Wednesday, December 16, 2009

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1431

Masa berlalu pantas tanpa menghiraukan kita. Mengikut maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Nukman Ibn Bashir, masa yang pantas berlalu adalah merupakan alamat kiamat makin hampir. Mengikut Nukman, alamat kiamat boleh dibandingkan dengan masa seperti berikut: 1 tahun dirasakan seperti 1 bulan. 1 bulan dirasakan seperti 1 minggu. 1 minggu dirasakan seperti 1 hari. 1 hari dirasakan seperti 1 jam dan 1 jam dirasakan seperti 1 minit minit. 1 minit pula dirasakan seperti satu percikan api. Bayangkan betapa cepatnya masa berlalu. Tup- tap, tup-tap dah 1 hari berlalu. Tup-tap tup-tap sebulan. Tup-tap tup-tap setahun berlalu meninggalkan kita. Esok ialah 1 Muharram 1431H, besamaan dengan 18 Disember 2009. Esok kita akan menyambut satu lagi tahun baru. Ini bermakna sudah 1 tahun baki umur telah meninggalkan kita. Bagaimana bagi umur yang lain ? Berapa tahun lagi ? Ini adalah perkara yang kita tidak pasti. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Masa jika tidak diisi dengan perkara-perkara kebajikan dan amal akan menjadi sia-sia dan terbuang begitu sahaja. Jika kita biarkan masa berlalu tanpa soal jawab Munkar-Nakir itu ok bagi kita. Tapi semuanya perlu kita jawab di akhirat nanti. Tentang bagaimana masa kita habiskan masa kita di dunia ini. Sedang kita menonton perlawanan bolasepak Final Sukan SEA Laos antara Malaysia vs Vietnam secara langsung di siaran TV1, TV2 dan TV3 pada petang ini, sambil menanti tahun baru Hijrah tiba, elok kita hayati makna ayat 103 Surah Al' Asr ini;
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".
Selamat menyambut Maal Hijrah 1431.
[NotaMSA : Tak dapat tengok bola kerana anak, Wafiq nak tengok Ultraman].

