Minggu hadapan, tanggal 5 Januari 2012 telah dijadualkan satu majlis rasmi Majlis Menandatangani MOU Penerbitan Buku antara USM (dibaca ISDEV) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia akan diadakan serentak dengan Perutusan Tahun baharu 2012 Naib Canselor USM yang akan disaksikan oleh TYT Negeri Pulau Pinang. Dalam majlis yang sama juga diadakan pelancaran buku-buku yang telah siap dan pameran. Daripada maklumat sebanyak 19 buah buku pelbagai tajuk telah dicadangkan untuk diterbitkan oleh DBP. Kepada semua warga ISDEV yang terpilih untuk menghasilkan buku ini, maka bermulalah era penulisan buku-buku ini. Mulai saat ini selepas ini semua rutin jadual harian warga ISDEV terbabit haruslah disesuaikan bagi membolehkan buku siap. MSA dimaklumkan tarikh akhir penghantaran deraf buku ialah pada 31 Mac 2012 akan datang, iaitu lebih 90 hari daripada sekarang. Dalam tempoh tersebut semua penulis buku harus bertungkus lumus menyiapkan paling minima, deraf pertama. Oleh kerana penulisan buku bukanlah satu tugas yang mudah, maka disiplin diri yang ketat perlulah diamalkan. Jika tidak buku tidak akan berjaya disiapkan. Itu belum lagi melibatkan tempoh masa untuk kerja-kerja pembetulan, pembaikian, editan, deraf akhir dan percetakan. Mulai sekarang dalam tempoh masa membuat persiapan mengajar, mengajar, memberi kuliah, membuat penyelidikan, menulis artikel dan laporan dan penyeliaan pelajar sarjana dan PhD, ruang masa yang ada haruslah diperuntukkan sama untuk penulisan buku. Untuk diri MSA biarlah penulisan buku ini semata-mata kerana Allah swt supaya buku ini boleh menjadi amal jariah yang boleh ditinggalkan.
[NotaMSA: Semoga buku menjadi satu wakaf yang berkekalan]
No comments:
Post a Comment