Thursday, September 25, 2008

4 Pra-Syarat Kejayaan Yayasan Waqaf Malaysia

Setelah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berjaya ditubuhkan apakah langkah seterusnya ? Langkah seterusnya ialah bergerak untuk mencapai objektif penubuhan seperti mana yang telah ditetapkan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya. 2 objektif utama penubuhan YWM ialah untuk menyemarakkan kembali ibadat berwakaf dan membangunkan secara bersama harta-harta wakaf yang banyak dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri. Jadi apakah rahsia untuk memastikan kejayaan YWM dalam membangun dan mengangkat martabat wakaf. Pada pandangan saya sekurang-kurangnya ada 4 pra-syarat yang perlu ada pada YWM sebelum kejayaan dapat dicapai, iaitu kakitangan yang berilmu, pasukan pemasaran yang terbaik, pengurusan tertinggi yang bersemangat dan berwawasan dan sistem sokongan yang mantap. Elok kita teliti tiap-tiap satu faktor tersebut. Oleh kerana YWM membawa bersama nama "wakaf" dalam namanya, maka ilmu yang patut diketahui oleh semua kakitangannya ialah ilmu wakaf sendiri. Nah untuk memantapkan kakitangan dengan memiliki ilmu adalah tidak sukar. Perkara itu boleh dicapai dengan mengadakan kelas intensif dan kelas mingguan. Pakar-pakar atau guru-guru yang mempunyai pengetahuan dalam bidang wakaf agak ramai dan boleh diundang bergantung kepada kedalaman ilmu pengetahuan tersebut. Kedudukan pejabat YWM yang berpangkalan di Putrajaya juga menyenangkan tugasan ini kerana terdapat ramai pakar wakaf berada di sana yang boleh dijemput. Di kalangan pensyarah, antara yang boleh diundang seperti Prof. Madya Dr. Siti Mashitooh Mahamod daripada Universiti Malaya dan Dr. Ahmad Yaacob daripada UITM (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka ini bolehlah dikatakan pakar dalam bidang wakaf dan dapat membantu menghasilkan produk-produk baru wakaf. Selain ilmu wakaf, bidang-bidang ilmu Islam yang lain juga perlu diajarkan untuk melahirkan kakitangan yang baik, cekap dan beradab, sesuai dengan imej wakaf yang dipromosi oleh YWM. Jika tidak YWM akan hanya mempunyai kakitangan yang hanya berjaya mencapai sasaran objektif, tetapi tidak islamik.
Faktor kedua yang perlu ada untuk menjamin kejayaan YWM ialah pasukan pemasaran (marketing team) yang terbaik. Sudah tentu kejayaan YWM amat bergantung kepada pasukan pemasaran yang terbaik. Ini diperlukan terutamanya untuk mempromosikan produk Wakaf Tunai dan lain-lain produk wakaf yang baru. 2 ciri utama yang perlu ada di kalangan kakitangan bahagian ini ialah pengalaman pemasaran dan pengalaman memasarkan apa-apa produk bercirikan Islam. Agak sukar dibayangkan jika bahagian ini mempunyai kakitangan yang tiada pengalaman pemasaran. Bagaimana agaknya dia hendak bekerja, dalam keadaan "target oriented" jika tidak biasa dengan keadaan itu. Mengikut pengalaman bekerja di bahagian pemasaran sangat tension dan pressure. Setiap hari, minggu dan bulan mengejar sasaran sahaja. Apabila sasaran ini dicapai barulah kita boleh bercakap tentang sasaran tahunan. Usah mimpi tentang sasaran tahunan jika sasaran harian, mingguan dan bulanan tidak dicapai. Bak kata, aktiviti yang dijalankan mesti mencapai sasaran. Sasaran. Sasaran dan sasaran (Dalam Inggeris, target, target, target). Tiap-tiap hari target, boleh jadi gila kalau kakitangan itu tidak biasa dan bersedia. Jadi bagaimana hendak mencari pasukan pemasaran sebegini ? Kakitangan sebegini ada dalam pasaran. Contohnya, di institusi yang mempromosikan produk-produk bercirikan Islam seperti takaful, zakat dan perbankan Islam. Dengan sedikit pujukan dan suntikan motivasi semangat Islam, kakitangan sebegini boleh ditarik menyertai YWM. Namun perlu diingat perkara ini. Good players do come with cost. Tapi jangan bimbang tidak semuanya mahal-mahal. Ada yang berminat untuk berkhidmat kerana Allah SWT. Yalah kan wakaf bekal untuk dibawa ke akhirat. Bagi yang meminta gaji yang mahal-mahal tentulah mereka mempunyai alasan sendiri setelah memikirkan faktor kerana Allah. Mereka mungkin memerlukan sedikit kepuasan diri sendiri sebelum menggalas tugas pemasaran yang sangat mencabar. Tambahan pula wakaf sekarang menjadi momokan dalam masyarakat orang Islam. Bagaimana marketing team ini hendak mengubah mindset masyarakat tentang wakaf, dan pada masa yang sama mempengaruhi mereka untuk membuat Wakaf Tunai ? Apakah caranya? Tentulah ini satu tugasan yang sangat sukar.
Pengurusan tertinggi merupakan faktor ketiga yang sangat penting dalam kejayaan YWM. Dalam konteks artikel ini pengurusan tertinggi yang dimaksudkan ialah Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM dan CEO. Bersambung nanti ..... selepas hari raya kot.
[MAT WAKAF : Fuh... seronoknya menulis artikel ini. Jangan marah no. Minta ampun Tuan... ]

Artikel Penyelidik Bersekutu Terbit Di Media Popular (Dewan Ekonomi) Keluaran Oktober 2008

Artikel tulisan Mohamad Salleh Abdullah, Penyelidik Bersekutu ISDEV yang merupakan salah seorang penyumbang aktif dalam ruangan blog ini akan diterbitkan dalam majalah Dewan Ekonomi keluaran bulan Oktober 2008 akan datang. Demikian blog dimaklumkan oleh penulis berkenaan ketika dihubungi pada pagi tadi. Artikel yang diterbitkan itu bertajuk "Pengurusan Wakaf Perlukan Muttawali Baru?. Untuk rekod ini merupakan artikel pertama (sulung) penulis berkenaan yang diterbitkan di majalah atau akhbar. Antara kupasan artikel berkenaan adalah mengenai perlunya muttawali atau pengurus baru untuk menguruskan harta supaya imej wakaf dapat ditingkatkan. Ini secara tidak langsung menunjukkan muttawali wakaf sekarang gagal melaksanakan pengurusan wakaf dengan berkesan. Setakat berita ini ditulis, blog belum dapat menyiarkan artikel tersebut kerana belum mendapat kebenaran daripada penulis berkenaan. Artikel tersebut akan disiarkan dalam blog ini selepas kelulusan diperolehi.
[MAT WAKAF : teringin nak tulis novel cinta dan wakafkan sebahagian hasil jualannya]

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI- MAAF ZAHIR BATIN- BLOG BERCUTI SEMINGGU

Sempena Hari Raya Aidil Fitri tahun ini, MAT WAKAF ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri serta memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca dan kakitangan blog ini jika terdapat salah dan silap sepanjang berkhidmat di blog ini. Oleh kerana baru bekerja, maka MAT WAKAF tidak mendapat cuti tahunan daripada majikan untuk raya tahun ini. Walaupun blog ditutup selama seminggu, tetapi MAT WAKAF akan berada di pejabat untuk menyiapkan berita-berita yang akan disiarkan selepas hari raya nanti.
[MAT WAKAF : Sedih tak dapat cuti raya. Lagi sedih mengenangkan insan yang beraya tanpa keluarga, orang tersayang dan di perantauan]

Sunday, September 21, 2008

Mat Wakaf Staf Baru Blog Ini

Blog ini mengucapkan selamat datang kepada staf baru, MAT WAKAF yang ditugaskan di bahagian ruangan pojok blog ini. Untuk pengetahuan, MAT WAKAF merupakan kakitangan yang sangat berpengalaman di bidang kewartawanan dan pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar. MAT WAKAF berpengalaman menjalankan kerja-kerja menyelidik serta berani mencungkil isu-isu panas dan sensasi yang muncul di dalam masyarakat. Untuk makluman pembaca, MAT WAKAF merupakan sahabat baik dan klon KARAM SINGH WALIA.

Transformasi Pengurusan Waqaf

Sudah sampai masanya pengurusan waqaf perlu melalui proses transformasi supaya menjadikannya lebih cekap dan berkesan. Itulah pandangan awal jika ditanya apakah yang perlu dilakukan untuk menjadikan pengurusan waqaf releven dengan tuntutan ummah semasa. Melihat kepada keadaan sekarang, waqaf mempunyai banyak masalah terkumpul (backlog problems). Masalah waqaf bermula daripada tiada inventori harta waqaf, pentadbiran waqaf di bawah muttawali bukan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tanah ditadbir oleh orang bukan Islam, tanah waqaf dijual, terbiar dan semak kepada harta waqaf secara lisan, waqaf tidak didaftarkan dan tiada dokumen waqaf sehingga kepada isu-isu untuk membangunkan harta waqaf. Itu belum lagi isu harta-harta waqaf tidak dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain seperti cukai tanah tertunggak, tanah waqaf dirampas oleh kerajaan, cukai pintu tinggi, pendapatan waqaf tidak dapat menampung perbelanjaannya, waqaf tidak "self generating", pengambilan tanah waqaf yang tidak diganti balik (istibdal) dan manfaat waqaf tidak sampai kepada penerimanya. Boleh dikatakan isu waqaf sangat banyak, sangat kronik dan memerlukan perhatian sepenuh masa dan fokus. Dari segi undang-undang, tugas untuk menguruskan waqaf berada di tangan MAIN yang dilantik sebagai pemegang amanah tunggal. Jika itu kenapa isu waqaf masih berbangkit. Rata-rata sebabnya kerana MAIN sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mengekang perkembangan dan pembangunan waqaf itu sendiri. Umum tahu bahawa MAIN tidak mempunyai kakitangan waqaf yang mencukupi sedangkan masalah waqaf banyak. Dengan demikian tumpuan dan fokus untuk menyelesaikan masalah waqaf tidak diberatkan tambahan pula wujudnya tuntutan kerja semasa. Jika begitu apa hendak jadi kepada waqaf. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh sahaja. Sesuatu mesti dilakukan. Kaedah yang boleh dilaksanakan adalah melalui transformasi pengurusan waqaf. Transformasi bermakna anjakan pengurusan wakaf kepada suatu kaedah pengurusan baru yang dapat membantu meningkatkan imejnya. Bermaksud bahawa kaedah baru perlu dicari untuk memperbaiki keadaan. Antara kaedah yang boleh dicadangkan ialah menambahkan kakitangan di bahagian waqaf, outsourcing dan strategi pengkorporatan. Caranya nampak mudah untuk dicadangkan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Penambahan kakitangan boleh dilakukan jika MAIN mempunyai sumber kewangan. Apakah semua MAIN mempunyai kewangan sebegitu? Pasti tidak. Jika tidak sudah lama MAIN mengambil kakitangan tambahan baru. penambahan kakitangan melibatkan banyak prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)dan proses birokrasi. Jadi ia lambat untuk menjadi kenyataan. Jika lambat apakah waqaf boleh menunggu lebih lama lagi untuk mendapat pembelaan. Sesetengah aktiviti waqaf boleh dioutsourcingkan. Bermakna sesetengah aktiviti waqaf boleh diswastakan atau ditenderkan kepada pihak lain yang mempunyai kepakaran. Antara aktiviti yang boleh ditenderkan seperti pembersihan kubur atau masjid, pembaikan kecil dan penyelenggaraan. Kutipan sewa waqaf boleh juga diswastakan tetapi ia boleh membawa kesan lain terutama dari segi kemampuan dan perundangan. Walau bagaimanapun sesetengah MAIN tidak berminat menswastakan kutipan sewa kerana ini akan mendedahkan banyak rahsia MAIN. Penswastaan juga boleh berjaya jika MAIN mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi. Jika tidak penswastaan tidak boleh dilaksanakan. Bagaimana pula dengan pengkorporatan waqaf ? Ini adalah isu baru dan sangat menarik jika dapat menjadi kenyataan. Kepada kebanyakan MAIN, cadangan ini merupakan satu isu yang sangat baru dan masih belum dapat diterima oleh pengurusan tertinggi MAIN. Walaupun buktinya ada dengan kejayaan pengkorporatan zakat, tetapi sebahagian negeri sahaja mengkorporatkan zakat, manakala sesetengah negeri lain masih sukar menerimanya. Sebab kepada alasan ini sukar difahami. Bagi sesetengah MAIN pengkorporatan waqaf dirasakan belum diperlukan. Ini kerana mengkorporatkan waqaf bermakna menyerahkan pengurusan waqaf kepada pihak lain. Walau pun demikian masalah ini ada jalan keluarnya dengan penubuhan anak syarikat di bawah MAIN di mana MAIN memegang 100% saham syarikat. Kaedah lain ialah MAIN boleh menubuhkan yayasan waqaf negeri. Faedah menubuhkan yayasan sangat banyak. Antaranya organisasi ini akan berorientasikan kebajikan. Ini melayakkan organisasi ini mendapat pengecualian daripada pembayaran cukai dan zakat perniagaan seperti mana yang dikenakan terhadap syarikat korporat pengurusan zakat sekarang. Nah jalannnya telah ada. Pilihlah yang mana satu pilihan yang berkenan di hati. Samada menambahkan kakitangan, atau menswastakan sebahagian aktiviti waqaf atau pengkorporatan waqaf (jika berani). Yang paling penting ialah waqaf perlulah melalui proses transformasi agar sumbangan waqaf kepada ummah akan menjadi lebih signifikan. Untuk berubah, waqaf perlukan "transformer".
[MAT WAKAF: Hendak tonton filem "Transformer"].

Thursday, September 18, 2008

Abstrak Kertas Kerja Yang Ditolak

PENGURUSAN WAKAF, HARTA PUSAKA DAN WASIAT DI MALAYSIA :
QUO VADIS ? [1]

Abstrak

Sejak kebelakangan ini isu pengurusan harta umat Islam di Malaysia hangat diperkatakan. Banyak pihak memberikan pelbagai pandangan dan cadangan. Ada yang mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang dikatakan tidak membuat sebarang perubahan yang signifikan. Apakah benar tuduhan tersebut? Daripada analisis awal wujud kelemahan yang ketara dalam pengurusan wakaf, harta pusaka dan wasiat di negeri-negeri di Malaysia yang menunjukkan yang ianya tidak cekap dan efisyen. Walaupun demikian, setakat ini tidak ternampak adanya usaha serius yang dilakukan oleh MAIN untuk memperbaiki kelemahan ini. Jika begitu quo vadis wakaf, pusaka dan wasiat? Apakah masa depan aset-aset ini? Bagaimanakah kedudukan sosio-ekonomi umat Islam dan ummah yang perlu dibela? Kertas kerja ini bercadang untuk melihat fenomena tersebut serta mencadangkan pembaharuan dan reformasi yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan pengurusan harta umat Islam ini. Salah satu cadangan yang boleh dilaksanakan untuk membaiki pengurusan wakaf ialah melalui kaedah muttawali korporat. Bagi pengurusan harta pusaka pula, satu pelan tindakan drastik perlu digubal, manakala pengurusan wasiat memerlukan penerokaan minda bentuk baru.