Wednesday, December 2, 2009

RENCANA / PANDANGAN ORANG LUAR TENTANG ANUGERAH TESIS ISDEV

Bahan ilmiah patut diterbitkan

Oleh MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN
SARANAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tesis sarjana dan doktor falsafah (PhD) diterbitkan dalam bentuk buku wajar diberi perhatian oleh universiti-universiti tempatan.
Membukukan bahan-bahan keilmuan itu mampu memperkaya dan merangsang suasana akademik di negara ini dengan percambahan ilmu, penyaluran idea dan perkongsian maklumat yang bermakna. Tambahan pula, usaha itu boleh menyebarkan khazanah ilmu dari menara gading bagi dimanfaatkan oleh negara.
Penulis berpendapat tesis yang bermutu wajar diterbitkan untuk rujukan umum. Jika tidak sesebuah tesis yang dihasilkan atas usaha bertahun-tahun lamanya hanya dibaca oleh empat hingga enam individu iaitu penyelia dan pemeriksa yang dilantik oleh universiti. Pihak lain yang mungkin merujuk ialah mereka yang membuat penyelidikan dalam bidang itu.
Persoalannya, wajarkah tesis yang boleh menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara hanya tersimpan rapi di rumah atau di pejabat pengkaji atau di rak perpustakaan universiti?
Dengan menerbitkannya dalam bentuk buku, seperti yang dilakukan oleh Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), tentunya menambah koleksi buku ilmiah tempatan untuk manfaat masyarakat. Malah boleh dirujuk oleh masyarakat antarabangsa yang ingin mengetahui isu yang dikaji tentang Malaysia.
Atas sokongan Muhyiddin yang juga Pengerusi YNY, buat julung kali baru-baru ini YNY dan USM bekerjasama mengadakan Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2009 peringkat nasional yang diberi kepada penyelidik peringkat sarjana dan PhD dalam ilmu berkaitan Islam.
Dr. Fadzila Azni Ahmad dari USM dinobatkan sebagai pemenang sulung peringkat PhD dan menerima anugerah berupa pingat emas bernilai RM10,000 dan wang tunai RM5,000 dari Muhyiddin. Manakala tidak ada pemenang kategori peringkat sarjana.
Penganjur yakin anugerah itu merupakan usaha yang sangat penting kepada perkembangan ilmu kerana dengan cara ini dapat menyumbang kepada peningkatan pengetahuan umat manusia.
Dari satu segi, usaha YNY dan USM untuk membukukan tesis Fadzila adalah langkah positif kerana penyelidikan beliau akan dapat dimanfaat oleh pelbagai pihak termasuk institusi yang berteraskan Islam.
Ini kerana tesis beliau yang bertajuk Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia boleh digunakan sebagai model kerana hasil kajiannya sarat dengan pelbagai pandangan dan rujukan yang dibincangkan secara ilmiah dan terperinci. Tambahan pula beliau mengambil masa enam tahun untuk menghasilkannya.
Penulis berpendapat tesis calon lain juga wajar dipertimbangkan oleh penganjur untuk diterbitkan memandangkan laporan jawatankuasa penilaian menunjukkan tesis mereka diberi penilaian yang tinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penilaian, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dari USM, terdapat 18 kriteria bagaimana sesebuah tesis sarjana dan PhD dinilai dan diangkat sebagai yang terbaik. Kriteria yang diambil kira adalah tajuk tesis dan kandungan, kepadatan abstrak, kejelasan penyampaian, susunan tesis, penggunaan bahasa dan tata bahasa, ejaan dan peristilahan.
Kriteria lain adalah sudut tinjauan/sorotan bacaan, objektif kajian, metodologi, data yang dikutip dan dianalisis, interpretasi data dan kesimpulan, hubungan perbincangan dengan penemuan kajian, perbincangan, bahan rujukan, kekemaskinian bahan rujukan serta keaslian kajian.
Oleh itu, calon-calon sarjana dan Phd yang berminat untuk menyertai anugerah itu pada tahun hadapan harus menitikberatkan kriteria yang disenaraikan jika ingin dipilih sebagai tesis terbaik dan diterbitkan.
Namun, jika tidak berjaya menjadi yang terbaik, mungkin tesis yang dihasilkan itu tinggi mutunya dan boleh diterbitkan sebagai buku untuk dibaca dan dirujuk oleh pelbagai pihak.
Tambahan pula di negara kita tidak banyak buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang terhasil berdasarkan kajian yang boleh dirujuk oleh pencinta ilmu. Sejak sekian lama, sebahagian besar bahan dan buku ilmiah yang dirujuk di universiti masih dalam bahasa Inggeris yang majoritinya ditulis oleh pengkaji dan sarjana Barat.
Muhyiddin berharap anugerah seumpama itu dapat menyemarakkan semangat dan merangsang calon-calon pasca ijazah dalam dan luar negara untuk menghasilkan kajian dan tesis dalam bidang keilmuan Islam yang bermutu tinggi seterusnya dibukukan.
Dalam perkaitan ini, universiti tempatan wajar memberi sokongan kepada penerbit universiti masing-masing untuk menarik minat lebih ramai siswazah peringkat sarjana dan PhD untuk menerbitkan tesis. Selain royalti, penulisnya mungkin diberi ganjaran yang setimpal sebagai satu pengiktirafan atas usaha ilmiahnya.
Malah tesis pelajar Malaysia di luar negara juga boleh diterbitkan jika didapati tinggi mutunya daripada dibiarkan menjadi rujukan dan dieksploitasi oleh universiti berkenaan.
Jika kewangan menjadi kekangan, universiti tempatan mungkin boleh bekerjasama dengan organisasi korporat untuk mewujudkan anugerah dan menerbitkan tesis. Langkah ini dilihat sebagai memenuhi konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti yang diuar-uarkan oleh kalangan sektor korporat.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman Penerbit Universiti Malaya (UM), bukanlah mudah untuk menarik minat siswazah menerbitkan tesis ke buku kerana memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian bagi menepati konsep dan keperluan penerbitan sebuah buku.
Daripada ratusan lulusan sarjana dan PhD di UM, penerbitnya hanya berjaya merealisasikan beberapa buah tesis sahaja ke buku. Pada tahun 2008 misalnya, daripada 15 buku hanya enam diterbitkan dari tesis. Pada tahun ini, 22 buku diterbitkan dan hanya tiga daripada tesis siswazah.
Penerbit UM turut mengadakan bengkel penulisan tesis ke buku sebagai usaha menarik minat golongan ilmuwan membukukan tesis mereka. Namun, kurang berhasil.
Dari satu segi, usaha membukukan tesis dalam ilmu berkaitan Islam mungkin dapat membantu meningkatkan kegemilangan dan keunggulan Islam seterusnya bersaing dengan Barat.
Hal ini diakui Muhyiddin bahawa pada masa ini kegemilangan dan keunggulan Islam semakin jauh ditinggalkan oleh Barat dalam bidang seperti sains, teknologi, ekonomi dan pendidikan. Fenomena yang berlaku menyebabkan kita bukan sahaja ketinggalan malah memperlihatkan seolah-olah negara-negara Islam semakin mundur dalam bidang pendidikan.
Oleh itu, seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, anugerah tesis terbaik itu serta membukukannya merupakan langkah awal yang digagaskan untuk mengembalikan keunggulan tamadun keilmuan Islam di Malaysia khasnya dan di dunia Islam umumnya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya
Utusan Online

Wednesday, November 25, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA (KURBAN)

Pada kesempatan ini, MSA sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Qurban kepada semua warga ISDEV dan USM yang mengenali dan tidak mengenali, di Malaysia mahupun di Indonesia, hari raya yang akan menjelang esok hari. Kepada yang pulang ke kampong didoakan semoga selamat pergi dan pulang ke destinasi yang dituju dengan selamat. Doa dan selamat hari raya buat penyelia utama saya, Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh dan keluarga, yang dimaklumkan, beraya di Kuala Lumpur. Begitu juga kepada penyelia bersama, Dr Zakaria Bahari yang pulang beraya ke Johor pada hari Khamis lalu. Juga kepada Dr. Sukainah yang beraya di Kuala Lumpur. Juga kepada Dr Zahri yang beraya di Kelantan, Dr Zaini dan Dr Fatah. Selamat Hari Raya Qurban. Kepada yang tak dapat bersama keluarga dan tak dapat pulang beraya kerana perjuangan PhD (seperti yang MSA tulis, ianya merupakan dugaan terbesar buat kita). Perjuangan PhD sentisa memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan isteri dan keluarga di kampong (macam faham saja nak tuju kat sapa ni) memerlukan kesabaran dan jihad yang besar. Walau bagaimanapun tidak mengapa, kalau ada masa lapang atau dah pening dan buntu tak boleh menulis lagi tu, helo-helo-lah MSA, boleh datang beraya ke rumah MSA walaupun tahun ini MSA tak tumbangkan apa-apa korban.
[NotaMSA : Lepas kejadian 1Nov, MSA ada rancang projek baru. Dah bincang dengan kontraktor, sedang tunggu sebutharga sahaja. Jika setuju akan laksanakan projek ini. Projek apa ya...... tunggu lain entry..........].

TERIMA KASIH KEPADA WARGA ISDEV YANG MEMANJANGKAN SIMPATI.

MSA, isteri dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kawan-kawan dan sahabat ISDEV yang memanjangkan rasa simpati dan takziah atas kejadian 1 November 2009 yang menimpa kami. Sesungguhnya kami sekeluarga berasa terharu atas sokongan dan simpati yang diucapkan, melalui email, telefon, sms dan juga entry di dalam blog. Rasa terharu juga kerana simpati dan ucapan takziah datang daripada kawan-kawan ISDEV, jauh dan dekat, juga daripada kawan-kawan yang sekarang menunaikan fardhu haji di Tanah Suci Mekah. Dari jauh mereka mendoakan kami supaya bersabar dan redha atas apa yang berlaku. Ramai yang berpesan bahawa Allah SWT sedang dan akan memberikan "hadiah" besar selepas kejadian apa yang berlaku. Malah ramai yang mengingatkan kami tentang maksud ayat Al-Quran yang mengatakan dalam kesedihan sudah barang pasti ada berita dan khabar gembira. Begitu juga dalam kegembiraan ada keadaan yang mendukacitakan yang akan datang. Hanya sabar sahaja yang membolehkan kita beroleh pahala dan ganjaran yang dijanjikanNya.
Lantas teringatkan akan kata-kata ulama besar, Hassan Basri r.a ; apabila susah dan ditimpa kesusahan, maka kita akan ingat akan Allah lebih berbanding ketika kita menerima nikmat. Jadi bagiku adalah lebih baik kita selalu menerima kesusahan dan kepayahan kerana lebih banyak kita mengingati Allah".
[NotaMSA: Kejadian menjadikan hati lebih lembut dan lebih insaf].

PHD- PASTI HADAPI DUGAAN - TERNYATA BENAR !

Mungkin benar apa yang disebutkan oleh kawan-kawan yang telah melalui pahit getir ujian semasa melakukan PhD. Kita semua akan menghadapi ujian dan dugaan. Kepada MSA dan isteri, tanggal 1 November 2009 merupakan satu dugaan yang besar. Ketika kami nyenyak tidor, rumah kami telah dimasuki pencuri. Banyak barangan berharga diambil. Antaranya 2 laptop milik MSA dan isteri, handphone isteri, hardisk, dan beg tangan isteri yang mengandungi 5 pendrive, barang kemas, buku Tabung Haji MSA dan wang tunai sebanyak RM1,800.00. Kerugian dianggarkan RM15,000.00. Masa kecurian dianggarkan jam 2.30 hingga 5.30 pagi. Berbanding MSA, kesan kehilangan barangan ini lebih dirasai oleh isteri MSA kerana semua bahan-bahan PhDnya telah tiada. Beliau ketika ini sedang membuat persiapan untuk membentangkan proposalnya. Semua penulisan untuk pembentangan proposal hilang, kecuali Bab 1 yang ada disimpan dalam email kepada penyeliannya, Dr Sofri Yahaya. Satu laporan polis telah dibuat pada jam 10.00 pagi. Pada jam 2.00 petang, pihak polis telah datang melihat kawasan pecah masuk. Kunci pintu masuk sliding door ruang tamu rumah telah diumpil dari luar. Daripada pemeriksaan kawasan kejadian pihak polis membuat kesimpulan suspek merupakan orang tempatan berdasarkan kepada jenis barang-barang yang diambil dan juga suspek tidak mengganggu mangsa yang sedang tidur nyenyak dalam rumah berbanding kes pecah rumah yang melibatkan warga asing.
Sesungguhnya apa yang berlaku ada motif dan hikmah tersendiri yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Seperti mana ayat 15-16, Surah Al-Taghaabun, Allah SWT berfirman :
"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian. Dan disisi Allah jualah pahala yang besar. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu, dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakan harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan ingatlah, sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya".
Ya Allah, sesungguhnya kami telah melakukan banyak dosa dan maksiat di bumiMu ini. Maka ampunkan dosa kami Ya Allah. Dosa kedua-dua ibubapa kami. Dosa orang-orang muslimin dan muslimat yang terdahulu daripada kami. Berikanlah keampuan dan rahmatMu kepada kami warga ISDEV, Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.
[NotaMSA : hilang penulisan adalah lebih baik berbanding kehilangan akal yang digunakan untuk berfikir dan menulis].

Wednesday, November 11, 2009

ABSTRAK PAPER DI SSPNS 2009

Berikut disiarkan abstrak kertas kerja yang dibentangkan di Social Science Postgraduate National Seminar 2009 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM :

KERANGKA KOMPONEN YANG MEMBENTUK SISTEM PENYAMPAIAN WAKAF : SATU CADANGAN AWAL [1]

Mohamad Salleh bin Abdullah[2]
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Minden 11800 Pulau Pinang, Malaysia. Email : salleh3055@yahoo.com. Tel : 012-4149005/04-5378088. Faks : 04-5306466. Tahap Pengajian : Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Universiti Sains Malaysia.

Abstrak

Kajian emperikal dan sorotan karya telah membuktikan wujudnya kelemahan yang ketara dalam pengurusan wakaf. Kekurangan ini telah menyebabkan sistem wakaf dilihat sebagai gagal memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam di Malaysia. Kegagalan agenda wakaf ini juga menyebabkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), iaitu pemegang amanah tunggal wakaf tidak dihormati dan disegani. MAIN dilabel sebagai mutawalli yang gagal menguruskan wakaf. Banyak faktor yang dikaitkan dengan kegagalan pengurusan wakaf ini. Di antaranya ialah kekurangan kakitangan, masalah tertunggak wakaf serta penyelewengan dan pecah amanah di kalangan mutawalli persendirian. Kesemua ini menyumbang kepada satu pernyataan masalah iaitu sejauh manakah keberkesanan sistem penyampaian wakaf. Apakah yang dikatakan sistem penyampaian wakaf ? Apakah komponen-komponen yang membentuknya? Manakah satu komponen yang dilihat lebih dominan dan berpengaruh? Kertas kerja ini bertujuan untuk mengemukakan satu cadangan sistem penyampaian wakaf dan komponen-komponen yang membentuk kerangkanya. Pembentukan komponen ini diasaskan kepada empat sumber utama iaitu Al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan sorotan karya penulis-penulis berkaitan topik ini. Hasil analisis mendapati pembentukan komponen sistem penyampaian wakaf adalah sangat penting kerana ia menjadi asas untuk melihat kedudukan dan tahap penyampaian perkhidmatan wakaf kepada umat Islam secara keseluruhannya. Kepentingan keberkesanan sistem penyampaian wakaf ini nanti akhirnya boleh dijadikan panduan kepada MAIN untuk menguruskan wakaf dengan lebih cekap dan berkesan.

Katakunci : Wakaf, Sistem Penyampaian, Cadangan Kerangka Komponen.
[1] Kertas kerja yang dibentangkan di Social Science Postgraduate National Seminar ’09 (SSPNS’09) anjuran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 28 dan 29 Oktober 2009 di Hotel Gurney, Pulau Pinang.
[2] Mohamad Salleh Abdullah merupakan calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Penyelidik Bersekutu di ISDEV, USM.

ABSTRAK PAPER DI IDMAC 2009

Atas permintaan, berikut disiarkan abstrak kertas kerja yang dibentangkan di IDMAC09 :

APLIKASI SUKUK SEBAGAI SUMBER PEMBIAYAAN
KONTEMPORARI PEMBANGUNAN ASET WAKAF1

Mohamad Salleh bin Abdullah2
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Minden 11800 Pulau Pinang, Malaysia. Email : salleh3055@yahoo.com. Tel : 012-4149005/04-5378088. Faks : 04-5306466. Tahap Pengajian : Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia.
Abstrak

Wakaf merupakan salah satu institusi yang berperanan memajukan pembangunan ekonomi ummah di dalam Islam. Salah satu bentuk pembangunan yang boleh dilaksanakan ialah melalui pemajuan aset-aset wakaf. Walau bagaimanapun mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri, hanya 1% sahaja daripada harta wakaf dimajukan disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satu faktor ialah kekurangan modal dan sumber kewangan yang sering membelenggu pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal wakaf. Sebagai jalan keluar, satu bentuk pembiayaan kontemporari yang boleh dicadangkan bagi memajukan aset wakaf ini adalah melalui sukuk. Setakat manakah sukuk berpotensi menjadi sumber pembiayaan utama pemajuan aset wakaf? Apakah kelebihan dan kekurangannya? Kertas kerja ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah sukuk dapat digunakan sebagai sumber dana utama bagi membangunkan aset wakaf. Bagi membuktikannya, beberapa contoh pembangunan aset wakaf yang telah dilaksanakan oleh pihak MAIN di Malaysia akan dirujuk. Analisis kertas kerja ini akan dilakukan menggunakan data sekunder dan maklumat yang diperolehi daripada MAIN dan juga kajian lepas serta sorotan karya tentang topik berkaitan. Hasil analisis mendapati sukuk berpotensi menjadi sumber dana utama bagi pembiayaaan projek pembangunan wakaf. Walaupun demikian sukuk bukanlah satu-satunya kaedah untuk memperolehi sumber pembiayaan dan kewangan. Pihak MAIN perlulah berusaha mencari dan memantapkan sumber dana lain, misalnya seperti wakaf tunai supaya tidak terlalu bergantung kepada dana luar dan juga untuk mempastikan supaya pembangunan aset wakaf yang dilaksanakan sentiasa mengikut acuan MAIN dan objektif geo-politiknya.
Katakunci : Wakaf, Sukuk, Sumber Pembiayaan, Pembangunan Aset dan MAIN
[1] Kertas kerja yang dibentangkan di The 3rd ISDEV International Islamic Development Management Conference : Islamic Capital Market 2009 (IDMAC 09) anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 28 dan 29 Oktober 2009 di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM.
[2] Mohamad Salleh Abdullah merupakan Penyelidik Bersekutu di ISDEV dan calon Ijazah Doktor Falsafah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.