Thursday, August 7, 2008

Perjuangan Memartabatkan Waqaf : Baru Merangkak Sudah Dibentes ?

Baru langkah pertama.Itulah yang boleh dikatakan tentang cubaan-cubaan untuk memperbaiki pengurusan wakaf di Pulau Pinang. Setakat ini baru melangkah sudah kecundang. Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB) yang ditubuhkan dipersoalkan dengan sebegitu rupa sehingga akhirnya dibubarkan. Pertama, cubaan mempertikaikan status penubuhan syarikat yang dikatakan tidak dikemukakan kepada Istana Negara untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Anehnya sebelum penubuhan syarikat tiada nasihat diberikan berhubung perkara ini. Kemudian dipertikaikan tentang pelantikan jawatan Pengurus Besar. Pelantikan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah PWPPSB yang antara lain terdiri daripada YDP MAINPP dan Setiausaha MAINPP dipertikaikan. Yang peliknya ada Ahli Lembaga Pengarah yang bersetuju di dalam mesyuarat, tetapi di luar mesyuarat buat cerita lain pulak. Di dalam mesyuarat beliau bersetuju dengan pelantikan Pengurus Besar, di luar mempertikaikannya pula. Katanya Ahli Lembaga Pengarah tiada kuasa melantik dan hanya MAINPP berkuasa melantik Pengurus Besar. Apabila kertas cadangan perlantikan dikemukakan kepada mesyuarat penuh MAINPP, orang yang sama melobi supaya perlantikan Pengurus Besar itu ditolak. Akhirnya akibat strategi halus yang dilakukan, pelantikan Pengurus Besar berjaya ditangguhkan kerana dikatakan tidak mengikut prosedur dan perlu melalui proses diiklankan.Walaupun iklan disiarkan selepas itu dan ada permohonan diterima termasuk daripada mantan Pengurus Besar, proses temuduga perjawatan dilengah-lengahkan, dengan harapan supaya dilupakan. Proses temuduga tertangguh sekian lama. Tidak habis dengan itu, kelulusan wang pinjaman untuk membuka syarikat sebanyak RM650 ribu pula dipertikaikan. Walaupun MAINPP mempunyai wang yang boleh digunakan, permohonan untuk mengeluarkan wang tersebut ditangguhkan. Alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan kewangan adalah standard, sama seperti cadangan awal penubuhan syarikat. MAINPP tiada wang. Setelah dikorek dan dibuktikan MAINPP mempunyai wang, pemberian wang ditangguhkan sekali lagi kerana syarikat masih belum sah katanya. Selepas desakan demi desakan, dipersetujui wang dikeluarkan. Tetapi apabila hendak membuka akaun bank kononnya untuk memasukkan wang geran untuk syarikat, ada ahli Lembaga pula tidak mahu menandatangani kad tandatangan membuka akaun bank. Selepas beberapa lama, selepas pujukan demi pujukan, sembah menyembah, ingatan demi ingatan dan memo demi memo diberikan, maka barulah beliau menandatangani kad tandatangan bank. Apabila arahan hendak memindahkan wang seakan-akan hendak dibuat, timbul pula isu anak syarikat tidak sah pula dan perlu dibubarkan. Beberapa ahli MAINPP terutama ex-officio dipengaruhi supaya memutuskan syarikat perlu dibubarkan.Akhirnya syarikat diisytiharkan tidak sah dan perlu dibubarkan. Atas usaha insan-insan yang mahukan pengurusan wakaf berubah, selepas beberapa bulan kemudian (selepas isu reda)satu kertas kerja baru dikemukakan untuk menubuhkan syarikat baru menggantikan PWPPSB. Objektif penubuhan anak syarikat ini adalah sama seperti objektif PWPPSB, cuma namanya sahaja ditukar kepada Pengurusan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB juga, lebih senang disebut sebagai PWPPSB2). Semasa mesyuarat teruk juga untuk mempertahankan kertas ini walaupun akhirnya lulus. Sebaik sahaja tindakan dibuat untuk menubuhkan syarikat ini, BN pula kalah teruk dalam pilihanraya umum. Kerajaan Pakatan Rakyat pula memerintah. Isu siapa menguasai pengurusan MAINPP mula timbul. Timbul pula kemelut siapa Yang Dipertua MAINPP. Orang lama atau orang baru. Desakan demi desakan dibuat supaya YDP sekarang mengundurkan diri. Akhirnya kemelut itu sampai kepada perhatian SPB Agong.Pada ketika ini YDP MAINPP memutuskan penubuhan anak syarikat PWPPSB2 ditangguhkan kerana dikhuatiri dikritik dan menerima nasib sama seperti abangnya. Sekarang sudah hampir setahun isu ini berlarutan. Dijangka pada awal tahun 2009, pemimpin daripada PKR akan mengetuai MAINPP. Ketika itu tidakpasti bagaimana nasib PWPPSB2 ini. Mungkinkan ada sedikit harapan. Ataukah terkubur sekali lagi. Itulah kisah perjuangan memartabatkan waqaf. Baru merangkak sudah dibentes. Tidak tahu berapa kali dibentes, baru boleh berjaya.

No comments: