Tuesday, April 26, 2011

TRANSFORMASI WAKAF - SELANGOR TUBUHKAN PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)

Wah... ini sudah bagus. Inilah yang dikatakan transformasi wakaf. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menubuhkan sebuah perbadanan untuk menguruskan hal-ehwal wakaf. PWS ini ditubuhkan melalui enakman penubuhan perbadanannya. Ia merupakan satu lagi lagi anak syarikat di bawah MAIS. Sebelum ini MAIS telah mempunyai beberapa anak syarikat lain, antaranya Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Kumpulan MAIS Corporation Holding Sdn Bhd (KMC). Di bawah LZS pula sekarang ada MAIS Zakat Sdn Bhd yang mengurus Pusat Pembangunan Usahawan Asnaf Selangor dan Akademi Zakat Selangor. PWS memulakan operasinya pada 1 Januari 2011. MSA difahamkan PWS sekarang ini diketuai oleh seorang Timbalan Pengurus Besar, iaitu Encik Awaludin Zakaria. Pada minggu lepas PWS baharu sahaja tamat menemuduga kakitangan baru untuk berkhidmat di PWS. PWS berperanan untuk menguruskan hal ehwal wakaf termasuk mengumpul kutipan dan dana wakaf, menguruskan pembangunan wakaf serta aset-aset wakaf. PWS juga akan menumpukan kepada operasi dan promosi Saham Wakaf Selangor (SWS).

Setakat ini di Malaysia, hanya 3 perbadanan wakaf telah ditubuhkan. Sebelum ini telah ditubuhkan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan Sdn Bhd (PWNS) dan Permodalan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (PWPP). Walau 3 yang ditubuhkan tetapi sebenarnya tiada yang aktif. PWNS tidak begitu aktif kerana diketuai oleh seorang eksekutif sahaja, manakala PWPP lagi teruk kerana telah dibubarkan pada 2009 selepas hanya 7 bulan ditubuhkan. Nampaknya hanya tinggal Selangor yang mula, sedang dan masih mengibar panji-panji wakaf di Malaysia sekarang. Negeri lain bagaimana?

[NotaMSA: Tumpang gembira kerana masih ada yang ingin menegakkan idealisme wakaf]

No comments: