Thursday, June 3, 2010

UMRAH TAK JADI ? SEDIH DALAM GEMBIRA ATAU GEMBIRA DALAM SEDIH !

Apa yang hendak dikata. Umrah yang dijadualkan penerbangannya pada hari ini 4 Jun 2010 tak menjadi. Kami dimaklumkan bahawa ibadah umrah yang sepatutnya berlaku pada 4 hingga 18 Jun ditangguhkan ke bulan Ramadhan akan datang atas alasan yang kurang munasabah. Apa yang hendak dikata. Perasaan kami berdua begitu sedih kerana segala persiapan telah dibuat. Kami berdua juga sangat bersemangat menanti hari dan masa yang ditetapkan. Banyak kelengkapan telah dibeli. Hal anak-anak telah diuruskan. Keadaan lebih mudah kerana sekarang cuti sekolah, tentunya pengurusan anak lebih mudah berbanding hari persekolahan biasa. Sekali fikir memang sedih tetapi bila diingatkan kembali, yang tarikhnya ditangguhkan ke bulan Ramadhan, hati kembali menjadi gembira. Mungkin inilah dia yang dikatakan doa yang dimakbulkan. Kami selalu mendoakan kepada Allah supaya menerima kami sebagai tetamu Allah SWT yang palig istimewa. Dan ternyata doa ini dimakbulkan apabila diberi peluang umrah dalam bulan puasa.
Namun dari segi yang lain, ada juga perasaan gembiranya walaupun sedih tidak dapat menunaikan umrah sekarang. Ini kerana lagi lambat menunaikan umrah, kami dapat membuat persiapan yang lebih baik terutama persiapan diri dan kerohanian. Penangguhan tarikh memberikan lebih banyak masa melakukan taubat, solat hajat dan qiyamulalail sebagai persiapan melakukan ibadat di Mekah nanti. Ini kerana bukan mudah untuk berjumpa dengan pemimpin besar di dunia, perlu persiapan yang banyak. Inikan pula berjumpa dengan Allah Rabull Jalil, Pencipta Sekelian Alam. Dalam tempoh pertemuan dengan Allah perlu banyak persiapan mental dan kerohanian. Mungkin semua yang terjadi ini ada hikmahnya yang tersendiri. Mungkin Allah SWT masih belum dapat menerima kami datang ke rumahNya, insan yang terlalu banyak dosa ini. Entahlah apa nak kata lagi. Dalam sedih ada gembira. Dalam gembira ada sedihnya.
[NotaMSA: Ada hikmahnya yang tidak diketahui]

2 comments:

Assalamualaikum! said...

Berbahagialah siapa jua yang dipilih Allah SWT menjadi tetamuNya. Tiada tolok bandingnya segala peristiwa hidup selain menatap kaabah dan menziarahi makam Rasulullah SAW (seumpama menziarahi Baginda ketika masih hidup). Bila dan bagaimana tidaklah menjadi keutamaan. Paling penting, kita dipermudahkan Allah SWT untuk menjejakkan kaki di bumi anbiya' dan tentu sekali berharap mudah-mudahan dipermudahkanNya melaksanakan ibadat umrah atau haji. Aku berdoa moga-moga hang dan rombongan meraih umrah yang mabrur......

Penulis Rindu said...

Semoga allah sahaja yang mengetahuinya ke atas semua tersirat.