Tuesday, March 30, 2010

PELANTIKAN KE JAWATAN BARU = PELUANG BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT + BEKALAN HARI AKHIRAT

"Public speaking" sudah lama ditinggalkan. Kini kembali menjadi "public figure".

Seingat-ingat sudah agak lama, MSA tidak memegang apa-apa jawatan sukarela (tiada gaji, tiada projek) dalam masyarakat. Sejak MSA digulingkan daripada jawatan Ketua Pemuda cawangan sebuah parti politik pada tahun 2003, MSA tidak memegang apa-apa jawatan lagi. Selepas peristiwa penggulingan tersebut, rakan dan ahli parti menganggap MSA merajuk dan menyepikan diri. Hakikat sebenarnya MSA tidak lagi dilantik (tidak diperlukan) ke apa-apa jawatan dalam masyarakat. Oleh kerana tidak lagi dilantik, MSA merasakan masyarakat tidak lagi memerlukan khidmat bakti MSA. Ketika itu MSA memikirkan mungkin sudah sampai masanya, tenaga dan usaha ditumpukan kepada perkembangan karier MSA sendiri. Bagi mengisi masa lapang dan meningkatkan kebolehan diri sendiri, MSA menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dengan mendaftar kursus Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) di USM. Sejak tarikh itu, maka sibuklah MSA dengan pengajian dan tugasan kursus selama lebih kurang 2 tahun. Pada ketika itu semua ingatan kepada kerja-kerja masyarakat sudah mula dilupakan akibat kesibukan diri sebagai pelajar sambilan. Selepas lulus MPA pada 2006, MSA berehat sebentar dan kemudian mendaftar pula untuk kursus Doktor Falsafah (PhD), juga di USM pada Oktober 2007. Sehingga sekarang sudah 2 tahun setengah MSA mengikuti pengajian PhD ini. Kesimpulannya sejak daripada 2003 hingga 2010, sudah 7 tahun lamanya MSA tidak terlibat secara aktif dengan masyarakat dalam bentuk memegang jawatan, paling kurangpun AJK.

Kini tahun 2010, MSA mula mendapat perhatian masyarakat semula. Pada Januari 2010, MSA telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Dakwah dan Kebajikan, Surau Kampong Lahar Ikan Mati (KLIM), iaitu kampong kesayangan di mana ibu bapa MSA tinggal. Tugasnya adalah menjalankan aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat kampong. Antara aktiviti yang ditugaskan ialah mengadakan program pengajian dan ilmu seperti ceramah dan kuliah bulanan, bertujuan untuk mengajak anak qaryah datang ke surau. Tugas lain ialah untuk mengadakan semula pakatan mentara kampong yang sudah lama terkubur. MSA tidak pasti bilakah pakatan mentara terkubur tetapi sejak MSA tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kampong, pakatan mentara mulai layu dan semakin tidak mendapat sambutan. Aktiviti kebajikan untuk pemuda dan belia kampong tidak dijalankan, menyebabkan pakatan mentara juga menjadi mangsanya. MSA menerima jawatan ini atas beberapa alasan antaranya, dapat pulang ke kampong menziarahi ayah dan ibu di kampong. Alasan lain ialah ingin menyediakan bekalan amal dan kebajikan untuk berjumpa dengan Allah SWT di hari akhirat kelak.

Kemudian pada 13 Mac 2010 yang lalu, MSA telah dilantik sebagai AJK PIBG Sekolah Kebangsaan Guar Perahu. Mulanya MSA dicalonkan untuk jawatan Yang DiPertua PIBG. Walau bagaimanapun oleh kerana jawatan itu agak tinggi tambahan pula MSA tidak berapa tahu sepak terajang PIBG maka MSA menarik diri, tidak berani bertanding jawatan YDP PIBG. Walaupun demikian beberapa ibu yang mereka kenal MSA (selalu dok beli kueh dan makanan kat kedai dia orang) tetap mencalonkan MSA. MSA pun tidak tahu apakah alasan mereka mencalonkan MSA sebagai AJK PIBG. Mungkin kerana 2 orang anak MSA lulus 5A dalam peperiksaan UPSR dan melanjutkan pelajaran ke sekolah baik-baik, maka mereka menganggap MSA calon ibu bapa mithali yang sesuai untuk meduduki kerusi panas PIBG sekolah. Apapun alasan mereka MSA sekarang agak keberatan untuk memegang apa-apa jawatan dalam masyarakat. Ini kerana MSA sekarang suka menyepi diri, low profile daripada dikenali oleh khalayak ramai. Jawatan, tanggungjawab dan glamour bukan lagi sesuatu yang dikejar. Tanggungjawab datang bersama amanah dan sudah tentu amanah merupakan sesuatu yang perlu dipikul dan dilaksanakan, tambahan pula akan disoal nanti akan kerjabuatnya. Jika tidak ditunaikan amanah, pasti akan merasa kesakitan di akhirat nanti. Pun demikian oleh kerana sudah dilantik MSA tiada pilihan lagi, melainkan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin kerana MSA mempunyai pandangan baru dan jitu tentang tugas-tugas sukarela di dalam masyarakat sekarang. Pelantikan ke jawatan ini memberikan peluang kepada MSA untuk berbakti kepada masyarakat dan menuai hasilnya di akhirat nanti. InsyaAllah.

"Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa kami. Kau ampunilah dosa kedua-dua ibubapa kami, keluarga kami, muslimin dan muslimat sekelian. Kau berkatilah hidup kami. Kau matikanlah kami dalam keadaan kami telah bersedia berjumpa denganMu"

[NotaMSA : Aku hanya insan lemah dan tiada berpengetahuan. Maafkan aku jika tidak dapat menyumbang sehabis baik yang mungkin]

Friday, March 26, 2010

OH...NO. ITS ALREADY 2 1/2 YEARS NOW. THE TRUCK IS NOT MOVING AHEAD

Muhasabah diri selepas 2 /12 tahun bergelar pelajar PhD secara sambilan masa.

KARTUN PHD

Klik untuk besarkan perkataan dan memahami kartun ini.
Dipetik daripada Anissazira@blog.spot.com

Apabila tension buat PhD, kadang-kadang kartun begini dapat membantu.

[NotaMSA : Prof tolong saya.............Dr Z tolong...........]

Thursday, March 25, 2010

MUHASABAH DIRI 5 : BERJALAN KE KUANTAN, PAHANG

Sebelum bertolak ke Kuantan, bergambar kenangan di hadapan
Highway Hotel Rawang


Kelihatan (dari kiri) Nur Mahirah, Nur Najah dan Nur Athirah (belakang) bergambar di hadapan Highway Hotel Rawang. Kelihatan di belakang berpusu-pusu kereta beratur untuk mengisi minyak di stesyen minyak Petronas pada pagi hari raya Cina. Kereta2 ini hendak pulang ke arah utara.

Wafiq berada di riba pemandu sepanjang perjalanan Pulau Pinang-Rawang

Pada Cuti Hari Raya Cina yang lepas, dari 12 hingga 15 Februari 2010, MSA dan keluarga berpeluang bercuti dan berehat di D'Ru Resort Village, Pantai Beserah, Kuantan, Pahang. Lawatan ke Kuantan Pahang adalah bersempena dengan Kursus Kakitangan PUZ yang diadakan di sana. Oleh kerana tidak pernah berjalan ke Kuantan, maka MSA mencadangkan kami sekeluarga berkereta ke Kuantan. Kami bertolak pada jam 5.00 petang pada Jumaat selepas pejabat. Kami sampai di Rawang pada jam 10.00 malam dan menginap di Highwal Hotel Rawang. Keesokan paginya jam 8.30 pagi kami bertolak ke Kuantan melalui Batang Kali, Genting Highland terus memasuki Lebuhraya Pantai Timur. kami sampai di sampai di Pantai Beserah, Kuantan pada jam 2.30 petang, masih awal bagi pendaftaran kursus pada jam 3.00 petang. Rehlah ke Kuantan merupakan satu lagi peluang kepada MSA dan isteri untuk melupakan peristiwa 1 November yang lalu.

[NotaMSA : peluang menikmati laut ciptaan Allah SWT]

MAJLIS PENGHARGAAN PELAJAR CEMERLANG UPSR 2009

Kelihatan Nur Yusra (nombor dua dari kanan) bersama kawan-kawan
yang turut menerima hadiah kecemerlangan UPSR 2009.

Kelihatan Nur Yusra sedang menerima Hadiah Kecemerlangan UPSR dari
Dato' Abdul Jalil Abdul Majid, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh.
Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah SPT (tengah, berbatik).
Memang telah menjadi lumrah alam, setiap kejayaan yang dicapai pasti ada ganjarannya. Begitu juga kepada pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat kejayaan 5A dalam peperiksaan UPSR 2009 yang lalu. Baru-baru ini Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Tengah dengan kerjasama UMNO Bahagian Permatang Pauh telah mengadakan majlis penghargaan kepada pelajar-pelajar Tahun 6 yang berjaya dalam UPSR 2009 yang lalu. Salah seorang yang menerima ialah anak MSA, Nur Yusra bte Mohamad Salleh. Syukur Alhamdulillah.
[NotaMSA : Anak kedua mendapat 5A dalam UPSR]

Tuesday, March 9, 2010

BAITUL HUSNA BAKAL BERUBAH WAJAH

Bahagian tepi hadapan rumah yang sudah disimen.
Porch kereta yang sedang dibina.

Kelihatan lori "moulinex" sedang menuangkan simen di hadapan rumah.

Keadaan hadapan rumah sebelum kerja-kerja lori "moulinex"

Setelah tertangguh selama 5 tahun sejak Baitul Husna siap pada 2004, maka projek fasa 2 kini berjalan. Projek ini dilaksanakan setelah kos perbelanjaan membuat "renovation" mencukupi. Antara projek yang terlibat dalam fasa ini ialah pembinaan "porch kereta" di hadapan rumah, lantai simen di belakang, projek pagar rumah elektrik dan pembinaan kolam ikan. Anggaran kos puluhan ribu ringgit juga.

[NotaMSA : Syukur Alhamdulillah]

Monday, March 8, 2010

MANDI-MANDA DI BURMESE POOL, TAIPING

Wah, seronoknya Wafiq mandi sungai.

Siap main bola lagi, maklumlah John Terry

Lawatan ke Zoo Taiping tidak sah kalau tidak mengunjungi Burmese Pool yang terletak berdekatan. Ia merupakan sungai yang airnya menuruni daripada bukit. Oleh kerana Taiping mengalami hujan setiap hari, maka setiap masa sungai ini mempunyai air terjun. Ini menarik pelancong dan orang ramai beriadah dan berkelah di sini sambil mandi-mandi bersama keluarga. MSA dan keluarga tak lepaskan peluang mandi di sini. Lagipun MSA dah selalu sangat mandi kat Bukit Suria. Pilih la kawasan lain pulak. Kan Taiping banyak kawasan menarik.

[NotaMSA : Cuti sekolah akan datang lagi]

Sunday, March 7, 2010

TERINGAT DIALOG KASSIM SELAMAT KEPADA NYONYA MANSOR


Ketika asyik melihat kehebatan Allah SWT dalam bentuk ciptaan pelbagai jenis spesis binatang di zoo, teringat pulak MSA kepada dailog terhebat dalam filem P.Ramlee, Ibu Mertuaku.

"Kan lebih baik engkau dijadikan binatang"

[NotaMSA : Banyakkan bersyukur kerana kita dijadikan manusia yang berakal]

"SAHABAT-SAHABAT" BERADA DALAM KEADAAN SIHAT WALAFIAT

Bergambar berlatar belakang sahabat baik- sang trumpet

Wafiq paling suka species burung ini

MSA tidak berapa ingat ini kali ke berapa lawatan ke Zoo Taiping dilakukan. Paling MSA ingat setiap tahun paling kurangpun 2 atau 3 kali MSA dan keluarga ada melawat "adik beradik" di sini. Kali ini lawatan bertujuan sama jugak, untuk bertanyakan khabar kepada "adik beradik" dan "sahabat-sahabat". Seperti mana biasa "adik beradik" dan "sahabat-sahabat" berada dalam sihat walafiat. Mereka gembira menyambut kedatangan kami.
[NotaMSA : Kebesaran Allah SWT dalam menciptakan species binatang]

Friday, March 5, 2010

MUHASABAH DIRI 4 : LAWATAN KE NEGERI PERAK : ZOO TAIPING

Bungalow "hinggap" sepanjang percutian di Taiping, Perak.

Kelihatan Muhammad Wafiq bersedia untuk membawa keluarganya ke Zoo Taiping.

Antara negeri lain yang berpeluang dilawati dalam XPDC Muhasabah MSA ialah Perak Darul Ridzuan. Bagi menyesuaikan dengan kedudukan lalulintas dan trafik, MSA memilih untuk melawat Zoo Taiping dan Burmese Pool yang berada berdekatan. Maklumlah dah lama MSA tidak melawat adik beradik MSA di Zoo Taiping. Siapa lagi kalau bukan abang berok dan gajah tu. Selepas letih melawat adik beradik dan sahabat handai di Zoo Taiping, MSA membawa keluarga ke Burmese Pool untuk menyegarkan badan. Burmese Pools merupakan kawasan mandi-manda di sungai berdekatan. Ketika hujan lebat tidak digalakkan mandi kerana airnya sangat deras menuruni bukit. Amat berbahaya, boleh lemas dan mati.

[NotaMSA : teringat zaman kanak-kanak, terjun sungai. Kini giliran anakku pula]

Wednesday, March 3, 2010

PROFESOR MUHAMMAD SYUKRI SALLEH BERLEPAS KE IDB JEDDAH

Pada tanggal 1Mac 2010 lepas, Pengarah ISDEV yang disayangi, Prof Dr Muhammad Syukri Salleh telah berlepas ke Jeddah, Arab Saudi. Tujuannya adalah untuk menjalankan penyelidikan di Islamic Development Bank (IDB), Jeddah. Ianya bagi mengisi cuti sabatikal Prof Dr Syukri selama 3 bulan. Semasa berangkat, isteri Prof. dan dua anaknya turut bersama-sama. Prof. Dr Syukri dijangka berada di sana sehingga 31 Mei 2010. Prof dijangka akan pulang ke Malaysia pada pertengahan bulan Jun 2010. Walaupun tidak berada di ISDEV, USM selama tempoh tersebut, Prof telah berpesan agar keluarga / pelajar ISDEV melaksanakan tugas seperti yang di amanahkan. Yang belajar kena teruskan penyelidikan dan penulisan bidang masing-masing, manakala pensyarah, diwajibkan terus membimbing anak bangsa.
[NotaMSA : Sudah ada yang nak ikut Prof ke Jeddah ?]

Monday, March 1, 2010

BUKTI KEBESARAN DAN KEKUASAAN ALLAH SWT

Jika manusia berasa terlalu pandai, ciptalah satu sahaja daripada pelbagai spesis bunga kaktus ini


atau beberapa helai daun pokok ini ....

atau yang ini...

atau sehelai lalang ini. Ternyata manusia tidak berupaya.....

Sepanjang program muhasabah dan makan angin ke beberapa tempat di negeri-negeri seperti Pahang, Perlis dan Kedah, MSA dan keluarga dapat melihat banyak tempat dan kejadian yang membawa kita kepada mengingati Allah SWT. Lantas MSA teringatkan satu petikan Al-Quran, ayat 60, Surah An-Naml yang makna ayatnya seperti berikut :

"Bahkan siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya."
[NotaMSA: Akur kekuasaan Allah SWT, segera beristigfar]