Sekali pandang tentu ramai yang tertanya-tanya apakah kaitan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dengan waqaf. Memang ada kaitannya. Pilihanraya kecil tentunya akan melibatkan aktiviti berkempen, samada melalui ceramah atau kempen rumah ke rumah. Pilihanraya kecil ini dijangka sengit kerana ia melibatkan Penasihat Parti PKR, DS Anwar Ibrahim yang akan menjadi calon mewakili Pakatan Rakyat. Calon daripada BN belum diputuskan lagi. Di antara lokasi yang akan menjadi tempat tumpuan kempen ialah masjid. Kempen pilihanraya menggunakan institusi masjid bolehlah dikatakan aspek utama untuk memenangi undi pengundi disebab tiga (3) faktor. Pertamanya, masjid digunakan untuk menyampaikan kempen terutamanya melalui khutbah jumaat. Kutbah jumaat menjadi senjata utama kempen kerana ia merupakan proses satu hala sahaja. Apa yang disampaikan oleh khatib tidak dapat dibalas hujjahnya. Jemaah terpaksa menelan apa yang diluahkan. Dalam Parlimen Permatang Pauh terdapat beberapa masjid yang dikatakan kubu kuat pembangkang (PKR-PAS) sejak dari dulu lagi. Antaranya Masjid Permatang Janggus, Masjid Kubang Semang dan Masjid Batu Kampong Pertama. Kedua, masjid juga merupakan tempat untuk menilai calon. Calon-calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang sering mengunjungi masjid akan dilihat oleh pengundi-pengundi sebagai ahli agama.Markah bonus diberi jika calon tersebut boleh menyampaikan khutbah jumaat dan memberi kuliah agama. Ini akan menjadi satu kelebihan kepada mereka. Ketiga, selalunya mana-mana calon yang mengunjungi masjid untuk bersembahyang atau berjumpa pengundi akan tetap diterima dan diraikan oleh semua orang, tanpa mengira latar belakang politik calon tersebut. Ini berlaku kerana kebanyakan jemaah masih menghormati institusi masjid sehinggakan masih boleh menerima calon yang bukan seiring dengan pendirian politik mereka.
Ketiga-tiga masjid ini dan masjid-masjid yang lain sudah pasti akan menjadi tumpuan ramai sepanjang tempoh berkempen pilihanraya kecil ini. Oleh kerana masjid berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan MAINPP masih dipengerusikan oleh ADUN UMNO, YB Shabudin Yahaya, maka perkara ini sangat menarik untuk dibincangkan. MAINPP sudah tentu pasti akan mengeluarkan arahan melarang khutbah jumaat dan kuliah agama berbaur politik di masjid-masjid ini sepanjang tempoh ini. Adalah sangat menarik untuk diperhatikan samada masjid-masjid ini akan mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh MAINPP ini. Apapun yang pasti walaupun ada pilihanraya kecil, kesucian masjid hendaklah dijaga. Masjid sepatutnya menjadi tempat perhimpunan jemaah untuk bersatu padu, bukan berpecah belah. Amat malang sekali jika masjid digunakan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam di Pulau Pinang. Tambahan pula ia berlaku pada masa sekarang di mana perpaduan umat Islam di negeri Pulau Pinang ibarat retak menanti belah. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam Parlimen Permatang Pauh untuk menjaga kesucian masjid. Menjaga kesucian masjid bermakna kita menjaga kesucian dan kemurnian waqaf tersebut.
No comments:
Post a Comment