Thursday, October 1, 2009

ARTIKEL YANG TIDAK DITERBITKAN OLEH BERITA HARIAN ?

MAKSIMAKAN PAHALA RAMADAN DENGAN TAMBAHAN IBADAT WAKAF TUNAI

Ganjaran Bersedekah Di Bulan Ramadan
Allah SWT telah menentukan kedudukan iman umatNya yang bagaimana untuk diberi ganjaran dan pahala yang terbaik. Sepertimana firmanNya yang bermaksud ;

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan atau kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya” (Surat Ali Imran, Ayat 96).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya” (Hadis riwayat Muslim).

Pun begitu jika ada sedekah jariah dan amal kebajikan yang dilakukan, ianya tidak akan dapat menyamai ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT semasa bulan Ramadan. Ini kerana sahabat Rasulullah yang terakhir wafat, Anas r.a berkata ;

“Rasulullah ditanyakan: “Wahai Rasulullah apakah sedekah yang paling utama? “. Jawapnya : “Sedekah pada bulan Ramadan” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Hadis ini mengesahkan bahawa sedekah mahupun amal kebajikan di bulan Ramadan Al-mubarak sangat tinggi pahalanya berbanding dengan bulan lain. Kini umat Islam di Malaysia telah memasuki 10 hari terakhir (fasa ketiga) Ramadan bagi tahun 1430H. Masing-masing giat melakukan amal kebajikan bagi mengaut pahala berganda yang ditawarkan, Mengikut hadis, bagi setiap ibadat wajib yang dikerjakan, pahala yang ditawarkan sangat lumayan iaitu 70 kali ganda pahala biasa. Bagi ibadat sunat pula, setiap ibadat yang dilakukan diberi balasan pahala wajib. Itulah kelebihan bulan Ramadan. Alangkah ruginya umat Islam yang masih lalai daripada merebut “bonus” yang diberikan oleh Allah SWT. Ibadat wajib yang akan mendapat pahala 70 kali ganda hanya ada dua iaitu solat dan zakat. Berbeza dengan solat yang dilakukan setiap hari, ramai umat Islam juga mengambil peluang membayar zakat di bulan Ramadan. Dengan itu tidak hairanlah ketika ini kaunter-kaunter zakat di seluruh negeri di Malaysia mendapat kunjungan berganda daripada umat Islam yang ingin membayar zakat. Ketika inilah Pusat-Pusat Zakat Negeri sibuk mengatur jadual dan program bagi melayani umat Islam yang mahu menunaikan zakat, samada zakat harta atau fitrah. Pelbagai promosi kempen dilakukan dan kaunter-kaunter luar termasuk di pusat membeli belah dan pejabat kerajaan dibuka untuk kemudahan orang ramai.

Lakukan Semua Ibadat Sunat Plus Wakaf Tunai
Ibadat sunat yang boleh dan mudah dilakukan sepanjang bulan yang mulia ini juga banyak dan pelbagai. Antaranya membanyakkan bersedekah, membaca Al-Quran, bertadarus, mengadakan jamuan berbuka puasa, berzikir dan berwirid mengingati Allah, memohon keampunan dan beriktikaf di masjid, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan. Ibadat-ibadat ini merupakan ibadat kegemaran dan pilihan ramai umat Islam Namun begitu satu ibadat sunat yang boleh dilakukan tetapi agak dilupakan oleh umat Islam ialah berwakaf dengan wang atau lebih popular dengan istilah wakaf tunai. Di beberapa negeri ia lebih dikenali dengan nama Saham Wakaf. Mengikut amalan dan tradisi umat Islam, wakaf tunai amat kurang dilakukan umat Islam di sepanjang bulan Ramadan sejak kebelakangan ini. Ia mungkin kerana wakaf tunai disamakan dengan sedekah walaupun hakikatnya kedua-duanya amat berbeza sekali. Oleh kerana menganggapnya sebagai sama, maka umat Islam berpandangan tidaklah lagi perlu membuat wakaf tunai lagi disebabkan telah melalukan sedekah. Apakah yang dimaksudkan wakaf tunai? Mengikut definisi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri, wakaf tunai bermaksud berwakaf melalui wang tunai dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan dan mewakafkan semula saham-saham tersebut kepada pihak yang menguruskannya iaitu Yayasan Waqaf Malaysia. Wang pembelian unit-unit saham ini akan dikumpulkan di dalam tabung Saham Wakaf untuk ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan badal. Hasil harta wakaf tersebut akan digunakan untuk kebajikan agama Islam dan umatnya.

Fatwa Wakaf Tunai
Walaupun terdapat perselisihan pendapat di kalangan Imam Mazhab tentang wakaf tunai, secara keseluruhannya, jumhur ulamak yang terdiri daripada Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki sepakat mengharuskan wakaf bagi harta alih (moveable asset) berdasarkan kepada hakikat bahawa semua harta alih boleh dijual dan boleh mendatangkan manfaat dan kekal zatnya, maka ianya diharuskan diwakafkan. Pun begitu, Imam Az-Zuhri, seorang ulama terkenal dalam ilmu hadis telah memfatwakan bahawa berwakaf dalam bentuk dinar dan dirham dibenarkan bagi tujuan-tujuan berdakwah, kebajikan masyarakat dan pembangunan ummah. Di Malaysia pula Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 77 yang bersidang di Kuala Terengganu pada 10 hingga 12 April 2007 telah memutuskan bahawa dibolehkan (harus) melakukan wakaf dalam bentuk wang tunai. Fatwa yang dikeluarkan ini menyebabkan keraguan dan polemik hukum wakaf tunai telah dapat diselesaikan. Ini menggalakkan lebih ramai umat Islam tampil untuk melakukan ibadat wakaf tunai.

Pihak Yang Menawarkan Wakaf Tunai .
Umat Islam boleh melaksanakan wakaf tunai ini di beberapa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan beberapa organisasi yang menawarkan skim wakaf tunai atau saham wakaf ini. Di Malaysia setakat ini hanya terdapat 6 MAIN yang menawarkan skim wakaf tunai atau skim saham wakaf dengan harga minima yang tertentu. Di antaranya ialah Skim Dana Wakaf Pulau Pinang (DWPP) pada harga wakaf minima RM5.00, Saham Wakaf Selangor (RM10.00), Saham Wakaf Pahang (RM10.00), Saham Wakaf Johor (RM10), Skim Wakaf Tunai Terengganu (RM10), dan Saham Wakaf Melaka (RM10). Skim Wakaf Tunai atau Saham Wakaf ini boleh dibeli dan diwakafkan di semua ibu pejabat MAIN dan cawangan-cawangan pusat zakat di negeri berkenaan. Misalnya bagi Dana Wakaf Pulau Pinang, skim ini boleh dilakukan di ibu pejabat MAINPP di Wisma UMNO Jalan Macalister, Georgetown dan di semua 7 cawangan Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZPP). Selain wakaf tunai yang ditawarkan oleh MAIN, umat Islam juga boleh mendapatkan Skim Wakaf Tunai Nasional (SWTN) yang ditawarkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), juga kadar harga minima RM10.00. SWTN ini boleh diperolehi di ibu pejabat YWM di Precint 15, Putrajaya dan 3 kaunter YWM yang dibuka di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Seksyen 5 Wangsa Maju, PPZ Taman Shamelin Perkasa dan PPZ Daruzzakah, Kampong Baru. Selain YWM, wakaf tunai juga ditawarkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada kadar harga minima RM10.00. Skim ini juga boleh diperolehi di ibu pejabat YADIM.

Kelebihan Melakukan Wakaf Tunai
Terdapat banyak kelebihan melakukan wakaf tunai, terutama jika ianya dibuat dalam bulan Ramadan. Pertama, oleh kerana wakaf tunai kurang dilakukan, maka jika kita melakukannya maka pahala yang diperolehi adalah lebih berbanding dengan orang lain. Jika kita tidak pernah melaksanakan wakaf tunai maka berbanding dengan tahun lalu, Ramadan tahun ini tentunya lebih baik berbanding dengan Ramadan tahun lalu. Ini tentunya menguatkan motivasi diri sendiri dalam memperbaiki dan meningkatkan ibadah sepanjang Ramadan pada setiap tahun. Mungkin pada tahun hadapan jumlah wakaf tunai yang diberikan mungkin lebih besar jumlahnya. Kedua, jumlah minima untuk mengeluarkan wakaf tunai yang sangat rendah membolehkan lebih ramai umat Islam melakukannya. Wakaf tunai memungkinkan umat Islam tidak perlu menjadi kaya atau mempunyai harta terlebih dahulu, baru boleh membuat wakaf. Kini dengan hanya sejumlah wang yang sangat rendah, mereka boleh melakukan ibadat wakaf. Ketiga, melalui wang dana wakaf tunai, aset-aset wakaf yang terbiar, kosong dan kurang berkeupayaan kewangan boleh dimaju dan dibangunkan untuk faedah ekonomi umat Islam. Keempat, dana wakaf tunai juga boleh membiayai sebahagian besar sekolah-sekolah agama dan institusi pendidikan Islam yang sentiasa mengalami masalah cash flow dan juga menyelenggara dan memperbaiki bangunan sekolah yang lama. Kelima, dengan adanya dana wakaf tunai yang besar jumlahnya, maka dapat banyak kegiatan yang dapat mengembangkan ekonomi umat Islam setempat. Misalnya dana wakaf tunai boleh digunakan sebagai pinjaman pembiayaan perniagaan dan perusahaaan kecil dan sederhana, sebagai pinjaman bagi menyelesaikan pembiayaan pemilikan aset atau rumah dalam kes-kes aset dilelong oleh pihak bank dan syarikat kewangan dan juga sebagai jalan penyelesaian masalah hutang along yang sering membelenggu umat Islam. Bagi menambahkan pemilikan aset umat Islam, dana wakaf tunai juga boleh digunakan. Setiap aset baru yang dibeli akan diwakaf dan disewakan. Begitulah setiap kali wang sewaan dan dana wakaf baru terkumpul, aset baru dibeli dan disewakan, menjadikan pusingan pendapatan sewaan bulanan bertambah dan berkembang.

Mohamad Salleh bin Abdullah
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

No comments: