Wednesday, August 27, 2008

Mahal Sangatkah Transfer Fee (Harga) Yang Perlu Dibayar Untuk Kepakaran, Pengetahuan dan Pengalaman Yang Dapat Memajukan Waqaf ?

Bayangkan keadaan ini. Anda dilantik menjadi seorang pengurus pasukan bolasepak yang corot. Anda tidak mahu tetapi terpaksa menjalankan jawatan tersebut. Pasukan bolasepak anda berada pada kedudukan paling corot (tempat ke 20-tercorot). Tempat paling bawah dalam Liga Perdana. Bila bertanding, semua perlawanan kalah. Kalah di tempat sendiri, apa lagi di tempat lawan. Kalah pulak kalah teruk, bolos banyak gol. Pasukan anda sendiri gagal menjaringkan gol. Penjaga gol anda, pertahanan anda dan penjaring gol anda sangat teruk. Ada ditugaskan untuk memajukan pasukan bolasepak ini. Anda ditugaskan untuk mengangkat semula ranking pasukan ini oleh pemilik kelab. Kalaupun bukan menjadi Juara Liga Perdana pun, sekurang-kurangnya pada kedudukan pertengahan liga (tempat ke 10 atau 7, bukan tempat tercorot, tempat ke 20). Andapun membuat kajian SWOT, Strength, Weaknesses, Opportunities dan Treats. Kesimpulan daripada hasil kajian yang dibuat mendapati anda hanya perlukan seorang penyerang sahaja untuk membaiki pasukan ini kerana penjaga gol dan pertahanan sebenarnya tiada masalah, masih berupaya mengangkat kemajuan pasukan. Anda pun mengambil tindakan mencari penyerang yang boleh menjaringkan banyak gol ini. Daripada pencarian, anda mendapati tiada pemain junior anda layak dipilih. Pilihan yang ada anda perlu beli atau import penyerang ini. Anda pun membuat tinjauan di kelab-kelab yang lain. Sah. Anda telah jumpa dengan orang tersebut. Mampu menjaringkan gol. Overall playing baik. Serasi dengan rakan sepasukan. Untuk mendapatkan penyerang ini, anda perlu mengeluarkan kos yang tinggi dan mahal. Tetapi hakikatnya pembelian penyerang ini berbaloi kerana ada keuntungannya. Persoalannya berapakah kos untuk memiliki pemain penyerang ini? Berapakah gaji bulanan yang patut bayar kepadanya?. Fikirkan jawapan kepada persoalan ini. Berapakah gaji sebulan yang patut bayar penyerang ini? . Dikaitkan dengan isu asal, begitulah kira agaknya persoalan berapakah jumlah gaji sebulan yang patut dibayar kepada seseorang yang dapat menyelesaikan masalah waqaf. Seseorang yang berupaya mengangkat martabat waqaf. Seseorang yang berdaya menepis persoalan bahawa waqaf tunai tidak berpotensi. Berapa? 6 ribu, 8 ribu, 10 ribu atau 12 ribu gaji sebulan. Mahal sangatkah jumlah itu. Sama-sama kita fikirkan.

BERITA TAK BERAPA PANAS. Cerita TKM PP (Exco Agama) berebut mikrofon dengan Pengerusi Masjid Seberang Jaya

Nampak macam cerita kartun saja. Tetapi itulah kisah benar yang berlaku di Masjid Seberang Jaya pada hari jumaat lepas (22 Ogos). Ketika itu suasana kempen pilihanraya sangat sengit. Kemudian..............

Ramalan Menjadi Kenyataan.Waqaf Medium Penting Kempen Pilihanraya Kecil P44 Parlimen Permatang Pauh

Apa yang diramalkan sebelum ini ternyata benar. Ternyata waqaf (dibaca sebagai masjid) digunakan secara meluas sebagai lokasi kempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang selesai baru-baru ini. Malah bukan sahaja digunakan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang diramalkan sebelum ini tetapi juga oleh calon Barisan Nasional (BN). Walau bagaimanapun penggunaan waqaf masjid oleh kedua-dua pihak agak berbeza mengikut isu kempen. BN misalnya banyak menggunakan masjid sebagai tempat agihan sumbangan, peruntukan atau zakat yang diberikan oleh pihak-pihak luar Pulau Pinang. Beberapa program agihan peruntukan pembangunan JPM untuk masjid dan surau oleh Timbalan Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak, Parlimen Ptg Pauh menggunakan beberapa masjid terpilih. Antaranya Masjid Bandar Perda (mewakili / untuk masjid dan surau dalam KADUN Seberang Jaya), Masjid Guar Perahu (KADUN Penanti) dan Masjid Ptg Pasir (KADUN Ptg Pasir). Program pengagihan sumbangan kepada fakir miskin yang dilakukan oleh Menteri di JPM, DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menggunakan masjid Semilang (bagi KADUN Seberang Jaya), Masjid Tuan Abdullah (KADUN Ptg Pasir) dan Masjid Bukit Indera Muda (KADUN Penanti). Sumbangan diberitakan daripada peruntukan Bank Rakyat. Bagi PKR pula, masjid kebanyakannya digunakan untuk membersihkan calon PKR daripada tuduhan sodomi. Misalnya ceramah dan pengakuan imam Masjid Wilayah Ramlang Porrigi yang mengatakan beliau dipaksa oleh pegawai atasan menjadi saksi sumpah Shaiful Bukhari Azlan dan menuduh wujud konspirasi menjatuhkan calon PKR telah berlaku di banyak masjid, antaranya Masjid Bandar PERDA, Masjid Kubang Semang, Masjid Batu dan Masjid Jalan Baru. Program Munajat 2008 yang termasuk antaranya aktiviti solat hajat bagi kemenangan calon PKR juga dilakukan di masjid Bandar PERDA, Masjid Tuan Abdullah dan Komplek Waqaf An-Nahdhoh, Kubang Semang milik Ustaz Mutalib Maarof (waqaf yang didaftarkan atas nama persendirian dan bukan di bawah MAINPP). Penyampaian sumbangan bantuan orang miskin Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga dibuat oleh TKM YB Fairus Khairuddin di Masjid Tuan Abdullah, Tanah Liat. Namun begitu peristiwa paling menarik yang melibatkan waqaf masjid berlaku di Masjid Seberang Jaya di mana TKM PP berebut mikrofon dengan Pengerusi Qaryah. Nampak macam cerita kartun sahaja. Bersambung.

Tuesday, August 26, 2008

Beberapa Konsep Penting Waqaf

Waqaf
Waqaf
dalam bahasa Arab bererti habs iaitu berhenti atau menahan (Mohd Zain Othman, 1982 : 21). Mengikut istilah, waqaf bermakna memberikan sesuatu untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma), sesuatu yang diberikan atau diuntukkan bagi keperluan dan sebagainya yang berkaitan dengan agama Islam (Teuku Iskandar, 1991 : 1456). Mengikut Islamic Law, waqaf adalah merupakan satu harta yang kekal dan tanpa syarat dengan menahan pemilikan supaya menjadi hak Allah dengan cara tertentu di mana harta pemilik itu boleh luput dan digunakan untuk tujuan kemanfaatan kepada manusia melainkan untuk tujuan yang dilarang oleh Islam (B.R Verma, 1986 : 622).
Mengikut JWZH JPM (2006) waqaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewaqaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya ('ain). Manfaat harta yang diwaqafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus (yang ditetapkan) dengan niat untuk mendekatkan diri pewaqaf kepada Allah SWT.
Waqif
Wakif bermaksud orang yang melakukan wakaf. Oleh itu mengikut Manual Pengurusan Tanah Wakaf, JWZH JPM (2006) adalah disyaratkan wakif mestilah seorang yang ahli tassaruf iaitu berakal, tidak gila, tidak bodoh (safih), sampai umur, merdeka dan sempurna milik, supaya wakaf menjadi sah. Wakif juga disyaratkan melakukan amalan wakaf bukan dengan secara paksa tetapi mestilah dengan pilihan dan kerelaan sendiri (Syams ad-Din Muhamad bin Ali al-Abas, 1938). Daripada syarat yang dikemukakan, Islam tidak menjadi syarat kepada wakif. As-Shaikh Muhammad Sharbini Al-Khatib dalam kitabnya Al-Iqnaq mengatakan bahawa sah waqaf orang kafir walaupun waqaf untuk masjid.
Mauquf
Mauquf bermaksud barangan atau harta yang diwaqafkan. Barangan yang hendak diwaqafkan adalah disyaratkan barangan yang tertentu, boleh dimiliki dan kekal zat (ain)nya serta boleh diambil manfaatnya dan berfaedah (As-Syaikh Muhammad Syarbini al-Khatib). Barangan waqaf mestilah semua benda yang dimiliki samada boleh dipindah (harta alih) seperti al-Quran, buku-buku, lampu, pakaian, binatang yang boleh diambil susunya dan boleh diambil kulitnya atau bulunya dan senjata, atau yang tidak boleh dipindahkan (harta tak alih) seperti bangunan masjid, rumah, sekolah, tanah, ladang, perigi, pokok dan tempat berteduh.
Mauquf Alaih
Mauquf Alaih bermaksud penerima waqaf tersebut iaitu orang, kumpulan orang atau institusi yang menerima waqaf tersebut. Mauquf alaih boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu orang atau kumpulan tertentu dan badan atau tempat yang tertentu yang mampu memiliki harta waqaf tersebut. Oleh itu tidak sah wakaf terhadap janin yang masih di dalam kandungan dan hamba sahaya kerana tidak boleh memiliki (Abdul Hamid Yunus, 1978). Di dalam kajian ini definisi yang dipakai adalah merujuk kepada orang atau kumpulan orang, bukan institusi seperti masjid, surau atau sekolah agama.
Muttawali
Muttawali bermaksud orang, kumpulan orang atau institusi yang dilantik oleh pemegang amanah atau pemegang-pemegang amanah untuk menguruskan sesuatu waqaf. Jika hanya seorang sahaja dilantik sebagai muttawali, maka ia dikenali sebagai nazir iaitu pengurus atau pentadbir.
Menurut Wahbah Az-Zuhaili (t.t : 231), ulama sepakat mengatakan bahawa waqif boleh menentukan dirinya sebagai nazir ke atas harta yang diwaqafkan ataupun sesiapa sahaja yang difikirkan layak olehnya, tidak kira samada dengan menentukan orang tertentu atau dengan mengatakan sifat-sifat seperti orang alim, orang yang cerdik dan seumpamanya. Jadi sesiapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat seperti yang ditentukan oleh wakif adalah layak untuk menjadi nazir. Penentuan nazir oleh waqif dapat dilihat ketika Ali r.a mensyaratkan anaknya Hassan dan kemudiannya Hussin sebagai nazir waqafnya.

Sunday, August 17, 2008

Catatan Kenangan Semasa Membuat Phd Waqaf Dibukukan. Ada Sokongan Tak ?

