Sunday, November 2, 2008

Corat Coret 1 Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari- LESTARI YANG MANA SATU?

MAT WAKAF berasa seronok dapat menyertai seminar ini. Bukan apa. Kerana seminar seperti ini sentiasa memberikan maklumat dan ilmu baru. Ada beberapa istilah fiqh yang MW belum pernah dengar sebelum ini telah diwarwarkan. Antaranya perkataan lestari, paling banyak dibincangkan. Paling klimaks dan menarik ialah cadangan peserta seminar semasa sesi pembentangan resolusi kepada penganjur seminar supaya membezakan istilah lestari di sini dengan nama isteri mantan VC UKM Tan Sri Mohd Salleh Yasin (yang namanya juga Lestari dan juga sebuah institusi di UPM yang dinamakan Institut Pembangunan Lestari. Sebelum ini pun MW juga tak pernah dengar istilah fiqh waqaf lestari dan fiqh a-Biah. Apa binatang tu ?. Mujur MW hadir seminar, kalau tak nanti orang gelar MW jakun, tak bersosial)
[MAT WAKAF : Minat giler kat artis/penyanyi Indonesia, Bunga Cinta Lestari]

Komentar MAT WAKAF sepanjang berada di Pulau Pinang

Berikut adalah tajuk komentar Mat Wakaf sepanjang berada di Pulau Pinang

1). Sekitar Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari USM
2). Pulau Pinang bumi WAQIF
3). Apa dah jadi Guan Eng

Tuesday, October 28, 2008

MAT WAKAF BERADA DI PULAU PINANG - MENGIKUTI SEMINAR FIQH DAN PEMIKIRAN ISLAM LESTARI

Mat Wakaf (MW) akan berada di USM, Pulau Pinang selama 2 hari mulai esok 29 Oktober. Bukan sahaja makan angin di Pulau Mutiara tersebut, tetapi MW juga nak teropong bagaimana pentadbiran kerajaan baru Pulau Pinang di samping mengikuti Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan JAKIM. Sejak pengumuman Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng (LGE) hendak menjadikan pemerintahan Syaidina Umar Abdul Aziz sebagai contoh di Pulau Pinang, MW teruja untuk melihat samada itu akan dilaksanakan atau sekadar retorik Ketua Menteri untuk menarik undi umat Islam atau mengekalkan kuasa lebih lama di Pulau Pinang. Sejak sebulan lepas pula MW dengar pulak bahawa Lim Guan Eng asyik sebut perkataan popular di kalangan pentadbir awam iaitu"amar maaruf nahi munkar". MW rasa LGE tentu faham apa yang disebutkan itu, masakan hanya hendak sebut sahaja. Tambahan pula MW ke Pulau Pinang kerana ingin tahu perkembangan terkini tentang wakaf di sana. Apatah lagi rakan baik MW iaitu Encik Mohamad Salleh Abdullah akan membentangkan satu kertas kerja. Selain dari paper kawan MW itu, ada 1 paper lain mengenai wakaf. Tajuk kawan MW itu berbunyi "Kelestarian Wakaf". Lagi satu tajuknya ialah "Pembangunan Fiqf Wakaf Lestari". Kedua-dua ada kaitan dengan pembangunan lestari. Entah MW pun tak berapa faham apa lestari itu. Sebab tu lah MW nak pergi dengar. Dengar kata sebanyak 39 kertas kerja akan dibentangkan, manakala bakinya 10 lagi akan dimasukkan di dalam prosiding. Selepas dah letih berseminar, bolehlah MW berehat di hotel tepi pantai Batu Feringgi.
[MAT WAKAF : Pengurusan wakaf ; dengar macam lestari, bila dah tengok rasa macam nak lari]

Tuesday, October 21, 2008

Corat-Coret Sekitar Konvensyen Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf Terengganu -MAIDAM-UKM

Tidak sah kalau tidak menulis sebarang berita dan cerita tentang konvensyen yang dihadiri ini kerana terdapat banyak sangat cerita menarik, cerita-cerita tak menarik dan pengajaran yang boleh dicontohi.
Cerita-Cerita Menarik :
Cerita-Cerita Tak Menarik :
Pengajaran Yang Boleh Dicontohi :

DYMM Sultan Mizan Bebaskan Majlis Agama Islam Terengganu daripada Kemelut Politik ?

Itulah berita yang didengar semasa MAT WAKAF berada di Kuala Terengganu mencari berita untuk siaran blog ini. Itulah topik hangat perbincangan para peserta sepanjang Konvensyen Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan UKM berlangsung. Ceritanya YAB Dato' Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu tidak dilantik sebagai Yang Dipertua MAIDAM. Dengar ceritanya DYMM Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu tidak mahu lagi orang politik mengetuai Majlis Agama Islam (MAIDAM). Menurut kata orang Terengganu lagi, DYMM Sultan Mizan mahu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) ditadbir oleh orang bukan politik, yang mana terdiri daripada pentadbir dan agamawan. Rasionalnya Baginda tidak mahu MAIN menjadi mangsa kemelut apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan politik (Amboi, sejak Siri Syarahan ISDEV 7, syok pulak guna perkataan kemelut). Sudah tentunya Baginda mempunyai pengalaman apabila kerajaan UMNO Terengganu pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar tewas kepada PAS dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 lalu. Kini keadaan yang sama dihadapi di Pulau Pinang, di mana kemelut perlantikan YDP MAINPP belum selesai. Jika mengikut amalan biasa, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Ahmad Said (seperti mana amalan Menteri Besar menjadi YDP MAIDAM), sudah pasti akan dilantik menjadi YDP MAIDAM. Tetapi upset berlaku apabila DYMM Sultan Mizan melantik Dato Senara Muda, Dato' Mazlan @ Nanri bin Hashim sebagai YDP MAIDAM. Sebagai bekas pentadbir awam di Terengganu, YDP MAIDAM yang baru tentu lebih berpengamalan dan arif dalam hal ehwal pentadbiran awam, maka sudah tentu akan dapat mengangkat imej MAIDAM. Tetapi menurut MAT WAKAF keputusan DYMM Sultan Mizan ini mempunyai kadar kebijakan dan kecerdikan minda yang tinggi. Ini kerana baru MAT WAKAF teringat cerita bagaimana DYMM Sultan Mizan membuat keputusan sampai 3 kali untuk mengekalkan jawatan YDP MAINPP kepada Y.B Shabudin Yahaya ketika desakan kerajaan Pakatan Rakyat mahukan jawatan itu memuncak. Walaupun peralihan kuasa MAINPP dijangka berlaku pada awal Syawal, tetapi sehingga sekarang masih tiada hitam putihnya dan YB Shabudin masih kekal sebagai YDP MAINPP. MAT WAKAF berpandangan DYMM Sultan Mizan tentunya berfikiran jauh kerana baginda tidak mahu kedudukan institusi agama itu dan jajahan takluknya (masjid, sekolah agama, surau, qaryah, urusan nikah-kahwin-cerai-rujuk dan macam2 lagi) bergolak jika peralihan kuasa berlaku dengan cepat tanpa persiapan yang sempurna. Baginda mahu pihak yang hendak melepaskan jawatan bersedia. Begitu jugak baginda mahu pihak yang hendak menerima jawatan dan amanah betul-betul bersedia dan bertanggungjawab, bukan sekadar hendak jawatan sahaja.
[MAT WAKAF : 1) Bertuah Malaysia dapat Yang Dipertuan Agong yang bijak]
2).Bebaskan Pulau Pinang jugak]

Apa Sudah Jadi. Terkena Batang Hidung Sendiri ?

Baru beberapa hari selepas komen diberikan tentang kekuatan Unit Dana Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), timbul tawaran dikemukakan kepada penulis untuk mengetuai unit Dana Wakaf tersebut. Tawaran itu dikemukakan oleh Encik Fakhruddin Abd Rahman, Setiausaha MAINPP sekarang sebaik sahaja apabila berjumpa penulis selepas selesai program Siri Syarahan ISDEV 7 - YB Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin di USM. Apa yang hendak dikatakan lagi. Walaupun SU MAINPP tidak membaca artikel yang ditulis di dalam blog tersebut, nampaknya beliau seakan dapat menghidu kedudukan unit Dana Wakaf tersebut yang under-strength. Dalam pertemuan untuk memaklumkan hasrat tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan. Antaranya menaikkan taraf dan status Dana Wakaf daripada unit kepada Bahagian, pertambahan kakitangan dan kempen pemasaran yang boleh dilaksanakan. Juga dibincangkan tentang cadangan mengadakan Muzakarah Dana Wakaf dan Konvensyen Wakaf Tunai di Pulau Pinang, anjuran bersama dengan universiti tempatan, kemungkinan tahun depan 2009. Walau bagaimanapun aspek gaji tidak dibincangkan. Tetapi daripada perbincangan, tawaran nampaknya menyerupai kedudukan seperti perjawatan Pegawai Khas kepada YB YDP MAINPP, iaitu ditempatkan di MAINPP, bukan dipinjamkan. Nah jika hari itu berdegang-degang mengkritik MAINPP, sekarang peluang telah diberikan, jadi apa yang perlu dilakukan. Penulis nampaknya terkedu apabila ditawarkan ke posisi tersebut. Pertama, kerana tidak menyangka akan ditawarkan kerana SU MAINPP tahu penulis sedang menunggu tawaran Yayasan Wakaf Malaysia (Untuk jawatan Pengurus Wakaf Tunai, YWM, penulis menuntut gaji berjumlah RM12,000, tetapi CEO YWM hanya berani menawarkan sebanyak RM8,500 sahaja. Seterusnya pertimbangan akan dikemukakan kepada Pengerusi YWM yang juga Menteri Di JPM. Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi samada permohonan gaji RM12,000 tersebut boleh diluluskan. Jika diluluskan penulis akan terbang ke YWM). Kedua, kerana penulis tidak berapa minat lagi bekerja di MAINPP. Sejak isu syarikat Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPPSB) dibubarkan berlaku dan perlantikan penulis selaku Pengurus Besarnya dipertikaikan dan ditolak (dimalukan dalam bahasa penulis), penulis sebenarnya sudah cukup tawar hati untuk berkhidmat di sana. Hati pedih dan pedih hati mengenangkan kisah itu. Kesannya masih ada. Lukanya masih belum sembuh. Masih ada nanah kekuningan. Malah isu pengkorporatan wakaf itu, penulis sudah lupakan. Sudah penulis buang jauh-jauh dari ingatan. Penulis anggap harapan memperbaiki pengurusan wakaf melalui penubuhan syarikat korporat sudah lama mati. Sudah jadi mayat. Jadi abu kerana mayatnya dibakar. PWPPSB mati tanpa kubur dan batu nesan. Semasa penulis melarikan diri dan menyembunyikan diri di luar negara (selepas dimalukan), air mata penulis menitis tak henti-henti. Penulis menangis sepuas-puasnya mengenangkan hajat pengkorporatan wakaf yang tak sampai. Apabila pulang ke Malaysia, saat itu penulis tidak lagi meletakkan sebarang harapan kepada PWPPSB. Sudah kosong harapan. Sekarang kisah lama itu diungkitkan, diingatkan kembali, dengan tawaran yang dikemukakan. Kali ini tawaran datang daripada seorang kawan yang telah lama penulis kenal. Malah ketika penulis dimalukan, beliau turut juga kecewa dan sedih. Jadi bagaimana keputusan hendak dibuat?. Apa tindakan sekarang ? Jika dulu penulis memberi komen tentang kelembapan aktiviti Dana Wakaf Pulau Pinang (DWPP). Sekarang penulis sendiri diminta untuk mengaktifkannya semula. Jika dulu penulis mengatakan wakaf "mati" di bulan Ramadan, sekarang tugas penulis juga untuk menghidupkan wakaf di bulan Ramadan akan datang (tahun depan-2009). Apa sudah jadi? Sekarang sudah terkena batang hidung sendiri? Dulu kuat sangat bercakap, sekarang kena buat. Kalau tidak terima, nanti penulis dikatakan sebagai "sembang deras saja". Kalau hendak terima tawaran tersebut, hati dah tak berapa minat dan tawar. Aduh. Dilema. Dilema. Pening kepala.
[Dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]
[MAT WAKAF : Masa untuk menjadi "TRANSFORMER" dah sampai].

Thursday, October 16, 2008

Sumbangan Wakaf Dalam Pembangunan Ummah

Sumbangan Dalam Bidang Keagamaan (Peribadatan)
Sumbangan wakaf dalam bidang keagamaan (peribadatan) selalunya berada di tempat teratas (Kahf, 2007). Menurutnya kebanyakan pendapatan wakaf digunakan untuk tujuan memakmurkan masjid seperti membayar gaji imam, elaun guru dan pendakwah, untuk tujuan pencucian dan pembersihan masjid, membeli permaidani, perbelanjaan air dan lampu (elektrik). Oleh kerana sumber pendapatan wakaf adalah bebas dan “self generating”, pada masa yang sama guru-guru dan pemimpin agama dapat memainkan peranan penting yang lain dalam masyarakat. Akibatnya semasa Penjajahan Perancis di Algeria, pihak Perancis mengambilalih pengurusan harta wakaf di Algeria pada tahun 1831 sebagai satu strategi membendung penentangan rakyat terhadap mereka (Kahf, 2007).
Sumbangan Dalam Bidang Pembangunan Sosio-ekonomi
Kepentingan dan kehebatan institusi wakaf dalam pembangunan sosio-ekonomi ini telah disebut dengan jelas oleh Sabra (2000), Cizakca (2000), Nik Mustapha (1999), Mahmud Saedon (2000) dan Ghazali Md Sais (1996). Sabra dan Cizakca misalnya telah menjelaskan peranan penting institusi wakaf dalam membasmi kemiskinan. Nik Mustapha (1999) mengatakan bahawa walaupun amalan wakaf tidak diwajibkan, sumbangannya dapat membiayai projek-projek sosio-ekonomi yang besar seperti membiayai Universiti Al-Azhar (Mesir), pembinaan Masjid Nabawi di Madinah (Arab Saudi) dan Oxford University di England. Mahmud Saedon (2000) pula memberikan contoh institusi pendidikan di Malaysia dan Singapura yang dibiayai oleh wang wakaf termasuklah Kolej Islam, Sekolah Al-Junid, Sekolah Al-Saggof dan Madrasah Al-Mashyur di Pulau Pinang. Ghazali Md Sais (1996) pula menekankan pentingnya peranan institusi wakaf sehingga beberapa buah Negara Timur Tengah telah menjadikan institusi wakaf sebagai badan atau kementerian yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan umat Islam.
Sumbangan Perkhidmatan Sosial, Kebajikan dan Kesihatan
Kehebatan bidang wakaf juga terserlah dalam beberapa bidang lain yang juga mendapat pembiayaan daripada dana wakaf. Contohnya sebahagian besar daripada usaha-usaha kebajikan dan perkhidmatan sosial dalam dunia Islam pada zaman pertengahan disumbangkan melalui institusi wakaf (Stillman, 1975, 2000, Cizakca 1995, Power, 1984). Antaranya adalah Kompleks Suleymaniye, masjid, makam, madrasah, sekolah perubatan, hospital, kolam mandi (hammam), tempat penyediaan dan penyajian makanan, rumah-rumah tumpangan dan pusat-pusat perniagaan (Kafadar, 1991), dispensari bergerak, pusat rawatan kecemasan, perpustakaan, universiti (Nagamia, 1986) dan program pembasmian kemiskinan [Yedyyildiz, 1996 (b)]. Imaret atau Pusat Penyediaan Makanan (Public Kitchen) juga merupakan entiti institusi wakaf yang sangat terkenal yang berperanan menyediakan makanan kepada orang-orang miskin dan orang lain yang memerlukannya seperti pelawat dan pengembara (Singer, 2004).
Sumbangan Dalam Bidang Pendidikan
Sumbangan wakaf yang terbesar selain bidang keagamaan ialah bidang pendidikan. Malah menurut Kahf (2007), sumbangan wakaf dalam bidang pendidikan merupakan yang kedua terbesar selepas bidang keagamaan. Bagi penulis lain, institusi wakaf telah turut memainkan peranan yang besar dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan secara percuma kepada masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan keturunan (Makdisi,1981). Buktinya cukup jelas. Di Jerusalem sahaja, terdapat lebih daripada 70 buah sekolah yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf dalam abad yang kedua belas.[Angka ini agak berbeza mengikut Kamil Jamil Al-Asali. Mengikutnya pada zaman awal abad ke dua puluh, terdapat sebanyak 64 buah sekolah yang mana semuanya wakaf dan dibiayai oleh harta-harta wakaf yang terdapat di Palestine, Turkey dan Syria. Daripada jumlah ini 40 buah sekolah diwakafkan oleh pemerintah Ayubites dan Mamalik (Kamil Jamil Al-Asali, 1983)]. Sementara itu, sebanyak 142 buah universiti di Turki, 87 buah sekolah dan universiti di Cyprus dan masing-masing 800 dan 786 buah universiti di Cecennestan dan Azerbaijan telah dibangunkan dan dibiayai oleh sumber wakaf. Universiti Al-Azhar di Mesir yang dibina pada tahun 975 M merupakan sebuah universiti yang tertua di dunia yang juga dibiayai sepenuhnya daripada sumber wakaf yang menyedia dan memberi pendidikan secara percuma daripada pendidikan rendah sehingga pendidikan universiti (Hashim, 1990). Pada tahun 1986, sejumlah £147,324,300 telah diperuntukkan oleh Universiti Al-Azhar untuk membiayai aktiviti-aktiviti pembangunan dan pendidikan termasuk perbelanjaan mengurus 55 buah fakulti yang sedia ada dengan 6,154 orang kakitangan tenaga pengajar (849 profesor, 819 profesor madya, 1,517 pensyarah, 1456 pembantu pensyarah dan 1,510 orang “readers”)[Razali, 2005]. Al-Azhar bukan sahaja terkenal dengan sumbangannya kepada pembangunan pendidikan Islam tetapi juga kepada aktiviti-aktiviti dakwah di seluruh dunia (Al-Habshi, 1991; Kahf, 2003).
Sumbangan Wakaf Kepada Dunia Barat
Model wakaf juga telah mempengaruhi masyarakat Barat sehingga model ini menjadi asas penting pembangunan masyarakat menerusi penubuhan institusi-institusi pendidikan, perkhidmatan sosial dan kebajikan (Gaudiosi, 1988). Misalnya pada tahun 1264, Walter de Merton telah menubuhkan Kolej Merton di University Oxford menggunakan konsep wakaf. Kajian yang dibuat oleh The Sutton Trust mendapati 10 buah univerisiti terkemuka di Amerika Syarikat dan United Kingdom masing-masing mengumpul sejumlah RM176.32 bilion dan RM29.25 bilion dalam bentuk endowment. Kajian oleh National Association of College and University Business Officers pula mendapati sejumlah RM737.2 bilion endowment terkumpul di 120 buah universiti di Amerika Syarikat. Universiti Harvard di Amerika Syarikat sahaja mengumpul sejumlah RM68.4 bilion dalam bentuk endowment yang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti pendidikan dan penyelidikan, penyelenggaraan perpustakaan dan pengendalian tabung biasiswa (Razali, 2005).
Penubuhan tabung-tabung amanah dan yayasan kebajikan atau foundation berdasarkan konsep wakaf ditubuhkan dan berkembang. Antara lain, ia bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan kegiatan seni, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, korporat, pendidikan, persekitaran, kewartawanan, penyelidikan perubatan dan agama. The Alfread P. Sloan Foundation yang ditubuhkan pada tahun 1934 mempunyai aset RM5.2 billion bermatlamat untuk membantu dan menyokong pembangunan sains dan teknologi, peningkatan prestasi ekonomi dan kehidupan, pendidikan dan program-progran sivik. Pendekatan baru terhadap pemilikan sumber alam dengan menggunakan pendekatan public trust telah mula dijadikan amalan khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. The Trust for Public Land (TPL) dan The National Park Trust (NPT) yang ditubuhkan pada tahun 1972 dan 1982 di Amerika Syarikat misalnya berperanan membantu masyarakat mewujudkan greenprint for growth dengan melindungi dan mempromosikan kepentingan tanah awam. Refkin (1996) dalam bukunya The End of Work pula menyarankan kepentingan sektor ini untuk digunakan sebagai alternatif mengurangkan bebanan kerajaan ke arah pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh (Razali, 2005).
[Maklumat dipos oleh Mohamad Salleh Abdullah]