Tuesday, March 30, 2010

PELANTIKAN KE JAWATAN BARU = PELUANG BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT + BEKALAN HARI AKHIRAT

"Public speaking" sudah lama ditinggalkan. Kini kembali menjadi "public figure".

Seingat-ingat sudah agak lama, MSA tidak memegang apa-apa jawatan sukarela (tiada gaji, tiada projek) dalam masyarakat. Sejak MSA digulingkan daripada jawatan Ketua Pemuda cawangan sebuah parti politik pada tahun 2003, MSA tidak memegang apa-apa jawatan lagi. Selepas peristiwa penggulingan tersebut, rakan dan ahli parti menganggap MSA merajuk dan menyepikan diri. Hakikat sebenarnya MSA tidak lagi dilantik (tidak diperlukan) ke apa-apa jawatan dalam masyarakat. Oleh kerana tidak lagi dilantik, MSA merasakan masyarakat tidak lagi memerlukan khidmat bakti MSA. Ketika itu MSA memikirkan mungkin sudah sampai masanya, tenaga dan usaha ditumpukan kepada perkembangan karier MSA sendiri. Bagi mengisi masa lapang dan meningkatkan kebolehan diri sendiri, MSA menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dengan mendaftar kursus Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) di USM. Sejak tarikh itu, maka sibuklah MSA dengan pengajian dan tugasan kursus selama lebih kurang 2 tahun. Pada ketika itu semua ingatan kepada kerja-kerja masyarakat sudah mula dilupakan akibat kesibukan diri sebagai pelajar sambilan. Selepas lulus MPA pada 2006, MSA berehat sebentar dan kemudian mendaftar pula untuk kursus Doktor Falsafah (PhD), juga di USM pada Oktober 2007. Sehingga sekarang sudah 2 tahun setengah MSA mengikuti pengajian PhD ini. Kesimpulannya sejak daripada 2003 hingga 2010, sudah 7 tahun lamanya MSA tidak terlibat secara aktif dengan masyarakat dalam bentuk memegang jawatan, paling kurangpun AJK.

Kini tahun 2010, MSA mula mendapat perhatian masyarakat semula. Pada Januari 2010, MSA telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Dakwah dan Kebajikan, Surau Kampong Lahar Ikan Mati (KLIM), iaitu kampong kesayangan di mana ibu bapa MSA tinggal. Tugasnya adalah menjalankan aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat kampong. Antara aktiviti yang ditugaskan ialah mengadakan program pengajian dan ilmu seperti ceramah dan kuliah bulanan, bertujuan untuk mengajak anak qaryah datang ke surau. Tugas lain ialah untuk mengadakan semula pakatan mentara kampong yang sudah lama terkubur. MSA tidak pasti bilakah pakatan mentara terkubur tetapi sejak MSA tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kampong, pakatan mentara mulai layu dan semakin tidak mendapat sambutan. Aktiviti kebajikan untuk pemuda dan belia kampong tidak dijalankan, menyebabkan pakatan mentara juga menjadi mangsanya. MSA menerima jawatan ini atas beberapa alasan antaranya, dapat pulang ke kampong menziarahi ayah dan ibu di kampong. Alasan lain ialah ingin menyediakan bekalan amal dan kebajikan untuk berjumpa dengan Allah SWT di hari akhirat kelak.

Kemudian pada 13 Mac 2010 yang lalu, MSA telah dilantik sebagai AJK PIBG Sekolah Kebangsaan Guar Perahu. Mulanya MSA dicalonkan untuk jawatan Yang DiPertua PIBG. Walau bagaimanapun oleh kerana jawatan itu agak tinggi tambahan pula MSA tidak berapa tahu sepak terajang PIBG maka MSA menarik diri, tidak berani bertanding jawatan YDP PIBG. Walaupun demikian beberapa ibu yang mereka kenal MSA (selalu dok beli kueh dan makanan kat kedai dia orang) tetap mencalonkan MSA. MSA pun tidak tahu apakah alasan mereka mencalonkan MSA sebagai AJK PIBG. Mungkin kerana 2 orang anak MSA lulus 5A dalam peperiksaan UPSR dan melanjutkan pelajaran ke sekolah baik-baik, maka mereka menganggap MSA calon ibu bapa mithali yang sesuai untuk meduduki kerusi panas PIBG sekolah. Apapun alasan mereka MSA sekarang agak keberatan untuk memegang apa-apa jawatan dalam masyarakat. Ini kerana MSA sekarang suka menyepi diri, low profile daripada dikenali oleh khalayak ramai. Jawatan, tanggungjawab dan glamour bukan lagi sesuatu yang dikejar. Tanggungjawab datang bersama amanah dan sudah tentu amanah merupakan sesuatu yang perlu dipikul dan dilaksanakan, tambahan pula akan disoal nanti akan kerjabuatnya. Jika tidak ditunaikan amanah, pasti akan merasa kesakitan di akhirat nanti. Pun demikian oleh kerana sudah dilantik MSA tiada pilihan lagi, melainkan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin kerana MSA mempunyai pandangan baru dan jitu tentang tugas-tugas sukarela di dalam masyarakat sekarang. Pelantikan ke jawatan ini memberikan peluang kepada MSA untuk berbakti kepada masyarakat dan menuai hasilnya di akhirat nanti. InsyaAllah.

"Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa kami. Kau ampunilah dosa kedua-dua ibubapa kami, keluarga kami, muslimin dan muslimat sekelian. Kau berkatilah hidup kami. Kau matikanlah kami dalam keadaan kami telah bersedia berjumpa denganMu"

[NotaMSA : Aku hanya insan lemah dan tiada berpengetahuan. Maafkan aku jika tidak dapat menyumbang sehabis baik yang mungkin]

2 comments:

Radieah Mohd Nor said...

Assalamu'alaikum

Tahniah En Salleh

Wassalam

MOHAMAD SALLEH ABDULLAH said...

Waalaikum salam, Sdri Radieah.

Terima kasih atas ucapan tahniah dan penghargaan. Jawatan baru, tanggungjawab baru. Amanah yang kena dipikulkan... terasa berat sangat. Wassalam