Monday, October 6, 2008

KELESTARIAN FIQH DALAM PENGURUSAN WAQAF DI PULAU PINANG

Kepelbagaian ilmu fiqh mengenai waqaf amat terserlah jika diteliti pelbagai pandangan ulamak mengenai mawquf waqaf. Misalnya para ulama Mazhab Shafie dan Hambali meletakkan syarat bahawa mawquf waqaf hendaklah bersifat kekal. Sifat kekal ini amat penting untuk memastikan manfaat dan pahala yang bakal diperolehi berkekalan selama mana harta dan manfaat waqaf itu wujud. Sifat kekal ini juga penting untuk membezakan amalan waqaf dengan amalan sedekah yang lain [Abu Zahrah, 1971:68 dipetik daripada Baharuddin Sayin, et.al (2006:12)]. Harta yang disedekahkan akan habis selepas digunakan. Contohnya memberi sedekah makanan kepada orang miskin, maka makanan tersebut akan habis selepas digunakan. Sebaliknya amalan waqaf hendaklah bersifat kekal, selagi harta waqaf berkenaan masih wujud. Penerima waqaf pula hanya boleh menikmati manfaat harta tersebut tanpa menjejaskan ainnya (fizikal harta tersebut).
Ulama Maliki dan Hanafi pula berpendapat harta waqaf tidak semestinya terdiri daripada harta kekal. Apa yang ditekankan oleh mereka ialah manfaat yang diperolehi. Ini bermakna mana-mana juga harta yang mendatangkan manfaat boleh diwaqafkan walaupun harta tersebut bersifat tidak kekal. Contohnya wang, pakaian dan peralatan perang. Namun mereka mencadangkan agar harta waqaf yang tidak kekal ditukarkan kepada harta kekal agar manfaat yang bakal diperolehi oleh pewaqaf akan berpanjangan (Baharuddin Sayin, et.al, 2006:13).
Berdasarkan kepada keterangan di atas, adalah jelas bahawa para ulama tidak sependapat mengenai mawquf waqaf, samada ia perlu bersifat kekal atau sebaliknya. Adakah kerana adanya perselisihan pendapat di kalangan ulama menyebabkan ibadat wakaf menjadi terbatas dan sukar berkembang? Atau adakah perselisihan pendapat di kalangan ulama ini memberi ruang yang cukup baik untuk meluaskan lagi jenis-jenis mawquf waqaf ? Adakah waqaf boleh mengambil bentuk-bentuk mawquf yang baru ?
PERUBAHAN MAWQUF WAQAF MASA KINI DAN AKAN DATANG
Walaupun perubahan bentuk mawkuf waqaf berlaku dengan kadar yang agak lambat, tetapi adalah dijangkakan bahawa perubahan akan terus berlaku dari semasa ke semasa. Di Johor, misalnya perubahan bentuk mawquf waqaf telah berlaku. Terbaru, bentuk mawquf waqaf yang paling kontemporari setakat ini ialah waqaf korporat yang dipopularkan oleh Johor Corporation (JCorp). Pada 3 Ogos 2006 JCorp telah mencipta sejarah, apabila mengambil langkah pertama yang berani ke arah menjadikannya sebuah Institusi Amanah Korporat sepenuhnya melalui pendekatan Islam iaitu waqaf. Langkah pertama dibuat dengan mewaqafkan sejumlah RM200 juta (atas dasar nilai aset bersih) salam JCorp dalam anak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Ia terdiri daripada 12.35 juta saham (atau bersamaan 4.68% saham) Kulim Berhad, 18.60 juta saham (bersamaan 9.25% saham) KPJ Healthcare Berhad dan 4.32 juta saham (3.57%) dalam Johor Land Berhad. Waqaf Korporat yang diperkenalkan oleh JCorp ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan oleh sebuah institusi bisnes korporat di dunia (Johor Corporation, 2008)
Daripada pemerhatian didapati akan berlakunya waqaf bentuk baru. Satu bentuk yang sudah dilaksanakan ialah waqaf buku. Waqaf buku ialah aktiviti mewaqafkan buku milik sendiri kepada pihak-pihak berkepentingan seperti perpustakaan atau tempat bacaan awam. Misalnya, di Pulau Pinang telah berlaku satu aktiviti mewaqafkan buku seperti mana yang dilakukan oleh keluarga Allahyarham Tun Dato Sri Hamdan Sheikh Tahir. Buku-buku milik beliau telah diwaqafkan oleh keluarga beliau kepada Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM). Sebenarnya mawquf waqaf dalam bentuk buku mempunyai potensi besar untuk dipopularkan. Ini kerana waqaf dalam bentuk buku adalah mudah dan murah. Boleh dikatakan hampir setiap individu di Malaysia memiliki buku. Paling kurangpun buku-buku teks sekolah yang dibeli. Jika dikumpulkan buku-buku yang tidak dipakai daripada majoriti orang Islam di Malaysia, sejak kecil hingga dewasa sehingga sekarang, maka jumlah buku yang dijangka dapat dikumpulkan adalah sangat tinggi dan banyak jumlahnya.
Satu bentuk lain mawquf yang dijadikan waqaf ialah pokok kelapa. Walaupun belum ada waqaf jenis ini dilakukan, tetapi waqaf bentuk ini telah popular di beberapa kampong di Medan, Indonesia. Wakaf Pokok Kelapa ialah merupakan aktiviti mewaqafkan buah pokok kelapa milik penduduk kampong yang miskin untuk digunakan sebagai pendapatan bagi membantu penduduk kampong lain yang juga orang miskin di dalam kampong tersebut dalam tempoh masa tertentu. Walaupun waqaf bentuk ini masih belum ada di Pulau Pinang, mahupun Malaysia, tetapi konsep waqaf sebegini boleh menjadi sangat berjaya di Malaysia jika diperkenalkan kerana sifat pokok kelapa yang mudah ditanam dan buahnya yang mudah diperolehi serta memerlukan modal yang sangat rendah.
[Sedutan sebahagian kertas kerja yang akan dibentangkan di Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran USM dan JAKIM pada 29 & 30 Oktober 2008]
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]

No comments: