Wednesday, August 27, 2008

Mahal Sangatkah Transfer Fee (Harga) Yang Perlu Dibayar Untuk Kepakaran, Pengetahuan dan Pengalaman Yang Dapat Memajukan Waqaf ?

Bayangkan keadaan ini. Anda dilantik menjadi seorang pengurus pasukan bolasepak yang corot. Anda tidak mahu tetapi terpaksa menjalankan jawatan tersebut. Pasukan bolasepak anda berada pada kedudukan paling corot (tempat ke 20-tercorot). Tempat paling bawah dalam Liga Perdana. Bila bertanding, semua perlawanan kalah. Kalah di tempat sendiri, apa lagi di tempat lawan. Kalah pulak kalah teruk, bolos banyak gol. Pasukan anda sendiri gagal menjaringkan gol. Penjaga gol anda, pertahanan anda dan penjaring gol anda sangat teruk. Ada ditugaskan untuk memajukan pasukan bolasepak ini. Anda ditugaskan untuk mengangkat semula ranking pasukan ini oleh pemilik kelab. Kalaupun bukan menjadi Juara Liga Perdana pun, sekurang-kurangnya pada kedudukan pertengahan liga (tempat ke 10 atau 7, bukan tempat tercorot, tempat ke 20). Andapun membuat kajian SWOT, Strength, Weaknesses, Opportunities dan Treats. Kesimpulan daripada hasil kajian yang dibuat mendapati anda hanya perlukan seorang penyerang sahaja untuk membaiki pasukan ini kerana penjaga gol dan pertahanan sebenarnya tiada masalah, masih berupaya mengangkat kemajuan pasukan. Anda pun mengambil tindakan mencari penyerang yang boleh menjaringkan banyak gol ini. Daripada pencarian, anda mendapati tiada pemain junior anda layak dipilih. Pilihan yang ada anda perlu beli atau import penyerang ini. Anda pun membuat tinjauan di kelab-kelab yang lain. Sah. Anda telah jumpa dengan orang tersebut. Mampu menjaringkan gol. Overall playing baik. Serasi dengan rakan sepasukan. Untuk mendapatkan penyerang ini, anda perlu mengeluarkan kos yang tinggi dan mahal. Tetapi hakikatnya pembelian penyerang ini berbaloi kerana ada keuntungannya. Persoalannya berapakah kos untuk memiliki pemain penyerang ini? Berapakah gaji bulanan yang patut bayar kepadanya?. Fikirkan jawapan kepada persoalan ini. Berapakah gaji sebulan yang patut bayar penyerang ini? . Dikaitkan dengan isu asal, begitulah kira agaknya persoalan berapakah jumlah gaji sebulan yang patut dibayar kepada seseorang yang dapat menyelesaikan masalah waqaf. Seseorang yang berupaya mengangkat martabat waqaf. Seseorang yang berdaya menepis persoalan bahawa waqaf tunai tidak berpotensi. Berapa? 6 ribu, 8 ribu, 10 ribu atau 12 ribu gaji sebulan. Mahal sangatkah jumlah itu. Sama-sama kita fikirkan.

BERITA TAK BERAPA PANAS. Cerita TKM PP (Exco Agama) berebut mikrofon dengan Pengerusi Masjid Seberang Jaya

Nampak macam cerita kartun saja. Tetapi itulah kisah benar yang berlaku di Masjid Seberang Jaya pada hari jumaat lepas (22 Ogos). Ketika itu suasana kempen pilihanraya sangat sengit. Kemudian..............

Ramalan Menjadi Kenyataan.Waqaf Medium Penting Kempen Pilihanraya Kecil P44 Parlimen Permatang Pauh

Apa yang diramalkan sebelum ini ternyata benar. Ternyata waqaf (dibaca sebagai masjid) digunakan secara meluas sebagai lokasi kempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang selesai baru-baru ini. Malah bukan sahaja digunakan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang diramalkan sebelum ini tetapi juga oleh calon Barisan Nasional (BN). Walau bagaimanapun penggunaan waqaf masjid oleh kedua-dua pihak agak berbeza mengikut isu kempen. BN misalnya banyak menggunakan masjid sebagai tempat agihan sumbangan, peruntukan atau zakat yang diberikan oleh pihak-pihak luar Pulau Pinang. Beberapa program agihan peruntukan pembangunan JPM untuk masjid dan surau oleh Timbalan Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak, Parlimen Ptg Pauh menggunakan beberapa masjid terpilih. Antaranya Masjid Bandar Perda (mewakili / untuk masjid dan surau dalam KADUN Seberang Jaya), Masjid Guar Perahu (KADUN Penanti) dan Masjid Ptg Pasir (KADUN Ptg Pasir). Program pengagihan sumbangan kepada fakir miskin yang dilakukan oleh Menteri di JPM, DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menggunakan masjid Semilang (bagi KADUN Seberang Jaya), Masjid Tuan Abdullah (KADUN Ptg Pasir) dan Masjid Bukit Indera Muda (KADUN Penanti). Sumbangan diberitakan daripada peruntukan Bank Rakyat. Bagi PKR pula, masjid kebanyakannya digunakan untuk membersihkan calon PKR daripada tuduhan sodomi. Misalnya ceramah dan pengakuan imam Masjid Wilayah Ramlang Porrigi yang mengatakan beliau dipaksa oleh pegawai atasan menjadi saksi sumpah Shaiful Bukhari Azlan dan menuduh wujud konspirasi menjatuhkan calon PKR telah berlaku di banyak masjid, antaranya Masjid Bandar PERDA, Masjid Kubang Semang, Masjid Batu dan Masjid Jalan Baru. Program Munajat 2008 yang termasuk antaranya aktiviti solat hajat bagi kemenangan calon PKR juga dilakukan di masjid Bandar PERDA, Masjid Tuan Abdullah dan Komplek Waqaf An-Nahdhoh, Kubang Semang milik Ustaz Mutalib Maarof (waqaf yang didaftarkan atas nama persendirian dan bukan di bawah MAINPP). Penyampaian sumbangan bantuan orang miskin Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga dibuat oleh TKM YB Fairus Khairuddin di Masjid Tuan Abdullah, Tanah Liat. Namun begitu peristiwa paling menarik yang melibatkan waqaf masjid berlaku di Masjid Seberang Jaya di mana TKM PP berebut mikrofon dengan Pengerusi Qaryah. Nampak macam cerita kartun sahaja. Bersambung.

Tuesday, August 26, 2008

Beberapa Konsep Penting Waqaf

Waqaf
Waqaf
dalam bahasa Arab bererti habs iaitu berhenti atau menahan (Mohd Zain Othman, 1982 : 21). Mengikut istilah, waqaf bermakna memberikan sesuatu untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma), sesuatu yang diberikan atau diuntukkan bagi keperluan dan sebagainya yang berkaitan dengan agama Islam (Teuku Iskandar, 1991 : 1456). Mengikut Islamic Law, waqaf adalah merupakan satu harta yang kekal dan tanpa syarat dengan menahan pemilikan supaya menjadi hak Allah dengan cara tertentu di mana harta pemilik itu boleh luput dan digunakan untuk tujuan kemanfaatan kepada manusia melainkan untuk tujuan yang dilarang oleh Islam (B.R Verma, 1986 : 622).
Mengikut JWZH JPM (2006) waqaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewaqaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya ('ain). Manfaat harta yang diwaqafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus (yang ditetapkan) dengan niat untuk mendekatkan diri pewaqaf kepada Allah SWT.
Waqif
Wakif bermaksud orang yang melakukan wakaf. Oleh itu mengikut Manual Pengurusan Tanah Wakaf, JWZH JPM (2006) adalah disyaratkan wakif mestilah seorang yang ahli tassaruf iaitu berakal, tidak gila, tidak bodoh (safih), sampai umur, merdeka dan sempurna milik, supaya wakaf menjadi sah. Wakif juga disyaratkan melakukan amalan wakaf bukan dengan secara paksa tetapi mestilah dengan pilihan dan kerelaan sendiri (Syams ad-Din Muhamad bin Ali al-Abas, 1938). Daripada syarat yang dikemukakan, Islam tidak menjadi syarat kepada wakif. As-Shaikh Muhammad Sharbini Al-Khatib dalam kitabnya Al-Iqnaq mengatakan bahawa sah waqaf orang kafir walaupun waqaf untuk masjid.
Mauquf
Mauquf bermaksud barangan atau harta yang diwaqafkan. Barangan yang hendak diwaqafkan adalah disyaratkan barangan yang tertentu, boleh dimiliki dan kekal zat (ain)nya serta boleh diambil manfaatnya dan berfaedah (As-Syaikh Muhammad Syarbini al-Khatib). Barangan waqaf mestilah semua benda yang dimiliki samada boleh dipindah (harta alih) seperti al-Quran, buku-buku, lampu, pakaian, binatang yang boleh diambil susunya dan boleh diambil kulitnya atau bulunya dan senjata, atau yang tidak boleh dipindahkan (harta tak alih) seperti bangunan masjid, rumah, sekolah, tanah, ladang, perigi, pokok dan tempat berteduh.
Mauquf Alaih
Mauquf Alaih bermaksud penerima waqaf tersebut iaitu orang, kumpulan orang atau institusi yang menerima waqaf tersebut. Mauquf alaih boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu orang atau kumpulan tertentu dan badan atau tempat yang tertentu yang mampu memiliki harta waqaf tersebut. Oleh itu tidak sah wakaf terhadap janin yang masih di dalam kandungan dan hamba sahaya kerana tidak boleh memiliki (Abdul Hamid Yunus, 1978). Di dalam kajian ini definisi yang dipakai adalah merujuk kepada orang atau kumpulan orang, bukan institusi seperti masjid, surau atau sekolah agama.
Muttawali
Muttawali bermaksud orang, kumpulan orang atau institusi yang dilantik oleh pemegang amanah atau pemegang-pemegang amanah untuk menguruskan sesuatu waqaf. Jika hanya seorang sahaja dilantik sebagai muttawali, maka ia dikenali sebagai nazir iaitu pengurus atau pentadbir.
Menurut Wahbah Az-Zuhaili (t.t : 231), ulama sepakat mengatakan bahawa waqif boleh menentukan dirinya sebagai nazir ke atas harta yang diwaqafkan ataupun sesiapa sahaja yang difikirkan layak olehnya, tidak kira samada dengan menentukan orang tertentu atau dengan mengatakan sifat-sifat seperti orang alim, orang yang cerdik dan seumpamanya. Jadi sesiapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat seperti yang ditentukan oleh wakif adalah layak untuk menjadi nazir. Penentuan nazir oleh waqif dapat dilihat ketika Ali r.a mensyaratkan anaknya Hassan dan kemudiannya Hussin sebagai nazir waqafnya.

