Sunday, July 27, 2008

Kertas Kerja Pertama (Sulung)

SISTEM PENYAMPAIAN MANFAAT WAKAF KEPADA
“MAUKUF ALAIH” DI NEGERI PULAU PINANG : SATU CADANGAN PENYELIDIKAN [1]

Abstrak

Institusi wakaf telah wujud sejak lebih dari 1400 tahun dahulu. Rasulullah S.A.W merupakan pengasas ibadat wakaf. Islam amat menganjurkan umatnya melakukan wakaf. Ini disokong oleh dalil ayat Al-Quran dan hadis. Penggemblingan harta wakaf terbukti dapat membantu golongan maukuf alaih, malah dapat berperanan lebih besar terutama untuk kemajuan dan pembangunan sosio-ekonomi umat Islam secara keseluruhan. Untuk mencapai matlamat ini, sistem penyampaian manfaat wakaf perlulah efektif, efisyen dan sampai kepada sasaran. Adalah sangat menarik untuk mengkaji proses sistem penyampaian ini dan bagaimana ia berfungsi bagi menyampaikan manfaat kepada umat Islam. Kertas kerja ini berhasrat untuk membentangkan satu cadangan penyelidikan mengenai sistem penyampaian manfaat wakaf kepada maukuf alaih di negeri Pulau Pinang.

[1] Kertaskerja yang dibentangkan di Bengkel Siswazah ISDEV III anjuran bersama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia pada 12 dan 13 Disember 2007.

Thursday, July 24, 2008

Selamat Datang Yayasan Wakaf Malaysia

Semakin meriah. Itulah yang boleh dikatakan kepada perkembangan pengurusan wakaf di Malaysia sekarang. Hari demi hari semakin banyak institusi atau organisasi yang ditubuhkan untuk menguruskan wakaf, samada dalam bentuk menguruskan hartanah atau melancarkan produk-produk wakaf. Adakah ini merupakan petanda bahwa pengurusan wakaf di Malaysia yang ada sekarang boleh dikatakan gagal?. Atau adakah ini kerana icon wakaf amat berpotensi untuk digembelingkan? Atau kerana gabungan kedua-dua faktor ini. Memang sukar untuk menjawap soalan-soalan tersebut. Kalau sebelum ini kita telah mempunyai 14 buah Majlis Agama Islam Negeri yang sudah menguruskan pentadbiran wakaf, selepas itu banyak institusi lain yang tiada kaitan dengan perundangan wakaf mengambil peluang menubuhkan unit, bahagian atau anak syarikat untuk menguruskan wakaf. Misalnya YADIM melancarkan Unit Skim Wakaf untuk mengutip sumbangan bagi membina Pusat Latihan YADIM. YAPIEM pula menubuhkan anak syarikatnya, Perbadanan Wakaf Sdn Bhd. Syarikat Takaful Malaysia pula mengadakan produk Takaful Wakaf. Beberapa universiti tempatan seperti UIAM dan Universiti Malaya juga mempunyai cabang endowmennya yang tersendiri untuk mengutip wakaf bagi membiayai pendidikan universiti. Paling terbaru Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah melancarkan penubuhan apa yang dipanggil sebagai Yayasan Wakaf Malaysia (YWM). Antara tujuan utama penubuhan YWM ialah untuk menjana kutipan Wakaf Tunai. YWM telah mula mengorak langkah dengan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), seorang muda dan berwawasan. Apapun nama, organisasi atau siapakah yang menguruskan wakaf, sokongan dan kerjasama yang padu haruslah diberikan kepada semua institusi ini. Tidak kira sama ada sokongan moral, pandangan dan idea bahkan sumbangan wakaf wang ringgit sekalipun, semuanya amat perlu dan penting kepada kemajuan dan peningkatan institusi wakaf. Ini kerana perjalanan untuk mencapai kejayaan pengurusan wakaf seperti mana zaman kegemilangan wakaf semasa Kesultanan Othmaniah masih jauh dan masih di tahap langkah pertama. Hanya azam , usaha gigih dan redha Allah SWT sahaja yang dapat merubah keadaan ini. Bersamalah dengan golongan orang-orang yang ingin mengembalikan idealisme wakaf .

Wednesday, July 23, 2008

Aktiviti Pelajar 5 : Ahli Bersekutu Isdev (ABI)

Dimaklumkan bahawa semua pelajar PhD dan master adalah automatik menjadi ahli ABI ISDEV, USM.

Aktiviti Pelajar 4 : Latihan Kepimpinan Pelajar

Dimaklumkan bahawa saya, Sdra Ahmad Azrin Adnan dan rakan-rakan PhD lain telah diminta untuk menguruskan 4th International ISDEV Graduate Worksyop 2009, satu bengkel tahunan yang dijangka diadakan pada 28-29 Januari 2009. Di dalam worksyop ini, semua pelajar post-graduate (master dan PhD) yang membuat penyelidikan berkaitan dengan Islam dalam apa-apa bidang di seluruh dunia boleh membentangkan cadangan penyelidikan mereka. InsyaAllah kita akan mengadakan satu laman web khas program ini bagi memudahkan komunikasi dengan pelajar-pelajar post graduate yang berminat.
Calls for Paper : 4th International ISDEV Graduate Worksyop 2009, USM.

Aktiviti Pelajar 3 : Latihan Penulisan

Alhamdulillah atas arahan penyelia. Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh, saya telah memulakan penulisan artikel di media popular. Setakat ini saya sedang menyiapkan 2 artikel seperti berikut :

  • Tajuk artikel - "Pengurusan Wakaf Perlukan Muttawali Baru ?" - sudah siap dan telah dihantar kepada majalah Dewan Ekonomi.

  • Tajuk artikel - "Kemana Halatuju Pembangunan Wakaf Selepas Pilihanraya Umum Ke 12?" sedang disiapkan dan akan dihantar kepada media yang akan diputuskan kemudian.

Aktiviti Pelajar 2 : Perkembangan Cadangan Penyelidikan PhD

  • Pembentangan : Cadangan Penyelidikan PhD telah dibentangkan pada 18 Julai 2008.

  • Tindakan : Tindakan seterusnya ialah membaiki pembetulan cadangan tersebut.

  • Kajian perpustakaan akan dijalankan untuk menyenaraikan kategori mawquf alaih yang dijangka djalankan dalam bulan Ogos 2008.

Aktiviti Pelajar 1: Pembentangan Kertas Kerja Tahun 2008

Di maklumkan bahawa saya akan membentangkan kertas kerja di 3 seminar berikut :

  • 15 Oktober 2008- Seminar Keusahawanan Islam ke 3 Peringkat Kebangsaan anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bertempat di Dewan Kuliah Utama API, UM- Tajuk kertas kerja : Daripada Ikan Kepada Jala : Satu Analisis Pelaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan Asnaf Zakat di Pulau Pinang. Dateline kertas kerja : 15 September 2008.

  • 29-30 Oktober 2008- Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari 20008 anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM bertempat di Dewan Persidangan Universiti, USM - Tajuk kertas kerja : Kelestarian Fiqh Dalam Pengurusan Wakaf di Pulau Pinang. Dateline kertas kerja : 31 Ogos 2008.

  • 13-14 Disember 2008- National Management Conference 2008 anjuran Universiti Darul Iman, Terengganu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. Tajuk kertas kerja : The Management of Waqf Development In Malaysia: From Here To Where ? Dateline: Abstrak - 30 Ogos 2008 @ Kertas kerja : 30 Oktober 2008.