[1] Kertaskerja yang akan dibentangkan di Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf anjuran bersama Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman pada 18 & 19 Oktober 2008.

Kertas Kerja Yang Diterima Untuk Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf di Terengganu pada 18 & 19 Oktober 2008

PEMBANGUNAN HARTA WAKAF DI PULAU PINANG

FAKHRUDDIN BIN ABDUL RAHMAN [1]
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Tingkat 8 & 9, Menara UMNO, No. 128, Jalan Macalister, 10400 Pulau Pinang. Email : fakhruddin@mainpp.gov.my. Tel : 019-4750864/
04-2260305/319/312. Faks : 04-2260380.

MOHAMAD SALLEH BIN ABDULLAH [2]
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Tingkat 8 & 9, Menara UMNO, No. 128, Jalan Macalister, 10400 Pulau Pinang. Email : salleh3055@yahoo.com. Tel : 012-4149005/
04-2260305/319/312. Faks : 04-2260380.

ABSTRAK

Kedatangan pedagang-pedagang Islam yang terdiri pelbagai puak dan bangsa berbeza daripada merata pelusuk dunia ke Pulau Pinang telah mewujudkan satu bentuk budaya Islam yang sangat hebat dan sukar ditandingi sehingga sekarang. Akibat keluhuran hati dan kekuatan akidah golongan ini, telah wujud banyak enklaf-enklaf wakaf yang bertaburan di sekitar bandaraya Georgetown. Enklaf-enklaf ini berpusat di satu-satu petempatan di mana akhirnya institusi masjid menjadi pusat kegiatan utama. Hasilnya lahirlah sekumpulan manusia yang berperanan menguruskan masjid-masjid dan tanah-tanah yang diwakafkan ini. Masjid Pakistan, Masjid Benggali, Masjid Keling, Masjid Melayu, Masjid Acheh dan Masjid Aga Khan (fahaman Syiah) merupakan nama-nama masjid yang terkenal di Pulau Pinang yang dapat dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan ini. Kertas kerja ini bertujuan untuk melihat bagaimana Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memainkan peranannya untuk membangunkan kawasan-kawasan ini. Kertas kerja ini juga bertujuan untuk menganalisis strategi dan bentuk pembangunan keseluruhan tanah-tanah wakaf yang berpotensi di Pulau Pinang yang telah dilaksanakan. Hasil analisis mendapati bahawa pembangunan tanah wakaf adalah sangat mencabar dan amat memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak sebelum kejayaannya dapat dicapai.
[1] Fakhruddin Abdul Rahman merupakan Setiausaha, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
[2] Mohamad Salleh Abdullah merupakan Pegawai Khas Kepada Y.B Haji Shabudin Yahaya, Yang DiPertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Wednesday, September 17, 2008

Ramadan : Bulan Meratapi "Kematian" Wakaf ?

Satu ketika dahulu ketika sampai bulan Ramadan, saya selalu tersenyum lebar. Apa tidaknya. Ketika menjawat jawatan Ketua Bahagian Operasi Kutipan Zakat (tahun 1995 hingga 2003), kedatangan bulan Ramadan setiap tahun cukup dinantikan. Sebabnya mudah sahaja. Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam giat membuat ibadat. Tidak perlu kempen banyak-banyak berbanding bulan lain. Beribadat dalam bulan Ramadan pahalanya lebih. Menurut hadis, pahala ibadat wajib (hanya 2 ibadat wajib sahaja dalam bulan puasa iaitu solat wajib dan bayar zakat. Haji tidak dibuat dalam bulan puasa) yang dibuat dalam bulan ini pahalanya 70 kali ganda. Wow hebatnya. Ibadat sunat pula ganjaran yang diberikan pahalanya seperti pahala ibadat wajib. Ibadat sunat yang boleh dilakukan dalam bulan puasa ini amat banyak. Semua solat sunat boleh dilakukan dalam bulan ini. Antara lain ibadat yang boleh dilakukan dalam Ramadan ialah Wakaf Tunai (di Pulau Pinang ia dikenali sebagai Dana Wakaf), sedekah, sumbangan atau derma serta mengadakan jamuan berbuka puasa. Jadi semasa bulan puasa ini jugalah aktiviti kempen atau dakwah zakat berada pada tahap kemuncaknya. Sampai tak cukup kakitanganlah katakan. Kadang-kadang kerana tak cukup kakitangan banyak kaunter luar terpaksa ditolak. Dalam bulan Ramadan kutipan zakat meningkat 3 kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Pada masa yang sama jugalah kutipan untuk Wakaf Tunai juga meningkat berkali ganda. Ketika itu Pusat Urus Zakat dibenarkan memungut Dana Wakaf . Mengutip Dana Wakaf dalam bulan puasa tak perlu banyak kerja. Tak perlu kempen-kempen. Kebanyakan bayaran Dana Wakaf datang dalam keadaan yang sangat mudah. Pantang sebut sahaja, pantang hulur pamphlet sahaja, orang terus akan memberi sumbangan di samping membayar zakat. Memang seronok masa tu. Nampak sangat perbezaan umat Islam di bulan puasa. Tahap iman meningkat. Sedikit makluman dan hebahan sahaja, mereka terus melakukannya. Tidak seperti bulan-bulan lain. Berbuih mulut menceritakan, akhirnya hanya seorang dua saja yang membuat sumbangan Dana Wakaf. Dan sebagai Ketua Bahagian Operasi Kutipan, saya selalu menekankan supaya sasaran kutipan mestilah hit atau melebihi sasaran pada setiap kali bulan Ramadan. Sebelum masuk bulan Ramadan, saya sudah mengarahkan anak buah supaya mencari tempat atau pejabat bagi mengadakan ceramah, taklimat atau kaunter kutipan. Alhamdulillah anak buah semuanya mendengar kata. Bila masuk sahaja bulan Ramadan, semua jadual aktiviti harian mereka sudah penuh, padat. Tiap-tiap hari ada program kutipan sehinggalah sehari sebelum cuti hari raya. Aktiviti operasi kami selalunya tamat sehari sebelum cuti hari raya. Pada hari tersebut kami tidak mengadakan program lagi. Hanya duduk di pejabat sahaja melayani umat Islam yang ingin membayar zakat fitrah pula. Begitulah yang berlaku setiap kali bulan Ramadan. Kutipan zakat dan Dana Wakaf selalunya melebihi sasaran yang ditetapkan. Pada hari terakhir itu kami berkumpul dan saling seronok menceritakan hasil yang banyak dipungut masing-masing melalui aktiviti dan program luar yang dilaksanakan. Dan akhirnya sebelum bersurai dan balik kampong, kami akan bermaaf-maafan sempena hari raya Adil fitri. Sesungguhnya bulan Ramadan sangat seronok. Namun begitu sejak PUZ tidak lagi memungut Dana Wakaf, jumlah kutipan amat berkurangan. Berbeza dengan kakitangan operasi PUZ, kakitangan yang menguruskan Dana Wakaf sekarang, saya lihat tidak begitu tersenyum lebar di bulan puasa ini. Seolah-olah tidak seronok dengan kedatangan bulan Ramadan. Aktiviti untuk mempromosikan Dana Wakaf pun agak hambar. Ada ketika saya lihat dalam masa seminggu bulan Ramadan, mereka masih berada di pejabat dan tidak mengadakan program atau kaunter di luar. Tiada perancangan atau aktiviti dibuat bagi mempopularkan Dana Wakaf sepanjang bulan Ramadan ini. Tiada sasaran kutipan ditetapkan. Akhirnya Ramadan yang menjadi bulan kemuncak wakaf berlalu begitu sahaja. Setahun lepas setahun berlalu tanpa sebarang perubahan. Sejak tarikh Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2006 yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti berwakaf, sehingga sekarang selepas 2 tahun, aktiviti wakaf lesu dan tidak bermaya. Tiada apa-apa yang dilakukan untuk merancakkan aktiviti berwakaf dalam tempoh tersebut. Hinggakan mengikut maklumat dalaman, jumlah kutipan Dana Wakaf telah merosot dengan teruk sekali. Dalam tahun 2005, jumlah kutipan Dana Wakaf setahun berjumlah RM500,000, telah jatuh merosot kepada hanya RM70,000 sahaja dalam tahun 2006. Dalam tahun 2007, jumlah itu menurun teruk kepada hanya RM17,000 setahun sahaja. Tahun ini, 2008 tidak tahu berapakah jumlah Dana Wakaf yang berjaya dipungut. Sungguh menyedihkan. Peluang yang hadir setiap kali Ramadan tidak digunakan dengan sebaiknya. Apalah yang boleh dibuat. Kita hanya sekadar boleh melihat dan merintih atas apa yang berlaku. Bagi insan-insan yang begitu menghayati idealisme wakaf, mereka menangis dan menitis air mata pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan ini kerana mengenangkan "layanan" yang diberikan kepada ibadat wakaf yang diciptakan oleh Allah SWT. Esok, nanti jawaplah sendiri kepada Allah SWT bagi soalan "mengapa anda tidak memperdulikan wakaf di sepanjang bulan Ramadan ini". Jawaplah juga di hadapan Allah SWT bagi soalan "Mengapa anda tidak memperdulikan wakaf sampai saat ini". Dan jawaplah kepada Allah SWT: Kenapa anda membiarkan wakaf AKU mati? [Sungguh nostalgia dan sedih menulis artikel ini sehingga menitiskan air mata di hadapan komputer ini. Semoga wakaf mendapat tempat yang mulia di mata dan hati para muttawali. Amin.]

Monday, September 15, 2008

Kertas Kerja Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pusaka, Wasiat dan Wakaf Terengganu 2008 Tidak Diterima ?

