Anak ketiga MSA, Nur Mahirah akan mengambil peperiksaan UPSR 12 hari selepas hari raya tahun ini. Tidak seperti dua kakaknya sebelum ini, Mahirah agak berbeza kerana terpaksa didorong untuk beliau berjaya. Tidak seperti kakaknya Nur Athirah dan Nur Yusra, beliau tidak tahu menguruskan masa sendiri dan berdisiplin. Pun begitu Nur Mahirah ingin berjaya cemerlang dan mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR sepertimana kakak-kakaknya. Melihatkan keadaan ini maka peranan ibu bapa menjadi penting sekarang. MSA menawarkan banyak tawaran agar beliau rajin belajar, membaca buku dan mengulangkaji. Antara tawaran yang terhebat ialah tawaran makan angin menaiki kapal terbang (satu keluarga) ke Sabah jika lulus UPSR dengan cemerlang pada cuti sekolah penggal pertama tahun depan, 2012. Selain itu ada juga tawaran yang "biasa-biasa" sahaja seperti pergi makan-makan, makan angin dan mandi laut. Nampaknya tawaran tersebut mula mengena dan menampakkan hasilnya. Beliau sudah mula rajin belajar. Paling mengejutkan peperiksaan pertengahan tahun Jun 2011 yang lalu beliau mendapat nombor 1 dalam kelasnya, satu pencapaian paling terbaik berbanding tempat terbaiknya, tidak melepasi nombor 8 saban tahun.
Namun begitu dorongan yang paling hebat sekali ialah diri kita sendiri, ibu-bapanya sebagai seorang pelajar PhD. Itulah dorongan yang paling hebat sekali buat mereka, anak-anak kita. Melihat ibu-bapanya bersengkang mata membaca buku, merupakan dorongan yang tidak memerlukan kata-kata dan nasihat. Melihat sendiri bagaimana ibu-bapa membaca buku, dengan sendirinya menaikkan semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh. Tak perlu kepada kata-kata dan lisan. Semuanya hanya melalui bahasa badan. Daripada bahasa badan dan teladan yang ditunjukkan itu, maka anak-anak mengerti mengapa mereka perlu belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh supaya tidak menghampakan kedua ibu-bapa. Ketika ditanya kepada MSA dan isteri, kenapa kami masih belajar, maka ini jawapan kami. "Belajar PhD satu perkara yang susah. Hanya dengan susah sahaja, kita akan lebih mengingati Allah". Biasanya kita kurang mengingati Allah apabila kita senang atau berada dalam zon selesa".
[NotaMSA: Itulah motivasi yang sebenar]
No comments:
Post a Comment