Wednesday, October 28, 2009

MENGHADIRI DAN MEMBENTANGKAN KERTAS DALAM 2 SEMINAR SERENTAK

Pada 28 Oktober lalu, MSA berpeluang untuk membentangkan dua kertas dalam 2 seminar berasingan. Satu kertas dibentangkan di 3rd ISDEV International Development Management Conference (IDMAC09) : Islamic Capital Market dan satu lagi di Social Science Postgraduate National Seminar (SSPNS) 2009. Kedua-dua anjuran USM tetapi diadakan di tempat yang berasingan. IDMAC 09 diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, manakala SSPNS09 diadakan di Hotel Gurney, lebih kurang 15km jauhnya daripada USM. Pembentangan di IDMAC09 bermula pada jam 9.00 pagi, manakala SSPNS09 pada jam 4.00 petang. Maka agak bergegaslah jugak pada hari itu. Walau bagaimanapun perasaan dan feeling tetap best kerana dapat bentang 2 paper dalam satu hari. Walaupun letih tapi seronok. Tambahan pulak kertas yang dibentangkan merupakan antara kertas kerja yang terakhir dalam tahun ini dan 2010.
[Nota MSA: pertama dan terakhir membentangkan paper sukuk!].

Wednesday, October 21, 2009

RESTU ILMU - AMALAN YANG LAMA DITINGGALKAN ?

Jika mengikut pengalaman sendiri, ia merupakan amalan yang sudah lama ditinggalkan. Seingat MSA ketika saat perpisahan semasa Darjah 6, SRP dan SPM, ia tidak dilakukan. Semasa di bangku sekolah, ketika MSA bersekolah di SK Permatang Bertam dan kemudian di Penang Free School (tingkatan 1 hingga 6 rendah) ia juga tidak dilakukan. Ketika di sekolah menengah seingat MSA tiada guru, ustaz atau ustazah yang berbuat demikian. Apa yang dipraktikkan amatlah berbeza. Cara meminta restu ketika itu ialah tiap-tiap tahun pergi ke rumah cikgu pada hari raya, mohon ampun maaf dan beraya. Tetapi tidak pernah memohon restu ketika hari raya itu. Perkara yang sama berlaku ketika MSA di tingkatan 6 rendah dan 6 atas di Sekolah Menengah Dato' Onn, kat Bagan Ajam. [MSA sekolah kampong saje]. Namun begitu setiap tahun MSA dan kawan-kawan kamcheng (Oun, Tahir dan lain2) pergi berhari raya ke rumah guru kesayangan kami (Puan Rohani dan Puan Zainab) di Taman Robina, Telok Air Tawar, Butterworth. Tujuan ke sana untuk berhari raya, minta ampun dan maaf serta pohon guru restui kami. Halal ilmu, makan dan minum kami. Itu sahaja. Event dibuat secara spontan dan tidak dirancang tapi tetap emosional. Tetap ada nostalgianya. Walau bagaimanapun budaya ini mati apabila saya dan Tahir ke Universiti Malaya (UM) pada Jun 1983. Tambahan pula Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM (FEP UM) banyak pensyarah bukan Islam. Pensyarah Islam ada berapa kerat sahaja. Yang ada cuma Prof. Dr. Firdaus Abdullah (dulu Ketua Pengarah DBP), Dr Mahani Zainal Abidin (Ketua pengarah ISIS sekarang) dan Dr Norma Mansor. Dr Jomo dan isterinya, Dr. Shamsulbariah pun ada. Tapi masa tu Dr Jomo garang. Eee takut. Ketika itu sense of Islam agak kurang di UM. Tambahan pula semua pelajar bergaul dengan semua bangsa. Dr Mahani dan Dr Norma masa tu belum bertudung [Sayugia diingatkan sampai sekarang pun mereka berdua masih belum bertudung- hari itu tengok di Astro). Yang okay sikit ialah Dr. Ahmad Shabery Cheek, yang ajar paper politik. Namun begitu waktu bersama Shabery Cheek agak singkat sahaja, kerana beliau masa tu sibuk masuk parti Semangat 46 dan kemudian letak jawatan sebagai pensyarah untuk bertanding pilihanraya kecil DUN Kijal Terengganu. Masa tu lawan Ahmad Said, (bekas ADO Kemaman.... cara sebutan..... Kemamang) Menteri Besar Terengganu sekarang. Nasib tak baik, Ahmad Shabery Cheek tewas. Tamatlah karier seorang pensyarah. Semasa di FEP UM pun masih tiada ritual Restu Ilmu. Apabila tamat belajar (graduation) tak jumpa pensyarah pun, minta ampun dan maaf.
Namun begitu dalam tahun 2004, MSA berpeluang ke Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin pelajar MRSM Kulim sempena menghadapi peperiksaan akhir (SPM la tu). Masa tu ayah mertua tak dapat hadir (tak sihat), jadi diminta isteri MSA dan MSA mengantikannya, menjengukkan adik ipar MSA. Adik isteri MSA la. Atau adik perempuan kepada anak bapa mertua saya (Jangan pening oii). Ikut programnya, selepas bacaan Yasin, diadakan majlis ini, restu ilmu kepada semua guru-guru kelasnya. Minta ampun dan maaf. Selepas tu pelajar-pelajar diminta minta ampun maaf dan restu ibu bapa pulak. Oleh kerana kami (MSA dan isteri) jadi pengganti, maka kamipun menjadi "ibu bapa angkat" sekejap. Apa lagi semua satu dewan tu, dekat 400 orang menangis teresak-esak. Sangat syahdu suasana masa tu. Maklumlah anak dengan ibu bapa sangat nostalgia. Banyak dosa yang dilakukan. Itulah kali terakhir Majlis Restu Ilmu yang MSA lihat. Dan sehingga kini itulah yang paling akhir. Dah dekat 5 tahun yang lalu.
Jadi apabila Majlis Restu Ilmu yang sama diadakan kepada pelajar MISDEV08, MSA rasa amat nostalgia pada hari jumaat lalu. Ketika Sdra Ahmad Azrin Adnan membacakan / menceritakan hadis Rasulullah SAW tersebut [terdetik dalam hati, kantoi aku hari ini- kantoi= menangis aku hari ini], MSA pun tidak dapat lagi menahan sebak. Air mata tergenang. Cuba ditahankan air mata itu [Bukan apa tak mau bagi PM Dr Fatah nampak. Yang syoknya PM Dr. Fatah pun teriak (menangis) sama]. Suasana ini sangat noltalgia dan emosi. Siapa yang tak tersentuh dengan hadis Rasulullah SAW ini, hatinya bukanlah insan........ MSA tengok hari itu ramai yang mengalir air mata. Semuanya nak menangis, cuma ditahankan air mata supaya jangan menitis--- tak mau orang nampak). Tapi semuanya, kebanyakannya mengesat mata. Pasai apa ya ---- tak tau. Mata masuk habuk kot. Yang pasti ada banyak sebab MSA menangis. Pertama, kerana sedih kerana ikuti saat Rasulullah SAW hampir kepada kewafatannya. Kedua, menangis kerana banyak dosa kepada guru2. [Moga guru2 ampunkan]. Ketiga, menangis kerana banyak ilmu belum direstui oleh guru2ku yang dah lama berpisah. Moga guru-guru merestu ilmu yang dicurahkan. Amin.
[NotaMSA : Menangis, bukan kerana nak berpisah dengan awek Misdev08. Dia tak mai hari itu. Sapa ya....... mudah nak teka !]

Tuesday, October 6, 2009

ORGANIZATIONAL LAYOUT WISDEV DALAM ACUAN USM : CUBA FIKIR-FIKIRKAN !

Apakah yang dimaksudkan dengan organizational layout atau susunatur organisasi wakaf tunai ISDEV atau WISDEV ? Ianya bermaksud bagaimanakah wakaf tunai ini akan diuruskan, apakah bentuk organisasi dan sumber manusia yang terlibat, bentuk kerangka perundangan yang menguasainya dan mengawali skim ini, strategi kutipan dan pemasaran, sistem penyampaian manfaat wakaf, kaedah pembelian aset untuk dijadikan wakaf serta bentuk perbelanjaan-perbelanjaan dan program-program yang dibenarkan.
Dari segi struktur organisasi, bagaimanakah bentuk pengurusan WISDEV ini. Adakah ia akan diuruskan oleh satu jabatan atau bahagian yang akan ditubuhkan oleh USM. Atau sekadar satu bahagian di bawah ISDEV. Jika mahu WISDEV ini lebih hebat atau lebih mantap, mungkin USM boleh menubuhkan sebuah anak syarikat untuk menguruskannya. Atau cukup sekadar ISDEV menubuhkan sebuah yayasan untuk menguruskannya. Ianya boleh dinamakan Yayasan ISDEV. Penubuhan entiti organisasi yang akan menguruskan WISDEV ini juga akan menentukan siapakah yang akan mengetuai WISDEV. Jika anak syarikat USM, ia mungkin diketuai oleh pengurus besar (GM) atau Pengarah Urusan (MD). Jika yayasan, ia boleh diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif atau CEOnya. Jika USM atau ISDEV ingin menubuhkan bahagian atau jabatan sahaja, maka ianya setakat ketua bahagian atau ketua jabatan sahaja dengan skim dan tanggagaji setaraf dengan perjawatan USM sahaja. Tetapi jika anak syarikat atau yayasan, maka boleh diwujudkan skim perjawatan dan tanggagaji sendiri. Ini semua terpulang kepada bagaimanakah pihak atasan ISDEV atau USM melihat WISDEV ini. Bagaimana Visi dan Misi mereka ?Berpotensi atau tidak. Bagaimanakah ianya hendak diuruskan ? Jika mereka berfikiran luas dan objektif, mobilisasi sumber manusia boleh sampai ke tahap CEO, MD atau GM. Jika tidak mahu atau tidak berapa berani, maka ia mungkin ke tahap Ketua jabatan atau ketua bahagian sahaja. Atau paling teruk, hanya pegawai sahaja akan ditempat di sini.
Namun begitu perlu diingat bahawa pemilihan personel akan menentukan tahap kejayaan WISDEV. Jika CEO, MD atau GM dilantik, kita menjangkakan ia akan memberikan sumbangan dan impak yang besar terhadap kejayaan produk dan juga kejayaan organisasi ini, berbanding dengan hanya melantik seorang pegawai sahaja. CEO, MD atau GM sudah semestinya bertanggungjawab merancang, melaksanakan dan menganalisis pencapaian dan kejayaan produk dan juga syarikat yang diuruskannya. Samada CEO, MD, GM atau pegawai yang dilantik, ia juga akan bertanggungjawab merancang strategi kutipan dan pemasaran wakaf tunai ke negeri Pulau Pinang, jika tidakpun ke seluruh Malaysia. Ia juga perlu merancang bagaimanakah sumbangan boleh disalurkan ? Kaedah apa ? Samada bayaran terus, potongan gaji, online bank, internet banking atau sistem SMS. Ia juga perlu memikirkan di mana promosi hendak diadakan? Di samping itu jugak ia juga kena merancang bagaimanakah sumbangan kutipan wakaf tunai itu hendak dibelanjakan. Beliau kena tahu dan faham portion mana hendak dibelanjakan di mana ? Semuanya tidak boleh silap kerana semuanya melibatkan hukum syarak? Jadi CEO, MD, GM atau pegawai ini perlulah juga tahu operasional WISDEV ini. Dia juga perlu faham WISDEV ini dan melaksanakan program agihan wakaf ini dalam bentuk yang akan mendatangkan sumbangan yang berterusan kepada WISDEV. Bukan melaksanakan program yang akan menyebabkan orang ramai tidak lagi percaya kepada WISDEV dan tidak mahu menyumbang lagi. Program yang dilaksanakan perlulah pada masa sama bertujuan membuat agihan manfaat wakaf tetapi juga mempromosikan WISDEV ini dengan lebih hebat lagi. Beliau juga harus tahu tanggungjawab sebagai mutawalli yang dilantik oleh MAINPP, perlu menyediakan laporan yang perlu dikemukakan kepada MAINPP. Oleh kerana masa berlalu, wakaf tunai ini tidak boleh hanya bergantung kepada produk WISDEV sahaja. Produk wakaf tunai baru hendaklah diwujudkan dan dipromosikan. Ini adalah untuk menarik orang ramai terus menyumbang kepada WISDEV dan produk-produk wakaf tunai lain. Dari segi pengurusan kewangan dan governance, perlu disediakan peraturan kumpulan wang khusus untuk WISDEV. Perjalanan dan perbelanjaan wang kutipan akan mengikuti peraturan kewangan yang ditetapkan ini. Satu akaun berasingan dan khusus perlu diwujudkan untuk menyimpan wang kutipan ini sehinggalah jumlah kutipan mencukupi dan aset ssuai yang hendak dibina atau dibeli ditemui. Selepas pembelian aset, ia melibatkan aktiviti lain iaitu penyelengaraan semua aset yang dibeli dan juga pengurusan harta.
Inilah antara perkara-perkara yang perlu diperincikan apabila membincangkan organizational layout WISDEV. Mengadakan struktur organisasi entiti ini satu hal, manakala mengurusnya dari segi operasinya pulak satu hal yang lain. Semuanya bukan mudah. Namun begitu inilah yang perlu dilalui dan dilakukan terlebih dahulu sebelum memohon kelulusan untuk mengadakan Waqaf Tunai ISDEV. Itu belum tahu lagi samada mendapat kelulusan atau tidak daripada MAINPP. Belum mula sudah penat. Selepas lulus lagi penat untuk mempromosikannya.
[NotaMSA: Menggerakkan raksaksa yang sedang nyenyak tidur (ibarat kepada wakaf), memang penat, letih dan takut].

IS IT 3RD TIME LUCKY ? WAQAF TUNAI USM-ISDEV

Kali ini kali ketiga saya akan membuat organizational layout untuk wakaf tunai. Kali pertama, saya membuatnya untuk Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB). Keputusannya, layout berjaya, tapi saya dan syarikat kantoi (gagal). Mula-mula pelantikan saya sebagai Pengurus Besar PWPPSB dibatalkan. Kemudian syarikat pula dibubarkan. Kali kedua, saya buat organizational layout untuk Wakai Tunai Malaysia yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM). Saya buat organizational layout dan marketing layoutnya. Saya diajak bersungguh-sungguh berkhidmat di YWM walaupun pada mulanya saya tidak begitu berminat. [Nak kena pi Putrajaya]. Akhirnya ajakan bertubi-tubi CEOnya menarik minat saya. Isteri juga akur dan bersetuju nak ke Putrajaya. Akhirnya saya buat layout organizational dan layout marketingnya. Berjaya dan digunakan. Saya diminta menghantar resume. Tapi apabila saya menghantar resume dengan permintaan gaji yang dikatakan terlampau (tak banyak, cuma RM12,000 sahaja sebulan), terus saja selepas itu saya tidak mendengar apa lagi berita daripada CEOnya. Kalau dulu rajin email, telefon dan sms, selepas resume dihantar terus senyap dan hilang tanpa berita. Senyap sepi. YWM berjaya. Saya kantoi lagi. Pudar hasrat untuk berkhidmat dalam bidang wakaf tunai.
Ini kali ketiga saya akan membuatnya. Kali ini untuk Waqaf Tunai ISDEV atau ringkasnya WISDEV. Kali ini untuk Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh, Pengarah ISDEV. Seorang yang saya kenali kebaikannya. Beliau juga penyelia PhD saya. Beliau seorang yang sangat ikhlas. Namun begitu di fikiran terlintas banyak hal. Adakah sejarah lama akan berulang ? Membuat layout organizational, berjaya dan kemudian akhirnya saya dilupakan. Saya bukan kedekut ilmu. Jauh sekali. Ketika pertama kali membuatnya untuk PWPPSB saya memang bersungguh-sungguh. Semuanya, jiwa raga saya tumpukan untuk kebaikan PWPPSB. [Kan PWPPSB akan menjadi satu sejarah dalam institusi wakaf di Malaysia]. Pulau Pinang akan muncul sebagai negeri pertama yang mengkorporatkan wakafnya. Ia akan jadi ikutan. Memang telah nampak jelas akan perjalanan dan perjuangan yang akan dilalui. Ketika itu saya amat yakin PWPPSB akan berjaya dan menjadi contoh. Dengan ilmu dan pengalaman wakaf yang ada dan semangat untuk melihat wakaf dijulang kembali. Namun begitu kita merancang tetapi Allah SWT sebaik-baik perancang. Kini semuanya hanya tinggal impian sahaja. Masa tidak boleh diputarkan kembali. MAINPP akan mendapat YDP baru, tak kira siapa. PWPPSB tinggal kenangan.
Apabila membuatnya kali kedua untuk YWM, saya tidak lagi bercita-cita tinggi. Sejak dari awal hingga akhir, saya memang ingin mewakafkan ilmu yang dimiliki untuk menghasilkan organizational layout yang dipohon. Dan akhirnya itulah yang terjadi. Namun sebagai manusia biasa yang mempunyai hajat dan cita-cita, terkadang ada juga perasaan kecewa di hati walaupun semuanya telah diniatkan kerana Allah SWT. Mungkin niat kerana Allah SWT itu tidak cukup kuat dan kentalnya. Masih ada yang mengganggu di jiwa. Kini diminta membuatnya pula untuk kali ketiga. WISDEV namanya. Pelbagai persoalan bersarang di fikiran. Mungkinkah kali ketiga akan berjaya. Permohonan WISDEV telah dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang. MAINPP minta pandangan USM akan hal ini. Sekarang pihak ISDEV sedang berurusan dengan pihak USM untuk mendapatkan kebenaran USM. Persoalannya, jika WISDEV diluluskan bagaimanakah bentuk organizational layoutnya ?
[NotaMSA : Dalam fikiran berkata : tunaikan saja hajat orang. Balasannya nanti tuntut di akhirat]

BERTUNGKUS LUMUS MENYIAPKAN KERTAS KERJA SEMINAR ISLAMIC CAPITAL MARKET

Oleh kerana dateline akhir penyerahan kertas kerja penuh 3rd ISDEV International Islamic Development Management Conference : Islamic Capital Market (IDMAC09) telah lama berlalu (pada 28 September 2009 yang lalu), maka saya tiada pilihan lain melainkan siang dan malam cuba menyiapkan kertas kerja tersebut. Hendak menyiapkannya bukanlah mudah kerana sukuk adalah satu bidang yang sangat asing. Namun begitu apakah daya, sebab sudah berjanji akan bentang (dan juga dah malu dan segan dengan supervisorku Dr Z) , maka paper tersebut terus diusahakan jugak. Tambahan pulak paper tu merupakan paper yang akhir untuk tahun ini dan jugak tahun depan (2010). Mahu tak mahu terpaksalah bersengkang mata membuatnya. Dan dirasakan kertas ini paling sukar untuk dibuat kerana tak tau apa benda sukuk tu. Terpaksalah membaca artikel yang didownload daripada internet. Ada banyak artikel dan banyak yang tak faham. Saya rasa samalah macam orang lain nak faham tentang wakaf. Tentu susah no. Begitulah saya ketika hendak memahami sukuk. Susah bangat. Setakat ini baru berupaya menyiapkan 3 mukasurat sahaja, yang merangkumi Bahagian 1 dan 2. Ada 4 bahagian lagi, yang mana merupakan bahagian isi penting atau inti-pati paper ini. Saya cuba usahakan paper ini sebelum conference berlangsung pada 28-29 Oktober 2009. Pada tarikh sama juga ada conference lain iaitu Social Science Postgraduate National Seminar 2009 di Hotel Gurney yang juag saya telah sahkan penyertaannya. Namun begitu paper tak berapa risau sebab dah siap papernya. Tunggu nak bentang sahaja. Yang risau paper IDMAC 09 ni. Bila nak siap ? Dalam 2 hari seminar tu terpaksalah berulang antara IDMAC dan SSPNS. Tentu kalut kan.
[NotaMSA: Penantian debaran membentangkan paper terakhir ?]

Thursday, October 1, 2009

ARTIKEL YANG TIDAK DITERBITKAN OLEH BERITA HARIAN ?

MAKSIMAKAN PAHALA RAMADAN DENGAN TAMBAHAN IBADAT WAKAF TUNAI

Ganjaran Bersedekah Di Bulan Ramadan
Allah SWT telah menentukan kedudukan iman umatNya yang bagaimana untuk diberi ganjaran dan pahala yang terbaik. Sepertimana firmanNya yang bermaksud ;

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan atau kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya” (Surat Ali Imran, Ayat 96).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya” (Hadis riwayat Muslim).

Pun begitu jika ada sedekah jariah dan amal kebajikan yang dilakukan, ianya tidak akan dapat menyamai ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT semasa bulan Ramadan. Ini kerana sahabat Rasulullah yang terakhir wafat, Anas r.a berkata ;

“Rasulullah ditanyakan: “Wahai Rasulullah apakah sedekah yang paling utama? “. Jawapnya : “Sedekah pada bulan Ramadan” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Hadis ini mengesahkan bahawa sedekah mahupun amal kebajikan di bulan Ramadan Al-mubarak sangat tinggi pahalanya berbanding dengan bulan lain. Kini umat Islam di Malaysia telah memasuki 10 hari terakhir (fasa ketiga) Ramadan bagi tahun 1430H. Masing-masing giat melakukan amal kebajikan bagi mengaut pahala berganda yang ditawarkan, Mengikut hadis, bagi setiap ibadat wajib yang dikerjakan, pahala yang ditawarkan sangat lumayan iaitu 70 kali ganda pahala biasa. Bagi ibadat sunat pula, setiap ibadat yang dilakukan diberi balasan pahala wajib. Itulah kelebihan bulan Ramadan. Alangkah ruginya umat Islam yang masih lalai daripada merebut “bonus” yang diberikan oleh Allah SWT. Ibadat wajib yang akan mendapat pahala 70 kali ganda hanya ada dua iaitu solat dan zakat. Berbeza dengan solat yang dilakukan setiap hari, ramai umat Islam juga mengambil peluang membayar zakat di bulan Ramadan. Dengan itu tidak hairanlah ketika ini kaunter-kaunter zakat di seluruh negeri di Malaysia mendapat kunjungan berganda daripada umat Islam yang ingin membayar zakat. Ketika inilah Pusat-Pusat Zakat Negeri sibuk mengatur jadual dan program bagi melayani umat Islam yang mahu menunaikan zakat, samada zakat harta atau fitrah. Pelbagai promosi kempen dilakukan dan kaunter-kaunter luar termasuk di pusat membeli belah dan pejabat kerajaan dibuka untuk kemudahan orang ramai.

Lakukan Semua Ibadat Sunat Plus Wakaf Tunai
Ibadat sunat yang boleh dan mudah dilakukan sepanjang bulan yang mulia ini juga banyak dan pelbagai. Antaranya membanyakkan bersedekah, membaca Al-Quran, bertadarus, mengadakan jamuan berbuka puasa, berzikir dan berwirid mengingati Allah, memohon keampunan dan beriktikaf di masjid, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan. Ibadat-ibadat ini merupakan ibadat kegemaran dan pilihan ramai umat Islam Namun begitu satu ibadat sunat yang boleh dilakukan tetapi agak dilupakan oleh umat Islam ialah berwakaf dengan wang atau lebih popular dengan istilah wakaf tunai. Di beberapa negeri ia lebih dikenali dengan nama Saham Wakaf. Mengikut amalan dan tradisi umat Islam, wakaf tunai amat kurang dilakukan umat Islam di sepanjang bulan Ramadan sejak kebelakangan ini. Ia mungkin kerana wakaf tunai disamakan dengan sedekah walaupun hakikatnya kedua-duanya amat berbeza sekali. Oleh kerana menganggapnya sebagai sama, maka umat Islam berpandangan tidaklah lagi perlu membuat wakaf tunai lagi disebabkan telah melalukan sedekah. Apakah yang dimaksudkan wakaf tunai? Mengikut definisi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri, wakaf tunai bermaksud berwakaf melalui wang tunai dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan dan mewakafkan semula saham-saham tersebut kepada pihak yang menguruskannya iaitu Yayasan Waqaf Malaysia. Wang pembelian unit-unit saham ini akan dikumpulkan di dalam tabung Saham Wakaf untuk ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan badal. Hasil harta wakaf tersebut akan digunakan untuk kebajikan agama Islam dan umatnya.

Fatwa Wakaf Tunai
Walaupun terdapat perselisihan pendapat di kalangan Imam Mazhab tentang wakaf tunai, secara keseluruhannya, jumhur ulamak yang terdiri daripada Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki sepakat mengharuskan wakaf bagi harta alih (moveable asset) berdasarkan kepada hakikat bahawa semua harta alih boleh dijual dan boleh mendatangkan manfaat dan kekal zatnya, maka ianya diharuskan diwakafkan. Pun begitu, Imam Az-Zuhri, seorang ulama terkenal dalam ilmu hadis telah memfatwakan bahawa berwakaf dalam bentuk dinar dan dirham dibenarkan bagi tujuan-tujuan berdakwah, kebajikan masyarakat dan pembangunan ummah. Di Malaysia pula Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 77 yang bersidang di Kuala Terengganu pada 10 hingga 12 April 2007 telah memutuskan bahawa dibolehkan (harus) melakukan wakaf dalam bentuk wang tunai. Fatwa yang dikeluarkan ini menyebabkan keraguan dan polemik hukum wakaf tunai telah dapat diselesaikan. Ini menggalakkan lebih ramai umat Islam tampil untuk melakukan ibadat wakaf tunai.