Sunday, August 17, 2008

Catatan Kenangan Semasa Membuat Phd Waqaf Dibukukan. Ada Sokongan Tak ?

Keinginan ini timbul selepas habis membaca buku Phd : Kecil Tapi Signifikan karangan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Pengarang seorang profesor perakaunan di UITM Shah Alam mencatat semua kenangannya sepanjang membuat Phdnya.. Sangat menarik isi bukunya. Bayangkan membuat Phd merupakan usaha sekali sahaja sepanjang seumur hidup. Kalau ada orang membuat Phd 2 kali, saya ingat itu bukan orang, tetapi makluk asing yang Allah SWT kurniakan kehebatan kepadanya. Ini kerana membuat Phd kali pertama pun sudah teruk bukan main lagi. Nak buat yang kedua pulak. Tetapi itu tidak mustahil. Sudahlah begitu, Phd kali pertama dan terakhir dibuat, kenangan tidak dicatatkan pula. Saya ingat itu sangat rugi kerana kenangan pahit manis berlalu begitu sahaja. Tentu ada kenangan. Kenangan semasa cari tajuk tesis, kenangan semasa tulis proposal, bentang proposal, mock viva dan akhirnya pembentangan viva. Banyak kenangan. Ada masanya semasa buat Phd tidak dapat tidur. Ada masa banyak tidur daripada menulis. Penulisan tak disave. Pen drive patah. Hilang semua bahan penulisan. Bahan-bahan Phd kena curi [Baru sekarang dapat tahu kenapa Ustaz Elias Zakaria, pensyarah USM dan Ahli Lembaga Pengarah PUZ belum ada Phd. Rupanya panjang ceritanya. Sedih dan menyedihkan. Pilu lagi memilukan. Takes time to recover. Perhaps untill now, Ustaz Ellias still not recover]. Tentu masing-masing pelajar Phd atau master ada kenangan yang nostalgia, romantis, tragis dan suspens. Ya tak. Adakan kenangan semacam itu. Nah apa lagi ? Kenapa tidak dibukukan. Tentu ramai yang ingin membaca. Kalau tidak ada orang yang hendak membeli dan membaca buku itu, sekurang-kurangnya jadikan ia sebagai medium untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyelia dan pensyarah yang telah membantu kita berjaya dalam penyelidikan dan pengajian kita. Orang-orang yang menyumbang kepada kejayaan kita. Masukkan nasihat dan komen mereka yang membina. Berikan kredit kepada mereka. Pastikan gambar penyelia dan pensyarah yang berjasa dimasukkan dan dibesarkan. Siapa pun tak akan marah jika gambar mereka semua diletakkan di muka hadapan buku. Apabila buku telah diterbitkan, hadiahkanlah kepada mereka dan kawan-kawan lain sebagai simbolik membalas jasa dan sumbangan idea mereka samada semasa sesi pembentang proposal, final draft, mock viva dan viva. Jadi macamana kalau semua terbitkan buku catatan kenangan semasa membuat Phd. Saya mencadangkan. Ada sokongan tak?

