Sunday, October 12, 2008

Majlis Agama Islam Negeri Perlu Mantapkan Bahagian Wakaf Tunai

Apabila ditanya apakah kekuatan (strength) Bahagian Skim Dana Wakaf Pulau Pinang (SDWPP) di bawah MAINPP, maka jawapan yang diterima cukup menyedihkan. 1 orang sahaja. Itulah kekuatan yang ada. Bahagian SDWPP dijalankan oleh seorang kakitangan sahaja, iaitu Pengurus Dana Wakaf. Itulah yang berlaku dalam tahun 2007 dan ke belakang. Ketika ini DWPP sudah mendapat seorang kakitangan tambahan. Kakitangan skim N17. Macam pegawai keranilah. Pada masa ini kakitangan inilah yang menjalankan aktiviti, membuat kaunter dan taklimat, menguruskan resit dan lain-lain aktiviti yang berkaitan. Ini tidak termasuk lagi kerja-kerja penyediaan laporan dan analisis. Boleh dapat dibayangkan apabila bekerja secara berseorangan dan tidak dipantau. Kerja pemasaran Dana Wakaf pulak bukanlah senang. Akhirnya banyak masa dihabiskan di pejabat sahaja tanpa apa-apa aktiviti berfaedah. Ini tentu memberi kesan kepada kutipan sumbangan Dana Wakaf. Difahamkan dalam tahun 2005, jumlah kutipan mencapai RM600k setahun, merosot kepada hanya RM17k setahun (2006). Dalam tahun 2007 jumlah itu menjunam turun kepada hanya RM7k sahaja setahun. Angka ini merupakan prestasi terburuk kutipan Dana Wakaf. Kenapa terjadi demikian? Apakah perkara ini tiada penyelesaiannya ?.
Dua tahun lepas (2006), terdapat cadangan supaya kakitangan Dana Wakaf ditambah. Caranya mudah. Lakukan pengambilan kakitangan secara kontrak tanpa melibatkan permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sebagai badan berkanun MAINPP boleh melakukannya kerana JPApun sudah membenarkannya jika MAINPP mempunyai kewangan yang cukup. Mengenai isu kewangan, telah ada cadangan penyelesaian yang boleh dilakukan. Pembayaran gaji boleh dilakukan dengan mengambil sebahagian (paling tinggi 30%) daripada hasil kutipan Dana Wakaf, asalkan perkara tersebut dimaklumkan kepada penyumbang. Isu syarak ini telahpun dibincangkan dengan Mufti Pulau Pinang. Beliau mengatakan boleh mengambil sebahagian kutipan untuk kos pengurusan termasuklah membayar gaji kakitangan Dana Wakaf. Namun begitu katanya sebahagian wang sumbangan ini tidak boleh diambil daripada Dana Wakaf yang sedang berjalan sekarang kerana portion tersebut belum dinyatakan boleh diambil kepada penyumbang sekarang. Apa yang boleh dilakukan ialah memaklumkan kepada penyumbang pada masa hadapan tentang cadangan untuk mengambil sebahagian kutipan DW untuk tujuan kos pengurusan. Malah difahamkan bahawa kertas kerja untuk kelulusan Jawatankuasa Fatwa sudah disediakan untuk kelulusan sebagaimana diarahkan oleh Mufti Pulau Pinang. Adalah dicadangkan jumlah kakitangan yang boleh diambil adalah seramai 6 orang mengikut daerah pejabat agama. Kakitangan pemasaran ini akan menjalankan tugasnya mengikut daerah masing-masing. Walau bagaimanapun idea-idea tersebut tinggal idea sahaja. Tiada siapa yang berautoriti di MAINPP yang mahu mengambil dan melaksanakannya. Ketua Bahagian Wakaf ketika itu pula ada idea lain yang katanya lebih baik. Katanya MAINPP tidak mempunyai masalah untuk mengambil kakitangan kontrak. Perbincangan akan dilakukan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Dari segi lain, pengurusan tertinggi MAINPP masih belum dapat menerima cadangan untuk perubahan. Cadangan untuk melaksanakannya melalui penubuhan anak syarikat juga tersekat. Kini selepas 2 tahun Bahagian Dana Wakaf hanya mempunyai 2 orang kakitangan sahaja. Cadangan alternatif yang dikemukakan juga tinggal cadangan sahaja. Difahamkan terdapat berita bahawa ada kertas cadangan menambahkan kakitangan dikemukakan tetapi tidak mendapat kelulusan. Tidak diketahui pula apakah sebabnya. Ahli majlis mungkin tidak nampak perkara ini sehingga mereka mungkin merasakan isu ini tidak penting. Akibatnya Skim Dana Wakaflah yang rugi. Produk berpotensi tetapi terperuk di pejabat, tidak dipasarkan. Dan rugilah orang-orang yang seharusnya mendapat pahala wakaf.
[Mat Wakaf : ingin jadi kaki wakaf dalam bidang wakaf kaki ]

1 comment:

Bumi Wahyu Enterprise said...

SETUJU SANGAT2 DENGAN ENCIK..SY PELAJAR NAK DAPATKAN DATA MENGENAI DANA WAKAF PUN SGT SUSAH..SBB SORANG JE SKRG YG MENGURUSKAN DANA NI..:(