Tuesday, January 12, 2010

ARTIKEL WAKAF DITERBITKAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA PADA 25 DISEMBER 2009

Berikut adalah rencana wakaf MSA yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Disember 2009 yang lalu (Cuti Hari XMas). Rencana yang sama juga diterbitkan dalam portal / laman web Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), sebuah agensi di bawah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

ARKIB : 25/12/2009
Malaysia perlu transformasi pengurusan wakaf
Oleh MOHAMAD SALLEH ABDULLAH

INSTITUSI wakaf sepatutnya berperanan dalam mengangkat syiar, martabat dan keagungan Islam. Ia bukan sahaja daripada aspek kerohanian dan ketuhanan tetapi juga aspek lain seperti ekonomi, politik, geopolitik, kemasyarakatan, pendidikan dan sosial. Institusi ini wajib diuruskan secara profesional, terbaik dan kontemporari sehingga dapat menyerlahkan kegemilangan Islam.
Ironinya penjajahan Barat telah menyebabkan sistem ekonomi Islam sedikit demi sedikit terhakis sehinggalah umat Islam di dunia termasuk Malaysia sendiri akhirnya tidak lagi dapat melihat keupayaan wakaf menggembleng sosioekonomi dan tamadun Islam. Sudah sampai masanya pengurusan wakaf perlu melalui proses transformasi supaya menjadikannya lebih cekap dan berkesan.

Sebenarnya daripada kacamata pengamal wakaf (waqf practicioner), wakaf mempunyai banyak masalah terkumpul. Masalah wakaf bermula daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mula mewarisi harta wakaf, tiada inventori harta, pentadbiran wakaf di bawah muttawali atau nazir tidak bertauliah. Selain itu, tanah wakaf diurus orang bukan Islam, tanah wakaf semak, terbiar dan terjual hingga kepada isu harta diwakaf secara lisan, wakaf tidak didaftarkan dan tiada dokumen wakaf sehingga kepada isu-isu untuk membangun dan memajukan harta wakaf.

Itu belum lagi isu mengenai harta-harta wakaf yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain seperti cukai tanah tertunggak, cukai pintu premis wakaf tinggi, tanah wakaf dirampas oleh pejabat tanah dan premis wakaf disita oleh pihak berkuasa tempatan. Ia juga meliputi pendapatan wakaf tidak dapat menampung perbelanjaannya, wakaf tidak produktif dan self generating, pengambilan tanah wakaf yang belum dibayar pampasan, wakaf belum diistibdal (dibeli tanah ganti) dan manfaat wakaf tidak sampai kepada maukuf alaih (penerimanya).

Boleh dikatakan isu wakaf sangat banyak, kronik dan memerlukan perhatian penuh dan berfokus. Dari segi peruntukan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri, tugas untuk menguruskan wakaf berada di tangan MAIN yang dilantik sebagai pemegang amanah tunggal. Jika begitu kenapa isu wakaf masih berbangkit? Rata-rata kerana MAIN sendiri mempunyai pelbagai masalah sehingga mengekang perkembangan dan pembangunan wakaf. MAIN tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk menguruskan wakaf sedangkan masalah wakaf banyak. Maka fokus untuk menyelesaikan masalah wakaf tidak ada, tambahan pula pada masa sama wujudnya tuntutan kerja di bidang lain seperti baitulmal, zakat, sumber am dan pembangunan Islam. Jika begitu, hendak ke mana wakaf?

Apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh MAIN? Sesuatu pembaharuan yang konkrit mesti dilakukan.
Kaedah yang boleh dilaksanakan ialah transformasi pengurusan wakaf. Ia bermaksud anjakan pengurusan wakaf kepada suatu kaedah pengurusan bentuk baru yang dapat membantu meningkatkan imejnya. Kaedah baru perlu dicari untuk memperbaiki permasalahan wakaf. Terdapat tiga pilihan kaedah yang boleh dilaksanakan iaitu penambahan kakitangan di bahagian wakaf, outsourcing aktiviti wakaf dan strategi pengkorporatan wakaf. Perkara ini mudah untuk dicadangkan tetapi sebenarnya sukar untuk dilaksanakan.

Penambahan kakitangan baru hanya boleh dilakukan jika MAIN mempunyai sumber kewangan mencukupi. Penambahan kakitangan juga melibatkan banyak prosedur dan proses birokrasi walaupun untuk melantik kakitangan kontrak. Jadi ia lambat untuk menjadi kenyataan. Jika begitu, apakah peranan wakaf patut diketepikan atau perlu menunggu lebih lama sebelum mendapat perhatian?
Strategi kedua ialah outsourcing sesetengah aktiviti wakaf. Ini bermakna sebahagian aktiviti terpilih wakaf boleh diswastakan atau ditenderkan kepada pihak lain atau perunding yang mempunyai kepakaran. Di antaranya ialah seperti aktiviti pembersihan kubur atau masjid, pembaikan kecil dan penyelenggaraan aset.

Pengurusan pungutan sewa aset wakaf juga boleh diswastakan tetapi ini akan membawa impak lain terutama dari segi kemampuan mengutip dan bidang kuasa undang-undang. Bagaimanapun sesetengah MAIN tidak berminat menswastakan kutipan sewa kerana ini akan mendedahkan banyak rahsia dan strategi MAIN kepada pihak luar. Penswastaan juga memerlukan MAIN mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi. Bagaimana pula dengan pengkorporatan wakaf ?
Ini adalah satu isu baru dan sangat menarik jika dapat menjadi kenyataan. Ketika ini isu ini masih belum dapat diterima oleh pembuat dasar dan pengurusan tertinggi MAIN. Walaupun ada bukti kejayaan mengkorporatkan zakat tetapi hanya enam negeri (Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan) sahaja telah mengkorporatkan pengurusan zakat manakala negeri-negeri lain belum melaksanakannya. Bagi sesetengah negeri pengkorporatan institusi wakaf dirasakan belum diperlukan. Ini kerana mengkorporatkan wakaf bermakna menyerahkan pengurusan wakaf kepada pihak lain.

Walaupun demikian masalah ini ada jalan keluarnya dengan penubuhan anak syarikat MAIN sendiri di bawah Akta Syarikat 1965. Untuk tujuan kawalan dan pemantauan, MAIN boleh memegang 100 peratus saham anak syarikat ini. Kaedah pengkorporatan lain ialah penubuhan Yayasan Wakaf Negeri (YWN), sebuah pertubuhan yang berorientasikan kebajikan. Status ini melayakkan YWN untuk mendapat pengecualian cukai korporat dan zakat perniagaan. Kesimpulannya, terpulanglah kepada MAIN sendiri untuk memilih mana-mana kaedah yang sesuai.

MAIN mempunyai 3 pilihan, samada untuk menambah jumlah kakitangan wakaf, menswastakan sebahagian aktiviti wakaf yang strategik atau melaksanakan strategi pengkorporatan wakaf. Apa pun pilihan yang dibuat oleh MAIN, paling tidak wakaf mestilah kembali berperanan sebagai wadah untuk memajukan pembangunan sosio ekonomi umat Islam di Malaysia. Dan untuk mencapai hasrat tersebut, wakaf perlulah melalui proses transformasi pengurusan agar sumbangan wakaf kepada ummah akan menjadi lebih signifikan dan releven. Untuk berubah, wakaf perlukan transformer.

PENULIS ialah Penyelidik Bersekutu
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

[NotaMSA: Syukur Alhamdulillah, semangat menulis meningkat]

No comments: