Yalah MSA pun tak tahu pasai apa. Nak kata sibuk, memang la sibuk. Nak kata tak sibuk, sibuk juga la. Tapi kenapa dah lama tak blogging. Selama 3 bulan satu entry pun takdak. Apa dah jadi. Sibuk hal apa. Macam merajuk sahaja. Merajuk ka. Tak.. tak, tak merajuk. Cuma... cuma apa. tak tau. Mungkin sibuk tulis tesis kot. Atau sibuk kerja kat pejabat. Kalau sibuk tulis buku. Sibuk yang mana satu. Entahlah....................
[MSA: Sibuk la....]
Tuesday, April 3, 2012
WAPI 5 (7-13 APRIL 2012)- SELAMAT TERBANG KE MEDAN, INDONESIA
Bagi tahun ke 3 berturut2 MSA tidak dapat menghadiri Workshop Antarbangsa Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI) Kali ke 5 (2012) tahun ini atas alasan yang sama. Kumpul cuti tahunan untuk urusan tesis. MSA dengar kali ini merupakan delegasi terbesar. Seramai 49 orang akan hadir. 4 orang pensyarah dan 45 orang pelajar. Wow ramainya pelajar pergi. Walaupun program ini disifatkan wajib, tetapi masih ramai lagi pelajar lain yang tidak pergi bersama. MSA salah seorang daripadanya.
MSA ucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli rombongan. Kalau MSA dapat pergi, benda yang MSA paling minat untuk dibeli ialah seluar katok Pulau Samosir. Best suggguh bila memakainya apabila berkebun. Sayangnya ia dah terkoyak rabak. Mungkin MSA akan berpeluang membelinya tahun depan atau 2014. Itupun kalau masih ada umur panjang.
(MSA: Ada kenangan terindah yang membuat akan daku mengingatimu Allah ya rab)
Friday, December 30, 2011
"COUNTDOWN" PENULISAN BUKU ISDEV-DBP BERMULA
Minggu hadapan, tanggal 5 Januari 2012 telah dijadualkan satu majlis rasmi Majlis Menandatangani MOU Penerbitan Buku antara USM (dibaca ISDEV) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia akan diadakan serentak dengan Perutusan Tahun baharu 2012 Naib Canselor USM yang akan disaksikan oleh TYT Negeri Pulau Pinang. Dalam majlis yang sama juga diadakan pelancaran buku-buku yang telah siap dan pameran. Daripada maklumat sebanyak 19 buah buku pelbagai tajuk telah dicadangkan untuk diterbitkan oleh DBP. Kepada semua warga ISDEV yang terpilih untuk menghasilkan buku ini, maka bermulalah era penulisan buku-buku ini. Mulai saat ini selepas ini semua rutin jadual harian warga ISDEV terbabit haruslah disesuaikan bagi membolehkan buku siap. MSA dimaklumkan tarikh akhir penghantaran deraf buku ialah pada 31 Mac 2012 akan datang, iaitu lebih 90 hari daripada sekarang. Dalam tempoh tersebut semua penulis buku harus bertungkus lumus menyiapkan paling minima, deraf pertama. Oleh kerana penulisan buku bukanlah satu tugas yang mudah, maka disiplin diri yang ketat perlulah diamalkan. Jika tidak buku tidak akan berjaya disiapkan. Itu belum lagi melibatkan tempoh masa untuk kerja-kerja pembetulan, pembaikian, editan, deraf akhir dan percetakan. Mulai sekarang dalam tempoh masa membuat persiapan mengajar, mengajar, memberi kuliah, membuat penyelidikan, menulis artikel dan laporan dan penyeliaan pelajar sarjana dan PhD, ruang masa yang ada haruslah diperuntukkan sama untuk penulisan buku. Untuk diri MSA biarlah penulisan buku ini semata-mata kerana Allah swt supaya buku ini boleh menjadi amal jariah yang boleh ditinggalkan.
[NotaMSA: Semoga buku menjadi satu wakaf yang berkekalan]
TAHUN BAHARU (2012), AZAM BAHARU, STRATEGI BAHARU!
Esok, tanggal 1 Januari 2012. Satu lagi tahun baharu ditempoh dalam travelodge PhD wakaf. Bagi memastikan perjalanan penulisan tesis berjalan (bukan lari setempat), maka MSA telah membuat beberapa perancangan dan strategi baharu supaya dapat mendisiplinkan diri. Antaranya, pertama ialah mengadakan countdown serahan tesis. Seperti mana di bahagian kanan blog ini, MSA telah adakan countdown tersebut, iaitu tarikh serahan pada 31 Disember 2012, iaitu 365 hari daripada sekarang. Ini sebagai janji kepada diri MSA supaya kekal fokus dan bermatlamat. Kedua, mensifarkan pembentangan kertaskerja di seminar dan persidangan atau ringkasnya Seminar Sifar (SS). Kalau adapun hanya untuk pembentangan dalaman ISDEV sahaja iaitu INGRAW2012 dan IDMAC2012. Itupun dengan syarat yang ketat iaitu mesti bentang kertaskerja yang berkaitan dengan tajuk tesis sahaja. Jika tidak jangan bentang paper langsung walaupun di INGRAW atau IDMAC. Ketiga, untuk memberi lebih fokus dan tumpuan, MSA akan memperuntukkan beberapa hari daripada sejumlah 30 hari cuti tahunan 2012 untuk menulis tesis. Ia akan dimulakan seawal Januari 2012. Misalnya 1 hingga 8 Januari 2012 ini akan diguna dan difokuskan untuk penulisan tesis selain menghadiri Majlis MOU Buku DBP. Begitulah juga untuk bulan-bulan yang lain. Keempat, mengurangkan kehadiran ke program-program ISDEV yang memerlukan pengambilan cuti rehat, misalnya penyeliaan bulanan dan lain-lain program. Walaupun demikian, beberapa aspek lain boleh ditingkatkan, misalnya dari segi penulisan dan penghantaran artikel untuk jurnal. Walaupun sibuk menulis tesis, MSA bercadang untuk menghantar sekurang-kurangnya 2 artikel untuk penerbitan jurnal. Salah satu yang dikenalpasti ialah ialah Jurnal Politik Pembangunan Islam di bawah editorial Dr Warjio. Inilah antara beberapa langkah yang direncanakan supaya penulisan tesis berhasil dan wacana tentang wakaf terus berkembang pesat. Semoga azam tahun baharu 2012 menjadi kenyataan.
[NotaMSA: Ya Allah ampuni dosa-dosaku, ibubapaku, keluargaku dan warga ISDEV. Kau permudahkan dan berilah kejayaan azamku ini]
Tuesday, November 15, 2011
AUSTRALIA, KAMI (TRIO) DATANG
Daripada "daripada Doha ke Bali, daripada Wellington ke Sydney", akhirnya yang pasti kami akan menghadiri persidangan 15th International Business Research Conference di Sydney, Australia. Ia kerana abstrak isteri MSA telah diterima untuk pembentangan pada 22 hingga 25 November 2011 akan datang, manakala abstrak MSA ditolak. Walaupun demikian, kami telah bersetuju untuk ke Sydney untuk pembentangan di sana. Malah bukan kami berdua sahaja akan pergi, kami pergi bertiga, triolah. Siapakah anak yang bertuah itu? Tidak lain tidak bukan ialah Muhammad Wafiq Imran (MWI), kembar PhD MSA. Setelah puas berikhtiar pelbagai usaha untuk tidak membawa MWI bersama (meminta emak mertua tolong jagakan, meminta kakak2nya menjaga dengan tawaran hadiah dan janji-jani yang lumayan dan paling akhir melatih MWI sendiri membuat sendiri segala urusan2nya seperti mandi, basuh najis dan memakai pakaian, realiti yang terpaksa diterima, beliau hanya mahukan MSA sahaja dalam segala urusannya), maka akhirnya telah ditakdirkan bahawa MWI ikut bersama kami ke Sydney Australia. Walau bagaimanapun sebagai denda MWI dapat ke Autralia, kami sudah mengajar dan memaklumkan beberapa perkara penting ketika di sana. Misalnya, pertama, di sana tiada nasi. Jangan meminta nasi pulak tengah-tengah malam pula nanti. Kedua, cuaca sejuk, jadi kena ikut arahan MSA. Ketiga, atas kapalterbang kena duduk diam, nanti tak boleh naik kapal terbang. Keempat, dan macam-macam arahan lagi.
Sebagai persiapan nak ke sana, MSA pun semak maklumat mengenai Australia. Misalnya pertama, Australia, 3 jam lebih daripada waktu Malaysia. Kalau sini pukul 8 pagi, sana dah jam 11.00 pagi. Kedua, penerbangan ke Sydney memakan masa 8 jam. Wow lamanya, bagaimana kalau MWI meragam? Kena prepare ni. Ketiga, tukaran wang asing AUS$1.00 sama dengan RM3.30 Malaysia. Wow mahalnya. Kadar hotel kalau AUS$100 semalam, maka dalam RM Malaysia, harganya ialah RM330 semalam sebilik. Kalau 3 malam, dah dekat RM1,000.00. Nampak gaya kena perabislah di sana ni. InsyaAllah kunjungan ke Sydney, akan dimanfaatkan dengan baik. Inilah pertama kali MSA ke negara Eropah. Sebelum ini tak pernah lagi. Kalau ada pun ke negara2 ASEAN sahaja seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja. Isteri MSA dah biasa sebab dia belajar degree dulu kat Alabama, USA, dah biasa dengan keadaan negara Mat Salleh. Walaupun MSA mat salleh jugak, tapi mat salleh yang bukan Mat salleh.
[NotaMSA: bagaimana keadaan MWI di sana, berdebar!]
Wednesday, October 19, 2011
MSA SEBAGAI PENULIS BUKU, BIAR BETUL!
Chewah. Begitulah keadaan MSA yang tersipu-sipu tersenyum. Apa taknya selepas ini MSA bergelar penulis buku la pulak. Apa tidaknya, insyaAllah jika diizinkan Allah SWT sedikit masa lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka akan menobatkan MSA dan 17 rakan-rakan ISDEV sebagai penulis. MSA dan rakan-rakan ISDEV telah melalui saringan pertama yang diadakan pada 24 hingga 25 Mei 2011 yang lalu (Bengkel Manuskrip). Kini MSA dan rakan-rakan juga telah melepasi saringan kedua iaitu Bengkel Pemurniaan Judul Buku pada 22 September 2011 yang lalu. MSA dimaklumkan bahawa kesemua judul buku termasuk judul MSA telah dibawa ke pengetahuan DBP untuk kelulusan. Semuanya sebanyak 19 judul berjaya dikumpul dan dikemukakan kepada DBP untuk kelulusan.
MSA akan menulis buku bertajuk "Wakaf di Malaysia: Satu Koleksi Esei". Ia merupakan himpunan artikel dan kertaskerja tentang wakaf yang MSA bentangkan di seluruh negeri di Malaysia. Inilah kerja MSA apabila tak buat penulisan tesis, menulis artikel untuk dijadikan buku. Bila jangkamasa terbitnya buku ini? Tanya hati kecil MSA. Dimaklumkan mungkin sebelum penghujung tahun depan (2012). Wah, kenapa lambat sangat? Yalah nak edit lagi. Nak tunggu kawan-kawan yang lain siap jugak. Mana boleh jalan sorang, Kena la geng ISDEV semua hantar. Barulah sekali terbit 19 buku sekali, baru best. Bagi MSA nampak gayanya buku keluar dulu daripada tesis. Camna ni? Supervisor tak royak ka? Dema kata ok, mohlah MSA pulun la.
[NotaMSA: Nikmat mana lagi yang kamu dustakan. Ya Allah ampunilah daku, hambamu ini]
KENANGAN TANPA FOTO. REKOD MASIH KEKAL
Begitulah selalu yang berlaku. Setiap kali seminar demi seminar yang dihadiri, tiada gambar foto diri sendiri dan kawan-kawan yang boleh diabadikan. Sejak membentangkan lebih belasan seminar dan persidangan, tiada satupun foto diambil ketika pembentangan. Kesnya samada tidak membawa kamera ataupun membawa kamera tetapi lupa meminta kawan-kawan tolong snap. Akhirnya inilah yang berlaku, kenangan tanpa foto. Bolehkah dikatakan kenangan jika tiada foto. Jika bukan kenangan nak dikatakan apa ya? Mungkin sebabnya saya tidak suka berfoto kerana bagi saya ia mengingatkan tentang banyak kisah lama yang menyayat hati. Oleh kerana itulah, mungkin sebabnya saya tidak suka kenangan dengan foto.
Sehingga kini paling akhir ialah seminar INGRAW2011. Tiada satupun foto gambar yang diambil. Alasannya anak yang mengaji di MRSM phon menggunakan kamera tersebut. Beliau ada program /kem di Jeli Kelantan pada masa yang sama dengan INGRAW2011. Mulanya saya bertegas hendak memastikan kenangan seminar tanpa foto akan berakhir dengan INGRAW2011. Tetapi apabila anak yang minta menggunakan kamera saya beralah. Sebagai ayah banyak yang kita korbankan apabila melibatkan permohonan anak. INGRAW2011 tak terkecuali. Maka akhirnya INGRAW2011 terus menerus menjadi kenangan tanpa foto seterusnya. Bermula dengan pembentangan pertama iaitu pembentangan proposal PhD pada 2008 hingga INGRAW2011 (sekarang) rekod mencatitkan tiada foto diambil ketika pembentangan / seminar. Sebelum ini seminar di Medan 2x, tahun 2008 (WAPI1) dan 2009 (WAPI2), tiada foto. Selepas itu pembentangan/ seminar INGRAW2010, INGRAW2009 dan INGRAW2008. lepas tu di IDMAC2010 dan IDMAC2009 juga tiada foto diambil. Begitu jugak di seminar2 di tempat lain di luar USM. Misalnya di USIM (iECONS09), SEIPK09 di UM, NAMAC08 di UDM (sekarang UnisZA), Seminar MAIDAM/UKM 2009. Begitu juga dua seminar lain di USM, iaitu Seminar Fiqh Lestari 2008 (anjuran PPIK) dan SSPNS 2009 (anjuran PPSK). Dalam semua-semua seminar ini tiada kenangan foto dirakamkan membuatkan setakat tiad satupun gambar foto dirakamkan untuk dijadikan kenangan semasa seminar. Di INGRAW2011 baru-baru ini agak terkilan juga kerana tiada kenangan gambar foto2 bersama rakan-rakan PhD yang telah lulus. Tiada gambar kenangan bersama Dr Ahmad Azrin, Dr. Warjio dan Dr Muhammad Tahir. Dr Irsyad saya tidak berapa kenal kerana beliau graduate lebih awal kot. Itulah kisahnya. Nak dikatakan tak sedih, biasa la sebab dah jadi biasa. Nak dikatakan tak sedih, sedih juga kerana tiada kenangan dapat dihayati dengan gambar foto bersama-sama kawan-kawan. Sayang seribu kali sayang.....
[NotaMSA: teringat lagu Salim...]
Subscribe to:
Posts (Atom)