Esok, tanggal 1 Januari 2012. Satu lagi tahun baharu ditempoh dalam travelodge PhD wakaf. Bagi memastikan perjalanan penulisan tesis berjalan (bukan lari setempat), maka MSA telah membuat beberapa perancangan dan strategi baharu supaya dapat mendisiplinkan diri. Antaranya, pertama ialah mengadakan countdown serahan tesis. Seperti mana di bahagian kanan blog ini, MSA telah adakan countdown tersebut, iaitu tarikh serahan pada 31 Disember 2012, iaitu 365 hari daripada sekarang. Ini sebagai janji kepada diri MSA supaya kekal fokus dan bermatlamat. Kedua, mensifarkan pembentangan kertaskerja di seminar dan persidangan atau ringkasnya Seminar Sifar (SS). Kalau adapun hanya untuk pembentangan dalaman ISDEV sahaja iaitu INGRAW2012 dan IDMAC2012. Itupun dengan syarat yang ketat iaitu mesti bentang kertaskerja yang berkaitan dengan tajuk tesis sahaja. Jika tidak jangan bentang paper langsung walaupun di INGRAW atau IDMAC. Ketiga, untuk memberi lebih fokus dan tumpuan, MSA akan memperuntukkan beberapa hari daripada sejumlah 30 hari cuti tahunan 2012 untuk menulis tesis. Ia akan dimulakan seawal Januari 2012. Misalnya 1 hingga 8 Januari 2012 ini akan diguna dan difokuskan untuk penulisan tesis selain menghadiri Majlis MOU Buku DBP. Begitulah juga untuk bulan-bulan yang lain. Keempat, mengurangkan kehadiran ke program-program ISDEV yang memerlukan pengambilan cuti rehat, misalnya penyeliaan bulanan dan lain-lain program. Walaupun demikian, beberapa aspek lain boleh ditingkatkan, misalnya dari segi penulisan dan penghantaran artikel untuk jurnal. Walaupun sibuk menulis tesis, MSA bercadang untuk menghantar sekurang-kurangnya 2 artikel untuk penerbitan jurnal. Salah satu yang dikenalpasti ialah ialah Jurnal Politik Pembangunan Islam di bawah editorial Dr Warjio. Inilah antara beberapa langkah yang direncanakan supaya penulisan tesis berhasil dan wacana tentang wakaf terus berkembang pesat. Semoga azam tahun baharu 2012 menjadi kenyataan.
[NotaMSA: Ya Allah ampuni dosa-dosaku, ibubapaku, keluargaku dan warga ISDEV. Kau permudahkan dan berilah kejayaan azamku ini]
No comments:
Post a Comment