Tuesday, August 26, 2008

Beberapa Konsep Penting Waqaf

Waqaf
Waqaf
dalam bahasa Arab bererti habs iaitu berhenti atau menahan (Mohd Zain Othman, 1982 : 21). Mengikut istilah, waqaf bermakna memberikan sesuatu untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma), sesuatu yang diberikan atau diuntukkan bagi keperluan dan sebagainya yang berkaitan dengan agama Islam (Teuku Iskandar, 1991 : 1456). Mengikut Islamic Law, waqaf adalah merupakan satu harta yang kekal dan tanpa syarat dengan menahan pemilikan supaya menjadi hak Allah dengan cara tertentu di mana harta pemilik itu boleh luput dan digunakan untuk tujuan kemanfaatan kepada manusia melainkan untuk tujuan yang dilarang oleh Islam (B.R Verma, 1986 : 622).
Mengikut JWZH JPM (2006) waqaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewaqaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya ('ain). Manfaat harta yang diwaqafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus (yang ditetapkan) dengan niat untuk mendekatkan diri pewaqaf kepada Allah SWT.
Waqif
Wakif bermaksud orang yang melakukan wakaf. Oleh itu mengikut Manual Pengurusan Tanah Wakaf, JWZH JPM (2006) adalah disyaratkan wakif mestilah seorang yang ahli tassaruf iaitu berakal, tidak gila, tidak bodoh (safih), sampai umur, merdeka dan sempurna milik, supaya wakaf menjadi sah. Wakif juga disyaratkan melakukan amalan wakaf bukan dengan secara paksa tetapi mestilah dengan pilihan dan kerelaan sendiri (Syams ad-Din Muhamad bin Ali al-Abas, 1938). Daripada syarat yang dikemukakan, Islam tidak menjadi syarat kepada wakif. As-Shaikh Muhammad Sharbini Al-Khatib dalam kitabnya Al-Iqnaq mengatakan bahawa sah waqaf orang kafir walaupun waqaf untuk masjid.
Mauquf
Mauquf bermaksud barangan atau harta yang diwaqafkan. Barangan yang hendak diwaqafkan adalah disyaratkan barangan yang tertentu, boleh dimiliki dan kekal zat (ain)nya serta boleh diambil manfaatnya dan berfaedah (As-Syaikh Muhammad Syarbini al-Khatib). Barangan waqaf mestilah semua benda yang dimiliki samada boleh dipindah (harta alih) seperti al-Quran, buku-buku, lampu, pakaian, binatang yang boleh diambil susunya dan boleh diambil kulitnya atau bulunya dan senjata, atau yang tidak boleh dipindahkan (harta tak alih) seperti bangunan masjid, rumah, sekolah, tanah, ladang, perigi, pokok dan tempat berteduh.
Mauquf Alaih
Mauquf Alaih bermaksud penerima waqaf tersebut iaitu orang, kumpulan orang atau institusi yang menerima waqaf tersebut. Mauquf alaih boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu orang atau kumpulan tertentu dan badan atau tempat yang tertentu yang mampu memiliki harta waqaf tersebut. Oleh itu tidak sah wakaf terhadap janin yang masih di dalam kandungan dan hamba sahaya kerana tidak boleh memiliki (Abdul Hamid Yunus, 1978). Di dalam kajian ini definisi yang dipakai adalah merujuk kepada orang atau kumpulan orang, bukan institusi seperti masjid, surau atau sekolah agama.
Muttawali
Muttawali bermaksud orang, kumpulan orang atau institusi yang dilantik oleh pemegang amanah atau pemegang-pemegang amanah untuk menguruskan sesuatu waqaf. Jika hanya seorang sahaja dilantik sebagai muttawali, maka ia dikenali sebagai nazir iaitu pengurus atau pentadbir.
Menurut Wahbah Az-Zuhaili (t.t : 231), ulama sepakat mengatakan bahawa waqif boleh menentukan dirinya sebagai nazir ke atas harta yang diwaqafkan ataupun sesiapa sahaja yang difikirkan layak olehnya, tidak kira samada dengan menentukan orang tertentu atau dengan mengatakan sifat-sifat seperti orang alim, orang yang cerdik dan seumpamanya. Jadi sesiapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat seperti yang ditentukan oleh wakif adalah layak untuk menjadi nazir. Penentuan nazir oleh waqif dapat dilihat ketika Ali r.a mensyaratkan anaknya Hassan dan kemudiannya Hussin sebagai nazir waqafnya.

No comments: