Thursday, September 25, 2008

4 Pra-Syarat Kejayaan Yayasan Waqaf Malaysia

Setelah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berjaya ditubuhkan apakah langkah seterusnya ? Langkah seterusnya ialah bergerak untuk mencapai objektif penubuhan seperti mana yang telah ditetapkan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya. 2 objektif utama penubuhan YWM ialah untuk menyemarakkan kembali ibadat berwakaf dan membangunkan secara bersama harta-harta wakaf yang banyak dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri. Jadi apakah rahsia untuk memastikan kejayaan YWM dalam membangun dan mengangkat martabat wakaf. Pada pandangan saya sekurang-kurangnya ada 4 pra-syarat yang perlu ada pada YWM sebelum kejayaan dapat dicapai, iaitu kakitangan yang berilmu, pasukan pemasaran yang terbaik, pengurusan tertinggi yang bersemangat dan berwawasan dan sistem sokongan yang mantap. Elok kita teliti tiap-tiap satu faktor tersebut. Oleh kerana YWM membawa bersama nama "wakaf" dalam namanya, maka ilmu yang patut diketahui oleh semua kakitangannya ialah ilmu wakaf sendiri. Nah untuk memantapkan kakitangan dengan memiliki ilmu adalah tidak sukar. Perkara itu boleh dicapai dengan mengadakan kelas intensif dan kelas mingguan. Pakar-pakar atau guru-guru yang mempunyai pengetahuan dalam bidang wakaf agak ramai dan boleh diundang bergantung kepada kedalaman ilmu pengetahuan tersebut. Kedudukan pejabat YWM yang berpangkalan di Putrajaya juga menyenangkan tugasan ini kerana terdapat ramai pakar wakaf berada di sana yang boleh dijemput. Di kalangan pensyarah, antara yang boleh diundang seperti Prof. Madya Dr. Siti Mashitooh Mahamod daripada Universiti Malaya dan Dr. Ahmad Yaacob daripada UITM (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka ini bolehlah dikatakan pakar dalam bidang wakaf dan dapat membantu menghasilkan produk-produk baru wakaf. Selain ilmu wakaf, bidang-bidang ilmu Islam yang lain juga perlu diajarkan untuk melahirkan kakitangan yang baik, cekap dan beradab, sesuai dengan imej wakaf yang dipromosi oleh YWM. Jika tidak YWM akan hanya mempunyai kakitangan yang hanya berjaya mencapai sasaran objektif, tetapi tidak islamik.
Faktor kedua yang perlu ada untuk menjamin kejayaan YWM ialah pasukan pemasaran (marketing team) yang terbaik. Sudah tentu kejayaan YWM amat bergantung kepada pasukan pemasaran yang terbaik. Ini diperlukan terutamanya untuk mempromosikan produk Wakaf Tunai dan lain-lain produk wakaf yang baru. 2 ciri utama yang perlu ada di kalangan kakitangan bahagian ini ialah pengalaman pemasaran dan pengalaman memasarkan apa-apa produk bercirikan Islam. Agak sukar dibayangkan jika bahagian ini mempunyai kakitangan yang tiada pengalaman pemasaran. Bagaimana agaknya dia hendak bekerja, dalam keadaan "target oriented" jika tidak biasa dengan keadaan itu. Mengikut pengalaman bekerja di bahagian pemasaran sangat tension dan pressure. Setiap hari, minggu dan bulan mengejar sasaran sahaja. Apabila sasaran ini dicapai barulah kita boleh bercakap tentang sasaran tahunan. Usah mimpi tentang sasaran tahunan jika sasaran harian, mingguan dan bulanan tidak dicapai. Bak kata, aktiviti yang dijalankan mesti mencapai sasaran. Sasaran. Sasaran dan sasaran (Dalam Inggeris, target, target, target). Tiap-tiap hari target, boleh jadi gila kalau kakitangan itu tidak biasa dan bersedia. Jadi bagaimana hendak mencari pasukan pemasaran sebegini ? Kakitangan sebegini ada dalam pasaran. Contohnya, di institusi yang mempromosikan produk-produk bercirikan Islam seperti takaful, zakat dan perbankan Islam. Dengan sedikit pujukan dan suntikan motivasi semangat Islam, kakitangan sebegini boleh ditarik menyertai YWM. Namun perlu diingat perkara ini. Good players do come with cost. Tapi jangan bimbang tidak semuanya mahal-mahal. Ada yang berminat untuk berkhidmat kerana Allah SWT. Yalah kan wakaf bekal untuk dibawa ke akhirat. Bagi yang meminta gaji yang mahal-mahal tentulah mereka mempunyai alasan sendiri setelah memikirkan faktor kerana Allah. Mereka mungkin memerlukan sedikit kepuasan diri sendiri sebelum menggalas tugas pemasaran yang sangat mencabar. Tambahan pula wakaf sekarang menjadi momokan dalam masyarakat orang Islam. Bagaimana marketing team ini hendak mengubah mindset masyarakat tentang wakaf, dan pada masa yang sama mempengaruhi mereka untuk membuat Wakaf Tunai ? Apakah caranya? Tentulah ini satu tugasan yang sangat sukar.
Pengurusan tertinggi merupakan faktor ketiga yang sangat penting dalam kejayaan YWM. Dalam konteks artikel ini pengurusan tertinggi yang dimaksudkan ialah Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM dan CEO. Bersambung nanti ..... selepas hari raya kot.
[MAT WAKAF : Fuh... seronoknya menulis artikel ini. Jangan marah no. Minta ampun Tuan... ]

Artikel Penyelidik Bersekutu Terbit Di Media Popular (Dewan Ekonomi) Keluaran Oktober 2008

Artikel tulisan Mohamad Salleh Abdullah, Penyelidik Bersekutu ISDEV yang merupakan salah seorang penyumbang aktif dalam ruangan blog ini akan diterbitkan dalam majalah Dewan Ekonomi keluaran bulan Oktober 2008 akan datang. Demikian blog dimaklumkan oleh penulis berkenaan ketika dihubungi pada pagi tadi. Artikel yang diterbitkan itu bertajuk "Pengurusan Wakaf Perlukan Muttawali Baru?. Untuk rekod ini merupakan artikel pertama (sulung) penulis berkenaan yang diterbitkan di majalah atau akhbar. Antara kupasan artikel berkenaan adalah mengenai perlunya muttawali atau pengurus baru untuk menguruskan harta supaya imej wakaf dapat ditingkatkan. Ini secara tidak langsung menunjukkan muttawali wakaf sekarang gagal melaksanakan pengurusan wakaf dengan berkesan. Setakat berita ini ditulis, blog belum dapat menyiarkan artikel tersebut kerana belum mendapat kebenaran daripada penulis berkenaan. Artikel tersebut akan disiarkan dalam blog ini selepas kelulusan diperolehi.
[MAT WAKAF : teringin nak tulis novel cinta dan wakafkan sebahagian hasil jualannya]

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI- MAAF ZAHIR BATIN- BLOG BERCUTI SEMINGGU

Sempena Hari Raya Aidil Fitri tahun ini, MAT WAKAF ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri serta memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca dan kakitangan blog ini jika terdapat salah dan silap sepanjang berkhidmat di blog ini. Oleh kerana baru bekerja, maka MAT WAKAF tidak mendapat cuti tahunan daripada majikan untuk raya tahun ini. Walaupun blog ditutup selama seminggu, tetapi MAT WAKAF akan berada di pejabat untuk menyiapkan berita-berita yang akan disiarkan selepas hari raya nanti.
[MAT WAKAF : Sedih tak dapat cuti raya. Lagi sedih mengenangkan insan yang beraya tanpa keluarga, orang tersayang dan di perantauan]

Sunday, September 21, 2008

Mat Wakaf Staf Baru Blog Ini

Blog ini mengucapkan selamat datang kepada staf baru, MAT WAKAF yang ditugaskan di bahagian ruangan pojok blog ini. Untuk pengetahuan, MAT WAKAF merupakan kakitangan yang sangat berpengalaman di bidang kewartawanan dan pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar. MAT WAKAF berpengalaman menjalankan kerja-kerja menyelidik serta berani mencungkil isu-isu panas dan sensasi yang muncul di dalam masyarakat. Untuk makluman pembaca, MAT WAKAF merupakan sahabat baik dan klon KARAM SINGH WALIA.

Transformasi Pengurusan Waqaf

Sudah sampai masanya pengurusan waqaf perlu melalui proses transformasi supaya menjadikannya lebih cekap dan berkesan. Itulah pandangan awal jika ditanya apakah yang perlu dilakukan untuk menjadikan pengurusan waqaf releven dengan tuntutan ummah semasa. Melihat kepada keadaan sekarang, waqaf mempunyai banyak masalah terkumpul (backlog problems). Masalah waqaf bermula daripada tiada inventori harta waqaf, pentadbiran waqaf di bawah muttawali bukan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tanah ditadbir oleh orang bukan Islam, tanah waqaf dijual, terbiar dan semak kepada harta waqaf secara lisan, waqaf tidak didaftarkan dan tiada dokumen waqaf sehingga kepada isu-isu untuk membangunkan harta waqaf. Itu belum lagi isu harta-harta waqaf tidak dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain seperti cukai tanah tertunggak, tanah waqaf dirampas oleh kerajaan, cukai pintu tinggi, pendapatan waqaf tidak dapat menampung perbelanjaannya, waqaf tidak "self generating", pengambilan tanah waqaf yang tidak diganti balik (istibdal) dan manfaat waqaf tidak sampai kepada penerimanya. Boleh dikatakan isu waqaf sangat banyak, sangat kronik dan memerlukan perhatian sepenuh masa dan fokus. Dari segi undang-undang, tugas untuk menguruskan waqaf berada di tangan MAIN yang dilantik sebagai pemegang amanah tunggal. Jika itu kenapa isu waqaf masih berbangkit. Rata-rata sebabnya kerana MAIN sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mengekang perkembangan dan pembangunan waqaf itu sendiri. Umum tahu bahawa MAIN tidak mempunyai kakitangan waqaf yang mencukupi sedangkan masalah waqaf banyak. Dengan demikian tumpuan dan fokus untuk menyelesaikan masalah waqaf tidak diberatkan tambahan pula wujudnya tuntutan kerja semasa. Jika begitu apa hendak jadi kepada waqaf. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh sahaja. Sesuatu mesti dilakukan. Kaedah yang boleh dilaksanakan adalah melalui transformasi pengurusan waqaf. Transformasi bermakna anjakan pengurusan wakaf kepada suatu kaedah pengurusan baru yang dapat membantu meningkatkan imejnya. Bermaksud bahawa kaedah baru perlu dicari untuk memperbaiki keadaan. Antara kaedah yang boleh dicadangkan ialah menambahkan kakitangan di bahagian waqaf, outsourcing dan strategi pengkorporatan. Caranya nampak mudah untuk dicadangkan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Penambahan kakitangan boleh dilakukan jika MAIN mempunyai sumber kewangan. Apakah semua MAIN mempunyai kewangan sebegitu? Pasti tidak. Jika tidak sudah lama MAIN mengambil kakitangan tambahan baru. penambahan kakitangan melibatkan banyak prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)dan proses birokrasi. Jadi ia lambat untuk menjadi kenyataan. Jika lambat apakah waqaf boleh menunggu lebih lama lagi untuk mendapat pembelaan. Sesetengah aktiviti waqaf boleh dioutsourcingkan. Bermakna sesetengah aktiviti waqaf boleh diswastakan atau ditenderkan kepada pihak lain yang mempunyai kepakaran. Antara aktiviti yang boleh ditenderkan seperti pembersihan kubur atau masjid, pembaikan kecil dan penyelenggaraan. Kutipan sewa waqaf boleh juga diswastakan tetapi ia boleh membawa kesan lain terutama dari segi kemampuan dan perundangan. Walau bagaimanapun sesetengah MAIN tidak berminat menswastakan kutipan sewa kerana ini akan mendedahkan banyak rahsia MAIN. Penswastaan juga boleh berjaya jika MAIN mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi. Jika tidak penswastaan tidak boleh dilaksanakan. Bagaimana pula dengan pengkorporatan waqaf ? Ini adalah isu baru dan sangat menarik jika dapat menjadi kenyataan. Kepada kebanyakan MAIN, cadangan ini merupakan satu isu yang sangat baru dan masih belum dapat diterima oleh pengurusan tertinggi MAIN. Walaupun buktinya ada dengan kejayaan pengkorporatan zakat, tetapi sebahagian negeri sahaja mengkorporatkan zakat, manakala sesetengah negeri lain masih sukar menerimanya. Sebab kepada alasan ini sukar difahami. Bagi sesetengah MAIN pengkorporatan waqaf dirasakan belum diperlukan. Ini kerana mengkorporatkan waqaf bermakna menyerahkan pengurusan waqaf kepada pihak lain. Walau pun demikian masalah ini ada jalan keluarnya dengan penubuhan anak syarikat di bawah MAIN di mana MAIN memegang 100% saham syarikat. Kaedah lain ialah MAIN boleh menubuhkan yayasan waqaf negeri. Faedah menubuhkan yayasan sangat banyak. Antaranya organisasi ini akan berorientasikan kebajikan. Ini melayakkan organisasi ini mendapat pengecualian daripada pembayaran cukai dan zakat perniagaan seperti mana yang dikenakan terhadap syarikat korporat pengurusan zakat sekarang. Nah jalannnya telah ada. Pilihlah yang mana satu pilihan yang berkenan di hati. Samada menambahkan kakitangan, atau menswastakan sebahagian aktiviti waqaf atau pengkorporatan waqaf (jika berani). Yang paling penting ialah waqaf perlulah melalui proses transformasi agar sumbangan waqaf kepada ummah akan menjadi lebih signifikan. Untuk berubah, waqaf perlukan "transformer".
[MAT WAKAF: Hendak tonton filem "Transformer"].

Thursday, September 18, 2008

Abstrak Kertas Kerja Yang Ditolak

PENGURUSAN WAKAF, HARTA PUSAKA DAN WASIAT DI MALAYSIA :
QUO VADIS ? [1]

Abstrak

Sejak kebelakangan ini isu pengurusan harta umat Islam di Malaysia hangat diperkatakan. Banyak pihak memberikan pelbagai pandangan dan cadangan. Ada yang mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang dikatakan tidak membuat sebarang perubahan yang signifikan. Apakah benar tuduhan tersebut? Daripada analisis awal wujud kelemahan yang ketara dalam pengurusan wakaf, harta pusaka dan wasiat di negeri-negeri di Malaysia yang menunjukkan yang ianya tidak cekap dan efisyen. Walaupun demikian, setakat ini tidak ternampak adanya usaha serius yang dilakukan oleh MAIN untuk memperbaiki kelemahan ini. Jika begitu quo vadis wakaf, pusaka dan wasiat? Apakah masa depan aset-aset ini? Bagaimanakah kedudukan sosio-ekonomi umat Islam dan ummah yang perlu dibela? Kertas kerja ini bercadang untuk melihat fenomena tersebut serta mencadangkan pembaharuan dan reformasi yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan pengurusan harta umat Islam ini. Salah satu cadangan yang boleh dilaksanakan untuk membaiki pengurusan wakaf ialah melalui kaedah muttawali korporat. Bagi pengurusan harta pusaka pula, satu pelan tindakan drastik perlu digubal, manakala pengurusan wasiat memerlukan penerokaan minda bentuk baru.

[1] Kertaskerja yang akan dibentangkan di Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf anjuran bersama Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman pada 18 & 19 Oktober 2008.

Kertas Kerja Yang Diterima Untuk Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf di Terengganu pada 18 & 19 Oktober 2008

PEMBANGUNAN HARTA WAKAF DI PULAU PINANG

FAKHRUDDIN BIN ABDUL RAHMAN [1]
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Tingkat 8 & 9, Menara UMNO, No. 128, Jalan Macalister, 10400 Pulau Pinang. Email : fakhruddin@mainpp.gov.my. Tel : 019-4750864/
04-2260305/319/312. Faks : 04-2260380.

MOHAMAD SALLEH BIN ABDULLAH [2]
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Tingkat 8 & 9, Menara UMNO, No. 128, Jalan Macalister, 10400 Pulau Pinang. Email : salleh3055@yahoo.com. Tel : 012-4149005/
04-2260305/319/312. Faks : 04-2260380.

ABSTRAK

Kedatangan pedagang-pedagang Islam yang terdiri pelbagai puak dan bangsa berbeza daripada merata pelusuk dunia ke Pulau Pinang telah mewujudkan satu bentuk budaya Islam yang sangat hebat dan sukar ditandingi sehingga sekarang. Akibat keluhuran hati dan kekuatan akidah golongan ini, telah wujud banyak enklaf-enklaf wakaf yang bertaburan di sekitar bandaraya Georgetown. Enklaf-enklaf ini berpusat di satu-satu petempatan di mana akhirnya institusi masjid menjadi pusat kegiatan utama. Hasilnya lahirlah sekumpulan manusia yang berperanan menguruskan masjid-masjid dan tanah-tanah yang diwakafkan ini. Masjid Pakistan, Masjid Benggali, Masjid Keling, Masjid Melayu, Masjid Acheh dan Masjid Aga Khan (fahaman Syiah) merupakan nama-nama masjid yang terkenal di Pulau Pinang yang dapat dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan ini. Kertas kerja ini bertujuan untuk melihat bagaimana Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memainkan peranannya untuk membangunkan kawasan-kawasan ini. Kertas kerja ini juga bertujuan untuk menganalisis strategi dan bentuk pembangunan keseluruhan tanah-tanah wakaf yang berpotensi di Pulau Pinang yang telah dilaksanakan. Hasil analisis mendapati bahawa pembangunan tanah wakaf adalah sangat mencabar dan amat memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak sebelum kejayaannya dapat dicapai.
[1] Fakhruddin Abdul Rahman merupakan Setiausaha, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
[2] Mohamad Salleh Abdullah merupakan Pegawai Khas Kepada Y.B Haji Shabudin Yahaya, Yang DiPertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.