Pihak Yang Menawarkan Wakaf Tunai .
Umat Islam boleh melaksanakan wakaf tunai ini di beberapa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan beberapa organisasi yang menawarkan skim wakaf tunai atau saham wakaf ini. Di Malaysia setakat ini hanya terdapat 6 MAIN yang menawarkan skim wakaf tunai atau skim saham wakaf dengan harga minima yang tertentu. Di antaranya ialah Skim Dana Wakaf Pulau Pinang (DWPP) pada harga wakaf minima RM5.00, Saham Wakaf Selangor (RM10.00), Saham Wakaf Pahang (RM10.00), Saham Wakaf Johor (RM10), Skim Wakaf Tunai Terengganu (RM10), dan Saham Wakaf Melaka (RM10). Skim Wakaf Tunai atau Saham Wakaf ini boleh dibeli dan diwakafkan di semua ibu pejabat MAIN dan cawangan-cawangan pusat zakat di negeri berkenaan. Misalnya bagi Dana Wakaf Pulau Pinang, skim ini boleh dilakukan di ibu pejabat MAINPP di Wisma UMNO Jalan Macalister, Georgetown dan di semua 7 cawangan Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZPP). Selain wakaf tunai yang ditawarkan oleh MAIN, umat Islam juga boleh mendapatkan Skim Wakaf Tunai Nasional (SWTN) yang ditawarkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), juga kadar harga minima RM10.00. SWTN ini boleh diperolehi di ibu pejabat YWM di Precint 15, Putrajaya dan 3 kaunter YWM yang dibuka di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Seksyen 5 Wangsa Maju, PPZ Taman Shamelin Perkasa dan PPZ Daruzzakah, Kampong Baru. Selain YWM, wakaf tunai juga ditawarkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada kadar harga minima RM10.00. Skim ini juga boleh diperolehi di ibu pejabat YADIM.

Kelebihan Melakukan Wakaf Tunai
Terdapat banyak kelebihan melakukan wakaf tunai, terutama jika ianya dibuat dalam bulan Ramadan. Pertama, oleh kerana wakaf tunai kurang dilakukan, maka jika kita melakukannya maka pahala yang diperolehi adalah lebih berbanding dengan orang lain. Jika kita tidak pernah melaksanakan wakaf tunai maka berbanding dengan tahun lalu, Ramadan tahun ini tentunya lebih baik berbanding dengan Ramadan tahun lalu. Ini tentunya menguatkan motivasi diri sendiri dalam memperbaiki dan meningkatkan ibadah sepanjang Ramadan pada setiap tahun. Mungkin pada tahun hadapan jumlah wakaf tunai yang diberikan mungkin lebih besar jumlahnya. Kedua, jumlah minima untuk mengeluarkan wakaf tunai yang sangat rendah membolehkan lebih ramai umat Islam melakukannya. Wakaf tunai memungkinkan umat Islam tidak perlu menjadi kaya atau mempunyai harta terlebih dahulu, baru boleh membuat wakaf. Kini dengan hanya sejumlah wang yang sangat rendah, mereka boleh melakukan ibadat wakaf. Ketiga, melalui wang dana wakaf tunai, aset-aset wakaf yang terbiar, kosong dan kurang berkeupayaan kewangan boleh dimaju dan dibangunkan untuk faedah ekonomi umat Islam. Keempat, dana wakaf tunai juga boleh membiayai sebahagian besar sekolah-sekolah agama dan institusi pendidikan Islam yang sentiasa mengalami masalah cash flow dan juga menyelenggara dan memperbaiki bangunan sekolah yang lama. Kelima, dengan adanya dana wakaf tunai yang besar jumlahnya, maka dapat banyak kegiatan yang dapat mengembangkan ekonomi umat Islam setempat. Misalnya dana wakaf tunai boleh digunakan sebagai pinjaman pembiayaan perniagaan dan perusahaaan kecil dan sederhana, sebagai pinjaman bagi menyelesaikan pembiayaan pemilikan aset atau rumah dalam kes-kes aset dilelong oleh pihak bank dan syarikat kewangan dan juga sebagai jalan penyelesaian masalah hutang along yang sering membelenggu umat Islam. Bagi menambahkan pemilikan aset umat Islam, dana wakaf tunai juga boleh digunakan. Setiap aset baru yang dibeli akan diwakaf dan disewakan. Begitulah setiap kali wang sewaan dan dana wakaf baru terkumpul, aset baru dibeli dan disewakan, menjadikan pusingan pendapatan sewaan bulanan bertambah dan berkembang.

Mohamad Salleh bin Abdullah
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

CALL FOR PAPERS (COMMENTS) !

Oleh kerana tidak diterbitkan di akhbar Berita Harian, maka artikel ini saya terbitkan sendiri di akhbar sendiri (blog).[Puas hati aku. kah (3x)]. Jadi kawan-kawan boleh menilai dan memberikan komen supaya pembaikian dan penambahbaikan boleh dilakukan kepada artikel ini supaya ia lebih ummpphh dan menarik. CALL FOR PAPER (COMMENTS)
[NotaMSA : Woi, macam anjur seminar pulak]

ARTIKEL YANG DIHANTAR KEPADA AKHBAR BERITA HARIAN TIDAK DITERBITKAN ?

Hampir setiap hari daripada tarikh pengiriman artikel sehinggalah musim raya habis, saya membelek akhbar Berita Harian setiap hari. Tidak pernah miss. Tujuannya satu, untuk melihat samada artikel yang dihantar keluar atau tidak. Hati saya berharap artikel tersebut disiarkan, tetapi sehingga hari ini, artikel tersebut tidak disiarkan oleh Berita Harian. Dah tak diterbitkan tak apalah, mungkin tahun depan akan diterbitkan. Di dalam hati, saya menyenaraikan beberapa alasan (nak bagi sedap hati tu). Pertama, saya berfikir mungkin Berita Harian telah mempunyai penulis tamu yang diminta menulis pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Mungkin sesuatu topik dan penulisnya telah dirancang dan ditetapkan. Kedua, mungkin artikel saya dihantar agak lewat (19 Ramadan) sehingga tiada ruang dan hari untuk penerbitan. Ketiga, mungkin topiknya tak begitu menarik hingga menyebabkan editor tidak minat untuk menyiarkannya. Jika alasan yang diketiga diberikan, saya amat tidak bersetuju. Saya bantah keras. Ini kerana saya takut isu wakaf terus-menerus dipinggirkan. Sudahlah sudah dipinggirkan oleh pihak berkuasa, ini pulak turut juga dipinggirkan oleh media cetak. Jika begitulah dasar yang diambil, saya rasa amat tidak wajar sekali. Amatlah tidak kena wakaf yang mampu berperanan dalam pembangunan ekonomi umat Islam terus menerus dipinggirkan oleh semua pihak; pihak berkuasa, media dan orang ramai. Ataupun apakah media sebenarnya sudah letih mengutarakan isu wakaf. Walaupun isu wakaf diutarakan, pihak berkuasa masih alpa, membisu dan tidak mengambil apa-apa tindakan, menyebabkan media tidak lagi berminat membangkitkan isu ini lagi. Saya berharap kesemua hujah yang dibincangkan ini tidak benar dan tidak berlaku berlaku, insyaAllah. Saya berdoa supaya pihak berkuasa berbuat sesuatu untuk kemajuan dan pembangunan wakaf. Atau apakah mungkin artikel saya ini sebenarnya kurang berkualiti. Isu yang dibincangkan tidak menarik dan isi yang dikemukakan tidak kemas, menyebabkan sang editor tiada pilihan selain menyimpannya untuk tahun depan, untuk tahun hadapan dan untuk tahun hadapan (maksudnya tak akan disiarkan langsung). Apapun kawan-kawan boleh menilai samada artikel ini berkualiti atau tidak. Pandangan ikhlas dan brutal daripada kawan-kawan boleh membantu membaiki artikel ini.
[NotaMSA : Tak putus asa. Akan menulis sehingga diundang menulis]