Sunday, November 2, 2008

Corat Coret 2 Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari - TEMPOH MASA SIMPANAN WANG ISTIBDAL

Semasa pembentangan kertas kerja Fiqh Wakaf Lestari, MW kagum semangat dan kesian jugak kepada pembentang, Dr. Termizi dari CITU, UITM Shah Alam. MW kagum kerana hasil penyelidikannya membuka dimensi baru pengurusan wakaf di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). MW kesian pulak kerana penemuan dalam tesisnya itu tidak begitu dipedulikan oleh orang atas di MAIN. Mengikutnya, beliau hairan kenapa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tidak begitu mempedulikan tentang kedudukan tanah wakaf yang diambil balik oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan ekonomi (perumahan). Mengikutnya ada 3 isu di sini iaitu kenapa MAIN tidak meminta tanah wakaf yang diambil balik supaya digantikan dengan tanah juga (bukan wang). Kedua, kenapa istibdal tanah tidak dilaksanakan dan ketiga, bagi sesetengah negeri pengambilan tanah wakaf (termasuk masjid) tidak dibayar pampasan langsung. MW boleh faham isu pertama dan kedua. Ini kerana MW pernah terlibat dengan proses perbicaraan tanah pengambilan balik tanah (acquisation) wakaf ini. MW berpandangan kakitangan MAIN yang mengikuti perbicaraan pengambilan tanah ini tidak berapa faham undang-undang berkaitan hal ini, yang membolehkan supaya tanah wakaf yang diambil digantikan dengan tanah juga. Walau bagaimanapun perkara ini mesti menjadi dasar dan polisi MAIN, yang kemudiannya dirundingkan dengan EXCO Tanah Kerajaan Negeri. Berbanding dengan negeri lain, hal yang berlaku di Pulau Pinang agak berlainan kerana pengambilan tanah wakaf digantikan dengan tanah lain, misalnya kes pengambilan Sekolah Al-Mashoor KOMTAR. Tanah ini telah digantikan dengan tanah lain berkeluasan 10 ekar. Bagi kes kedua pula MW dapati ada 2 jawapan kepada persoalan tersebut. Pertamanya, wujud kelemahan daripada segi pengurusan MAIN kenapa wang istibdal tidak dibelanjakan untuk membeli tanah juga (istibdal). Ini kerana MAIN selalunya salah dalam mentafsirkan wang pampasan sebagai pendapatan kepada wakaf, padahal sebenarnya ia patut dinyatakan sebagai aset yang patut dibeli, bukan pendapatan kepada wakaf. Kedua, kerana MAIN suka mengumpulkan wang pampasan itu kepada satu jumlah yang tiada had peraturan dan ketetapannya. Perlu diadakan garis panduan mengenai had masa dan jumlah wang pampasan pengambilan balik tanah wakaf yang boleh disimpan. Selepas daripada tarikh tersebut, wang pampasan tersebut hendaklah digunakan untuk membeli aset istibdal. Tempoh masa yang dibenarkan pula hendaklah masa yang mencukupi untuk meninjau dan mencari tanah yang bersesuaian dengan harga dan lokasi tanah.
[MAT WAKAF : Tidak tahu apa hendak jadi kepada pengambilan tanah wakaf di Pulau Pinang bila YAB Lim Guan Eng jadi EXCO Tanah].

No comments: