Wednesday, December 30, 2009

GOOD LUCK.. RAZIAH

Selamat Maju Jaya juga kepada rakan PhD, Raziah Md Tahir yang akan membentangkan proposal PhD pada 31 Disember 2009, jam 3.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat ISDEV, USM. Semoga lulus dan dibenarkan meneruskan pengajian. Seluruh rakan-rakan PhD mendoakan Raziah Md Tahir berjaya dalam peperiksaan ini.
[NotaMSA : Takkan kulupa detik pembentangan proposal PhD sendiri]

ADIOS .... YB HAJI SHABUDIN YAHAYA. JASAMU DIKENANG

Pada 30 Disember 2009 telah diadakan program Makan Malam Perpisahan Untuk YDP MAINPP, YB Shabudin Yahaya yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai YDP MAINPP dan Pengerusi PUZ berkuatkuasa 31 Disember 2009. Program diadakan di Aquarius Hall. Summit Hotel, Bukit Mertajam. Program dihadiri oleh semua ahli MAINPP dan ahli Lembaga Pengarah PUZ yang juga tamat tempoh berkhidmat pada masa yang sama. Program dimeriahkan lagi dengan kehadiran kakitangan MAINPP dan PUZ yang sama-sama bertugas dengan beliau sepanjang tempoh menjadi YDP dan Pengerusi MAINPP.
Kini sahlah beliau melepaskan jawatan tersebut kepada orang baru yang tidak asing lagi di kalangan warga MAINPP dan USM. Atas jasa yang ditaburkan, keseluruhan warga kerja MAINPP dan PUZ mengucapkan selamat maju jaya kepada YB Shabudin Yahaya. Semoga berjumpa lagi di lain era dan zaman.
[NotaMSA : Tunggu masa BN menang semula di Pulau Pinang]

WAKAF TUNAI : TAHNIAH KEPADA ISDEV. USM

MSA dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang bersidang pada 23 November 2009 pada dasarnya telah memberi kelulusan produk Wakaf Tunai ISDEV kepada USM (ISDEV).
Tahniah diucapkan kepada ISDEV, USM atas perjuangan mendapatkan kelulusan produk Wakaf Tunai ISDEV ini. Dengan kelulusan ini maka USM memasuki senarai terkini bagi universiti yang mendapat kelulusan yang sama di negeri masing-masing.
[NotaMSA : tumpang gembira]

SELAMAT MAJU JAYA PAK SUKIMAN

30 dan 31 Disember 2009 merupakan detik penting kepada pelajar PhD, Pak Sukiman. Mock viva dan viva. Ia juga detik penting kepada semua pelajar PhD lain yang ingin belajar. Kerana mock viva dan viva merupakan suasana yang perlu dihadapi. Kita belajar dan menerima komen orang lain untuk pembaikan tesis kita. Namun begitu malangnya MSA tidak dapat menyertai kedua-dua program khas untuk Pak Sukiman ini kerana komitmen kerja. Agak malang MSA terlepas peluang belajar ilmu dan pengalaman yang sangat berguna yang akan MSA gunakan nanti. Namun begitu ia mungkin ada hikmahnya. Tugas pejabat perlu didahulukan. Oleh kerana MSA tidak dapat mengikuti mock viva dan viva yang diaturkan ini maka tidak dapatlah MSA memberi komen dan ulasan seperti mana yang dilakukan oleh sahabat saya, Ahmad Azrin Adnan.
Apapun MSA ucapkan selamat maju jaya kepada Pak Sukiman. Semoga lulus dengan cemerlang.
[NotaMSA : Entah kenapa perasaan berdebar seperti Pak Sukiman jugak]

MUHASABAH DIRI 2 : CAMERON HIGHLANDS, PAHANG




Selepas program muhasabah di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah, MSA membawa pula keluarga ke Cameron Highlands (CH) pada 8-10 Disember 2009. Lawatan ke CH adalah bersempena Kursus Binadiri Gerak Asnaf Zakat PUZ Siri 2/2009 yang dianjurkan oleh Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, PUZ. Oleh kerana kebetulan cuti panjang sekolah, MSA ambil kesempatan membawa keluarga bersama-sama. Kami menginap di Cool Points Hotel, Tanah Rata. Oleh kerana sibuk menguruskan kursus, MSA tidak sempat melawat banyak tempat, kecuali ke Agrotech MARDI dan beberapa projek perumahan dan apartmen di Tanah rata dan Brinchang selepas kursus berakhir. Antaranya projek yang dibangunkan oleh syarikat LBS Bina Berhad. Semasa ketiadaan MSA, isteri MSA mengadakan lawatan bersendirian bersama-sama anak-anak.

Berhenti di perhentian pertama semasa menaiki bukit Cameron Highlands

Rehat dan Rawat (R&R) di Holiday Fun Garden.
Muhammad Wafiq seronok melihat banyak anak kura-kura di dalam fountain di sini.

Tuesday, December 29, 2009

MUHASABAH DIRI 1 : MERDEKA BEACH RESORT, PANTAI MERDEKA, SG.PETANI, KEDAH

Bagi menenangkan fikiran MSA dan isteri kesan peristiwa 1November dan bagi bermuhasabah diri kami berdua, maka MSA mengambil peluang membawa keluarga berehat dan makan angin dengan anak-anak di Pantai Merdeka, Sungai Petani pada 6-7 Disember 2009. Disebabkan sudah lama tidak ke Pantai Merdeka, MSA dapati resortnya sudah berlainan. Sudah diupgradedkan menjadi lebih baik. Jumlah bilik juga ditambah menjadikan resort ini lebih selesa, mungkin setaraf dengan hotel 4 bintang. Keadaan biliknya amat baik dan selesa selepas melalui proses refurbishment. Kadar sewaannya juga berpatutan, hanya RM150.00 sahaja bagi bilik jenis standard. Bilik yang kami duduki berharga RM200.00 semalam.
MSA dan isteri selepas check in bilik.

Keadaan bilik tidur utama.

Keadaan bilik tidur kedua (untuk anak-anak)

Keadaan tandas yang bersih

Nur Athirah (anak sulung) dan Nur Mahirah (anak ke 3) di hadapan bilik resort.
Bergambar kenangan di tepi pantai di hadapan bilik resort.

Aksi Muhammad Wafiq di kolam renang.

[NotaMSA : Hendak tahu kisah Pantai Merdeka, dengar lagu Kumpulan Rock Jinbara]

Monday, December 28, 2009

"HADIAH" DARIPADA ALLAH SWT TELAH TIBA

Apabila kejadian 1November berlaku, ramai-ramai kawan MSA menyampaikan simpati dan rasa sedih. Malah ada yang secara berseloroh (dengan gembira) mengatakan MSA akan memperolehi "hadiah" daripada Allah SWT tidak lama lagi. Tidak lama kemudian apa yang disebut benar berlaku. Pada tanggal 19 November 2009, Allah SWT memberikan hadiahNya dalam bentuk anak MSA, Nur Yusra bte Mohamad Salleh mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kemudian hadiah kedua muncul, apabila pada tanggal 24 Disember 2009, MSA mendapat berita Nur Yusra telah ditawarkan ke Tingkatan 1 di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB). Syukur Alhamdulillah kerana doa ibunya dikabulkan. Walaupun ada memohon ke MRSM, semua ahli keluarga sepakat Nur Yusra akan ke Sekolah Sains Kepala Batas.

Nur Yusra gembira mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2009.
Rakan-rakan Nur Yusra daripada Sekolah Rendah Guar Perahu yang turut mencatat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR 2009.

[NotaMSA : Terima kasih Dato Seri Mohd Shafie Apdal kerana sudi mempertimbangkan permohonan Nur Yusra ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas].

LIFE GOES ON.......

Kad Ucapan Hari Lahir ke 45 tahun rekaan anak-anak yang dilekatkan
di dinding bilik sebagai surprise occasions oleh isteri. Sudah 45 tahun umurku.

Hadiah Hari Lahir ke 45 tahun yang diberikan oleh Badan Kebajikan Kakitangan
(BAKA) Pusat Urus Zakat, MAINPP pada sebelah paginya. Comel dan cute.
Hadiah yang diberikan oleh anak-anak di rumah di sebelah petangnya. Hadiah misteri.

Kek Hari Lahir ke 45 tahun yang dihadiahkan oleh isteri. Walaupun masih
bersedih, namun layanan dan tanggungjawab kepada suami tetap dilaksanakan.

Walaupun berduka dengan Tragedi "1 November" keluarga MSA tetap meneruskan hidup seperti biasa. Peristiwa hitam yang terjadi cuba dilupakan. Pelbagai usaha dilakukan untuk menceriakan semula hati isteri MSA yang agak tertekan dengan apa yang berlaku- kehilangan banyak bahan utama tesis PhDnya. Salah satu aktiviti ialah sambutan hari lahir MSA pada 13 November 2009 dan juga membawa keluarga makan angin dan bersiar-siar ke seluruh pelusuk Malaysia.

(NotaMSA : berapakah baki umurku ?]

MEMBENTANGKAN KERTAS KERJA DI ISLAMIC DEVELOPMENT MANAGEMENT CONFERENCE 2009 (IDMAC 09) : ISLAMIC CAPITAL MARKET

Kelihatan MSA bersama Dr Zahri Hamat (sebelah kanan)
semasa Persidangan IDMAC 2009 berlangsung.

Pada 28 dan 29 Oktober 2009 yang lalu, MSA sempat menghadiri dan membentangkan kertas kerja di Islamic Development Management Conference 2009 (IDMAC 09) dengan tema Islamic Capital Market. Persidangan yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti, USM ini merupakan persidangan tahunan anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM. Tajuk kertas kerja yang dibentangkan bertajuk Aplikasi Sukuk Sebagai Sumber Pembiayaan Kontemporari Pembangunan Aset Wakaf. Kertas kerja ini merupakan antara 23 kertas kerja yang dibentangkan di persidangan ini.
[NotaMSA: Kertas kerja Sukuk dan Wakaf yang pertama dan terakhir?]

TESIS TERBAIK NASIONAL : PENANDA ARAS TERBAHARU TESIS PHD ISDEV

MSA pernah ditanyakan apakah pandangan mengenai kemenangan Dr.Fadzila Azni Ahmad sebagai penerima pertama Anugerah Tesis PhD Terbaik Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dan ISDEV baru-baru ini. Agak berpinau jugak kepala MSA memikirkan jawapan yang hendak diberikan kepada soalan yang ditanyakan. Akhirnya MSA menjawab "susah kita". Mereka bertanyakan balik; Apakah yang susah tu.... Mereka agak kehairanan kerana itu bukan jawapan yang mereka mahukan. Maka MSA pun menjelaskan. "Susah kita kerana itu akan menjadi penanda aras terbaharu tesis PhD di ISDEV". Jawapan yang MSA berikan agak melantunkan kotak minda mereka, menyebabkan mereka terpaku dan terkedu. Selepas beberapa lama akhirnya mereka akur dengan jawapan yang diberikan oleh MSA. Mereka bersetuju dan berkata ; "kalau begitu susahlah kita selepas ini'. Memangpun (jawap MSA dalam hati). Ini kerana MSA berpandangan bahawa tesis terbaik akan sentiasa menjadi penanda aras terbaharu bagi pelajar-pelajar PhD di ISDEV. Jika tidak, pelajar-pelajar dan ISDEV akan dianggap sebagai tidak mencapai kemajuan. Ini akan berlaku jika selepas ini tiada pelajar ISDEV mencapai tahap tersebut. Yang paling membimbangkan MSA ialah tiada lagi pemenang selepas Dr. Fadzila Azni Ahmad. Ini mungkin berlaku bukan kerana tiada kelayakan dan pelajar terbaik, tetapi standard tinggi yang akan ditetapkan oleh ISDEV. Namun begitu sebaliknya pula, mungkin akan ada pemenang tesis PhD terbaik setiap tahun daripada pelajar ISDEV. Dalam erti kata lain, pelajar ISDEV memonopoli anugerah ini. Ini berlaku kerana akademi tesis terbaik yang berada di ISDEV mula membuahkan hasil, dimulai dengan Dr Fadzila Azni Ahmad. Tidak mustahil selepas ini setiap tahun pemenang Anugerah Tesis Terbaik (ATT) dimonopoli oleh pelajar ISDEV sahaja. Serba mungkin.
[NotaMSA : Pembelajaran-Pengajaran ISDEV perlu berubah kepada misi pemenang ATT setiap tahun]

TAHNIAH DR FADZILA AZNI AHMAD : KEJAYAAN TESIS BERGANDA


Inilah yang dikatakan tuah badan. Selepas menang Anugerah Tesis PhD Terbaik Pengajian Siswazah Peringkat USM (Kategori Kluster Sastera Tulen) anjuran Institut Pengajian Siswazah (IPS), Dr Fadzila Azni Ahmad menang sekali lagi. Kali ini beliau menang di peringkat lebih besar iaitu Nasional, melalui Anugerah Tesis PhD Terbaik Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Bahkan kali ini prestige kemenangannya adalah lebih tinggi kerana semua tesis PhD di seluruh Malaysia (yang menghantar penyertaan) dipertandingkan. Kemenangan ini menunjukkan bahawa usaha ISDEV untuk melahirkan pelajar dengan tesis terbaik sudah mula menunjukkan kejayaan. Selepas ini akan lahir lagi pemegang anugerah ini daripada ISDEV. Tahniah Dr. Fadzila Azni Ahmad. Tahniah ISDEV. Terima kasih kepada semua sifu di ISDEV.

[NotaMSA : Menunggu pemenang seterusnya ; Sukiman, Azrin ?]

SEKALUNG TAHNIAH, PELANTIKAN DR FADZILA AZNI AHMAD SEBAGAI TIMBALAN PENGARAH ISDEV

Sekalung tahniah atas pelantikan Dr. Fadzila Azni Ahmad sebagai Timbalan Pengarah pertama ISDEV. Pelantikan adalah untuk tempoh 2 1/2 tahun sehingga 31 Disember 2011. MSA rasa pelantikan ini merupakan satu pemilihan yang sangat tepat berdasarkan kepada pengalaman, kelayakan akademik dan sumbangan yang boleh diberikan oleh beliau kepada ISDEV. Pelantikan juga merupakan satu pengiktirafan kepada kaum wanita di ISDEV kerana sebahagian besar pelajar merupakan kaum wanita. Selamat menjalankan tugas dan selamat maju jaya.

[Nota MSA: Dah lama tak boleh tidur dengan jawatan]

Thursday, December 24, 2009

SEJUTA TAHNIAH. PROF. DR MUHAMMAD SYUKRI SALLEH DILANTIK SEMULA PENGARAH ISDEV

Tahniah diucapkan kepada Prof. Dr Muhammad Syukri Salleh yang telah dilantik semula sebagai Pengarah ISDEV oleh TS Dato' Naib Canselor USM. Pelantikan semula adalah bagi tempoh 1 penggal (3 tahun) lagi bermula 1 januari 2010 hingga 31 Disember 2012. Dengan pelantikan tersebut, MSA merasakan banyak tugas dan kerja-kerja yang sedang berjalan dapat terus berjalan. Kerja-kerja yang sudah dirancang akan dilaksanakan, manakala tugas dan tanggungjawab yang baru boleh dirancangkan dalam tempoh 3 tahun ini. Tempoh 3 tahun merupakan satu tempoh yang lama dan cukup untuk merancang dan merealisasikan sesuatu matlamat. MSA berharap sehingga 2012 banyak perkara yang dirancangkan dapat berjalan dan mencapai kejayaan. Paling dekat ialah fokus baru MISDEV dengan 4 bidang pengkhususan baru dengan pengambilan pelajar pertama bermula pada Jun 2010. Begitu juga dengan pengambilan pelajar baru mode penyelidikan, samada dalam negara atau luar negara. Tahun 2010 fokus penyelidikan ISDEV akan beralih pula kepada kajian tentang zakat. Tentu banyak tumpuan dan fokus akan diberikan kepada bidang zakat. Tidak terkecuali pula Wakaf Tunai ISDEV yang telah mendapat kelulusan dasar daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Semuanya memerlukan tumpuan dan komitmen yang tinggi daripada kakitangan dan warga kerja ISDEV. Semoga Allah SWT memberikan kudrat kekuatan minda dan tenaga kepada Prof. Dr Muhammad Syukri Salleh untuk meneruskan perjuangan yang masih belum selesai. Sebagai warga ISDEV yang bertanggungjawab, marilah sama-sama kita mengerah keringat dan tenaga bersama-sama membantu beliau di samping mendoakan kejayaan ISDEV meniti kemuncak kejayaan dan kecemerlangan dengan redha Allah SWT. InsyaAllah.
[NotaMSA : Berjuang di pinggiran]

Monday, December 21, 2009

KALAU SUDAH DITAKDIRKAN, IA PERGI JUA......TAK KEMBALI LAGI

Hari ini genap 50 hari sudah laptop MSA dan isteri "meninggalkan" kami berdua. Dalam tempoh masa tersebut kami menanti doa kami dimakbulkan.... supaya, paling kurangpun laptop isteri dikembalikan kerana beliau amat berharap benar dapat semula laptop tersebut. Tetapi selepas berusaha di 8 tempat dan menunggu hingga kini, usaha tersebut nampaknya belum berhasil. Maka MSA dan isteri telah membuat kesimpulan bahawa memang Allah SWT hendak mengambil kedua-dua barang tersebut terutamanya bahan-bahan PhD isteri. Sebab itu walaupun usaha dan solat hajat setiap hari dilakukan, maka ia tetap tidak kembali kepada kami. Itulah takdir Allah SWT, yang bagi orang beriman melihat ia sebagai satu hikmah yang perlu diambil pengajaran. Kini selepas sekian lama, MSA dan isteri semakin dapat menerima takdir yang dikenakan ke atas kami. Cuma buat masa sekarang usaha perlu dilakukan untuk memujuk isteri untuk meneruskan pengajian PhDnya. Selepas seminggu peristiwa berlaku nampak riak isteri semacam sudah kecewa dan menyerah kalah. Tidak mahu meneruskan pengajian lagi. Oleh itu pelbagai jalan perlu diusahakan untuk meriangkan isteri supaya melupakan sekejap peristiwa tersebut.
[NotaMSA : kena fikirkan jalannya...............]

Sunday, December 20, 2009

COMMENT BLOGGER LAIN TENTANG SISTEM WAKAF

Sepanjang menjadi blogger, MSA banyak menerima comment daripada blogger yang lain. Namun begitu pandangan daripada insan bernama Zulhasmi begitu menarik minat MSA. Kita ikuti comment Zulhasmi tersebut yang MSA siarkan di bawah ini :
"Kelemahan sistem wakaf dan lain sistem Islam bukan sahaja berlaku di Malaysia .. malahan di setiap penjuru alam ini... Jika wujud insan-insan yang mendabik dada bahawa merekalah yg memperjuangkan kelestarian sistem-sistem Islam namun iman mereka tidak pernah melepasi kerongkongan mereka, sistem Islam tidak mungkin subur dan bertahan walau seharipun ....
Pemurnian sistem Islam tidak pernah membuka lorong untuk mencambahkan pengkaji dan penyelidik-penyelidik yang memaksa diri untuk mereka untuk tujuan nama dan pangkat seperti yang dilabel ataskan oleh kumpulan mereka sendiri. Kita lihat Dr Yusuf Qardhawy, bagaimana beliau melakukan kajian Zakat ...kejayaannya disebabkan kejituan ilmu-ilmu alat yang beliau kuasai .. disamping telah tersurat beliau adalah seorang tokoh ulamak. Lihat saja karya-karyanya berkaitan keikhlasan, mendalam tulisan dan penghayatan beliau. Sehinggalah beliau kelihatan seperti doktor kepada alam ini...Adakah kita hendak menjadi dosa kepada alam ini pula...???
Bagaimana kita yang tercalar dengan berbagai kemaksiatan dan penyelewengan niat akan berjaya membuat perubahan kepada sistem Islam sedangkan sistem kekeluargaan kita sahaja belum boleh kita selesaikannya dengan baik. Bagaimana dengan pakaian anak isteri kita (pakai baju nampak lengan, kedengkian kita kepada sesama staff ditempat kerja dll ... adakah sesuai dan benar jika kita turut sama untuk memperkatakan suara kebimbangan terhadap sistem Islam sedangkan kitalah yg merobohkan sistem-sistem Islam tersebut di penjuru-penjuru yang lain...."
[NotaMSA : Sentiasa Berdoa Akan Lahir Satu Hari Nanti Seorang Tokoh Yang Hebat Memperjuangkan Wakaf Sepertimana Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi memperjuangkan Zakat]

Wednesday, December 16, 2009

RAHSIA KEJAYAAN PENULISAN : DARIPADA BLOG KEPADA ARTIKEL POPULAR

Ramai kawan-kawan daripada kalangan akademik dan bukan akademik ada menanyakan saya apakah rahsia menulis secara prolifik. Prolifik bermaksud produktif. Produktif bermaksud menghasilkan penulisan secara aktif atau produk penulisan yang banyak. Saya pun kurang pasti kenapa saya ditanya sebegitu. Apakah mereka melihat saya sebagai seorang penulis yang produktif. Bagi saya nak dikatakan produktif itu tidaklah berapa benar kerana saya tidak begitu banyak menulis hasil karya. Namun begitu mungkin jika dibanding dengan mereka, saya mungkin dilihat lebih banyak menghasilkan karya, samada menulis di blog secara selalu, menulis artikel popular, kertas kerja dan sekarang sedang menulis tesis PhD dan buku pula. Saya akui memang ada menulis di blog tapi tidaklah sekerap Prof. Dr Muhd Kamil Ibrahim, Pengarah UITM Johor yang setiap hari menulis 2-3 entries di dalam blognya Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan (KRTS). Prof Kamil juga sudah menerbitkan 3 buah buku. Paling popular dan laris ialah buku pengalaman hajinya, Travelodge Haji : Mengubah Sempadan Iman. Antara penulisan yang saya sifatkan sebagai "produktif" ialah penulisan di blog. Menulis di blog saya anggap mudah kerana ia merupakan penulisan yang sangat santai, tidak memerlukan pemikiran yang banyak. Isunya juga pelbagai dan tidak terlalu akademik. Volumenya juga setakat 1 mukasurat sahaja. Jumlah Kita boleh boleh menulis sehingga apa-apa saja isu yang kita minat. Kita boleh menyatakan pandangan, idea dan buah fikiran kita, berkongsi pengalaman dan mencurahkan emosi kita. Semua boleh dilakukan dalam blog. Pun begitu untuk menukarkan entry blog kepada artikel poular, memerlukan kita menulis satu isu yang sedikit akademik. Bermula dengan menulis di blog, isu itu kemudian kita kembangkan dengan memasukkan sedikit fakta yang bersifat akademik. Penulisan artikel popular adalah amat ringkas kerana ia membincangkan 1 isu sahaja. Tidak perlu kepada banyak isu. 1 isu tadi dikupas dengan teliti dan berhemah supaya akhirnya nanti akan menampakkan kesimpulan yang menarik. Tajuk artikel popular juga hendaklah "menangkap" atau catchy. Sebagai contoh dikemukakan tajuk artikel popular yang dianggap catchy dan menarik tadi. Misalnya : Perbankan Islam : Antara Syarak dan Keuntungan, Pembangunan Harta Wakaf : Kebajikan atau Komersial ?, Pemilihan Bank : Antara Nafsu dan Syariat, Bank Islam Yang Tidak Islam!, Ramai Pensyarah Universiti Tidak Yakini Hujah Zakat Pendapatan. Ini hanyalah beberapa contoh bagaimana tajuk artikel popular yang catchy dapat menarik minat pembaca untuk mendapatkan bahan tersebut. Inilah yang perlu kita lakukan untuk menukarkan entry blog kepada penulisan artikel popular. dari segi volumenya cukuplah artikel popular setakat 3 mukasurat sahaja kerana ia membincangkan 1 isu sahaja. Oleh itu jika banyak entry blog yang ditulis secara akademik, maka banyaklah pula entry tersebut dapat ditukarkan kepada artikel popular. Jika begini yang dilakukan maka banyaklah artikel popular yang berjaya ditulis. Manakala untuk menukarkan artikel popular kepada kertas kerja ini memerlukan kerja yang lebih banyak sedikit. Penulisan kertas kerja juga panjang kerana memerlukan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 mukasurat. Kertas kerja juga perlu mengemukakan fakta dan bukti-bukti yang perlu.
[NotaMSA : Paling Susah Menukarkan Kertas Kerja kepada Tesis]

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1431

Masa berlalu pantas tanpa menghiraukan kita. Mengikut maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Nukman Ibn Bashir, masa yang pantas berlalu adalah merupakan alamat kiamat makin hampir. Mengikut Nukman, alamat kiamat boleh dibandingkan dengan masa seperti berikut: 1 tahun dirasakan seperti 1 bulan. 1 bulan dirasakan seperti 1 minggu. 1 minggu dirasakan seperti 1 hari. 1 hari dirasakan seperti 1 jam dan 1 jam dirasakan seperti 1 minit minit. 1 minit pula dirasakan seperti satu percikan api. Bayangkan betapa cepatnya masa berlalu. Tup- tap, tup-tap dah 1 hari berlalu. Tup-tap tup-tap sebulan. Tup-tap tup-tap setahun berlalu meninggalkan kita. Esok ialah 1 Muharram 1431H, besamaan dengan 18 Disember 2009. Esok kita akan menyambut satu lagi tahun baru. Ini bermakna sudah 1 tahun baki umur telah meninggalkan kita. Bagaimana bagi umur yang lain ? Berapa tahun lagi ? Ini adalah perkara yang kita tidak pasti. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Masa jika tidak diisi dengan perkara-perkara kebajikan dan amal akan menjadi sia-sia dan terbuang begitu sahaja. Jika kita biarkan masa berlalu tanpa soal jawab Munkar-Nakir itu ok bagi kita. Tapi semuanya perlu kita jawab di akhirat nanti. Tentang bagaimana masa kita habiskan masa kita di dunia ini. Sedang kita menonton perlawanan bolasepak Final Sukan SEA Laos antara Malaysia vs Vietnam secara langsung di siaran TV1, TV2 dan TV3 pada petang ini, sambil menanti tahun baru Hijrah tiba, elok kita hayati makna ayat 103 Surah Al' Asr ini;
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".
Selamat menyambut Maal Hijrah 1431.
[NotaMSA : Tak dapat tengok bola kerana anak, Wafiq nak tengok Ultraman].

Wednesday, December 2, 2009

RENCANA / PANDANGAN ORANG LUAR TENTANG ANUGERAH TESIS ISDEV

Bahan ilmiah patut diterbitkan

Oleh MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN
SARANAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tesis sarjana dan doktor falsafah (PhD) diterbitkan dalam bentuk buku wajar diberi perhatian oleh universiti-universiti tempatan.
Membukukan bahan-bahan keilmuan itu mampu memperkaya dan merangsang suasana akademik di negara ini dengan percambahan ilmu, penyaluran idea dan perkongsian maklumat yang bermakna. Tambahan pula, usaha itu boleh menyebarkan khazanah ilmu dari menara gading bagi dimanfaatkan oleh negara.
Penulis berpendapat tesis yang bermutu wajar diterbitkan untuk rujukan umum. Jika tidak sesebuah tesis yang dihasilkan atas usaha bertahun-tahun lamanya hanya dibaca oleh empat hingga enam individu iaitu penyelia dan pemeriksa yang dilantik oleh universiti. Pihak lain yang mungkin merujuk ialah mereka yang membuat penyelidikan dalam bidang itu.
Persoalannya, wajarkah tesis yang boleh menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara hanya tersimpan rapi di rumah atau di pejabat pengkaji atau di rak perpustakaan universiti?
Dengan menerbitkannya dalam bentuk buku, seperti yang dilakukan oleh Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), tentunya menambah koleksi buku ilmiah tempatan untuk manfaat masyarakat. Malah boleh dirujuk oleh masyarakat antarabangsa yang ingin mengetahui isu yang dikaji tentang Malaysia.
Atas sokongan Muhyiddin yang juga Pengerusi YNY, buat julung kali baru-baru ini YNY dan USM bekerjasama mengadakan Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2009 peringkat nasional yang diberi kepada penyelidik peringkat sarjana dan PhD dalam ilmu berkaitan Islam.
Dr. Fadzila Azni Ahmad dari USM dinobatkan sebagai pemenang sulung peringkat PhD dan menerima anugerah berupa pingat emas bernilai RM10,000 dan wang tunai RM5,000 dari Muhyiddin. Manakala tidak ada pemenang kategori peringkat sarjana.
Penganjur yakin anugerah itu merupakan usaha yang sangat penting kepada perkembangan ilmu kerana dengan cara ini dapat menyumbang kepada peningkatan pengetahuan umat manusia.
Dari satu segi, usaha YNY dan USM untuk membukukan tesis Fadzila adalah langkah positif kerana penyelidikan beliau akan dapat dimanfaat oleh pelbagai pihak termasuk institusi yang berteraskan Islam.
Ini kerana tesis beliau yang bertajuk Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia boleh digunakan sebagai model kerana hasil kajiannya sarat dengan pelbagai pandangan dan rujukan yang dibincangkan secara ilmiah dan terperinci. Tambahan pula beliau mengambil masa enam tahun untuk menghasilkannya.
Penulis berpendapat tesis calon lain juga wajar dipertimbangkan oleh penganjur untuk diterbitkan memandangkan laporan jawatankuasa penilaian menunjukkan tesis mereka diberi penilaian yang tinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penilaian, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dari USM, terdapat 18 kriteria bagaimana sesebuah tesis sarjana dan PhD dinilai dan diangkat sebagai yang terbaik. Kriteria yang diambil kira adalah tajuk tesis dan kandungan, kepadatan abstrak, kejelasan penyampaian, susunan tesis, penggunaan bahasa dan tata bahasa, ejaan dan peristilahan.
Kriteria lain adalah sudut tinjauan/sorotan bacaan, objektif kajian, metodologi, data yang dikutip dan dianalisis, interpretasi data dan kesimpulan, hubungan perbincangan dengan penemuan kajian, perbincangan, bahan rujukan, kekemaskinian bahan rujukan serta keaslian kajian.
Oleh itu, calon-calon sarjana dan Phd yang berminat untuk menyertai anugerah itu pada tahun hadapan harus menitikberatkan kriteria yang disenaraikan jika ingin dipilih sebagai tesis terbaik dan diterbitkan.
Namun, jika tidak berjaya menjadi yang terbaik, mungkin tesis yang dihasilkan itu tinggi mutunya dan boleh diterbitkan sebagai buku untuk dibaca dan dirujuk oleh pelbagai pihak.
Tambahan pula di negara kita tidak banyak buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang terhasil berdasarkan kajian yang boleh dirujuk oleh pencinta ilmu. Sejak sekian lama, sebahagian besar bahan dan buku ilmiah yang dirujuk di universiti masih dalam bahasa Inggeris yang majoritinya ditulis oleh pengkaji dan sarjana Barat.
Muhyiddin berharap anugerah seumpama itu dapat menyemarakkan semangat dan merangsang calon-calon pasca ijazah dalam dan luar negara untuk menghasilkan kajian dan tesis dalam bidang keilmuan Islam yang bermutu tinggi seterusnya dibukukan.
Dalam perkaitan ini, universiti tempatan wajar memberi sokongan kepada penerbit universiti masing-masing untuk menarik minat lebih ramai siswazah peringkat sarjana dan PhD untuk menerbitkan tesis. Selain royalti, penulisnya mungkin diberi ganjaran yang setimpal sebagai satu pengiktirafan atas usaha ilmiahnya.
Malah tesis pelajar Malaysia di luar negara juga boleh diterbitkan jika didapati tinggi mutunya daripada dibiarkan menjadi rujukan dan dieksploitasi oleh universiti berkenaan.
Jika kewangan menjadi kekangan, universiti tempatan mungkin boleh bekerjasama dengan organisasi korporat untuk mewujudkan anugerah dan menerbitkan tesis. Langkah ini dilihat sebagai memenuhi konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti yang diuar-uarkan oleh kalangan sektor korporat.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman Penerbit Universiti Malaya (UM), bukanlah mudah untuk menarik minat siswazah menerbitkan tesis ke buku kerana memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian bagi menepati konsep dan keperluan penerbitan sebuah buku.
Daripada ratusan lulusan sarjana dan PhD di UM, penerbitnya hanya berjaya merealisasikan beberapa buah tesis sahaja ke buku. Pada tahun 2008 misalnya, daripada 15 buku hanya enam diterbitkan dari tesis. Pada tahun ini, 22 buku diterbitkan dan hanya tiga daripada tesis siswazah.
Penerbit UM turut mengadakan bengkel penulisan tesis ke buku sebagai usaha menarik minat golongan ilmuwan membukukan tesis mereka. Namun, kurang berhasil.
Dari satu segi, usaha membukukan tesis dalam ilmu berkaitan Islam mungkin dapat membantu meningkatkan kegemilangan dan keunggulan Islam seterusnya bersaing dengan Barat.
Hal ini diakui Muhyiddin bahawa pada masa ini kegemilangan dan keunggulan Islam semakin jauh ditinggalkan oleh Barat dalam bidang seperti sains, teknologi, ekonomi dan pendidikan. Fenomena yang berlaku menyebabkan kita bukan sahaja ketinggalan malah memperlihatkan seolah-olah negara-negara Islam semakin mundur dalam bidang pendidikan.
Oleh itu, seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, anugerah tesis terbaik itu serta membukukannya merupakan langkah awal yang digagaskan untuk mengembalikan keunggulan tamadun keilmuan Islam di Malaysia khasnya dan di dunia Islam umumnya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya
Utusan Online