Keinginan ini timbul selepas habis membaca buku Phd : Kecil Tapi Signifikan karangan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Pengarang seorang profesor perakaunan di UITM Shah Alam mencatat semua kenangannya sepanjang membuat Phdnya.. Sangat menarik isi bukunya. Bayangkan membuat Phd merupakan usaha sekali sahaja sepanjang seumur hidup. Kalau ada orang membuat Phd 2 kali, saya ingat itu bukan orang, tetapi makluk asing yang Allah SWT kurniakan kehebatan kepadanya. Ini kerana membuat Phd kali pertama pun sudah teruk bukan main lagi. Nak buat yang kedua pulak. Tetapi itu tidak mustahil. Sudahlah begitu, Phd kali pertama dan terakhir dibuat, kenangan tidak dicatatkan pula. Saya ingat itu sangat rugi kerana kenangan pahit manis berlalu begitu sahaja. Tentu ada kenangan. Kenangan semasa cari tajuk tesis, kenangan semasa tulis proposal, bentang proposal, mock viva dan akhirnya pembentangan viva. Banyak kenangan. Ada masanya semasa buat Phd tidak dapat tidur. Ada masa banyak tidur daripada menulis. Penulisan tak disave. Pen drive patah. Hilang semua bahan penulisan. Bahan-bahan Phd kena curi [Baru sekarang dapat tahu kenapa Ustaz Elias Zakaria, pensyarah USM dan Ahli Lembaga Pengarah PUZ belum ada Phd. Rupanya panjang ceritanya. Sedih dan menyedihkan. Pilu lagi memilukan. Takes time to recover. Perhaps untill now, Ustaz Ellias still not recover]. Tentu masing-masing pelajar Phd atau master ada kenangan yang nostalgia, romantis, tragis dan suspens. Ya tak. Adakan kenangan semacam itu. Nah apa lagi ? Kenapa tidak dibukukan. Tentu ramai yang ingin membaca. Kalau tidak ada orang yang hendak membeli dan membaca buku itu, sekurang-kurangnya jadikan ia sebagai medium untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyelia dan pensyarah yang telah membantu kita berjaya dalam penyelidikan dan pengajian kita. Orang-orang yang menyumbang kepada kejayaan kita. Masukkan nasihat dan komen mereka yang membina. Berikan kredit kepada mereka. Pastikan gambar penyelia dan pensyarah yang berjasa dimasukkan dan dibesarkan. Siapa pun tak akan marah jika gambar mereka semua diletakkan di muka hadapan buku. Apabila buku telah diterbitkan, hadiahkanlah kepada mereka dan kawan-kawan lain sebagai simbolik membalas jasa dan sumbangan idea mereka samada semasa sesi pembentang proposal, final draft, mock viva dan viva. Jadi macamana kalau semua terbitkan buku catatan kenangan semasa membuat Phd. Saya mencadangkan. Ada sokongan tak?

3 Kertas Kerja Setahun. Realistikkah?

Tension. Pening kepala. Bila nak siap ni!. Susahnya. Terkial-kial. Itulah perasaan dan keadaan ketika ditanya bagaimana membuat kertas kerja untuk pembentangan seminar dan konvensyen. Susah kerana beberapa sebab. Pertama, kerana tidak biasa membuat kertas kerja. Kedua, sukar mencari masa untuk membuat kertas kerja. Ini kerana persekitaran kerja menyukarkan kertas kerja ditulis. Tidak mungkin masa di pejabat digunakan untuk menulis. Tentu tidak kena dan tidak berkat rezeki. Tetapi di pejabat adalah juga tempat sesuai untuk mengarang. Sentiasa mengadap komputer dan sentiasa dalam keadaan berfikir. Jika hendak menulis juga mungkin terpaksa mengorbankan masa rehat. Tak makan. Di rumah, bagaimana ? Oh... di rumah hampir mustahil. Dalam keadaan sekarang, ia hampir mustahil untuk berlaku. Kalau semasa membuat Master Pentadbiran Awam (MPA) dulu mungkin boleh. Ketika itu boleh berjaga sampai pagi. Sampai subuh. Tak tidur2. Tetapi sekarang tidak lagi. Tidak tahu mengapa pukul 10 malam sahaja, terkial-kial untuk membuka mata. Badan tiada upaya lagi. Tenaga berjaga dah kurang. Mungkin dah tua kot. Umur dah masuk 40 plus2. Tambahan pula si kecil Muhamad Wafiq Imran sentiasa menuntut perhatian dan pemantauan. Agaknya baginya sayalah ibu dan ayahnya sekaligus. Akhirnya baru pukul 11.o0 malam, kami berdua sudah belayar. Esoknya pukul 6 pagi baru jaga. Jadi kesimpulannya tidak banyak yang boleh dilakukan di rumah. Dengan fakta itu saya berpandangan bahawa membuat kertas kerja hanya mudah kepada seseorang yang mempunyai alam persekitaran yang mendorongnya sahaja. Maksudnya mungkin membuat kertas kerja sesuai kepada para pensyarah sahaja yag mana hampir setiap hari wujud keperluan untuk membaca, menyelidik, menulis dan menyediakan nota kuliah. Tapi saya juga diberitahu tidak semua pensyarah rajin menulis dan membentangkan kertas kerja. Ramai juga yang sudah "pencen". Tidak kurang juga terdapat ramai dari kalangan bukan ahli akademik dan pensyarah yang rajin menulis dan membentang kertas kerja. Persoalannya bilakah masa mereka menulis ? Bagaimana mereka membahagikan masa untuk menulis ? Pada masa sekarang saya mempunyai 3 kertas kerja yang perlu disiapkan. Satu untuk Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran USM. Satu lagi untuk seminar di Universiti Malaya. Satu untuk seminar di UDM (Ah.. yang tu lambat lagi]. Kertas kerja untuk seminar UM belum satu patahpun ditulis kerana sekarang terkial-kial menulis kertas kerja untuk seminar USM. Sudah sebulan terkial-kial cuba menulis dan menyiapkkannya. Masih belum siap draf pertamanya. Entah bila boleh siap belum tahu lagi. Tapi yang pastinya tarikh akhir penghantaran kertas kerja ialah pada 31 Ogos. Dateline paper UM pula ialah pada 15 September. Kedua-duanya menuntut kekuatan dan kecekalan. Oleh kerana sudah berjanji pada diri sendiri untuk membentangkan sekurang-kurang 3 kertas kerja setahun (Peringkat USM, Nasional dan Antarabangsa setiap satu), maka terpaksalah juga diri menulis. Menulis dalam keadaan terpaksa. Aduh sakitnya. Cuma hati kecil berkata (dalam 2 versi). Pertama, "Jangan berhenti menulis", Keep Going. Dont Stop. You can when you can". Kedua (versi yang berbeza) "padan muka". "Tak ada kerja, cari kerja". "Siapa pun tak suruh". "Cari penyakit sahaja". Apa nak buat dah hati suruh belajar ilmu baru setiap 3 tahun. Saya percaya ini adalah ujian untuk berjaya dalam bidang penulisan kertas kerja. Jika telah lulus ujian ini, tentunya menulis kertas kerja menjadi sangat mudah. Ya memang betul. Macam nak berceramah zakat dulu. Mulanya memang susah. Habis keluar semua peluh jantan. Mulut kaku kelu, bisu. Tak tau nak cakap apa. Tapi bila dah pandai, ceramah zakat macam makan kacang kuda rebus saja. Tak ade ape. Itulah hakikatnya sebelum pandai. Sementara nak pandai teruk jugak ........

