Baru beberapa hari selepas komen diberikan tentang kekuatan Unit Dana Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), timbul tawaran dikemukakan kepada penulis untuk mengetuai unit Dana Wakaf tersebut. Tawaran itu dikemukakan oleh Encik Fakhruddin Abd Rahman, Setiausaha MAINPP sekarang sebaik sahaja apabila berjumpa penulis selepas selesai program Siri Syarahan ISDEV 7 - YB Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin di USM. Apa yang hendak dikatakan lagi. Walaupun SU MAINPP tidak membaca artikel yang ditulis di dalam blog tersebut, nampaknya beliau seakan dapat menghidu kedudukan unit Dana Wakaf tersebut yang under-strength. Dalam pertemuan untuk memaklumkan hasrat tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan. Antaranya menaikkan taraf dan status Dana Wakaf daripada unit kepada Bahagian, pertambahan kakitangan dan kempen pemasaran yang boleh dilaksanakan. Juga dibincangkan tentang cadangan mengadakan Muzakarah Dana Wakaf dan Konvensyen Wakaf Tunai di Pulau Pinang, anjuran bersama dengan universiti tempatan, kemungkinan tahun depan 2009. Walau bagaimanapun aspek gaji tidak dibincangkan. Tetapi daripada perbincangan, tawaran nampaknya menyerupai kedudukan seperti perjawatan Pegawai Khas kepada YB YDP MAINPP, iaitu ditempatkan di MAINPP, bukan dipinjamkan. Nah jika hari itu berdegang-degang mengkritik MAINPP, sekarang peluang telah diberikan, jadi apa yang perlu dilakukan. Penulis nampaknya terkedu apabila ditawarkan ke posisi tersebut. Pertama, kerana tidak menyangka akan ditawarkan kerana SU MAINPP tahu penulis sedang menunggu tawaran Yayasan Wakaf Malaysia (Untuk jawatan Pengurus Wakaf Tunai, YWM, penulis menuntut gaji berjumlah RM12,000, tetapi CEO YWM hanya berani menawarkan sebanyak RM8,500 sahaja. Seterusnya pertimbangan akan dikemukakan kepada Pengerusi YWM yang juga Menteri Di JPM. Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi samada permohonan gaji RM12,000 tersebut boleh diluluskan. Jika diluluskan penulis akan terbang ke YWM). Kedua, kerana penulis tidak berapa minat lagi bekerja di MAINPP. Sejak isu syarikat Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB) dibubarkan berlaku dan perlantikan penulis selaku Pengurus Besarnya dipertikaikan dan ditolak (dimalukan dalam bahasa penulis), penulis sebenarnya sudah cukup tawar hati untuk berkhidmat di sana. Hati pedih dan pedih hati mengenangkan kisah itu. Kesannya masih ada. Lukanya masih belum sembuh. Masih ada nanah kekuningan. Malah isu pengkorporatan wakaf itu, penulis sudah lupakan. Sudah penulis buang jauh-jauh dari ingatan. Penulis anggap harapan memperbaiki pengurusan wakaf melalui penubuhan syarikat korporat sudah lama mati. Sudah jadi mayat. Jadi abu kerana mayatnya dibakar. PWPPSB mati tanpa kubur dan batu nesan. Semasa penulis melarikan diri dan menyembunyikan diri di luar negara (selepas dimalukan), air mata penulis menitis tak henti-henti. Penulis menangis sepuas-puasnya mengenangkan hajat pengkorporatan wakaf yang tak sampai. Apabila pulang ke Malaysia, saat itu penulis tidak lagi meletakkan sebarang harapan kepada PWPPSB. Sudah kosong harapan. Sekarang kisah lama itu diungkitkan, diingatkan kembali, dengan tawaran yang dikemukakan. Kali ini tawaran datang daripada seorang kawan yang telah lama penulis kenal. Malah ketika penulis dimalukan, beliau turut juga kecewa dan sedih. Jadi bagaimana keputusan hendak dibuat?. Apa tindakan sekarang ? Jika dulu penulis memberi komen tentang kelembapan aktiviti Dana Wakaf Pulau Pinang (DWPP). Sekarang penulis sendiri diminta untuk mengaktifkannya semula. Jika dulu penulis mengatakan wakaf "mati" di bulan Ramadan, sekarang tugas penulis juga untuk menghidupkan wakaf di bulan Ramadan akan datang (tahun depan-2009). Apa sudah jadi? Sekarang sudah terkena batang hidung sendiri? Dulu kuat sangat bercakap, sekarang kena buat. Kalau tidak terima, nanti penulis dikatakan sebagai "sembang deras saja". Kalau hendak terima tawaran tersebut, hati dah tak berapa minat dan tawar. Aduh. Dilema. Dilema. Pening kepala.
[Dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]
[MAT WAKAF : Masa untuk menjadi "TRANSFORMER" dah sampai].
No comments:
Post a Comment