap iman meningkat. Sedikit makluman dan hebahan sahaja, mereka terus melakukannya. Tidak seperti bulan-bulan lain. Berbuih mulut menceritakan, akhirnya hanya seorang dua saja yang membuat sumbangan Dana Wakaf. Dan sebagai Ketua Bahagian Operasi Kutipan, saya selalu menekankan supaya sasaran kutipan mestilah hit atau melebihi sasaran pada setiap kali bulan Ramadan. Sebelum masuk bulan Ramadan, saya sudah mengarahkan anak buah supaya mencari tempat atau pejabat bagi mengadakan ceramah, taklimat atau kaunter kutipan. Alhamdulillah anak buah semuanya mendengar kata. Bila masuk sahaja bulan Ramadan, semua jadual aktiviti harian mereka sudah penuh, padat. Tiap-tiap hari ada program kutipan sehinggalah sehari sebelum cuti hari raya. Aktiviti operasi kami selalunya tamat sehari sebelum cuti hari raya. Pada hari tersebut kami tidak mengadakan program lagi. Hanya duduk di pejabat sahaja melayani umat Islam yang ingin membayar zakat fitrah pula. Begitulah yang berlaku setiap kali bulan Ramadan. Kutipan zakat dan Dana Wakaf selalunya melebihi sasaran yang ditetapkan. Pada hari terakhir itu kami berkumpul dan saling seronok menceritakan hasil yang banyak dipungut masing-masing melalui aktiviti dan program luar yang dilaksanakan. Dan akhirnya sebelum bersurai dan balik kampong, kami akan bermaaf-maafan sempena hari raya Adil fitri. Sesungguhnya bulan Ramadan sangat seronok. Namun begitu sejak PUZ tidak lagi memungut Dana Wakaf, jumlah kutipan amat berkurangan. Berbeza dengan kakitangan operasi PUZ, kakitangan yang menguruskan Dana Wakaf sekarang, saya lihat tidak begitu tersenyum lebar di bulan puasa ini. Seolah-olah tidak seronok dengan kedatangan bulan Ramadan. Aktiviti untuk mempromosikan Dana Wakaf pun agak hambar. Ada ketika saya lihat dalam masa seminggu bulan Ramadan, mereka masih berada di pejabat dan tidak mengadakan program atau kaunter di luar. Tiada perancangan atau aktiviti dibuat bagi mempopularkan Dana Wakaf sepanjang bulan Ramadan ini. Tiada sasaran kutipan ditetapkan. Akhirnya Ramadan yang menjadi bulan kemuncak wakaf berlalu begitu sahaja. Setahun lepas setahun berlalu tanpa sebarang perubahan. Sejak tarikh Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2006 yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti berwakaf, sehingga sekarang selepas 2 tahun, aktiviti wakaf lesu dan tidak bermaya. Tiada apa-apa yang dilakukan untuk merancakkan aktiviti berwakaf dalam tempoh tersebut. Hinggakan mengikut maklumat dalaman, jumlah kutipan Dana Wakaf telah merosot dengan teruk sekali. Dalam tahun 2005, jumlah kutipan Dana Wakaf setahun berjumlah RM500,000, telah jatuh merosot kepada hanya RM70,000 sahaja dalam tahun 2006. Dalam tahun 2007, jumlah itu menurun teruk kepada hanya RM17,000 setahun sahaja. Tahun ini, 2008 tidak tahu berapakah jumlah Dana Wakaf yang berjaya dipungut. Sungguh menyedihkan. Peluang yang hadir setiap kali Ramadan tidak digunakan dengan sebaiknya. Apalah yang boleh dibuat. Kita hanya sekadar boleh melihat dan merintih atas apa yang berlaku. Bagi insan-insan yang begitu menghayati idealisme wakaf, mereka menangis dan menitis air mata pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan ini kerana mengenangkan "layanan" yang diberikan kepada ibadat wakaf yang diciptakan oleh Allah SWT. Esok, nanti jawaplah sendiri kepada Allah SWT bagi soalan "mengapa anda tidak memperdulikan wakaf di sepanjang bulan Ramadan ini". Jawaplah juga di hadapan Allah SWT bagi soalan "Mengapa anda tidak memperdulikan wakaf sampai saat ini". Dan jawaplah kepada Allah SWT: Kenapa anda membiarkan wakaf AKU mati? [Sungguh nostalgia dan sedih menulis artikel ini sehingga menitiskan air mata di hadapan komputer ini. Semoga wakaf mendapat tempat yang mulia di mata dan hati para muttawali. Amin.]
No comments:
Post a Comment