Tuesday, August 12, 2008

Kisah Di Sebalik Penganjuran Seminar Waqaf Antarabangsa 2008.

Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran seminar ini. Pertama, yurannya saja sangat mahal. Peserta biasa RM1,500 seorang, wakil jabatan kerajaan (RM1,200), NGO/Ahli Akademik (RM1,000) dan pelajar (RM800). Jadi terdengar komen di sana-sini bahawa yuran sangat mahal dan banyak MAIN tidak mungkin akan menghantar peserta. Lagipun ini dah masuk bulan Ogos. Peruntukan jabatan bagi kakitangan menghadiri seminar telah sebahagian besar digunakan. Ada juga komen mengatakan kenapa mahal sangat, waqaf satu benda baru di Malaysia. Tiada peminat. Dalam hati saya berkata, mahal kerana standard antarabangsa kot. Tidak mengapa. Oleh kerana minat dan pelajar Phd waqaf saya mendaftar juga sebagai peserta mewakili MAINPP. Kira-kira 2 minggu sebelum seminar berlangsung datang surat kepada MAINPP mengatakan yuran diturunkan kepada RM500 seorang sahaja bagi perwakilan mewakili MAIN. Wah dah turun. Hati sangat gembira. Tentu pasti saya dapat mengikutinya kerana yurannya tetap tinggi tapi boleh tahan. Di JAWHAR Putrajaya kecoh walaupun yuran telah diturunkan, penyertaan MAIN masih dingin. Timbul persoalan.Buat apa buat seminar waqaf kalau MAIN tak datang. Waqaf ni urusan MAIN. Ibarat seperti kursus untuk penternak ayam tetapi pekebun kecil getah yang datang. Apa maknanya. 3 hari sebelum seminar datang surat mengatakan peserta daripada MAIN percuma dan MAIN wajib menghantar peserta. Apakan daya sudah terlambat. Berita gembira yang dikhabarkan sudah terlambat kepada kebanyakan negeri. 3 hari tidak cukup untuk mencari peserta, menguruskan penerbangan ke JB dan menguruskan hotel. Semakan dengan hotel, Hotel Puteri pasific penuh. Hotel lain jauh. Ok tidak mengapa, jauhpun ok. Kapal terbang pula dah habis.Flight Air Asia ke JB sudah habis.Itulah jadinya sudah dapat hotel, yuran seminar free, flight pula tiada. Akhirnya wakil MAIN banyak yang tidak dapat hadir. Akhirnya dikhabarkan bahawa 70% peserta adalah kakitangan Johor Corporation dan anak syarikatnya. Tiada wakil daripada MAIN Kedah, Selangor, Melaka, Sarawak, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Pahang. MAIN Negeri-negeri lain pula ada seorang wakil sahaja. Itupun bukan staf bahagian waqaf. Perak, SU MAIN sendiri, Dato Jamry Sury hadir. Perlis, Penasihat Agama kerajaan Negeri Dato' Alim Panglima Jahaya Mat Hussien. Wakil Sabah Pengurus Lembaga Baitulmal dan Encik Kamal Amran (SU MAIN Negeri Sembilan). Wakil MAIN paling ramai ialah Pulau Pinang dan Terengganu, masing-masing menghantar 2 orang. Johor. MAIN Johor tentulah ramai. Dekat. Negeri sendiri. Kedua, persoalan kenapa YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri tidak hadir. Beliau sepatutnya merasmikan pembukaan seminar. Hingga akhir seminar tiada jawapan diperolehi. Akhirnya YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di JPM yang merasmikan seminar ini. Ketiga, tidak kelihatan kelibat Dr Sohaimi Salleh, Ketua Pengarah JAWHAR, penganjur bersama program ini bersama Johor Corp. Ucapan Dr Sohaimi dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Muhd Syarqawi. Di akhir seminar barulah dapat tahu Dr Sohaimi Salleh sedang berkursus JUSA (apa jenis tak pasti pulak) selama sebulan (lepas ini JAWHAR dapat KP baru pulak ka). Walau bagaimanapun secara puratanya perjalanan seminar amat lancar, bagus dan mengikut masa. Ramai peserta luar negeri hadir. Dari Kuwait, Dubai, Turki, Jeddah,Bangladesh, Singapore, Cambodia dan Indonesia.Satu pujian dan syabas kepada Johor Corporation.

Apakah Dia MAIN Sebagai Pemegang Amanah Tunggal Waqaf ?

Mengikut Jadual 2, Perlembagaan Malaysia, hal ehwal agama Islam dan orang Melayu adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Ini bermaksud negeri-negeri berkuasa membuat apa-apa undang dan peraturan untuk menguruskan perjalanan hal ehwal agama Islam dan orang Melayu. Untuk menguruskan hal ehwal ini, maka setiap negeri membuat undang-undang sendiri yang dinamakan Enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing. Untuk kesemua negeri, undang-undang ini dikenali dengan nama Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Di dalam enakmen inilah diberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal mengenai hal ehwal waqaf. Pemegang amanah tunggal bermaksud MAIN bertanggungjawab untuk menguruskan semua urusan mengenai wakaf. Mengikut peruntukan enakmen juga harta waqag adalah didaftarkan atas nama MAIN. Pada masa yang sama MAIN bukanlah pemilik harta waqaf tersebut kerana pemilik harta waqaf ialah Allah SNW. MAIN cuma menjadi penjaga, pentadbir, pengurus dan memegang secara amanah sahaja harta-harta waqaf ini. Walaupun begitu pemegangan dan pengurusan harta waqaf perlu dilaksanakan secara bersunggug-sungguh oleh MAIN. Dari segi pemilikan harta waqaf pula, walaupun nama MAIN didaftarkan sebagai tuan tanah, MAIN tidak boleh sewenang-wenangnya melupus, menjual, menggadai atau memajak harta waqaf tersebut kerana dua sebab. Pertama, walaupun sebagai tuan punya harta tersebut, MAIN memegangnya sebagai pemegang amanah sahaja. Kedua, harta waqaf merupakan harta yang tertakluk kepada syarat-syarat hukum dan syarak. Pelupusan harta waqaf memerlukan keputusan fatwa sebulat suara dan iannya hanya boleh dilakukan melalui istibdal sahaja. Apakah istibdal?. Istibdal bermakna menggantikan harta waqaf dengan harta yang lain dalam kadar jumlah nilaian yang sama atau lebih baik daripada tanah tersebut.
Isu-Isu Yang berkaitan dengan Konsep Pemegang Amanah Tunggal Waqaf
Oleh kerana MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta waqaf, tetapi kekurangan dan kelemahan MAIN telah menyebabkan kuasa tunggal yang diberikan ini tidak dilaksanakan. Kekurangan dan kelemahan MAIN wujud kerana pelbagai sebab seperti kekurangan kakitangan, kepakaran, kewangan dan tiada perancangan untuk kemajuan waqaf. Akibat kelemahan MAIN, maka banyak harta waqaf masih belum didaftarkan atas nama MAIN. Ini memberi peluang kepada pihak lain untuk berpeluang mengambil kesempatan seperti menjual harta waqaf tersebut sewenang-wenangnya. Kelemahan MAIN menguasai dan mengawal sepenuhnya pengurusan harta waqaf menyebabkan muncul muttawali atau pengurus yang tidak sah menyalahgunakan harta waqaf tersebut dengan tidak mengikuti amanah waqaf tersebut.

Perbincangan Seminar Waqaf Antarabangsa 2008 Buntu. Tiada Kaedah Menyelesaikan Masalah Waqaf Malaysia ?

Itulah agaknya respon spontan yang boleh diberikan kepada kesimpulan perbincangan ahli panel di Seminar Wakaf Antarabangsa 2008 yang berlangsung di Persada Johor, Johor Bharu yang tamat kelmarin (Selasa, 12 Ogos). Ahli-ahli panel buntu dan tidak dapat menjawab persoalan yang ditanyakan oleh seorang peserta. Ahli-ahli panel yang hebat seperti Dr Hisham Dafterdar daripada International Development Bank, Dato' Dr Adnan Alias, MD Islamic Banking and Finance Institute of Malaysia (IBFIM) dan Dr. Danial Mah Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah, Labuan Offshore Financial Serviecs Authority (LOFSA) berputa-putar memberikan cadangan yang mana akhirnya peserta melihatnya sebagai buntu. Ahli panel mengaku teori tidak sama dengan praktis. Walaupun teori yang dicadangkan baik tidak semestinya ia boleh dilaksanakan. Jika boleh dilaksanakan, tidak semestinya berkesan. Keadaan dewan menjadi gamat lagi apabila Prof. Dr Murat Cizacka (satu nama besar dalam bidang wakaf dan lama tinggal dan mengajar di Malaysia) memberitahu bahawa terdapat kekangan kerana tiap-tiap negeri mempunyai enakmen wakaf tersendiri. Beliau mencadangkan seminar mengusulkan resolusi supaya peranan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah wakaf yang tunggal dikaji semula bagi membolehkan pihak-pihak lain tampil membantu MAIN. Cadangannya itu mendapat tepukan gemuruh dan standing applause daripada majoriti peserta on the floor. Cuba anda bayangkan senario ini. Seminar waqaf antarabangsa, pembentang antarabangsa, semua cerdik pandai ada tapi penyelesaiaan masalah waqaf tiada.. Sungguh tragisnya.

Thursday, August 7, 2008

Perjuangan Memartabatkan Waqaf : Baru Merangkak Sudah Dibentes ?

