Itulah yang boleh disimpulkan selepas 2 kali lawatan ke Medan Indonesia dilakukan pada tahun ini dan tahun lepas (2008). Tinjauan di kedai buku dan tulisan di blog mendapati tajuk ini sangat popular di Indonesia. Walau bagaimanapun dalam artikel dan buku yang dijumpai tidak dinyatakan dengan jelas sejelasnya apakah maksudnya wakaf produktif itu. Apapun kita masih dapat memahami apakah maksud wakaf produktif tersebut. Ia merujuk kepada kedudukan wakaf sekarang yang tidak memberikan banyak manfaat kepada ummah kerana tidak diuruskan dengan baik, tanah wakaf dibiarkan kosong dan tidak dijaga, yang mana akhirnya akibatnya manfaat tidak sampai kepada penerima. Dari segi yang lain kelemahan wakaf untuk menjadi sebagai alat pembangunan ummah juga menyebabkan ianya disifatkan sebagai tidak produktif. Ini hanya pendapat saya. Bukan definisi yang diberikan oleh penulis-penulis Indonesia dalam artikel yang saya baca. 9 artikel yang ditulis dalam buku Wakaf Produktif : Pemberdayaan Ekonomi Umat (keluaran tahun 2004) ada menyebut tentang wakaf produktif tetapi tidak menghuraikan makna sebenar istilah tersebut. Untuk mendapatkan istilah sebenar wakaf produktif yang dibincangkan, saya terpaksa merenung semula artikel-artikel ini, cuba memahamkan dan akhirnya menggali rahsia-rahsia yang boleh dicungkil daripada semua artikel ini. Ini akan mengambil masa yang lama. Berbaloi atau tidak. Mungkin untuk lebih mudah, saya cuba dapatkan penulis Indonesia pertama yang mula-mula memperkenalkan istilah wakaf produktif ini. Mungkin beliau telah menghuraikan definisi ini.
[MSA : Siapa orang pertama di Malaysia yang memperkenalkan wakaf produktif ?]
No comments:
Post a Comment