3 Kertas Kerja Setahun. Realistikkah?

Tension. Pening kepala. Bila nak siap ni!. Susahnya. Terkial-kial. Itulah perasaan dan keadaan ketika ditanya bagaimana membuat kertas kerja untuk pembentangan seminar dan konvensyen. Susah kerana beberapa sebab. Pertama, kerana tidak biasa membuat kertas kerja. Kedua, sukar mencari masa untuk membuat kertas kerja. Ini kerana persekitaran kerja menyukarkan kertas kerja ditulis. Tidak mungkin masa di pejabat digunakan untuk menulis. Tentu tidak kena dan tidak berkat rezeki. Tetapi di pejabat adalah juga tempat sesuai untuk mengarang. Sentiasa mengadap komputer dan sentiasa dalam keadaan berfikir. Jika hendak menulis juga mungkin terpaksa mengorbankan masa rehat. Tak makan. Di rumah, bagaimana ? Oh... di rumah hampir mustahil. Dalam keadaan sekarang, ia hampir mustahil untuk berlaku. Kalau semasa membuat Master Pentadbiran Awam (MPA) dulu mungkin boleh. Ketika itu boleh berjaga sampai pagi. Sampai subuh. Tak tidur2. Tetapi sekarang tidak lagi. Tidak tahu mengapa pukul 10 malam sahaja, terkial-kial untuk membuka mata. Badan tiada upaya lagi. Tenaga berjaga dah kurang. Mungkin dah tua kot. Umur dah masuk 40 plus2. Tambahan pula si kecil Muhamad Wafiq Imran sentiasa menuntut perhatian dan pemantauan. Agaknya baginya sayalah ibu dan ayahnya sekaligus. Akhirnya baru pukul 11.o0 malam, kami berdua sudah belayar. Esoknya pukul 6 pagi baru jaga. Jadi kesimpulannya tidak banyak yang boleh dilakukan di rumah. Dengan fakta itu saya berpandangan bahawa membuat kertas kerja hanya mudah kepada seseorang yang mempunyai alam persekitaran yang mendorongnya sahaja. Maksudnya mungkin membuat kertas kerja sesuai kepada para pensyarah sahaja yag mana hampir setiap hari wujud keperluan untuk membaca, menyelidik, menulis dan menyediakan nota kuliah. Tapi saya juga diberitahu tidak semua pensyarah rajin menulis dan membentangkan kertas kerja. Ramai juga yang sudah "pencen". Tidak kurang juga terdapat ramai dari kalangan bukan ahli akademik dan pensyarah yang rajin menulis dan membentang kertas kerja. Persoalannya bilakah masa mereka menulis ? Bagaimana mereka membahagikan masa untuk menulis ? Pada masa sekarang saya mempunyai 3 kertas kerja yang perlu disiapkan. Satu untuk Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran USM. Satu lagi untuk seminar di Universiti Malaya. Satu untuk seminar di UDM (Ah.. yang tu lambat lagi]. Kertas kerja untuk seminar UM belum satu patahpun ditulis kerana sekarang terkial-kial menulis kertas kerja untuk seminar USM. Sudah sebulan terkial-kial cuba menulis dan menyiapkkannya. Masih belum siap draf pertamanya. Entah bila boleh siap belum tahu lagi. Tapi yang pastinya tarikh akhir penghantaran kertas kerja ialah pada 31 Ogos. Dateline paper UM pula ialah pada 15 September. Kedua-duanya menuntut kekuatan dan kecekalan. Oleh kerana sudah berjanji pada diri sendiri untuk membentangkan sekurang-kurang 3 kertas kerja setahun (Peringkat USM, Nasional dan Antarabangsa setiap satu), maka terpaksalah juga diri menulis. Menulis dalam keadaan terpaksa. Aduh sakitnya. Cuma hati kecil berkata (dalam 2 versi). Pertama, "Jangan berhenti menulis", Keep Going. Dont Stop. You can when you can". Kedua (versi yang berbeza) "padan muka". "Tak ada kerja, cari kerja". "Siapa pun tak suruh". "Cari penyakit sahaja". Apa nak buat dah hati suruh belajar ilmu baru setiap 3 tahun. Saya percaya ini adalah ujian untuk berjaya dalam bidang penulisan kertas kerja. Jika telah lulus ujian ini, tentunya menulis kertas kerja menjadi sangat mudah. Ya memang betul. Macam nak berceramah zakat dulu. Mulanya memang susah. Habis keluar semua peluh jantan. Mulut kaku kelu, bisu. Tak tau nak cakap apa. Tapi bila dah pandai, ceramah zakat macam makan kacang kuda rebus saja. Tak ade ape. Itulah hakikatnya sebelum pandai. Sementara nak pandai teruk jugak ........

Tuesday, August 12, 2008

Kisah Di Sebalik Penganjuran Seminar Waqaf Antarabangsa 2008.

Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran seminar ini. Pertama, yurannya saja sangat mahal. Peserta biasa RM1,500 seorang, wakil jabatan kerajaan (RM1,200), NGO/Ahli Akademik (RM1,000) dan pelajar (RM800). Jadi terdengar komen di sana-sini bahawa yuran sangat mahal dan banyak MAIN tidak mungkin akan menghantar peserta. Lagipun ini dah masuk bulan Ogos. Peruntukan jabatan bagi kakitangan menghadiri seminar telah sebahagian besar digunakan. Ada juga komen mengatakan kenapa mahal sangat, waqaf satu benda baru di Malaysia. Tiada peminat. Dalam hati saya berkata, mahal kerana standard antarabangsa kot. Tidak mengapa. Oleh kerana minat dan pelajar Phd waqaf saya mendaftar juga sebagai peserta mewakili MAINPP. Kira-kira 2 minggu sebelum seminar berlangsung datang surat kepada MAINPP mengatakan yuran diturunkan kepada RM500 seorang sahaja bagi perwakilan mewakili MAIN. Wah dah turun. Hati sangat gembira. Tentu pasti saya dapat mengikutinya kerana yurannya tetap tinggi tapi boleh tahan. Di JAWHAR Putrajaya kecoh walaupun yuran telah diturunkan, penyertaan MAIN masih dingin. Timbul persoalan.Buat apa buat seminar waqaf kalau MAIN tak datang. Waqaf ni urusan MAIN. Ibarat seperti kursus untuk penternak ayam tetapi pekebun kecil getah yang datang. Apa maknanya. 3 hari sebelum seminar datang surat mengatakan peserta daripada MAIN percuma dan MAIN wajib menghantar peserta. Apakan daya sudah terlambat. Berita gembira yang dikhabarkan sudah terlambat kepada kebanyakan negeri. 3 hari tidak cukup untuk mencari peserta, menguruskan penerbangan ke JB dan menguruskan hotel. Semakan dengan hotel, Hotel Puteri pasific penuh. Hotel lain jauh. Ok tidak mengapa, jauhpun ok. Kapal terbang pula dah habis.Flight Air Asia ke JB sudah habis.Itulah jadinya sudah dapat hotel, yuran seminar free, flight pula tiada. Akhirnya wakil MAIN banyak yang tidak dapat hadir. Akhirnya dikhabarkan bahawa 70% peserta adalah kakitangan Johor Corporation dan anak syarikatnya. Tiada wakil daripada MAIN Kedah, Selangor, Melaka, Sarawak, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Pahang. MAIN Negeri-negeri lain pula ada seorang wakil sahaja. Itupun bukan staf bahagian waqaf. Perak, SU MAIN sendiri, Dato Jamry Sury hadir. Perlis, Penasihat Agama kerajaan Negeri Dato' Alim Panglima Jahaya Mat Hussien. Wakil Sabah Pengurus Lembaga Baitulmal dan Encik Kamal Amran (SU MAIN Negeri Sembilan). Wakil MAIN paling ramai ialah Pulau Pinang dan Terengganu, masing-masing menghantar 2 orang. Johor. MAIN Johor tentulah ramai. Dekat. Negeri sendiri. Kedua, persoalan kenapa YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri tidak hadir. Beliau sepatutnya merasmikan pembukaan seminar. Hingga akhir seminar tiada jawapan diperolehi. Akhirnya YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di JPM yang merasmikan seminar ini. Ketiga, tidak kelihatan kelibat Dr Sohaimi Salleh, Ketua Pengarah JAWHAR, penganjur bersama program ini bersama Johor Corp. Ucapan Dr Sohaimi dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Muhd Syarqawi. Di akhir seminar barulah dapat tahu Dr Sohaimi Salleh sedang berkursus JUSA (apa jenis tak pasti pulak) selama sebulan (lepas ini JAWHAR dapat KP baru pulak ka). Walau bagaimanapun secara puratanya perjalanan seminar amat lancar, bagus dan mengikut masa. Ramai peserta luar negeri hadir. Dari Kuwait, Dubai, Turki, Jeddah,Bangladesh, Singapore, Cambodia dan Indonesia.Satu pujian dan syabas kepada Johor Corporation.