Baru langkah pertama.Itulah yang boleh dikatakan tentang cubaan-cubaan untuk memperbaiki pengurusan wakaf di Pulau Pinang. Setakat ini baru melangkah sudah kecundang. Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB) yang ditubuhkan dipersoalkan dengan sebegitu rupa sehingga akhirnya dibubarkan. Pertama, cubaan mempertikaikan status penubuhan syarikat yang dikatakan tidak dikemukakan kepada Istana Negara untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Anehnya sebelum penubuhan syarikat tiada nasihat diberikan berhubung perkara ini. Kemudian dipertikaikan tentang pelantikan jawatan Pengurus Besar. Pelantikan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah PWPPSB yang antara lain terdiri daripada YDP MAINPP dan Setiausaha MAINPP dipertikaikan. Yang peliknya ada Ahli Lembaga Pengarah yang bersetuju di dalam mesyuarat, tetapi di luar mesyuarat buat cerita lain pulak. Di dalam mesyuarat beliau bersetuju dengan pelantikan Pengurus Besar, di luar mempertikaikannya pula. Katanya Ahli Lembaga Pengarah tiada kuasa melantik dan hanya MAINPP berkuasa melantik Pengurus Besar. Apabila kertas cadangan perlantikan dikemukakan kepada mesyuarat penuh MAINPP, orang yang sama melobi supaya perlantikan Pengurus Besar itu ditolak. Akhirnya akibat strategi halus yang dilakukan, pelantikan Pengurus Besar berjaya ditangguhkan kerana dikatakan tidak mengikut prosedur dan perlu melalui proses diiklankan.Walaupun iklan disiarkan selepas itu dan ada permohonan diterima termasuk daripada mantan Pengurus Besar, proses temuduga perjawatan dilengah-lengahkan, dengan harapan supaya dilupakan. Proses temuduga tertangguh sekian lama. Tidak habis dengan itu, kelulusan wang pinjaman untuk membuka syarikat sebanyak RM650 ribu pula dipertikaikan. Walaupun MAINPP mempunyai wang yang boleh digunakan, permohonan untuk mengeluarkan wang tersebut ditangguhkan. Alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan kewangan adalah standard, sama seperti cadangan awal penubuhan syarikat. MAINPP tiada wang. Setelah dikorek dan dibuktikan MAINPP mempunyai wang, pemberian wang ditangguhkan sekali lagi kerana syarikat masih belum sah katanya. Selepas desakan demi desakan, dipersetujui wang dikeluarkan. Tetapi apabila hendak membuka akaun bank kononnya untuk memasukkan wang geran untuk syarikat, ada ahli Lembaga pula tidak mahu menandatangani kad tandatangan membuka akaun bank. Selepas beberapa lama, selepas pujukan demi pujukan, sembah menyembah, ingatan demi ingatan dan memo demi memo diberikan, maka barulah beliau menandatangani kad tandatangan bank. Apabila arahan hendak memindahkan wang seakan-akan hendak dibuat, timbul pula isu anak syarikat tidak sah pula dan perlu dibubarkan. Beberapa ahli MAINPP terutama ex-officio dipengaruhi supaya memutuskan syarikat perlu dibubarkan.Akhirnya syarikat diisytiharkan tidak sah dan perlu dibubarkan. Atas usaha insan-insan yang mahukan pengurusan wakaf berubah, selepas beberapa bulan kemudian (selepas isu reda)satu kertas kerja baru dikemukakan untuk menubuhkan syarikat baru menggantikan PWPPSB. Objektif penubuhan anak syarikat ini adalah sama seperti objektif PWPPSB, cuma namanya sahaja ditukar kepada Pengurusan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB juga, lebih senang disebut sebagai PWPPSB2). Semasa mesyuarat teruk juga untuk mempertahankan kertas ini walaupun akhirnya lulus. Sebaik sahaja tindakan dibuat untuk menubuhkan syarikat ini, BN pula kalah teruk dalam pilihanraya umum. Kerajaan Pakatan Rakyat pula memerintah. Isu siapa menguasai pengurusan MAINPP mula timbul. Timbul pula kemelut siapa Yang Dipertua MAINPP. Orang lama atau orang baru. Desakan demi desakan dibuat supaya YDP sekarang mengundurkan diri. Akhirnya kemelut itu sampai kepada perhatian SPB Agong.Pada ketika ini YDP MAINPP memutuskan penubuhan anak syarikat PWPPSB2 ditangguhkan kerana dikhuatiri dikritik dan menerima nasib sama seperti abangnya. Sekarang sudah hampir setahun isu ini berlarutan. Dijangka pada awal tahun 2009, pemimpin daripada PKR akan mengetuai MAINPP. Ketika itu tidakpasti bagaimana nasib PWPPSB2 ini. Mungkinkan ada sedikit harapan. Ataukah terkubur sekali lagi. Itulah kisah perjuangan memartabatkan waqaf. Baru merangkak sudah dibentes. Tidak tahu berapa kali dibentes, baru boleh berjaya.

Kaitan Waqaf Dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh

Sekali pandang tentu ramai yang tertanya-tanya apakah kaitan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dengan waqaf. Memang ada kaitannya. Pilihanraya kecil tentunya akan melibatkan aktiviti berkempen, samada melalui ceramah atau kempen rumah ke rumah. Pilihanraya kecil ini dijangka sengit kerana ia melibatkan Penasihat Parti PKR, DS Anwar Ibrahim yang akan menjadi calon mewakili Pakatan Rakyat. Calon daripada BN belum diputuskan lagi. Di antara lokasi yang akan menjadi tempat tumpuan kempen ialah masjid. Kempen pilihanraya menggunakan institusi masjid bolehlah dikatakan aspek utama untuk memenangi undi pengundi disebab tiga (3) faktor. Pertamanya, masjid digunakan untuk menyampaikan kempen terutamanya melalui khutbah jumaat. Kutbah jumaat menjadi senjata utama kempen kerana ia merupakan proses satu hala sahaja. Apa yang disampaikan oleh khatib tidak dapat dibalas hujjahnya. Jemaah terpaksa menelan apa yang diluahkan. Dalam Parlimen Permatang Pauh terdapat beberapa masjid yang dikatakan kubu kuat pembangkang (PKR-PAS) sejak dari dulu lagi. Antaranya Masjid Permatang Janggus, Masjid Kubang Semang dan Masjid Batu Kampong Pertama. Kedua, masjid juga merupakan tempat untuk menilai calon. Calon-calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang sering mengunjungi masjid akan dilihat oleh pengundi-pengundi sebagai ahli agama.Markah bonus diberi jika calon tersebut boleh menyampaikan khutbah jumaat dan memberi kuliah agama. Ini akan menjadi satu kelebihan kepada mereka. Ketiga, selalunya mana-mana calon yang mengunjungi masjid untuk bersembahyang atau berjumpa pengundi akan tetap diterima dan diraikan oleh semua orang, tanpa mengira latar belakang politik calon tersebut. Ini berlaku kerana kebanyakan jemaah masih menghormati institusi masjid sehinggakan masih boleh menerima calon yang bukan seiring dengan pendirian politik mereka.
Ketiga-tiga masjid ini dan masjid-masjid yang lain sudah pasti akan menjadi tumpuan ramai sepanjang tempoh berkempen pilihanraya kecil ini. Oleh kerana masjid berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan MAINPP masih dipengerusikan oleh ADUN UMNO, YB Shabudin Yahaya, maka perkara ini sangat menarik untuk dibincangkan. MAINPP sudah tentu pasti akan mengeluarkan arahan melarang khutbah jumaat dan kuliah agama berbaur politik di masjid-masjid ini sepanjang tempoh ini. Adalah sangat menarik untuk diperhatikan samada masjid-masjid ini akan mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh MAINPP ini. Apapun yang pasti walaupun ada pilihanraya kecil, kesucian masjid hendaklah dijaga. Masjid sepatutnya menjadi tempat perhimpunan jemaah untuk bersatu padu, bukan berpecah belah. Amat malang sekali jika masjid digunakan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam di Pulau Pinang. Tambahan pula ia berlaku pada masa sekarang di mana perpaduan umat Islam di negeri Pulau Pinang ibarat retak menanti belah. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam Parlimen Permatang Pauh untuk menjaga kesucian masjid. Menjaga kesucian masjid bermakna kita menjaga kesucian dan kemurnian waqaf tersebut.

Good Luck and All The Best To Fadzila Azni Ahmad

Assalamualaikum. I on behalf of all Phd student and Research Associates at Centre of Islamic Development Management Studies (ISDEV) would like to convey good luck and all the best wishes to our friend Fadzila Azni Ahmad. For the record, the viva session for Fadzila Azni Ahmad will be held at Post-Graduate Studies Institute on 9.30 am, 26 August 2008. Fadzila Azni Ahmad will be defending her research findings with title The Management Method of Islamic Development Institution in Malaysia. We hope she will past this viva with succes.

Bengkel Pengurusan Wakaf Program BANGKIT 2008 Panas !

Tuesday, August 5, 2008

Penyelidik Bersekutu Isdev Dilantik Ahli Panel Bengkel Wakaf BANGKIT 2008

Setelah memerintah Pulau Pinang selama 5 bulan, Kerajaan Pakatan Rakyat mula menunjukkan minat terhadap pengurusan wakaf. Buktinya Bengkel Pembangunan Umat Islam Pulau Pinang 2008 (ringkasnya Bangkit 2008) telah diadakan. Dalam program ini, sebanyak 21 bengkel perbincangan diadakan yang meliputi isu sosial, ekonomi, isu anak nelayan, hospital Islam, hotel Islam, pengurusan waqaf, zakat, pengimarahan masjid, sektor industri, usahawan, hasil negeri dan banyak lagi. Untuk memantapkan lagi bengkel waqaf tersebut beberapa orang daripada agensi kerajaan di Pulau Pinang telah dijemput. Salah seorang yang telah dijemput ialah penyelidik Bersekutu ISDEV yang membuat sedang membuat pengajian Phd mengenai waqaf.

Monday, August 4, 2008

Sah. Pertemuan Berlaku antara Penyelidik Bersekutu Isdev dan CEO Yayasan Wakaf Malaysia

Jika sebelum ini terdapat laporan tentang pertemuan yang dikatakan, risik-risik dengan IRA berkenaan mengesahkan bahawa berlaku pertemuan tersebut. Pertemuan itu terjadi di sebuah hotel 3 bintang di Butterworth.

Sunday, August 3, 2008

Wahai Kekasihku Wakaf. Cintaku Sampai Di Sini !

