Thursday, October 16, 2008

Sumbangan Wakaf Dalam Pembangunan Ummah

Sumbangan Dalam Bidang Keagamaan (Peribadatan)
Sumbangan wakaf dalam bidang keagamaan (peribadatan) selalunya berada di tempat teratas (Kahf, 2007). Menurutnya kebanyakan pendapatan wakaf digunakan untuk tujuan memakmurkan masjid seperti membayar gaji imam, elaun guru dan pendakwah, untuk tujuan pencucian dan pembersihan masjid, membeli permaidani, perbelanjaan air dan lampu (elektrik). Oleh kerana sumber pendapatan wakaf adalah bebas dan “self generating”, pada masa yang sama guru-guru dan pemimpin agama dapat memainkan peranan penting yang lain dalam masyarakat. Akibatnya semasa Penjajahan Perancis di Algeria, pihak Perancis mengambilalih pengurusan harta wakaf di Algeria pada tahun 1831 sebagai satu strategi membendung penentangan rakyat terhadap mereka (Kahf, 2007).
Sumbangan Dalam Bidang Pembangunan Sosio-ekonomi
Kepentingan dan kehebatan institusi wakaf dalam pembangunan sosio-ekonomi ini telah disebut dengan jelas oleh Sabra (2000), Cizakca (2000), Nik Mustapha (1999), Mahmud Saedon (2000) dan Ghazali Md Sais (1996). Sabra dan Cizakca misalnya telah menjelaskan peranan penting institusi wakaf dalam membasmi kemiskinan. Nik Mustapha (1999) mengatakan bahawa walaupun amalan wakaf tidak diwajibkan, sumbangannya dapat membiayai projek-projek sosio-ekonomi yang besar seperti membiayai Universiti Al-Azhar (Mesir), pembinaan Masjid Nabawi di Madinah (Arab Saudi) dan Oxford University di England. Mahmud Saedon (2000) pula memberikan contoh institusi pendidikan di Malaysia dan Singapura yang dibiayai oleh wang wakaf termasuklah Kolej Islam, Sekolah Al-Junid, Sekolah Al-Saggof dan Madrasah Al-Mashyur di Pulau Pinang. Ghazali Md Sais (1996) pula menekankan pentingnya peranan institusi wakaf sehingga beberapa buah Negara Timur Tengah telah menjadikan institusi wakaf sebagai badan atau kementerian yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan umat Islam.
Sumbangan Perkhidmatan Sosial, Kebajikan dan Kesihatan
Kehebatan bidang wakaf juga terserlah dalam beberapa bidang lain yang juga mendapat pembiayaan daripada dana wakaf. Contohnya sebahagian besar daripada usaha-usaha kebajikan dan perkhidmatan sosial dalam dunia Islam pada zaman pertengahan disumbangkan melalui institusi wakaf (Stillman, 1975, 2000, Cizakca 1995, Power, 1984). Antaranya adalah Kompleks Suleymaniye, masjid, makam, madrasah, sekolah perubatan, hospital, kolam mandi (hammam), tempat penyediaan dan penyajian makanan, rumah-rumah tumpangan dan pusat-pusat perniagaan (Kafadar, 1991), dispensari bergerak, pusat rawatan kecemasan, perpustakaan, universiti (Nagamia, 1986) dan program pembasmian kemiskinan [Yedyyildiz, 1996 (b)]. Imaret atau Pusat Penyediaan Makanan (Public Kitchen) juga merupakan entiti institusi wakaf yang sangat terkenal yang berperanan menyediakan makanan kepada orang-orang miskin dan orang lain yang memerlukannya seperti pelawat dan pengembara (Singer, 2004).
Sumbangan Dalam Bidang Pendidikan
Sumbangan wakaf yang terbesar selain bidang keagamaan ialah bidang pendidikan. Malah menurut Kahf (2007), sumbangan wakaf dalam bidang pendidikan merupakan yang kedua terbesar selepas bidang keagamaan. Bagi penulis lain, institusi wakaf telah turut memainkan peranan yang besar dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan secara percuma kepada masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan keturunan (Makdisi,1981). Buktinya cukup jelas. Di Jerusalem sahaja, terdapat lebih daripada 70 buah sekolah yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf dalam abad yang kedua belas.[Angka ini agak berbeza mengikut Kamil Jamil Al-Asali. Mengikutnya pada zaman awal abad ke dua puluh, terdapat sebanyak 64 buah sekolah yang mana semuanya wakaf dan dibiayai oleh harta-harta wakaf yang terdapat di Palestine, Turkey dan Syria. Daripada jumlah ini 40 buah sekolah diwakafkan oleh pemerintah Ayubites dan Mamalik (Kamil Jamil Al-Asali, 1983)]. Sementara itu, sebanyak 142 buah universiti di Turki, 87 buah sekolah dan universiti di Cyprus dan masing-masing 800 dan 786 buah universiti di Cecennestan dan Azerbaijan telah dibangunkan dan dibiayai oleh sumber wakaf. Universiti Al-Azhar di Mesir yang dibina pada tahun 975 M merupakan sebuah universiti yang tertua di dunia yang juga dibiayai sepenuhnya daripada sumber wakaf yang menyedia dan memberi pendidikan secara percuma daripada pendidikan rendah sehingga pendidikan universiti (Hashim, 1990). Pada tahun 1986, sejumlah £147,324,300 telah diperuntukkan oleh Universiti Al-Azhar untuk membiayai aktiviti-aktiviti pembangunan dan pendidikan termasuk perbelanjaan mengurus 55 buah fakulti yang sedia ada dengan 6,154 orang kakitangan tenaga pengajar (849 profesor, 819 profesor madya, 1,517 pensyarah, 1456 pembantu pensyarah dan 1,510 orang “readers”)[Razali, 2005]. Al-Azhar bukan sahaja terkenal dengan sumbangannya kepada pembangunan pendidikan Islam tetapi juga kepada aktiviti-aktiviti dakwah di seluruh dunia (Al-Habshi, 1991; Kahf, 2003).
Sumbangan Wakaf Kepada Dunia Barat
Model wakaf juga telah mempengaruhi masyarakat Barat sehingga model ini menjadi asas penting pembangunan masyarakat menerusi penubuhan institusi-institusi pendidikan, perkhidmatan sosial dan kebajikan (Gaudiosi, 1988). Misalnya pada tahun 1264, Walter de Merton telah menubuhkan Kolej Merton di University Oxford menggunakan konsep wakaf. Kajian yang dibuat oleh The Sutton Trust mendapati 10 buah univerisiti terkemuka di Amerika Syarikat dan United Kingdom masing-masing mengumpul sejumlah RM176.32 bilion dan RM29.25 bilion dalam bentuk endowment. Kajian oleh National Association of College and University Business Officers pula mendapati sejumlah RM737.2 bilion endowment terkumpul di 120 buah universiti di Amerika Syarikat. Universiti Harvard di Amerika Syarikat sahaja mengumpul sejumlah RM68.4 bilion dalam bentuk endowment yang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti pendidikan dan penyelidikan, penyelenggaraan perpustakaan dan pengendalian tabung biasiswa (Razali, 2005).
Penubuhan tabung-tabung amanah dan yayasan kebajikan atau foundation berdasarkan konsep wakaf ditubuhkan dan berkembang. Antara lain, ia bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan kegiatan seni, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, korporat, pendidikan, persekitaran, kewartawanan, penyelidikan perubatan dan agama. The Alfread P. Sloan Foundation yang ditubuhkan pada tahun 1934 mempunyai aset RM5.2 billion bermatlamat untuk membantu dan menyokong pembangunan sains dan teknologi, peningkatan prestasi ekonomi dan kehidupan, pendidikan dan program-progran sivik. Pendekatan baru terhadap pemilikan sumber alam dengan menggunakan pendekatan public trust telah mula dijadikan amalan khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. The Trust for Public Land (TPL) dan The National Park Trust (NPT) yang ditubuhkan pada tahun 1972 dan 1982 di Amerika Syarikat misalnya berperanan membantu masyarakat mewujudkan greenprint for growth dengan melindungi dan mempromosikan kepentingan tanah awam. Refkin (1996) dalam bukunya The End of Work pula menyarankan kepentingan sektor ini untuk digunakan sebagai alternatif mengurangkan bebanan kerajaan ke arah pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh (Razali, 2005).
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]

No comments: