Monday, June 15, 2009

TRANSFORMASI WAKAF : MULAKAN LANGKAH YANG BETUL

Memang ada banyak cara dan kaedah untuk melakukan perubahan dalam pengurusan wakaf. Cuma persoalannya, manakah cara dan kaedah yang betul ? Adakah membaiki wakaf dari dalam atau membaiki wakaf dari luar ? Adakah membetulkan wakaf dengan mengambil orang dalam atau dengan mengambil orang luar ? Adakah wakaf perlu diubati dengan hanya ubat aspirin atau dibedah terus bahagian yang sakit itu ? Manakah satu jawapannya ? Pelbagai pendapat diberikan untuk mengatasi masalah pengurusan wakaf ini. Ada sebahagian pengkaji berpandangan bahawa tambah sahaja kakitangan wakaf. Isunya adakah wang untuk membayar gaji kakitangan tambahan ? Berapakah lama kelulusan diperlukan ? Adakah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan kelulusan. Jika kakitangan kontrak dan sementara diambil, berapa lamakah mereka boleh bertahan ?. Jika dapat peluang dan tawaran lebih baik adakah mereka kuat imannya untuk kekal bekerja di bahagian wakaf. Ini persoalan besar. Ada berpandangan masalah wakaf boleh diselesaikan dengan menswastakan sebahagian fungsi yang boleh diswastakan. Persoalannya bahagian yang mana ? Adakah pembangunan tanah wakaf ? Adakah bahagian undang-undang dan penguatkuasaan ? Adakah pembersihan tandas masjid dan surau ? Ada pula berpandangan bahawa permasalahan wakaf boleh diatasi dengan perngkorporatan wakaf ? Isunya adakah ianya dibolehkan mengikut undang-undang ? Bagaimana isu status Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf ? Adakah akan terjejas statusnya ? Siapakah yang akan menjadi muttawalinya ? MAIN atau syarikat korporat tersebut ?. Semuanya menjadi persoalan yang membingungkan ?Yang pasti tindakan yang diambil perlulah langkah yang betul.
[MSA : tahu mana satu langkah yang betul]

Sunday, June 14, 2009

1ARTIKEL 1BULAN

Hem, baguih jugak moto ini. Slogan ka moto. Slogan kot. Kalau kawan2 nak ikut serta pun boleh jugak. Kempen ini hanya untuk diri sendiri. Kalau nak join lagi bagus. Jadi slogan pelajar penyelidikan ISDEV.

KETAGIH MENULIS KERTAS KERJA.......

Oleh kerana sudah membuat keputusan untuk tidak lagi menulis kertas kerja tahun ini (kecuali yang tertentu sahaja), maka perkara tersebut tidak dilakukan lagi. Walau bagaimanapun ia menimbulkan satu masalah lain. Ketagih hendak menulis. Apa pasal pulak entah apa-apa duduk tak senang. Tangan gatai semacam. Walaupun dah buat keputusan, asyik dok teringat kat kertas kerja saja. Mungkin banyak idea kot, nak bagi tau ada dunia tentang wakaf. Mungkin kot. Oleh kerana itu, keputusan dibuat untuk menulis jugak kertas kerja. Tapi yang ini bukan panjang, cuma kertas kerja pendek saja. 3 hingga 4 helai sahaja. Double spacing lagi. Artikel la tu. Azam hendak tulis dan hantar kepada majalah popular setiap bulan. Setakat 2 bulan ni dah tulis 2 artikel. Satu dah siap dan telah dihantar kepada majalah Dewan Ekonomi. Tajuknya "Transformasi Pengurusan Wakaf : 3 Pilihan Kepada Majlis Agama Islam Negeri". Satu lagi sudah separuh siap. Tajuknya "Perspektif Ekonomi Wakaf Tunai". Dok ingat artikel ini hendak hantar kat paper Berita Harian. Itu belum diputuskan lagi. Cuba habiskan dulu artikel ini, kemudian baru decide.
[MSA : 1ARTIKEL 1BULAN. Macam moto PM Najib 1MALAYSIA]

PENYELIAAN BULANAN JUN - TAK DAPAT HADIR

Apakan daya. Hasrat hati hendak hadir ke Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV pada 12 Jun 2009. Hati teringin hendak berjumpa dengan para penyelia, pensyarah dan kawan2. Maklumlah selepas daripada program Medan tempohari, dah lama tak bertemu. Saya pun dah lama tak ke USM kerana komitmen kerja. Sambutan 15 tahun PUZ pada tahun ini ternyata amat menyibukkan saya. Banyak sangat kerja, lepas satu, satu. Namun penyeliaan itu saya tidak hadir bukan kerana kerja-kerja dan program sambutan 15 Tahun tetapi benda lain. Brainstorming Prosedur Agihan Zakat PUZ telah diadakan pada 11 dan 12 Jun 2009 bertempat di Swiss Inn Hotel Sungai Petani. Hendak mengelak tak boleh kerana sudah menjadi anak buah agihan. Kena hadir jugak. Lagipun pandangan dan idea saya diperlukan. Sudah kewajipan, apa nak buat.
[MSA : Rindu jumpa kawan-kawan]

Friday, May 29, 2009

KEUPAYAAN MENJADIKAN REALITI, BUKAN RETORIK

Transformasi Wakaf. Apa yang diperlukan sekarang bukan banyak. Satu peluang sahaja. Berilah peluang itu kepada orang-orang yang betul ingin merealismekan wakaf. Yang hidup-matinya untuk wakaf. Berilah peluang kepada wakaf. Zakat tak apa. Dia sudah hidup semula. Membesar dan berkembang. Bagi wakaf ia adalah jihad. Fisabilillah. Keperluan untuk hidup. Dalam sunyi terdengar detak hati wakaf. Kembalikan semula nyawaku.

KEPERLUAN KEPADA WAKAF PRODUKTIF

Sama seperti Indonesia, Malaysia juga memerlukan wakaf yang produktif. Masalah wakaf cukup lama dan kronik. Sudah banyak konvensyen dan seminar diadakan. Cukup banyak kertas kerja mengenai wakaf dibentangkan. Kalau dikumpul-kumpulkan kertas kerja tersebut dan dicampakkan ke dalam laut sebelah tepi Jambatan Pulau Pinang dekat dengan Kompleks Polis Marin, ia (kertas kerja itu) boleh menjadi sebuah pulau baru. Bolehlah kita namakan pulau itu dengan nama Waqf Papers Island". Pulau ini bolehlah nanti digandingkan dengan Pulau Jerejak untuk dijadikan projek Pembangunan Koridor Pulau-Pulau. Sekurang-kurangnya adalah manfaat daripada kertas kerja ini. Apapun wakaf tetap tak produktif jugak. Sebabnya begitu banyak resolusi dibuat dan rumusan diadakan, kertas kerja tinggal kertas sahaja kerana tak "bekerja". Semua idea yang dikemukakan tinggal begitu sahaja, hilang dipuput angin kerana tiada pihak berkuasa yang berminat dan mempunyai iltizam untuk menjayakan idea tersebut. Kalaupun sudah ada usaha sedikit dan permulaan untuk membaiki pengurusan wakaf, usaha tersebut digagalkan. Yang menggagalkannya bukan orang lain. Orang Islam jugak. Serupa darah dan sama-sama mengucapkan kalimah syahadah. Sampai bilakah stigma ini akan berakhir. Akhirnya yang rugi, mendapat malu dan mendapat dosa ialah orang Islam jugak. Bukan orang lain, sahabat kita jugak. Pengikut Rasulullah SAW jugak. Cuba renungkan !
[MSA : sudah letih berharap]

WAKAF PRODUKTIF POPULAR DI INDONESIA

Itulah yang boleh disimpulkan selepas 2 kali lawatan ke Medan Indonesia dilakukan pada tahun ini dan tahun lepas (2008). Tinjauan di kedai buku dan tulisan di blog mendapati tajuk ini sangat popular di Indonesia. Walau bagaimanapun dalam artikel dan buku yang dijumpai tidak dinyatakan dengan jelas sejelasnya apakah maksudnya wakaf produktif itu. Apapun kita masih dapat memahami apakah maksud wakaf produktif tersebut. Ia merujuk kepada kedudukan wakaf sekarang yang tidak memberikan banyak manfaat kepada ummah kerana tidak diuruskan dengan baik, tanah wakaf dibiarkan kosong dan tidak dijaga, yang mana akhirnya akibatnya manfaat tidak sampai kepada penerima. Dari segi yang lain kelemahan wakaf untuk menjadi sebagai alat pembangunan ummah juga menyebabkan ianya disifatkan sebagai tidak produktif. Ini hanya pendapat saya. Bukan definisi yang diberikan oleh penulis-penulis Indonesia dalam artikel yang saya baca. 9 artikel yang ditulis dalam buku Wakaf Produktif : Pemberdayaan Ekonomi Umat (keluaran tahun 2004) ada menyebut tentang wakaf produktif tetapi tidak menghuraikan makna sebenar istilah tersebut. Untuk mendapatkan istilah sebenar wakaf produktif yang dibincangkan, saya terpaksa merenung semula artikel-artikel ini, cuba memahamkan dan akhirnya menggali rahsia-rahsia yang boleh dicungkil daripada semua artikel ini. Ini akan mengambil masa yang lama. Berbaloi atau tidak. Mungkin untuk lebih mudah, saya cuba dapatkan penulis Indonesia pertama yang mula-mula memperkenalkan istilah wakaf produktif ini. Mungkin beliau telah menghuraikan definisi ini.
[MSA : Siapa orang pertama di Malaysia yang memperkenalkan wakaf produktif ?]