Tuesday, August 12, 2008

Apakah Dia MAIN Sebagai Pemegang Amanah Tunggal Waqaf ?

Mengikut Jadual 2, Perlembagaan Malaysia, hal ehwal agama Islam dan orang Melayu adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Ini bermaksud negeri-negeri berkuasa membuat apa-apa undang dan peraturan untuk menguruskan perjalanan hal ehwal agama Islam dan orang Melayu. Untuk menguruskan hal ehwal ini, maka setiap negeri membuat undang-undang sendiri yang dinamakan Enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing. Untuk kesemua negeri, undang-undang ini dikenali dengan nama Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Di dalam enakmen inilah diberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal mengenai hal ehwal waqaf. Pemegang amanah tunggal bermaksud MAIN bertanggungjawab untuk menguruskan semua urusan mengenai wakaf. Mengikut peruntukan enakmen juga harta waqag adalah didaftarkan atas nama MAIN. Pada masa yang sama MAIN bukanlah pemilik harta waqaf tersebut kerana pemilik harta waqaf ialah Allah SNW. MAIN cuma menjadi penjaga, pentadbir, pengurus dan memegang secara amanah sahaja harta-harta waqaf ini. Walaupun begitu pemegangan dan pengurusan harta waqaf perlu dilaksanakan secara bersunggug-sungguh oleh MAIN. Dari segi pemilikan harta waqaf pula, walaupun nama MAIN didaftarkan sebagai tuan tanah, MAIN tidak boleh sewenang-wenangnya melupus, menjual, menggadai atau memajak harta waqaf tersebut kerana dua sebab. Pertama, walaupun sebagai tuan punya harta tersebut, MAIN memegangnya sebagai pemegang amanah sahaja. Kedua, harta waqaf merupakan harta yang tertakluk kepada syarat-syarat hukum dan syarak. Pelupusan harta waqaf memerlukan keputusan fatwa sebulat suara dan iannya hanya boleh dilakukan melalui istibdal sahaja. Apakah istibdal?. Istibdal bermakna menggantikan harta waqaf dengan harta yang lain dalam kadar jumlah nilaian yang sama atau lebih baik daripada tanah tersebut.
Isu-Isu Yang berkaitan dengan Konsep Pemegang Amanah Tunggal Waqaf
Oleh kerana MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta waqaf, tetapi kekurangan dan kelemahan MAIN telah menyebabkan kuasa tunggal yang diberikan ini tidak dilaksanakan. Kekurangan dan kelemahan MAIN wujud kerana pelbagai sebab seperti kekurangan kakitangan, kepakaran, kewangan dan tiada perancangan untuk kemajuan waqaf. Akibat kelemahan MAIN, maka banyak harta waqaf masih belum didaftarkan atas nama MAIN. Ini memberi peluang kepada pihak lain untuk berpeluang mengambil kesempatan seperti menjual harta waqaf tersebut sewenang-wenangnya. Kelemahan MAIN menguasai dan mengawal sepenuhnya pengurusan harta waqaf menyebabkan muncul muttawali atau pengurus yang tidak sah menyalahgunakan harta waqaf tersebut dengan tidak mengikuti amanah waqaf tersebut.

1 comment:

Saya Anak Malaysia said...

Assalamualaikum,

saya berminat dengan kajian berkenaan waqaf. Dan saya cuba mencari bahan2 bacaan dari internet untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini. di USM sendiri ataupun di mana2 universiti adakah Tuan tahu kajian2 yang berkenaan waqaf ini telah dijalankan? Sekian, terima kasih.

SaHjMohd