Sungguh mengecewakan. Itulah perasaan yang boleh digambarkan apabila kertas kerja yang dihantar kepada Konvensyen Kebangsaan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf Terengganu 2008 ditolak. Kertas kerja yang dihantar itu bertajuk Pengurusan Pusaka, Wasiat dan Wakaf di Malaysia : Quo Vadis ? ditulis oleh Encik Mohamad Salleh Abdullah, Pegawai Khas Kepada Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Konvensyen tersebut adalah anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Alasan yang diberikan bagi penolakan tersebut ialah hanya seorang wakil pembentang mewakili MAINPP. Keputusan itu disampaikan melalui email oleh sekretariat konvensyen beberapa hari lepas. Kertas kerja yang diterima mewakili MAINPP bertajuk Pembangunan Harta Wakaf di Pulau Pinang, yang akan dibentangkan oleh Al-Fadhil Ustaz Fakhruddin Abd Rahman, Setiausaha MAINPP. Walau bagaimanapun atas semangat setiakawan, Ustaz Fakhruddin telah meminta Encik Mohamad Salleh menulis sebahagian isi kandungan kertas kerja tersebut, terutamanya bahagian konsep wakaf. Ini menjadikan kertas kerja ini ditulis secara bersama, dan dengan demikian melayakkan kedua-duanya membentangkan kertas kerja itu di konvensyen tersebut nanti.

Sunday, September 14, 2008

Tiada Sebab Lagi Untuk Membuat PhD Selepas .............

Semasa mengemukakan permohonan membuat PhD, ketika itu hanya satu sebab sahaja di hati. Kenapa ? Kerana kedudukan sebagai Pengurus Besar (PB), Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB). Alasannya mudah sahaja. Apabila menjadi PB tentu akan terlibat dengan banyak perbincangan, seminar, brainstorming atau sesi akademik dengan pelbagai pihak. Ketika itu terfikir di hati bahawa untuk menjadi PB yang berkesan, perlulah ada ilmu waqaf tambahan pula selepas ini Pulau Pinang akan sentiasa dirujuk jika PWPPSB berjaya. Jika tiada ilmu maka sukarlah Pulau Pinang akan menjadi negeri rujukan. Tambahan pula dengan adanya PhD akan menyebabkan jawatan PB lebih baik berbanding dengan PB anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri lain yang bercadang untuk mengadakan syarikat pengkorporatan waqaf yang serupa. Dengan adanya kelulusan PhD, imej waqaf Pulau Pinang akan dilihat sebagai lebih baik dan lebih grand. Tambahan pula Pulau Pinangkan negeri YAB Perdana Menteri. Tentulah kena tunjuk contoh dan leading. Ini didasarkan kepada kejayaan anak syarikat PWPPSB yang sentiasa diyakini berjaya. Dengan adanya kelulusan PhD, PB anak syarikat ini sedang menjustify kedudukannya di situ. Itu ketika menjadi PB PWPPSB. Walau bagaimanapun setelah PWPPSB dibubar dan tidak nampak lagi jalan pengkorporatan waqaf akan berlaku [kalau berlakupun sudah tentu orang lain terpilih], maka nampaknya dari satu segi, sudah tiada lagi hadir alasan untuk membuat PhD kerana sudah tidak lagi menjadi PB [sampai sekarang tiada surat pemecatan atau pemberhentian- berhenti sendiri nampaknya]. Jika begitu kenapa nak buat PhD lagi. Berhenti sajalah. Actions without cause. Apa maknanya? Maknanya membuat sesuatu tanpa sebab. Atau dalam bahasa lain, tiada sebab nak buat. Walhalnya pulak dari segi pengajian PhD, menampakkan progress yang baik. Selepas membuat kertas proposal untuk permohonan menjadi pelajar; selepas dipinda dan dibaiki 4 kali dalam tempoh masa 6 bulan; setelah mendaftar 9 bulan, diminta pula membentangkan proposal; selepas itu diberi kelulusan untuk meneruskan penyelidikan PhD, diberi kebenaran memulakan survey jika sudah ada questionnaire, nampaknya pengajian PhD ini telah masuk hampir di tengah-tengah ruang vacuum, apakah wajar untuk berhenti sekarang ? Ibarat berada di dalam terowong, pandang hadapan nampak gelap, toleh ke belakangpun nampak sama saja, gelap juga. Jadi jalan mana yang harus dituju. Di belakang gelap, di hadapan pun gelap. Terowong gelap sudah separuh dimasuki. Undur ke belakang, nanti akan dipanggil bekas pelajar PhD (atau PhDnya tak habis/tak siap, dan akan menyertai club ramai yang lain di luar sana yang senasib. Perasaan.. takpa.. biasa saja, sebab ramai yang lari tengah jalan). Hendak ke hadapan, tak nampak sebabnya. Tiada sebab konkrit lagi. Haruskah berundur atau mencari alasan lain yang munasabah untuk meneruskan pengajian PhD. Itulah persoalan yang sedang bermain di minda.

PELIK BINTI AJAIB, ANEH BIN RISAU

Memang pelik. Memang ajaib betul. Dah 4 bulan berblogger, tiada satupun komen diterima daripada mana-mana orang untuk blog khas waqaf ini. Tiada peminatkah ?. Orang tak minat dengan waqaf kah ? Ini menimbulkan persoalan adakah ilmu waqaf ini sudah pupus dengan hanya sebahagian orang sahaja yang tahu. (Teringat ilmu falak dan ilmu faraid yang semakin pupus. Dah tak ramai orang yang tau. Siapa yang tau memang dah jadi macam pakar. Boleh dikatakan pakar. Takkan waqaf ilmu ketiga selepas ilmu falak dan faraid yang akan pupus. Takkan kot. Tapi tak mustahil....). Kalau begitu isunya bahaya ni. Takut nanti ilmu waqaf pun pupus macam ilmu falak dan faraid jugak. Kena buat sesuatu ni. Jika tidak selepas ini tiada lagi orang yang berpengetahuan dalam bidang waqaf. Atau adakah waqaf ini ilmu picisan yang orang ramai dah tak minat lagi. Wah kalau dah semua tak minat dan tak tahu lagi pasal waqaf, jenuh aku. Bercakap sorang-sorang la aku nanti. Sapa pun tak boleh tumpang bersembang. Jika begitu adakah aku pakar waqaf. Mungkin jugak dalam konteks ini ........... Alah perasan pulak hang ......

Wednesday, September 10, 2008

WAQAF : SISTEM YANG HILANG DAN TAK BERMAYA, MENANTI KEMUNCULANNYA SEMULA DENGAN KEKUATAN BARU !

Sistem waqaf adalah produk perdana (selain zakat) dalam sistem ekonomi Islam dan membentuk sistem ekonomi makro dalam sejarah sistem kewangan Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW, merentasi zaman Sahabat, Umayyah, Abbasiah, Fatimiyah dan Othmaniah, di samping zakat, waqaf menjadi penyumbang utama kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Waqaf menjadi SUB-SUPERSTRUCTURE kepada sistem kewangan Islam. Tamadun Islam adalah CITRA kepada keutuhan dan kejayaan waqaf sebagai penjana kewangan dalam sistem kenegaraan dan kewangan Islam. Kejatuhan kerajaan Fatimiyah, Othmaniah dan kejatuhan Baghdad 1258, maka khazanah Islam mulai gugur, dan sistem waqaf menerima nasib malang seperti juga sistem zakat, sistem undang-undang dan sistem kenegaraan. Sistem waqaf hilang sekitar 800 tahun. Walaupun waqaf masih wujud, tapi bukan dalam bentuk kebenaran dan kekuatannya sebenar. Islam mengalami DARK AGE , sistem, undang-undang, norma dan institusinya semakin dilupakan, terpinggir dan dipinggirkan. Tetapi waqaf bukan kehendak dan bukan ciptaan manusia. Ia adalah kehendak dan ciptaan Allah SWT yang diwahyukan dan dimaktubkan dalam Al-Quran. Allah SWT menjamin keselamatan dan kesahihan wahyu, yang juga bererti Allah SWT menjamin bahawa sistem waqaf juga tetap selamat selamanya. SEKARANG DI MALAYSIA, kesuburan ilmu yang berasaskan kajian Al-Quran dan hadith telah menemui, mendapati secara yakin bahawa WAQAF adalah suatu perintah Allah SWT, menjadi sumber / punca kekuatan dan kesejahteraan Negara, terutamanya dalam bidang jaminan sosial dan pengukuhan ekonomi. Kini di tengah-tengah kesuburan ekonomi MALAYSIA, akan muncul WAQAF sebagai suatu sumber kekuatan berbagai dimensi dan menjadi sumber ekonomi yang paling KLASIK dan UNIK. Hanya menanti kemunculannya......................... Waqaf Satu Agenda Besar.

Tuesday, September 9, 2008

Waqaf Perlukan Pemain Tempatan ?

Apakah makna kenyataan di atas? Ada dua versi makna kepada persoalan di atas. Pertama, maksudnya tidak perlu pemain import. Ini bermakna pengurusan tidak memerlukan orang luar untuk datang menyelesaikan masalah waqaf. Cukup dengan orang tempatan sahaja. Maksudnya staf dari kalangan kakitangan Majlis Agama sahaja boleh diambil untuk menjawat sebarang jawatan tinggi di dalam organisasi yang akan menguruskan waqaf secara berkesan ini. Ada dua sebab kepada isu ini, pertama, isu sensitiviti dan kedua isu kepakaran. Isu sensiviti ialah kakitangan Majlis Agama tidak dapat menerima jika orang luar dipilih. Ini mungkin kerana perasaan iri hati atau kerana mereka berasa diketepikan. Isu kedua banyak bergantung kepada kepakaran staf tertentu. Staf dalam dirasakan lebih pakar mengenai waqaf dan dengan itu harus diberi peluang kenaikan pangkat dan jawatan berbanding dengan staf dari luar yang mereka sifatkan sebagai tidak mampu membuat pembaharuan waqaf. Oleh sebab itu jika ada peluang kenaikan pangkat atau pengisian jawatan yang lebih tinggi, mereka akan berasa terhina jika tidak dipilih. Malah mereka akan mengambil tindakan yang tidak sepatutnya agar calon luar tidak terpilih atau syarikat dibubarkan. Persoalannya sekarang bukan tidak boleh orang luar, cuma di dalam Majlis Agama sendiri tiada staf yang lebih baik, sebab itu perlu dibawa calon dari luar. Tetapi sebahagian besar berpandangan kakitangan dalam lebih baik. Lebih baik pemain tempatan daripada pemain import. Kenapa pulak? Pemain import tak baguskah ?

Salam Faham Mengenai Waqaf

Melihat sahaja kepada waqaf, amat mudah untuk kita salah faham. Ini kerana apa yang kita tengok kepada waqaf, itulah nampaknya seperti waqaf. Kita lihat kubur yang semak, masjid tak terurus, sekolah agama usang, surau terbiar dan macam-macam lagi. Kita

7 Prinsip Asas Pengurusan Waqaf Berteraskan Islam

Waqaf : Satu Agenda Besar

Monday, September 1, 2008

Penyabar Seperti Dr. Fadzila Azni Ahmad. Bolehkah ?

Sebenarnya banyak iktibar yang boleh dikutip daripada pembentangan viva Phd Dr. Fadzila Azni Ahmad (DFAA) tempohari. Pertama, jangkamasa membuat tesis. Tak sangka pulak Pengerusi viva Prof. Dr. Abu Talib hendak tanya soalan itu. Mengapa buat dalam masa 6 tahun. Soalan itu berjaya dijawab dengan baik oleh DFAA. Kalaulah saya sedang diviva, saya akan beri jawapan begini (Punya pasal la orang nak buat berapa tahun pun. Asalkan lulus dan siap dah la). Kedua, bertubi-tubi soalan dikemukakan kepada DFAA. Semuanya dapat dijawab dengan baik. Jawapan saya (Banyak sangat soalan ni, bila nak habis da). Ketiga tempoh masa viva. lama sangat, sampai dekat-dekat 2 jam. Dulu masa viva Dr. Nor Azzah, hanya 45 minit sahaja. Jawapan saya (Apa pasal lama sangat ni. Masa pembentangan proposal dulu, setengah jam rasa macam 2 jam. Inikan pula masa 2 jam, rasa macam setengah hari da. Rasa macam majlis akad nikah da. Dah berapa kali lafaz ni, masih tak sah lagi ka. Sah..... Sah). Keempat, rasa lemas dengan viva yang panjang. Kami student yang dengar pun dah naik lemas. Tengok muka isteri pucat semacam. Dia memang dari awal lagi tak mau masuk. Takut katanya. Tapi DFAA tenang sahaja. Jawapan saya (Teruk jugak nak lulus. Teruk jugak nak dapat Phd. Tapi hairan pulak dengan Dr. Marzuki tu. Tak payah lalu semua benda ni. Tak payah rasa teruk macam ni pun).
Iktibarnya : Kalaulah saya tidak boleh menjadi orang yang penyabar, tentulah saya tidak dapat bertenang dan menjawab persoalan-demi persoalan yang dikemukakan dengan baik dan bernas. Jika begitu tidak dapat saya merasa dapat gelaran Doktor. Iktibarnya lebih baik saya belajar bertenang daripada sekarang. Bermula dengan sesi pembentangan proposal, saya memang nampak tenang sampai tak jawab satu soalanpun. Macam tu tak mau jugak, sampai bisu 1000 bahasa. Tenang tapi boleh menjawab soalan-demi-soalan semasa sesi viva. Jadi masa pembentangan kertas kerja seminar nanti, saya akan cuba bertenang dan cuba jawab soalan yang dikemukakan dengan baik. Jika tidak dapat ikut apa yang dibuat oleh DFAA, maka tak merasalah dapat gelaran Dr. Kempunan dipanggil Dr. Mohamad Salleh. Lepas ni siapa viva pulak. Pak Tahir ka atau Azrin. Nampak Azrin tu macam highway terus menerus sahaja. Mungkinkah aku selepas ini ? InsyaAllah (Dengan izin Allah SWT siapa tahu, dalam masa 6 tahun dari sekarang. Slow and steady. Jangan slow and missing dah).

Tahniah Doktor Fadzila Azni Ahmad

Kami rakan-rakan pelajar Phd & Master By Research ISDEV mengucapkan tahniah kepada Dr. Fadzila Azni Ahmad (DFAA) yang telah lulus dengan cemerlang semasa sesi Viva Phd beliau pada 28 Ogos tempohari. Selamat datang ke kelab Doktor Falsafah ISDEV selepas Dr. Zahari dan Dr. Nor Azzah. Nampaknya semua lulus Phd dan terus jadi pensyarah. Dah 2 orang di ISDEV (Dr. Zahri & Dr. FAA. Dr. Nor Azzah pensyarah kat UM). Selepas ni siapa pulak. Azrin dah memang pensyarah kat UDM. Pak Suhrawardi, memang sedia pensyarah dan Timbalan Rektor kat salah satu u di Medan. Mungkinkan selepas ni Pak Tahir pulak akan jadi pensyarah. Atau mungkinkah aku....... hee..hee..hee