Wahai sayang. Apalah dayaku. Sudah 3 kali pinanganku ditolak. Ibu bapamu tidak dapat menerimaku. Abangmu memarahiku. Kakak-kakakmu tidak menyukai aku. Apakah kekuranganku. Aku berpelajaran tinggi. Ijazah ada. Masterpun ada. PhDku pula sedang di atas riba. Tunggu masa saja untuk hadir viva. Keretaku juga cantik. Namanya pun viva. Rupaku pun handsome. Gaji ku juga tebal. Cukup untukku, dirimu dan anak kita. Rumahku banyak. Sebut saja di mana. Pilihlah mana-mana Parlimen kau suka. Semuanya aku ada. Batu Kawan, Tasek Gelugor. Di Kepala Batas aku ada dua. Atau kau suka Permatang Pauh. Aku pun ada rumah di sana. Kalau kau mahu kita boleh tinggal di sana. Mungkin kau suka berkawan dengan Azizah. Atau kawanmu si Nuar itu. Bukan Azizah anak Pak Hassan. Tapi Wan Azizah doktor gigi itu. Bukan Nuar Kedai kopi, tapi Anwar Ibrahim itu.
Apa.... semuanya kau tidak suka. Apakah kau juga sudah tidak menyukaiku lagi. Jika kau tidak suka aku, siapa lagi yang aku suka. Hanya aku sukakan kau. Aku terlalu menyintaimu. Hanya kau sorang di hatiku. Sejak dahulu sehingga sekarang. Jika kau tidak sudi, apalah dayaku. Mungkinkah setakat ini saja cinta kita....... Mungkin juga aku patut kembali ke pangkuan Z yang telah lama ku tinggalkan.

Bumiku Bukan Lagi Pulau Pinang, Bumiku kini Putrajaya...........

Dipertikai di Majlis. Tidak dipeduli di PUZ. Tidak disukai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri. Apakah dosa aku. Beginikah keadaannya bila hendak membuat perubahan. Bukan untuk diri sendiri, tetapi perubahan untuk kepentingan ummah. Beginikah cabarannya untuk melaksanakan pengurusan Islam. Membaiki benda yang buruk untuk digantikan dengan benda baru yang lebih elok. Sukarnya melakukan perubahan. Ramai masih merasa selesa. "Comfort zone". Dengki-mendengki, iri hati. "Daripada dia dapat jawatan itu, lebih baik aku bagi tak jadi". Sampai begitu sekali hati kawan-kawanku. Atau mungkinkah aku yang buta mata. Sudah ditolak beberapa kali pun masih tak faham-faham. Anda tak diterima di sini. Go away. Get lost. Di sini bukan tempat anda. Pi jauh-jauh. Ah kenapa hati masih sukar memahami. Mengapa masih nak terus buat. Dah orang tak mau, buat apa nak tebiang lagi. Tak reti bahasa ka. Sudah beberapa hari aku solat istiqarah. Mungkin bumiku bukan Pulau Pinang lagi.Mungkin bumiku negeri lain. Ya Allah berilah aku petunjuk Mu. Berilah aku loronganMu. Aku amat berminat untuk membuat perubahan itu. Tapi aku tak diterima. Astagfirullah hal adzim.Ya Allah, ampunkan dosaku. Dosa kedua ibu bapaku. Dosa guru-guruku. Dosa ahli keluargaku. Dosa semua orang Muslimin dan muslimat. Ya Allah. Aku berserah padaMu. Berilah aku petunjuk...... Mungkin bumiku kini Putrajaya.

Sukarnya Hendak Membuat Perubahan Pengurusan Wakaf ?

Kehadiran kami tidak disukai. Arahan YB Yang Dipertua MAINPP tidak diikuti. Perjawatan Pegawai Khas kepada YB YDP MAINPP dipertikai. Alasannya tiada jawatan tersebut. Jawatan itu tidak pernah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Penolakan mereka semakin keras apabila seorang ahli Majlis Ex-Officio menyokong. Katanya hanya Menteri sahaja yang mempunyai pegawai khas. Pengarah Jabatan hanya tersenyum bila mendengar bosnya berkata. Apa lagi dia pun serupa. Padahal kehadiran kami tidak lebih daripada sekadar untuk membantu Majlis. YB YDP MAINPP bukan meminta-meminta jawatan itu. Arahan YAB Perdana Menteri supaya beliau melaksanakan tugas tersebut ternyata tidak dapat ditolak. Ibarat Sultan menitahkan arahan, sukar rakyat hendak membantah, takut Sultan murka. Akhirnya mahu tidak mahu YB YDP terpaksa memegang jawatan tersebut pada Ogos 2004. Alasan yang diberikan oleh YB Perdana Menteri mudah sahaja. YB orang dari dalam, tahu macamana hendak menyapu sampah dan kekotoran. Oleh kerana YB tahu banyak perkara tentang jabatan dan majlis, maka ramai yang curiga dan rungsing. Sebabnya. kami sendiri tidak tahu. YB pergi ke majlis dengan penuh semangat. Penyapu baru dibeli. Selepas 5 bulan YB terkontang-konteng. Tidak tahu apa hendak dibuat. Tiada support katanya. Lima bulan berlalu tanpa apa-apa program. Tiada apa-apa perubahan. Bantuan saya ditagih. Kata YB beliau tidak tahu tentang hal zakat dan wakaf, dua business utama majlis. Katanya sayalah orangnya yang sesuai. Katanya saya tahu dan mahir tentang wakaf dan zakat. Tanpa berfikir panjang saya terus setuju. Namun begitu masalahnya tiada jawatan. Siapa yang hendak bayar gaji. Majlis tentu tidak akan setuju, tambahan pula mereka ramai penyokong. Maka jalan dicari. Akhirnya diputuskan saya tidak jadi dipinjamkan kepada majlis tetapi ditempatkan di pejabat YDP MAINPP dengan skim gaji masih di pejabat lama dengan persetujuan pengurusan. Bulan Januari 2005, bermulalah era baru cabaran. Kedatangan saya menaikkan lagi rasa marah mereka. Sangka mereka YB pasti akan lari. Tetapi tidak, dulu seorang kini berdua pula. Apa lagi tugas pertama dijalankan. Perubahan pengurusan wakaf. Kenapa wakaf ? Kerana pengurusan zakat sudah baik. Cadangan mengkorporatkan wakaf timbul spontan. Mungkin kerana kejayaan anak syarikat menguruskan zakat.