Monday, February 22, 2010

KENYATAAN YDP MAINPP MENGENAI KEDUDUKAN PENGERUSI PUZ

MAIPP PERTAHAN PENGERUSI PUZ

Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 9 Feb. – Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) akan mempertahankan hak untuk menerajui Pusat Urus Zakat (PUZ) yang menjadi tradisi sejak penubuhannya.

Yang Dipertuanya, Ellias Zakaria menegaskan, berdasarkan amalan sebelum ini, individu yang memegang jawatan yang disandangnya sekarang ialah Pengerusi PUZ.

“Saya tidak mempertahankan diri saya tetapi mempertahankan amalan tradisi.

“Mengikut amalan biasa, Yang Dipertua MAIPP ialah Pengerusi PUZ.

“Justeru, apa yang hak MAIPP perlu dipertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Badan Perhubungan UMNO negeri membantah cadangan kerajaan negeri melantik Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman sebagai Pengerusi PUZ kerana ia dikatakan bertentangan dengan amalan urus tadbir.

PUZ yang ditubuhkan pada 1994 merupakan syarikat milik penuh MAIPP dan dianggarkan memungut kutipan zakat mencecah RM40 juta setahun.

Menurut Ellias, seperti juga semua syarikat lain, MAIPP mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melantik mana-mana individu bagi jawatan-jawatan penting di dalam anak-anak syarikatnya.

Bagaimanapun, jelas beliau, cadangan tersebut belum diputuskan dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu kerana ia melibatkan hal ehwal Islam.

Beliau menambah, perkara itu dijangka diputuskan semasa mesyuarat MAIPP pada 22 Februari ini.

No comments: