Wednesday, October 19, 2011

MSA SEBAGAI PENULIS BUKU, BIAR BETUL!

Chewah. Begitulah keadaan MSA yang tersipu-sipu tersenyum. Apa taknya selepas ini MSA bergelar penulis buku la pulak. Apa tidaknya, insyaAllah jika diizinkan Allah SWT sedikit masa lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka akan menobatkan MSA dan 17 rakan-rakan ISDEV sebagai penulis. MSA dan rakan-rakan ISDEV telah melalui saringan pertama yang diadakan pada 24 hingga 25 Mei 2011 yang lalu (Bengkel Manuskrip). Kini MSA dan rakan-rakan juga telah melepasi saringan kedua iaitu Bengkel Pemurniaan Judul Buku pada 22 September 2011 yang lalu. MSA dimaklumkan bahawa kesemua judul buku termasuk judul MSA telah dibawa ke pengetahuan DBP untuk kelulusan. Semuanya sebanyak 19 judul berjaya dikumpul dan dikemukakan kepada DBP untuk kelulusan.

MSA akan menulis buku bertajuk "Wakaf di Malaysia: Satu Koleksi Esei". Ia merupakan himpunan artikel dan kertaskerja tentang wakaf yang MSA bentangkan di seluruh negeri di Malaysia. Inilah kerja MSA apabila tak buat penulisan tesis, menulis artikel untuk dijadikan buku. Bila jangkamasa terbitnya buku ini? Tanya hati kecil MSA. Dimaklumkan mungkin sebelum penghujung tahun depan (2012). Wah, kenapa lambat sangat? Yalah nak edit lagi. Nak tunggu kawan-kawan yang lain siap jugak. Mana boleh jalan sorang, Kena la geng ISDEV semua hantar. Barulah sekali terbit 19 buku sekali, baru best. Bagi MSA nampak gayanya buku keluar dulu daripada tesis. Camna ni? Supervisor tak royak ka? Dema kata ok, mohlah MSA pulun la.

[NotaMSA: Nikmat mana lagi yang kamu dustakan. Ya Allah ampunilah daku, hambamu ini]

KENANGAN TANPA FOTO. REKOD MASIH KEKAL

Begitulah selalu yang berlaku. Setiap kali seminar demi seminar yang dihadiri, tiada gambar foto diri sendiri dan kawan-kawan yang boleh diabadikan. Sejak membentangkan lebih belasan seminar dan persidangan, tiada satupun foto diambil ketika pembentangan. Kesnya samada tidak membawa kamera ataupun membawa kamera tetapi lupa meminta kawan-kawan tolong snap. Akhirnya inilah yang berlaku, kenangan tanpa foto. Bolehkah dikatakan kenangan jika tiada foto. Jika bukan kenangan nak dikatakan apa ya? Mungkin sebabnya saya tidak suka berfoto kerana bagi saya ia mengingatkan tentang banyak kisah lama yang menyayat hati. Oleh kerana itulah, mungkin sebabnya saya tidak suka kenangan dengan foto.

Sehingga kini paling akhir ialah seminar INGRAW2011. Tiada satupun foto gambar yang diambil. Alasannya anak yang mengaji di MRSM phon menggunakan kamera tersebut. Beliau ada program /kem di Jeli Kelantan pada masa yang sama dengan INGRAW2011. Mulanya saya bertegas hendak memastikan kenangan seminar tanpa foto akan berakhir dengan INGRAW2011. Tetapi apabila anak yang minta menggunakan kamera saya beralah. Sebagai ayah banyak yang kita korbankan apabila melibatkan permohonan anak. INGRAW2011 tak terkecuali. Maka akhirnya INGRAW2011 terus menerus menjadi kenangan tanpa foto seterusnya. Bermula dengan pembentangan pertama iaitu pembentangan proposal PhD pada 2008 hingga INGRAW2011 (sekarang) rekod mencatitkan tiada foto diambil ketika pembentangan / seminar. Sebelum ini seminar di Medan 2x, tahun 2008 (WAPI1) dan 2009 (WAPI2), tiada foto. Selepas itu pembentangan/ seminar INGRAW2010, INGRAW2009 dan INGRAW2008. lepas tu di IDMAC2010 dan IDMAC2009 juga tiada foto diambil. Begitu jugak di seminar2 di tempat lain di luar USM. Misalnya di USIM (iECONS09), SEIPK09 di UM, NAMAC08 di UDM (sekarang UnisZA), Seminar MAIDAM/UKM 2009. Begitu juga dua seminar lain di USM, iaitu Seminar Fiqh Lestari 2008 (anjuran PPIK) dan SSPNS 2009 (anjuran PPSK). Dalam semua-semua seminar ini tiada kenangan foto dirakamkan membuatkan setakat tiad satupun gambar foto dirakamkan untuk dijadikan kenangan semasa seminar. Di INGRAW2011 baru-baru ini agak terkilan juga kerana tiada kenangan gambar foto2 bersama rakan-rakan PhD yang telah lulus. Tiada gambar kenangan bersama Dr Ahmad Azrin, Dr. Warjio dan Dr Muhammad Tahir. Dr Irsyad saya tidak berapa kenal kerana beliau graduate lebih awal kot. Itulah kisahnya. Nak dikatakan tak sedih, biasa la sebab dah jadi biasa. Nak dikatakan tak sedih, sedih juga kerana tiada kenangan dapat dihayati dengan gambar foto bersama-sama kawan-kawan. Sayang seribu kali sayang.....

[NotaMSA: teringat lagu Salim...]

Thursday, September 8, 2011

TESIS BILA SIAP?

Pertanyaaan ini muncul di satu petang di Pantai Batu Feringgi!


Begitulah soalan lazim yang sering ditanyakan apabila anda menjadi pelajar PhD yang sangat senior di universiti. Senior dalam kategori ini bermaksud 4 tahun dan ke atas, dan masih terhegeh-hegeh dengan tulisan tesis. Masih belum tahu hendak ke mana tesis anda. lebih teruk lagi kalau anda pelajar tajaan. 4 tahun merupakan tahun-tahun kritikal bagi anda. Biasanya tahun ke 4 merupakan tahun terakhir anda di universiti. Ini kerana biasanya biasiswa dan tajaan yang diberikan, sama ada daripada KPT atau universiti anda hanya setakat 4 tahun sahaja. Siap atau tidak tesis anda, selepas 4 tahun, anda terpaksa bersedia kembali ke alam pekerjaan atau kerjaya anda. Jika anda pensyarah atau guru, anda kena kembali memasuki kelas atau mengajar, di samping meneruskan penulisan tesis bagi yang belum submit. Inilah dilema yang dihadapi kepada pelajar-pelajar PhD sebegini. Masih kena mentelaah buku walaupun telah kembali mengajar.

Walau bagaimana apa orang lain peduli. Kalau kita belum siap, apa orang nak gaduh. Kerja kita kita tau la. Yang nak gaduh mungkin penyelia kot. Yalah penyelia ambil berat akan hal kita. Tentulah mereka risau jika kita masih belum siap. Penyelia bertanggungjawab memastikan kita mengikut laluan yang betul. Jika ikut laluan yang betul sudah 4 tahun, apa dah jadi ni. Pergi ke mana? Tetapi jika pelajar tidak datang berjumpa, bagaimana penyelia nak concern, kerana diapun tak tahu perkembangan kita.

Jadi bagaimana reaksi anda bila ditanya soalan ini. Adakah anda cukup bersedia? Positif atau negatif?. Jika negatif. Atau anda akan mempersalahkan pelbagai perkara. Komputer hilang la, dokumen tak save la, anak kacau la, bersalin la, sakit la, keluarga sakit la.. dan macam-macam lagi. Namun anda ada alasan tertentu yang sebenarnya mengapa tesis masih lewat. Jika positif, anda akan jawab..... sedang dalam proeses, sorotan karya belum habis... dan macam-macam alasan lagi. Bersediakan anda?

[NotaMSA: Buat tesis ni pun mujok, kalau tidak....]

Monday, August 1, 2011

DARIPADA DOHA KE BALI, DARIPADA WELLINGTON KE SYDNEY?

Itulah kedudukan dan status terkini tentang cadangan mengikuti isteri menghadiri seminar di luar negara. Daripada cadangan asal ke Doha, Qatar, berubah ke Bali, Indonesia, kemudian cadangan berubah lagi; ke Welington, New Zealand, dan kini berubah lagi ke Sydney, Australia pula. Semuanya mempunyai sebab tertentu kenapa tempat seminar berubah-ubah. Bagi seminar di Doha, abstrak MSA diterima manakala abstrak isteri pula ditolak. Maka tak jadi Doha. Ke Bali pula, isteri menghantar abstrak, manakala MSA pula tidak menghantar apa-apa. Malangnya untuk Seminar Perakaunan di Bali, abstrak isteri tidak diterima. Maka ke Bali pun melepas. Kemudian tempat baharu dicadangkan, Wellington, New Zealand, kerana ada seminar dan tema yang bersesuaian, Finance dan Islamic Economic. Kedua-dua kami menghantar kertaskerja. Namun penghantaran secara online tidak diterima kerana penganjur mahukan semua pembentang menghantar melalui sistem mereka sendiri, Scholars One. Namun begitu apabila dicuba beberapa kali, masih tidak boleh masuk. Ada ketika apabila berjaya masuk, masih tidak dapat go through sistem tersebut kerana terdapat banyak sangat tahap tapisan. Pertama, tapisan abstrak. Kemudian, tahap tapisan jumlah muka surat kertaskerja. Bila lepas tahap pertama, tahap kedua pula tersangkut. Dicuba beberapa kali masih tak berjaya juga. Maka akhirnya tarikh akhir penghantaran (dateline), 21 Julai pun terlepas. Sehingga sekarang pun masih gagal get through sistem tersebut. Tak tau apa sebabnya. Canggih sangat kot sistemnya atau kami yang tak biasa. Maklumlah orang kampong sahaja, duduk Cherok Tokun pula. Nak pi bentang paper di luar negara. Akhirnya destinasi baharu dicari. Ya dapat. International Business Reseach Conference (IBRC) di Sydney, Australia. Datelinenya lambat lagi, 21 Oktober 2011. Sempat lagi kalau nak buat paper baharu. Cuma, masalahnya AirAsia tiada penerbangan terus KL-Sydney. Yang ada cuma KL-Adelaide sahaja. Kena ambil satu lagi kapalterbang Adelaide-Sydney baharu sampai. InsyaAllah jika ditakdirkan dapatlah kami berdua membentangkan kertaskerja berkaitan tesis masing-masing di Sydney, Australia pada 21 hingga 24 November 2011 akan datang.


[NotaMSA: Tak tahan bila flight take off,..... berdebar beb. Macam nak keluar semua isi perut]

Sunday, July 31, 2011

SOLAT MAGHRIB BERJEMAAH DI MASJID /SURAU: CABARAN TERBESAR RAMADAN?

Ramadan datang lagi. Bagaimana azam amalan anda pada tahun ini? Apakah sasaran tahun ini? Berapa banyakkah wang yang akan disedekahkan? Bagaimana solat tarawih anda? Bertambah menjadi 20 rakaat atau tetap pada 8 rakaat sahaja. Bagaimana sembahyang jemaah anda? Adakah lebih baik daripada tahun lepas? Bagaimana solat maghrib berjemaah? Buat di rumah secara sendiri atau berjemaah di masjid atau surau? Semua ibadat-ibadat di atas boleh ditingkatkan. Misalnya sedekah boleh ditambah, solat sunat tarawih boleh ditingkatkan. Namun begitu satu ibadah yang masih gagal dilaksanakan ialah solat maghrib berjemaah di masjid atau surau. Ini yang kebanyakan daripada kita kerap abaikan. Apakah alasannya? Mungkin kerana leka mengadap juadah berbuka yang sedap-sedap dan enak-enak, yang dibeli daripada chef terkenal, pula daripada kedai yang baik-baik. Atau mungkin kerana sehari suntuk berpuasa, maka wajarlah mengadap makanan dahulu, sembahyang biar kemudian. Layanlah perut dahulu, sehingga akhirnya solat maghrib bersendirian sahaja di rumah. Kadang-kadang oleh kerana sangat kekenyangan, solat isya berjemaah dan tarawikh juga terlepas, dek diri ibarat sawa boroi, menelan mangsa yang tersalah kandang. Bagaimana anda Ramadan ini. Jangan biarkan anda ketinggalan lagi solat maghrib berjemaah di masjid/surau. Perlu diiingat, mungkin ini ramadan anda yang terakhir! Tiada lagi Ramadan selepas ini. Selepas 31 Ogos ini. [NotaMSA: Masih cabaran terbesar]

Thursday, July 14, 2011

PUTERI SULUNGKU SUDAH 16 TAHUN

Nur Athirah (kanan) memotong kek hari lahir bersama adiknya, Ula

Kawan-kawan kat pejabat selalu memanggil MSA sebagai "Abu Bakr'". Ia nama gelaran kepada sesiapa yang mempunyai ramai anak perempuan. MSA yang mempunyai empat anak perempuan juga tidak terkecuali. Yang sulung sudah Tingkatan 4. Tahun depan akan ambil SPM dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke universiti. Sudah besar anak-anak MSA. Dan MSA semakin tua..... Seperti kebiasaan ulangtahun kelahiran anak-anak disambut dengan gembira dan ria sambil mensyukuri nikmat Allah SWT.

[NotaMSA: semakin hampir.....]

Wednesday, July 13, 2011

ABSTRAK YANG DITERIMA UNTUK INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC ECONOMIC AND FINANCE DI DOHA, QATAR PADA 25-27 DISEMBER 2011

Berikut inilah abstrak yang diterima untuk penyediaan kertaskerja penuh bagi persidangan Conference on Islamic Economic and Finance (CIEF) di Doha, Qatar pada 25 hingga 27 Disember 2011.